Jiwa Seorang Penderita

Bismillahirrohmanirrohim.. Terima kasih Admin kerana meluluskan perkongsian untuk perkongsian dan bacaan semua.

Izinkan saya memperkenalkan diri. Saya, Nora berumur 28 tahun dan sudah berkahwin serta memiliki seorang cahaya mata. Saya juga merupakan seorang guru yang berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Pernahkah kalian rasa tidak selesa dengan bunyi kentut, sendawa, orang mengeluh, bunyi nafas dan kadang-kala bunyi orang menguap? Ya, pada mulanya itulah masalah saya. Saya tidak selesa.

Sejak saya bersekolah rendah, saya perasan saya akan sangat gelisah, menutup telinga dan menangis sambil melarikan diri daripada sumber bunyi tersebut.

Kini, setelah dewasa nampaknya kegelisahan ini bertambah parah.

Bunyi kriuk pintu, bunyi telefon bimbit sama ada notification, bila orang skrol FB ada video lalu, bunyi motor berderum, bunyi enjin kereta, orang berdengkur, air menitik dan bunyi geseran perabot menjadi masalah saya. Ganjil kan?

Saya bukanlah seorang introvert. Sejak saya kecil, saya seorang yang sangat peramah, ceria, ekstrovert dan sangat bertenaga.

Saya aktif dalam pengucapan awam dan hingga kini walaupun telah bekerja saya seorang yang sangat ceria dan rajin bekerja. Senang kata jenis yang mudah berkawan dengan rakan sekerja.

Namun di sebalik kegembiraan ini, saya selalu gugup jika tiba-tiba ada bunyi desingan PA system rosak, bunyi orang menjerit, mikrofon rosak, pintu di sekolah berbunyi lebih-lebih lagi bila ditiup angin dan murid menyeret kerusi. Saya akan jadi tak keruan.

Sama ada saya akan tegur murid, terus lari pergi ke tempat bising itu untuk betulkan jika ada apa yang boleh dilakukan.

Saya akan mengajar dalam keadaan gelisah, cuba untuk bertenang dan bila habis kelas saya akan cari tempat sunyi untuk bertenang sambil berzikir atau membaca Al Quran.

Sejak WFH ini, masa saya banyak dihabiskan di rumah. Sakit ini makin kerap menyerang lebih-lebih lagi setiap hari ada sahaja saya dengar bunyi kenderaan lalu lalang di depan rumah.

Anak saya kecil lagi. Saya berusaha untuk belikan mainan yang tidak mengeluarkan bunyi atau kasut yang berbunyi.

Nampak comel kan tapi bagi saya bunyi tersebut tidak comel dan membuatkan saya sakit perut.

Bunyi jiran tetangga yang mengajar anak-anak ketika PdPR sambil menjerit untuk menjaga anak-anak juga boleh buat saya menggeletar lebih-lebih lagi jika mereka menjerit. Allah….

Saya kasihan pada mereka dan saya juga kasihan pada diri saya sendiri. Ketika saya kecil, keluarga saya akan suruh saya lawan dan beranikan diri jika saya takut pada bunyi.

Ada juga abang-abang saya yang mengejek saya malah sengaja membunyikan lagi bunyi-bunyi yang saya takut sampai macam nak meraung saya dalam hati.

Kerana itulah, jika ada anak-anak yang cakap takut bunyi kucing bergaduh atau bunyi vacuum, saya tak akan biarkan.

Saya akan peluk, tutupkan telinga dan cuba untuk perlahankan bunyi tersebut kerana saya tahu betapa sesaknya nyawa dan emosi apabila berhadapan dengan situasi tersebut.

Untuk makluman semua, sejak awal tahun lepas, saya cuba bertanya kepada beberapa doktor. Hasil carian saya mungkin saya menghidap Misofonia. Malangnya tiada pakar berkaitan Misofonia di Malaysia.

Saya juga ada menghubungi pakar psikiatri setelah berbulan-bulan mencari maklumat penyakit saya ini.

Ada seorang pakar psikiatri mengemukakan set ujian DASS untuk saya jawab.

Setelah saya maklumkan keputusannya, beliau minta saya untuk berjumpa dengan pakar berdekatan kerana boleh jadi saya mengalami Panic Attack dan Anxiety yang teruk. Sungguh saya keliru..

Kini, setelah hilang 20kg dalam masa 2 minggu saya sakit teruk, hilang selera makan, saya telah berjaya ada semula selera makan.

Namun, kadang kala jantung saya berdegup laju. Saya sesak nafas. Tidak boleh tidur malam. Saya kasihan kepada suami saya.

Mujur dia faham keadaan saya dan banyak membantu menguruskan rumah dan anak saya. Dia menjadi pendengar paling setia. Dia sendiri buntu kerana tidak pernah berhadapan dengan masalah ini.

Saya selalu berdoa, “Allah…. Rawatlah dan sembuhkanlah sakitku ini. Suami dan anakku memerlukan aku. Apakah sakit ini, wahai Allah?”

Ada tak sesiapa dalam kalangan pembaca mengalami masalah seperti ini?

Maafkan saya jika tutur kata saya meleret atau berjela-jela.

– Nyonya Malaysia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *