Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera kepada semua.
Alhamdulillah syukur andainya coretanku ini dimuatnaik dalam IIUM Confession. Aku sebenarnya menulis di sini bukan untuk mengeluh, cuma nak meluahkan apa yang terbuku di hati. Boleh juga menjadi pengajaran kepada semua yang membaca sekiranya ada yang melakukan perkara yang sama kepada jiran kita.
Aku mulakan dengan sedikit latar belakang tentang diriku. Umur pertengahan 30an, berkahwin dan mempunyai empat orang anak. Kedua-dua kami suami isteri bekerja (profesional). Alhamdulillah kehidupan semakin tahun semakin banyak nikmat yang Allah kurniakan termasuk rezeki sebuah rumah.
Rumah kami dibina di kampung halaman suami yang terletak dekat dengan bandar utama negeri ni. Nyaman, tenang, aman, dan selesa untuk diduduki. Hampir kesemua yang tinggal di sini ialah saudara mara suami, sepupu, ibu saudara, dan keluarga lapis kedua dan ketiga sebelah bapa mertua.
Pada waktu awal suamiku membuat keputusan untuk memiliki rumah sendiri di sini, aku agak seronok dan bersyukur kerana tanah yang dimilikinya agak luas dan lapang untuk rumah kami. Cuma aku terfikir bagaimana untuk aku menyesuaikan diri dengan “cara hidup” jiran-jiran di sini.
Untuk makluman pembaca, hampir kesemua jiran-jiranku di sini (merangkap bapa/ibu saudara & sepupu & anak-anak saudara suamiku) tidak bekerja/ tidak mempunyai pekerjaan tetap. Namun, aku tidak mempunyai masalah dengan mereka, bergaul dan melayan mereka seperti biasa tanpa ada gap orang kata.
Pernyataan masalah :
Masalah yang berlaku ialah apabila, cara mereka bertandang ke rumah yang kurang aku gemari. Sahabat semua cuba bayangkan, pagar telah ditutup dan diselak. Tapi masih juga buka pagar dan jenguk juga untuk masuk.
Aku pada mulanya fikir mungkin masing-masing teringin untuk masuk melihat-lihat rumah baru. Tapi lama kelamaan pada aku semakin melampau. Datangnya pada waktu aku baru siap masak nak makan tengahari, nak makan sekeluarga.
Asal hujung minggu saja mesti datang waktu tengahari untuk jadi port lepak tengok tv. Sebagai tuan rumah, aku cuba menarik nafas untuk sabar, beristighfar dan memohon bantuan Allah supaya dikurniakan redho dalam mendapat jiran kurang beradab seperti ini.
Sahabat semua, aku tidak membenci tetamu kerana aku tahu tetamu membawa rahmat dan mengeluarkan keburukan yang ada dalam rumah. Namun pada aku, definisi tetamu ialah apabila aku boleh “sebutnya” sebagai orang yang berkunjung atau berziarah pada waktu yang sesuai dan dengan cara yang sesuai.
Aku tidak gelarkan jiran-jiranku ini tetamu, sebabnya mereka datang untuk lepak, untuk makan, untuk santai2 di ruang keluarga. Tetamu yang aku boleh sebut tetamu ialah orang yang datang dan duduk di ruang tamu tanpa mengganggu ruang peribadi yang lain, bilik, dapur dan lain-lain.
Masa datang ke rumah juga amat tak sesuai, iaitu masa kita berehat-rehat. Datang juga mereka untuk “berehat-rehat” depan tv kita, bergolek2 di ruang keluarga kita. Allahu…
Sahabat semua, pernah dulu pada mulanya, ada jiranku ini yang lelaki dengan selamba saja orang kata, masuk terus ke dapur dengan keadaan aku memasak. Pintu depan dibiarkan terbuka lantas semua pun menderu-deru masuk tanpa ada ruang peribadi yang masih “peribadi”.
Aku terkejut dan terus meminta mereka keluar. Seterusnya malam itu aku terangkan dengan baik pada individu itu bahawa aku tidak suka mereka menerpa masuk sesuka hati di rumahku.
Agak sedih sebenarnya kerana rumah impian telah dimiliki, tempat amat cantik dan tenang, namun jiran-jiranku tidak beradab, membuat rumahku seperti rumah awam, datang sesuka hati dan membuat rumahku seperti rumah mereka.
Mesti para sahabat semua tertanya-tanya, kenapa suamiku tidak bertindak apa-apa. Untuk makluman semua, suamiku memang seorang yang baik dan dikenali sebagai seorang yang menghormati orang lain. Maka aku sendiri menegurnya dengan baik tentang batas-batas dan adab yang sepatutnya kita jaga.
Aku amat menjaga aurat dan kehormatan keluarga, tambah-tambah pula dengan anak-anak perempuanku yang menginjak ke usia remaja. Aku memang tak suka keadaan ini namun aku juga ingin menjaga air muka dan hati mereka sebagai jiranku.
Bagi mereka, mereka tidak mengenakan tudung dan itu biasa. Pergaulan sesama jantina juga biasa, mereka tinggal di rumah bersama-sama sepupu lelaki dan perempuan juga biasa. Namun tidak untuk keluarga kecilku.
Penyelesaian :
Sahabat-sahabat semua, untuk masa sekarang, apa yang aku nampak berkesan ialah dengan mengunci pintu pagar rumah mulai jam 11 pagi hingga selepas solat Asar. Inilah saja masa dengan keluarga, masak bersama & beristirehat di ruang keluarga bersama-sama.
Cuma yalah, agak kekok juga masa mengunci pagar kerana kesemua rumah disini tidak ada pagar, nampak macam tak mengalu-alukan kehadiran mereka pula. Tapi itulah saja cara untuk aku bendung sikap tidak beradab mereka sebagai jiran.
Mudah-mudahan Allah memberi aku kekuatan untuk menghadapi ujian jiran dan Allah memberikan kejirananku ini hidayah. InsyaaAllah.
Aku mohon para sahabat IIUM Confession untuk mendoakan aku ya. Nak pindah pun aku tak sanggup sebab rumah ni rumah impian aku, anak-anak pun seronok sebab ada rumah sendiri. Dekat dengan pejabat dan sekolah anak-anak.
Itu saja coretanku untuk kali ini. Mudah-mudahan kita menjadi jiran yang membawa rahmat, bukan bawa mudhorat pada tuan rumah. Terima kasih sebab sudi membaca sampai ke akhir.
– Anna Sui (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit