Jiwa Yang Mati

Perkenalkan diri, aku Layu, 35 berasal dari selatan tanah air. Aku seorang ibu kepada sepasang cahaya mata. Aku dibesarkan oleh seorang ibu tunggal yang ditinggalkan suami iaitu bapa kandungku terkapai-kapai tanpa nafkah zahir mahupun batin.

Masih jelas diingatanku kala itu aku dan adik beradikku 5 orang semuanya sedang tidur, kami dikejutkan dengan pertelingkahan ibu dan ayah. Aku berusia 6 tahun ketika itu, dapat mendengar dengan jelas bilamana ibuku dengan lembut dan penuh rayuan meminta ayah untuk berlaku jujur adakah ayahku mempunyai isteri lain.

Ibuku katakan pada ayah yang dia sanggup bermadu asalkan ayahku jujur padanya. Ayahku meninggi suara, bermati-matian menafikan. Sedangkan, ibuku telah mengetahui perkara itu daripada rakan2 karib ayahku dan wanita itu sendiri ada menelefon ibu untuk memberitahu perkara ini.

Masih aku tidak lupa bila akhirnya ibuku hilang kesabaran dan menyuruh ayah keluar dari rumah. Ayahku mengugut dengan mengatakan selangkah dia keluar, dia tak akan berpatah balik. Kemudian ayahku masuk ke bilik dan mengucup dahi kami berlima, lalu terus keluar dari rumah.

Sejak hari itu, hidup kami berubah. Kami yang dahulunya cukup makan dan minum tidak lagi cukup segalanya. Pada mulanya ayah ada beri nafkah sekali sekala apabila dia pulang melawat kami, itupun jumpa di luar dan ayah akan bawa jalan-jalan sekitar kawasan.

Akhirnya tidak sampai setahun, ayah tidak lagi pulang, tidak menghubungi kami dan tidak lagi memberi wang belanja.. Ibuku, sejak berkahwin dengan ayah memang tidak bekerja. Apabila ayah menggantungnya tidak bertali, ibuku terkontang-kanting mencari rezeki.

Dengan sekolah setakat darjah 6, ibu hanya mampu menjadi tukang cuci rumah orang, kerja di kedai makan dan pelbagai lagi pekerjaan lain.

Ibuku bukan lagi ibuku dahulu yang jelita, yang lembut dan penyayang. Mungkin kerana tekanan hidup, ditambah pula adik bongsuku pada ketika itu masih menyusu badan, wajah ibuku menjadi kusam, ibu menjadi seorang pemarah dan sering memukul kami adik beradik.. tapi di malam hari, aku sering mendengar esakan tangisan ibuku.

Sekali sekala aku dapat rasakan ibuku mengusap rambut kami semua ketika kami sedang tidur. Bila sudah dewasa begini, baru aku mengerti betapa beratnya beban yang ibuku tanggung akibat pengkhianatan suaminya.

Oh ya, ayah dan ibuku dulu pjj kerana ayah tak izinkan ibu mengikutnya ke bandar dengan alasan ayahku perlu fokus pada perniagaan. Rupa-rupanya dia sudah ada isteri lain dan sudah beranak pinak pun ketika itu.

Ibu, boleh aku katakan wanita yang sangat naif, terlalu mentaati dan mencintai suami, kerana itu tidak pernah ibuku ada syak wasangka terhadap kelakuan ayahku selama ini.

Setelah ayah pergi, hidup kami memang benar-benar susah. Ibu struggle memastikan kami terus bersekolah, duit yuran memang sering tertangguh. Malu juga bila cikgu asyik meminta, kadang-kadang ada hamba Allah yang tolong bayarkan untuk kami adik beradik. Semoga Allah melipatgandakan rezeki mereka. Aamiin.

Pernah kami dihalau oleh tuan rumah sebab ayah sudah tidak lagi membayar sewa dan ibu juga tidak mampu untuk membayarnya. Masih aku ingat, tuan rumah datang bercekak pinggang di pintu rumah, memarahi ibu, mengatakan ibu tak pandai jaga suami sebab itu suami lari.

Tuan rumah beri tempoh sebulan untuk ibu lunaskan tunggakan sewa, jika tidak, kami semua perlu berpindah. Aku lihat ibuku sambil mendukung adik, merayu minta belas kasihan, tetapi tuan rumah tetap berkeras, Ibu, dengan tebal muka memohon bantuan ketua kampung.

Berkat bantuannya, ibuku dapat sebuah rumah bantuan kerajaan yang menjadi tempat kami berteduh sehingga hari ini. Setiap hari kami adik beradik ke sekolah dengan berjalan kaki sejauh 3km. Tak masuk lagi dengan sekolah petang.

Penat, tetapi Allah bantu memudahkan urusan ibu, kami adik beradik semuanya ‘behave’ dan cemerlang di sekolah walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

Di mana saudara mara? Ibuku tidak punya ibu dan ayah. Dia dibesarkan oleh keluarga angkat sejak kecil. Ibu ada adik beradik kandung tetapi tiada kasih saying antara mereka disebabkan telah terpisah sejak kecil. Jadi, ibu ibarat sebatang kara ketika itu.

Masih aku ingat, setiap kali menjelang raya, aku akan menangis teringatkan ayah. Bila dengar takbir pada malam raya, aku menangis di anjung rumah, mengharap ayah pulang. Dan ibuku, akan katakan padaku, tak payah sedih, ayah tak akan pulang.

Tahun demi tahun, kami adik beradik tidak lagi mengharapkan kepulangan ayah. Kami membesar tanpa kasih sayang daripada ibu dan ayah. Ibu sibuk mencari nafkah, ayah pula hilang entah ke mana.

Boleh aku katakan, aku dan adik beradikku membesar dan membentu identiti sendiri, kerana itu setiap seorang daripada kami mempunyai karakter yang jauh berbeza. Tapi Alhamdulillah, kami 5 beradik sangat rapat, asbab kesusahan yang kami lalui bersama.

Meningkat remaja, aku pelajar pintar yang dapat masuk ke sekolah asrama, bermula episod yang menyakitkanku. Aku tidak pernah mahu ke sekolah asrama. Aku pelajar miskin yang segala keperluan tidak pernah cukup. Setiap kali nak kembali ke asrama, ibu tak pernah mampu untuk menghantarku dan aku terpaksa menumpang orang.

Pada hujung minggu yang pelajar tidak dibenarkan pulang, aku hanya mampu melihat ke luar jendela dari katilku, kawan-kawanku dilawati oleh ibu bapa mereka.

Ada yang saling berpelukan, ada yang bentang tikar di tepi padang dan makan masakan ibu mereka bersama keluarga. Ada yang datang dengan kereta mewah, dibekalkan dengan pelbagai jenis makanan seperti biskut, coklat dan wang belanja. Sedangkan aku, melihat kegembiran mereka dengan linangan air mata.

Ibuku tidak pernah datang melawat selama 5 tahun aku di asrama tersebut. Aku faham, ibu tidak mampu kerana jarak yang jauh, dan duit yang tidak mencukupi. Aku tidak pernah makan di kantin pada waktu rehat di sekolah, sebaliknya aku tunggu sehingga pulang ke asrama untuk makan di dewan makan.

Aku membesar sebagai seorang remaja yang introvert. Namun aku disayangi guru-guru kerana prestasiku dalam pelajaran.

Subjek kegemaranku dalah Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Kerana kecemerlanganku dalam subjek-subjek tersebut, aku sering mewakili sekolah dalam pertandingan mereka pantun dan puisi.. Di sinilah bermula detik hitam dalam hidup aku…

Sewaktu usiaku 17 tahun, aku diperkosa oleh lelaki yang aku anggap sebagai pelindungku. Dia, M yang pada mulanya hanyalah rakan yang sering aku ketemu pada setiap pertandingan puisi, mula menyatakan cintanya pada aku.

Aku, seorang remaja naif yang dahagakan kasih sayang menyambut cintanya tanpa memikirkan apa-apa kemungkinan. Aku tidak pernah tahu apakah itu cinta, tapi yang dapat aku rasa ketika bersamanya adalah debaran dan rasa suka yang amat sangat. Aku tidak pernah tahu dan menyangka bahawa dia seorang ‘kasanova’.

Iyalah pada waktu itu tiada media social yang boleh kita selidik latar belakang seseorang. M sering mengambilku dari sekolah untuk pulang ke rumah pada hujung minggu. Jadi tidak perlulah aku naik bas lagi seperti selalu. Ibuku dan adik beradikku juga sudah mengenali dan mempercayainya.

Sehinggalah pada satu waktu dia mengajakku untuk ke rumahnya dengan alasan untuk makan tengah hari bersama ibunya. Sewaktu kami tiba di rumahnya, tiada siapa pun di situ. Dia meminta aku masuk ke rumah dan mengatakan ibu dan ayahnya mungkin keluar ke kedai. Sedangkan rupanya pada ketika itu ibu dan ayahnya ke rumah saudara mereka di negeri lain.

Setelah kami masuk ke rumah, dia mengunci pintu dan mendakapku erat dari belakang. Aku yang tidak mengesyaki sebarang perkara buruk, cuma melonggarkan pelukan namun dia menyuruh aku buktikan cintaku, dan berjanji untuk bertanggungjawab.

Barulah aku sedar bahawa aku dalam bahaya, tetapi sudah terlambat apabila tubuhnya yang tinggi dan tegap telah terlebih dahulu mengunciku yang kecil dan rendah. Masih jelas saat aku menulis ini, kesakitan yang aku alami, dan kata-kata dan janji bahawa dia akan bertanggungjawab.

Aku menangis namun kerana bodoh mempercayai dan mencintainya, aku terus terusan menjadi pemuas nafsu serakahnya setiap kali berjumpa. Sehinggalah aku dapat tawaran belajar ke negeri lain, kami mula jarang bertemu dan acap kali aku mendengar khabar bahawa dia ada perempuan lain.

Fast forward, pada tahun terakhir pengajianku, dia minta putuskan hubungan dengan alasan sudah bosan denganku. Aku merayu dan menuntut janjinya untuk bertanggungjawab. Tapi dia menghinaku dengan mengatakan pasti ada lelaki ‘baik’ yang akan sudi menerima perempuan seperti aku.

Dia juga mengatakan bahawa dia tidak mahu menanggung perempuan yang berasal dari keluarga miskin dan si*l seperti aku. Hatiku hancur-sehancurnya, ini rupanya rasa putus cinta. Tapi kerana tidak mahu keluargaku tahu apa yang berlaku, aku tetap cuba kelihatan seperti biasa.

Aku score anugerah dekan dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Aku keseorangan,tanpa saudara mara namun tekad dan berazam nak kerja untuk balas jasa ibuku.

Setahun di Kuala Lumpur melalui susah dan senang seorang diri, menyewa di rumah flat yang dipenuhi warga asing, ke tempat kerja menaiki bas RapidKL, menempuh kesesakan, aku mampu membeli kereta tempatan yang sederhana namun selesa bagiku.

Aku kemudian berkenalan dengan F, yang merupakan klien di tempat aku bekerja. Dia lelaki yang berperwatakan menarik, bijak, dan mempunyai ciri-ciri lelaki idamanku. Dia terlebih dahulu menghubungiku untuk berkenalan. Kami berkawan lebih kurang setahun sebelum benar-benar serius.

Jujur aku katakan tempoh perkenalan kami sangat indah. Dia lelaki matang yang banyak membimbingku dalam perkara berkaitan kerjaya. Sepanjang perhubungan kami tiada apa-apa yang mencurigakan. Dia single, belum berkahwin, keluarganya tinggal di seberang namun dia merupakan warganegara Malaysia. Jadi, di sini dia juga keseorangan seperti aku.

Kami memang banyak menghabiskan masa bersama dan boleh katakan we have many things in common. Kami juga sudah merancang masa hadapan bersama. Indah sungguh saat itu kurasakan. Rasa seperti Allah sudah menjawab doaku dengan mengurniakan seorang lelaki yang padaku amat sempurna.

23 Julai 2014, pada hari lahirku. Setelah kami gembira menyambut hari lahirku, dia tiba-tiba memberitahu sesuatu yang amat meruntuhkan seluruh kepercayaanku kepada cinta dan insan bergelar lelaki.

Dia memberitahu pada 23 Ogos depan, dia akan melangsungkan perkahwinan bersama wanita di kampung halamannya. Dia mengatakan bahawa wanita itu merupakan pilihan keluarganya bukan dia.

Kegembiraanku menyambut hari lahir bertukar dengan esak tangis. Dia turut menangis, kononnya ayahnya ada sakit jantung, tak sampai hati untuk menolak, namun tak sampai hati juga ingin meninggalkan aku. Dia katakan, jika aku tidak izinkan, dia sanggup untuk membatalkan perkahwinan itu.

But me being me, naif dan bodoh. Aku minta dia untuk teruskan, dia pula meminta aku untuk menunggu dia. Pada pagi hari dia akan bernikah, dia sempat video call aku sambal menangis. Aku menangis dalam sujud, sehingga sesak dadaku, kecewa, hancur sehancurnya.

Allah maha Kaya, dia tunjukkan aku kebenaran, semasa F masih berada di kampung halamannya, aku yang kecewa dan bosan pun ‘scrolling’ laman twitter dan tergerak untuk search nama F. Lalu terpampang profilenya yang sudah tidak begitu aktif, namun disetkan kepada ‘public’, aku baca tweet2 nya yang saling mengungkapkan sayang, cinta bersama seorang wanita dari seberang.

Dalam salah satu tweetnya, F ada menyatakan yang dia tidak sabar menunggu tahun 2014.. aku lihat tarikh tweet itu, sekitar Ogos 2013 di mana ketika itu aku dan F sudahpun berkenalan dan bercinta..

Allah, terlukanya aku.. ternyata aku hanyalah sebuah persinggahan sepertimana yang dilakukan oleh M kepada aku. Patutlah tiada yang mencurigakan tentang F dan dia sentiasa bersama aku, rupa-rupanya wanita itu nun jauh di seberang.

Aku lihat profile wanita itu, ya mereka berasal dari kampung yang sama, wanita itu juga berpendidikan dan berasal dari keluarga yang agak berada di kampung itu. Maka fahamlah aku, kenapa dia memilih wanita itu berbanding aku.

Aku buat pula carian di laman sosial lain menggunakan keyword nama wanita itu dan F, ya aku jumpa perkongsian rakan2 wanita itu yang berkongsi moment persandingan mereka. Menitis deras air mataku, melihat F tersenyum gembira dengan pakaian tradisional sambil lengannya dipaut erat oleh wanita itu.

Aku teringat bagaimana F sering berkongsi denganku gambar-gambar pakaian persandingan yang dia mahu aku dan dia pakai semasa perkahwinan kami nanti. Aku masih ingat, aku menangis sambil mendongak ke langit dan berkata “Allah, kenapa kau begitu kejam pada aku?”.

2 minggu selepas itu F pulang ke Malaysia, keesokannya dia datang berjumpa aku seperti biasa, meminta maaf, dan melayani aku seperti selalu. Dia ceritakan padaku yang wanita itu tidak secantik aku, berfikiran kolot, tidak bijak dan sebagainya. Namun aku katakan pada dia, sudah-sudahlah menipu aku.

Aku tunjukkan pada dia apa yang aku jumpa dan tahu. F terkejut dan panik. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan, menarik tanganku kuat dan meminta maaf, merayu untuk tidak ditinggalkan dan minta untuk beri dia masa selesaikan perkara ini.

Dia mengaku dia telahpun bertunang semasa mengenali ku, dan dia tidak sangka akan jatuh cinta padaku. Dan dia tersepit antara janji dengan tunangnya dan cinta padaku. Tidak dinafikan ketika itu aku sedikit goyah, kerana aku amat mencintai F, ingin sahaja aku pentingkan diri, tetapi aku teringat bagaimana hancurnya ibuku angkara orang ketiga.

Lalu aku katakan pada F, aku hanyalah orang ketiga di antara mereka dan wallahi, jika aku tahu dia milik orang, aku tak akan berani menyambut salam perkenalan dahulu. Dia menangis dan aku turun dari keretanya, dia cuba menarik aku kembali ke sisinya tapi aku menepis, aku tahan teksi di hadapan, dan pulang ke rumah sewaku.

Aku sangat broken untuk beberapa ketika, kesunyian, keseorangan. Tiada siapapun di antara keluarga dan teman2ku yang tahu tentang perkara ini..susahnya ingin move on kerana padaku F adalah cinta matiku..

Aku merasakan jiwaku telah mati, hatiku telah tawar pada cinta. Setahun berlalu dan seorang lelaki iaitu suamiku kini diperkenalkan padaku oleh salah seorang rakan. Lelaki yang biasa2 pada mataku, agak berusia dariku.

Dia menyatakan keinginan untuk mengenaliku, tapi aku yang telah ‘mati’ katakan padanya, jika serius, teruslah berjumpa keluargaku namun aku tidak mahu sebarang majlis diadakan.

Maka kami bernikah di pejabat agama, tanpa kenduri atau persandingan dengan mas kahwin yang tidak sampai RM100. Impian perkahwinan idamanku musnah. Pernikahan tanpa cinta yang Allah takdirkan untukku.

Sehingga kini, aku masih belum mampu mencintai suamiku, meskipun usia perkahwinan sudah menginjak ke tahun ke 9.

Ditambah pula dengan sikap suamiku yang sangat konservatif, tidak pandai mengambil hati, tidak romantik, tidak pandai bersosial dan hanya menunggu aku membuat sebarang keputusan dalam urusan seharian, baik dari segi urusan anak-anak, mahupun urusan rumahtangga.

Aku seakan hanya menjalani kehidupan rumahtangga ini tanpa sebarang expectation. Aku bertahan kerana dia bapa kepada anak-anakku, dan aku tidak mahu anak-anakku membesar tanpa kasih sayang seorang bapa seperti yang aku jalani.

Dan suamiku juga setia, tidak pernah mendatangkan masalah seperti curang, panas baran dan sebagainya. Dia lelaki konservatif yang rajin memasak, pandai menguruskan kerja-kerja rumah dan pandai menjaga anak-anak. Dia juga tidak begitu bekerjaya, gajinya jauh lebih rendah daripada aku..

Kadang-kadang fikiran jahatku datang, aku katakan pada diri, kalaulah aku dengan F sekarang, pasti hidupku jauh lebih baik.. F pula, meskipun setelah 10 tahun perpisahan kami, dia masih lagi mengirim emel-emel padaku, kerana dia tidak dapat menghubungiku no telefon kerana aku telah menukar no telefonku dan telah ‘block’ dia dari segala laman sosialku.

Emel-emel dia penuh dengan pujuk rayu dan imbasan masa lalu, tapi ironinya, tatkala aku lihat sosial media isterinya, mereka kelihatan bahagia saja dengan anak-anak yang comel.

Malam tadi, aku tahajud, apabila tiba-tiba kenangan lalu sejak zaman kecilku sehingga kini menerpa kotak fikiran. Aku katakan pada Tuhan dalam esak tangisku, di manakah keadilanNya..

Aku yang sejak kecil menderita, membesar tanpa cinta dan kasih sayang, diperkosa, diperhamba oleh lelaki yang bertuhankan nafsu, ditipu hidup-hidup oleh insan yang aku cinta, kini hidup pula dengan lelaki yang tidak ada rasa cinta padanya..

Aku soal pada Tuhan, adakah sememangnya takdir hidupku ini tak akan bahagia selamanya? Adakah sememangnya aku akan mati tanpa sempat merasa nikmatnya mencintai dan dicintai? Adakah aku mewarisi nasib malang ibuku?

Tiba-tiba anak sulungku, Intan yang berusia 6 tahun bangun, merengek dan menghampiriku.. baring di ribaku dan dalam keadaan matanya yang masih terpejam, dia katakan padaku, “Mommy, I miss u so much. I need u mommy. Dont leave me”…

Aku mendongak ke langit, air mataku mengalir deras, ku katakan dalam hati, “Rupanya masih ada insan yang benar-benar menginginkan dan mencintaiku aku tanpa syarat.. mereka adalah anak-anakku.”

Pada para pembaca, doakan aku terus kuat..

Sekian..

– Layu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. Terima lah takdir dgn redha & seadanya.. mmg, kdgkala kita rasakan yg kita telah diperlakukan dgn ‘tidak adil’ di dunia ini, insha Allah kita akn dpt ‘keadilan’ itu d Akhirat kelak.. puan patut bersyukur, akhirnya dikurniakn dgn suami yg baik, walau pon x romsntik dsb., ada ank2 yg mnyayangi, ada pkrjaan n gaji yg lumayan.., itulah kurniaan Allah yg mngkin tidak kita sedari.. berapa ramai org2 kaya yg x bhagia, dpt psangan yg curang, ank2 yg biadap dll ‘kemusnahan’ yg mrk anggap ‘nikmat dunia’. Bersabarlah, kerana dunia ini x lama.. pasti, semua org akn mendapat balasan yg seadil2nya di Sana kelak.. yakin lah dgn Allah..

  2. Syukur puan ada suami yg baik..mungkin suami puan x menarik seperti lelaki yg pernah hadir dlm idup puan.. tapi cuba ingat cara dia hadir dalam hidup puan. Dia serius dan xberkenalan untuk main2. Puan sangat bertuah dan anak2 pon sama bertuah dengan peranan yg dibawa oleh suami puan.

  3. Buka mata dan lihat apa yang ada didepan mata. Allah dah bagi puan suami yang baik selama 9 tahun. Mungkin dia tak romantik dan konservatif, tapi mahukah puan suami yang romantik dan moden tapi curang? Puan pertikai kekurangan suami, tapi puan sendiri pun tak pernah cuba membuka hati puan pada suami. Tidakkah puan pun berlaku zalim pada suami yang puan kahwini selama 9 tahun tahun tanpa rasa sayang? Bayangkan kalau puan ditempat suami puan, apa puan rasa jika suami yang puan kahwini selama 9 tahun mengaku dia tak pernah sayangkan puan?

    Puan, banyak orang kahwin. Tapi sesetengah orang ended up dengan suami tak guna, biawak hidup, zalim dan sebagainya. Bersyukurlah puan diberikan suami yang baik.

    Rezeki dan rahmat Allah datang dalam macam2 bentuk.

    Pilihan ditangan puan. Puan boleh ubah perkahwinan ini kepada lebih baik. Why not start making an effort to accept him?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *