Assalamualaikum dan hai pembaca semua. Saya Mia. Harini rasa nak share pasal sikap sesetengah kawan bercuti. Dah kerja teruk-teruk confirm nak rehatkan kepala dari bandar dan kerja yang tak habis-habis kan.
Ok, sekarang ni musim ramai perempuan yang bujang memilih nak travel sendiri tanpa ada sesiapa dari kalangan family. Maybe nak lari jauh dari norma seharian. Mungkinlah. Aku tak kata semua tau. Segelintir orang macam aku ni lah.
Yang umur dah 31, takde kawan istimewa sebab takut komitmen lepas kahwin tambahan baca confession pasal ramai laki ‘biawak hidup’ dalam IIUMC ni. Eheh. Aku ni overthinking bab-bab lelaki ni sebab ada sejarah sendiri. Takpe tu kita takyah ulas.
Sekarang ni aku dah jumpa kawan yang betul-betul boleh jadi geng bercuti. Sebelum-sebelum ni ada je kawan lain tapi tak boleh masuk. Sebabnya haa meh nak cerita.
Yang pertama, jenis yang nak high class je. Nak lepak kedai mahal, nak tidur hotel mahal nak makan kat kedai yang beraircond bagai, walaweh. Aku ni bukan duit kepuk-kepuk nak layan selera tekak kau je yang. Jadi sekali je aku travel dengan dia. Beriban-riban habis even dalam Malaysia je ha. Belum oversea lagi. Mau gadai rumah aku nak cukupkan dia punya tekak.
Kat sini aku sedar kalau boleh kita ni travel dengan kawan yang sekufu jela. Yang masing-masing tau poket masing-masing. Yang boleh consider keadaan masing-masing. Kalau ikut tekak yang ada-ada ni mau berhutang pulak. Jangan begitu kawan-kawan. Selaraskan kehendak korang dengan keadaan korang sendiri.
Yang kedua jenis asal bergambar dia nombor wahid. Segala OOTD harus lawa. Untuk dia la. Sekali tang kita, ada dia snap muka aku dengan tong sampah. Ehh. Biadap. Kita ni beria tertonggeng-tonggeng nak kasi gambar dia lawa. Dia asal boleh gambar kita ni. Gegar-gegar pun takpe. Asalkan dia punya lawa.
Lepastu up gambar tak tengok muka orang. Asal dia peloles, haa orang lain tengah muka teran berak pun dia up je. Asalkan dia CANTIK. Siap tag lagi kat ig dengan facebook kita. Eii. Memang dak la aku nak approve. Lantak kau situ.
Serik jugak aku tapi kalau dia nak ikut aku kasi je dengan syarat aku bawak orang lain sama yang boleh ambik gambar aku elok sikit. Tapi jenis camni happening selalunya. Tak tau malu pun ye. Gambar basikal cabuk pun dia jadi untuk bergambar. Dia pulak jenis takkan segan punya nak bertanya.
Ada yang jenis kena ikut semua kepala dia. Kita nak share pendapat pun tak boleh. Yela, kita bila bercuti mestilah research sikit tempat kita nak pergi. Baca itinerary orang. Usha dengan google, tanya kawan-kawan yang pernah pergi kawasan kita nak pergi tu kat mana yang ok, tapi dengan dia ni haaa, tak boleh kasi pendapat pun, kita punya pandangan pun dia endah tak endah.
Jenis aku malas nak gaduh ikutkan jela. Lepastu bila ada masalah gelabah taktau nak buat apa. Orang yang kau sampahkan tadi jugak nak kena fikir nak camne nak selesai. Taubat aku tak boleh nak pergi dah dengan orang camni. Aku dah serik. Bukan aku nak jadi ketua, tapi share la sorang sikit apa yang kita suka, apa yang kita impikan. Pergi sekali sekala kot.
Jangan ikut kau punya selera je. Orang lain suka hutan, suka bangunan, kau lak suka pantai. Takkan 5 hari duduk situ 5 hari nak duduk pantai. Aku kambus kau dengan pasir pantai baru tau. Jadi la kau penyu bertelur kat situ nanti. Rasain loh. Satu kelebihan orang macam ni kau tak payah fikir apa pun sebenarnya kalau semua planning dia berjalan lancar. Kita follow je. Tau-tau dah ada kat kedai makan, dah beli tiket g sana sini. Cuma ikut tekak dia jela. Tekak korang simpan jela sendiri. Eheh.
Ada pulak jenis yang tak lalu langsung nak makan kat gerai-gerai di “yek yek” kan makanan tu. Geram aku nak tampar mulut tu. Rezeki kot. Bukan benda tak halal. Benda halal, cuma tepi jalan je. Kalau pisang goreng sama rojak mee tu kau lalu lak makan yang mamak tepi jalan punya. Kat negara orang kau tetiba jadi manusia pembersih nau. Bakso dengan ayam penyet tu sedap la oi.
Kau boleh buat muka sambil telan-telan air liur. Sudahnya semua orang tak lalu. Telan maggi jela kat hotel. Pastu kebulur masing-masing. Balik Malaysia turun berat tak cukup makan. Tapikan dapat jenis camni risiko nak sakit perut or cirit birit kurang. Sebab dia jaga semua tu. Eheh. Cuma terseksa la sikit kaedahnya. Sediakan la makanan yang ready made sesiap dari Malaysia guys. Kalau ada yang jenis camni. Senang nak handle nanti.
Ada pulak jenis yang penjimat nak mampus. Cik kak. Aku pun jimat jugak, tapi jangan la sampai hotel pun scary nak mampus. Jaga keselamatan sama la. Kita perempuan, better hotel tu toilet dalam bilik kita. Dan kawasan tu biarlah ada nampak orang sama. Baca la review sama. Ni tempat kau pilih udah la ceruk kampung, toilet share, kawasan macam takde orang. Ngeri oi.
Jangan nak jimat sampai kita terancam. Duit boleh cari, nyawa tu je sekali Allah kasi. Takde jual kat mall tau. Bukan nak hotel 5 star pun. Kita cari la yang sesuai dengan budget kita. Senang nak solat, senang nak tukar baju. Tidur kongsi-kongsi bertiga 1 bilik pun takpe, asalkan selamat kita weh.
Nak bercuti ni kena ada mood yang elok. Tolong la jangan moody weh. Kau period ke gaduh dengan boifren ke please jangan spoilkan mood bercuti kau dan kawan-kawan. Rancang bertahun, simpan duit sama-sama tapi hancur sebab muka masam kau. Enjoy please. Bercuti nak release tension. Bukan nak tambah serabut kepala. Hal gaduh ke otw balik bercuti kita fikir ok.
Dan sekarang ni setelah puas berjalan dengan ramai orang akhirnya aku jumpa orang yang boleh la sama-sama bercuti. Simpan duit sama-sama(ada tabung khas tau), yang boleh rancang percutian ikut budget, yang jenis happening boleh bahan membahan, boleh ingatkan tentang solat, yang boleh ootd sama-sama, paling penting jenis boleh makan kat mana sahaja, sebab aku ni suka makan.
Doakan perjalanan kami sentiasa dilindungi Allah dijauhkan anasir jahat dan dipermudahkan urusan kami. Insya-Allah teringin nak pergi umrah pulak nanti. Tengah kumpul-kumpul lagi maklumat. Baca pengalaman orang, baca pro dan kontra pergi sendiri ni. Ataupun nanti menabung untuk cari pakej yang ok untuk kami menunaikan ibadah umrah.
Last ni ingatan untuk semua, sebelum bercuti langsaikan hutang anda. Kau berootd sakan, orang kau berhutang tu rasa nak makan-makan kau tau. Selamat merancang percutian anda dengan sesiapa pun anda mahu.
Sekian.
– Cik Puan Mia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit