Assamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada admin yang sudi menyiarkan kisah saya ini dan saya meminta supaya identiti saya dirahsiakan. Semoga kesemua pembaca berada dalam keadaan sihat-sihat sentiasa.
Tajuk “Jodoh Itu Rahsia Allah’ aku pilih sebab memang ada kaitanlah jugak dengan penceritaan aku ni. Kisah ini mengenai kisah putus tunang aku semasa melanjutkan pengajian.
Namaku Anna Alfathunnisa. Berumur 27 tahun dan aku baru sahaja menghabiskan pengajian masterku di salah sebuah universiti awam tempatan.
Secara ringkasnya, aku seorang yang sederhana, sopan dan berasal daripada keluarga yang terlihat mewah dan disegani. Sejak kecil lagi, aku tidak pernah menjalinkan perhubungan dengan mana-mana lelaki atau istilahnya disebut sebagai couple.
Kerana aku percaya jodoh adalah cerminan diri. Semakin kita baik, semakin juga Allah akan hadirkan insan yang baik yang akan menemani kita di alam fana ini.
Tambahan pula, aku tidak mahu menyakiti hati mana-mana lelaki dengan jalan couple kerana tiada niat untuk mengahwini sesiapa semasa pengajian. Disebabkan itu, aku sukar membuka hati untuk mana-mana lelaki.
Ada jugak beberapa orang kenalan universiti dan di kampung yang serius mengajak aku into love relationship. Tapi aku menolak dengan cara baik dan jadikan mereka sebagai teman sahaja.
Disebabkan pendirian ini, aku selalu fokus dalam pelajaran sehingga melayakkan aku menghabiskan master di usia ini. Kisahnya bermula semasa aku mendapat khabar yang aku dirisik oleh Faruqi.
Faruqi merupakan saudara terdekatku. Dia sekampungku dan merupakan seorang kakitangan kerajaan yang lebih berusia berbanding aku.
Faruqi ni walaupun sekampung, tetapi aku tidak berapa mengenali dirinya. Cuma yang aku tahu, dia seorang anak yang sangat sayangkan ibu. Seorang yang manja dengan ibunya yang hampir kesemua permintaannya dituruti oleh sang ibu.
Hal ini aku tahu serba sedikit sebab Faruqi berteman dengan abang kandungku. Namun, setahu aku, Faruqi ni mempunyai teman wanita yang bernama Alin. Alin ni juga sekampungku. Aku tidak berapa mengenali Alin walaupun kami sekampung dan berteman di media sosial.
Suatu malam, ibuku menelefon dari kampung dan memberitahu yang aku dirisik oleh keluarga Faruqi. Ibuku dengan nada yang begitu mengharap, meminta agar aku menerima pinangan tersebut.
Tetapi aku tidak berkenan dengan Faruqi kerana dia seorang yang tidak solat lima waktu, tidak mengaji, tidak menjaga iktilat dan tidak menjaga aurat. Hal ini aku tahu sendiri dari pengakuan Faruqi dan ahli keluarganya serta selepas aku stalking daripada media sosialnya.
Tambahan pula, sebelum ini dia mempunyai ramai teman wanita dan pada masa tersebut dia baru sahaja memutuskan berpisah dengan Alin. Beberapa hari selepas dirisik, aku mendapat panggilan daripada Faruqi.
Dia menelefon aku ketika itu aku berada di hostel universiti. Dia bertanyakan khabarku, keadaanku dan lain-lain hal. Hampir setiap hari dia ajak aku untuk berkenalan dan meyakinkan aku untuk menikahinya.
Walaupun sebelum ini dia mempunyai Alin, namun dia memutuskan untuk meninggalkan Alin lalu memilih untuk mengahwiniku kerana Alin tidak direstui oleh keluarganya. Aku serba salah dan buntu.
Pada masa itu, aku juga berasa keliru dengan situasi yang aku hadapi. Tambahan pula, ibuku menasihatiku dengan berkata, ‘biasanya orang pertama yang datang rumah kita itu adalah jodoh kita.’ Pada mulanya, aku sudah beberapa kali menolak lamaran Faruqi.
Namun, selepas lebih kurang tujuh bulan berkenalan dengan Faruqi aku bersetuju untuk bertunang dengannya dengan alasan untuk mengenalinya dengan lebih dekat terlebih dahulu.
Aku juga ada bertanyakan mengenai keperibadian Faruqi daripada ahli keluarga terdekatnya dan menurut mereka Faruqi adalah orang yang baik cuma perlu dibimbing dari segi agama.
Aku selalu memberitahu Faruqi, sekiranya dia menikahiku kerana terpaksa dan keluarganya, baik segera dihentikan kerana aku juga tidak menyukainya. Namun, menurut Faruqi, dia mahu menikahiku kerana diriku paling layak untuknya dan dia memang boleh menerima aku seadanya.
Menurut Faruqi lagi, biar apapun berlaku, dia tidak akan menikahi Alin. Walaupun pada masa itu, Faruqi ada memburukkan Alin kepada aku dan hal ini menunjukkan dia bukanlah lelaki yang baik kerana memburukkan orang lain di hadapanku.
Namun, atas beberapa sebab dan keadaan pada masa itu membuka hatiku untuk menerima Faruqi. Antara beberapa sebab aku menerima Faruqi adalah,
Pertama: Aku meminta pandangan ustaz di universiti mengenai Faruqi yang merisikku, disamping meminta pandangan daripada ahli keluarga terdekat dan semestinya meminta petunjuk daripada istikharah.
Aku ingat lagi jawapan ustaz kepada ku mengenai pendapatnya sekiranya aku ingin menikahi Faruqi. Ustaz menjawab, ‘manusia tidak sempurna, kamu pun sama.’ Ustaz sepertinya ingin aku membuka hati dan menerima Faruqi walaupun dia tidak mempunyai ciri-ciri lelaki soleh menurutku.
Ahli keluarga terdekat juga ramai yang meminta aku menerima Faruqi. Kedua: Aku menerimanya kerana daripada solat istikharahku sendiri, aku bermimpi dia (walaupun petunjuk istikharah tidak semestinya datang daripada mimpi).
Ketiga: Faruqi memberitahuku yang dia akan berusaha belajar agama dan mengaji selepas kami bernikah. Manusia boleh berubah, jangan memandang masa lalu.
Keempat: Ada beberapa situasi yang aku tidak menurut kata ibuku sebelum ini. Contohnya, ibu bapaku menginginkanku menjadi Pilot, aku memilih mengambil bidang Pendidikan.
Ibu bapaku menginginkan aku belajar di luar negara, aku lebih memilih belajar di dalam negara. Disebabkan hal ini, aku mudah berlembut hati untuk mengikuti kata ibu bapaku. Kenapa dalam hal perkahwinan, aku tidak boleh membuka hati dan menurut kata mereka?
Jadi aku pun cubalah menerima Faruqi. Kelima: Faruqi sendiri yang selalu meyakinkanku. Hampir setiap hari semasa perkenalan kami, Faruqi mengajakku untuk menikah.
Dia menyatakan bahawa Alin bukanlah perempuan yang terlalu disukainya dan aku merupakan perempuan yang paling layak untuk dia kahwini kerana keperibadianku dan disebabkan seluruh ahli keluarganya sangat merestui hubungan kami terutama ibunya.
Dia juga menyatakan sekiranya mencari isteri, biarlah mencari perempuan yang baik dan bakal ibu yang baik seperti aku.
Menurut Faruqi, dia sudah menerima aku dan sudah mula menyayangi aku. Bahkan juga Faruqi ada menceritakan perihal pernikahannya denganku kepada rakan-rakannya dengan begitu jujur, ikhlas dan gembira.
Sepanjang tujuh bulan perkenalan, Faruqi ada menunjukkan kesungguhan untuk mengambil hati dan menikahiku dalam beberapa situasi dan aku akui itu. Setiap kali perbualan, dia begitu gembira membayangkan masa depan kami bersama.
Keenam: Faruqi sanggup menungguku menghabiskan pengajian. Aku juga bersetuju mengahwininya sebaik sahaja tamat pengajian memandangkan usia ibunya yang sudah tua.
Selepas lebih tujuh bulan perkenalan tersebut, akhirnya kami bertunang. Alangkah bahagianya kesemua keluarga kedua-dua belah semasa majlis pertunangan kami, walaupun aku belum menyukai Faruqi, namun aku berusaha untuk membuka hatiku untuknya.
Selepas beberapa lama aku bertunang dengan Faruqi, Alin telah menyingkirkan aku dan ahli keluargaku yang lainnya sebagai rakan di dalam media sosial. Ibu Alin juga sepertinya meroyan disebabkan sikap Faruqi yang memilih aku daripada Alin melalui story instagram yang dimuat naiknya.
Alin juga ada memuat naik story instagram ucapan selamat yang ditujukan kepada Faruqi mengenai pertunangannya. Faruqi kan ada menyatakan dia kini menerima aku sepenuhnya dan sudah menyayangi aku.
Namun, lama-kelamaan, aku melihat sikap Faruqi mulai berubah selepas kami bertunang, dia seperti tiada ‘mood’ untuk melayan aku sebagai tunangnya. Aku berasa tidak sedap hati dengan keadaan ini.
Dia seperti tidak menyayangi aku lagi berbeza sungguh dengan sikapnya sebelum kami bertunang. Faruqi sangat menyayangi aku, mengambil berat pasal aku dan menyokong keputusanku sebelum ini. Namun selepas bertunang, aku ada membawa Faruqi bertemu dengan keluargaku.
Namun, sikap Faruqi ternyata berbeza sekali. Dia menunjukkan ekspresi muka dan perlakuan yang sangat menghampakan di depan keluargaku. Mukanya macam terpaksa dan tidak berminat.
Dia juga menyatakan selepas menikah, aku tidak boleh memarahinya dan dia sahaja boleh memarahiku. Dia juga berkata selepas menikah, aku tidak boleh melihat telefonnya.
Aku ada juga bertanyakan kepada Faruqi sekiranya dia mempunyai masalah, namun dia seperti mahu mengelak dan berkata tiada apa-apa. Dia malah menyatakan dia gembira dengan pertunangan kami namun perlakuannya tidak menunjukkan begitu.
Faruqi sangat berubah namun dia tidak mahu berkata jujur. Aku buntu. Bagaimana aku mahu membuktikan bahawa memang ada sesuatu yang tidak kena dengan Faruqi?
Faruqi juga sebenarnya masih memakai jam tangan hadiah daripada Alin walaupun selepas kami bertunang. Jam tangan itu aku tahu pemberian Alin kerana Alin ada memuat naik di media sosialnya bahawa jam tangan itu untuk seseorang yang istimewa dan kini ku lihat dipakai oleh Faruqi.
Namun, Faruqi tidak mengaku pun jam tangan itu hadiah daripada Alin ketika aku bertanyakan kepadanya walaupun sebenarnya dalam diam aku mengetahui kebenarannya.
Walaupun mendapat petunjuk Faruqi merupakan jodohku, namun, aku tetap tidak tenang dengan pertunangan ini. Aku pun tidak pasti mungkinkah ini ujian bertunang dan mula merasakan tidak sedap hati kerana sikap Faruqi terhadapku dingin.
Aku ada instinct yang Faruqi tidak bersikap jujur denganku terhadap perasaannya. Akhirnya, pada bulan Ramadan aku meminta petunjuk kepada Allah, sekiranya Faruqi bukan jodohku, aku merintih, menangis dan berharap semoga Allah tunjukkan jalan dan jauhkan ia dariku.
Selama ini aku sudah berusaha menjaga pergaulan, aku berharap mendapat jodoh yang baik.
Sekiranya aku bertanyakan kepada Faruqi, dia pasti menjawab tiada apa-apa yang berlaku. Namun sikap dinginnya dan sudah tidak berminat denganku menjadi tanda tanya. Padahal sebelum bertunang, dialah yang sedaya upaya memenangi hatiku.
Aku cuma perlukan kejujuran dan aku hanya geram dengan sikapnya yang tidak berterus-terang. Akhirnya, dengan izin Allah dan aku rasa berkat doaku yang inginkan jawapan, suatu hari aku melihat Faruqi menitipkan komen kepada Alin di media sosial.
Aku berasa marah dan menasihati Faruqi bahawa aku tidak sukakan hal tersebut memandangkan aku sudah menjadi tunangnya. Faruqi seperti tidak mampu menjaga ikatan pertunangan.
Namun Faruqi pada masa itu, mahu mengelak dengan tuduhan yang aku lemparkan dan ingin memujukku. Sikapnya seperti ingin memperbodohkan aku dan menegakkan benang yang basah. Tapi pada akhirnya dia mengaku, memang dia menitipkan komen.
Kenapa ingin berselindung sebelumnya? Aku berasa pelik. Selepas beberapa hari tidak berhubung, aku menyatakan keputusan untuk memutuskan pertunangan kami kepada Faruqi dan aku ingin melihat sejauh mana kesungguhan Faruqi menyelamatkan pertunangan itu.
Faruqi ada menelefon dan memujukku untuk menyambung kembali pertunangan ini sekali sahaja, namun aku menolak. Keluargaku dan keluarga Faruqi juga ada memujukku untuk menerima semula Faruqi, namun hatiku sememangnya sudah tawar.
Aku katakan kepada Faruqi melalui perbualan telefon yang aku tidak akan pernah menerimanya lagi dan aku yang sendiri memutuskan pertunangan ini. Kerana aku kecewa dengan sikap Faruqi yang masih melayan Alin walaupun pada masa itu, aku sudah menjadi tunangnya.
Aku sudah tawar hati dengan Faruqi dan aku katakan bahawa aku tidak akan memilihnya sampai bila-bila. Sudahlah aku tidak menyukai Faruqi ternyata dia seperti mahu curang lagi dibelakangku dan bersikap tidak jujur.
Selang beberapa hari sahaja selepas itu, Faruqi ada lagi menelefonku dan kini isi perbualannya berbeza. Faruqi menyatakan dia lebih memilih Alin dan tidak mahu lagi menerimaku.
Ternyata dia hanya memujukku sekali dan langsung tidak ada kesungguhan ingin menyelamatkan pertunangan kami padahal pada waktu itu tidak sampai sebulan kami bertunang.
Patutlah aku sudah tawar hati dengannya, ternyata memang dia seperti berlakon sahaja menerima aku tetapi hatinya masih pada Alin. Aku juga mendapat tahu bahawa, Faruqi ada memuat naik status di Facebook tidak rasminya bahawa dia masih mencintai Alin.
Dan status tersebut dimuat naik lebih kurang tiga minggu selepas aku bertunang dengan Faruqi padahal pada masa itu Faruqi mengelak dan tidak mengaku sekiranya aku bertanyakan alasan kepada sikapnya yang tidak mengendahkanku.
Aku berasa terkejut dan terkilan kerana Faruqi tidak jujur semasa aku bertunang dengannya. Dia masih menyimpan perasaan kepada Alin walaupun sudah memegang status sebagai tunangku tetapi pada masa yang sama dia tidak mengaku dengan perasaannya terhadap Alin walaupun puas aku bertanya.
Faruqi menyatakan, dia lebih menyukaiku dan sudah melupakan Alin. Aku rasa aku seperti diperbodohkan dan dibiarkan mencari kebenaran serta kejujuran Faruqi sepanjang tempoh perkenalan kami dan selepas bertunang.
Betapa sukarnya aku mengambil keputusan bertunang dengannya dulu. Sukarnya aku bertanyakan kepada keluarga Faruqi untuk mengenalinya. Sukarnya untuk aku mempercepatkan ikatan perkahwinan kami demi melihat ibunya dan ibuku gembira.
Selepas bertunang, aku mendapat tahu juga bahawa Faruqi adalah lelaki yang masih boleh bersukan padahal ibunya sedang sakit. Sedikit demi sedikit keburukan Faruqi mula terlihat selepas pertunangan.
Geramnya aku dengan Faruqi kenapalah dia ingin bertunang denganku dan meyakinkan aku dulu dan pada akhirnya tetap memilih Alin. Kini, namaku sudah dikenali oleh orang kampung sebagai orang yang putus tunang. Seakan namaku tercemar secara sia-sia dengan orang yang salah.
Aku terkilan, kenapa selama ini dia cuba meyakinkan ku, memburukkan Alin di hadapanku dan pada akhirnya tetap memilih Alin? Betapa sukarnya aku membuka hati untuk lelaki sebagai pendampingku, namun pada akhirnya, Faruqi hanya menyia-nyiakan usaha ku.
Tiada sedikitpun aku lihat usahanya untuk menyelamatkan pertunangan ini. Aku tidak kisah sekiranya Faruqi tidak mengahwiniku memandangkan dia bukan lelaki yang aku idamkan at the first place. Aku juga sampai saat kami bertunang, masih belum membuka hati untuk Faruqi.
Aku cuma marah dan sedikit kecewa kerana aku merasakan dia telah menzalimi aku dan keluargaku yang begitu gembira melihat aku bertunang. Masih terbayang wajah-wajah ibu dan bapaku yang begitu gembira semasa aku bertunang.
Kesungguhan mereka menyediakan yang terbaik untuk pertunangan ku. Di mana kejujuran dan pendirian Faruqi untukku? Aku juga marah kerana aku, Faruqi dan Alin adalah sekampung.
Kebanyakan orang kampung sudah mengetahui aku dan Faruqi putus pertunangan. Lagi menyakitkan, orang-orang kampung yang berjumpa denganku, mesti memberi pandangan untuk aku bersabar kerana putus tunang. Walhal, aku lebih bersyukur kerana tidak jadi kahwin dengan Faruqi.
Namun, pandangan orang kampung kepadaku, aku terlihat seperti perempuan yang ditinggalkan yang diputuskan di mata mereka. Padahal, hakikatnya aku sendiri yang memutuskan pertunangan tersebut dan sudah tidak mampu menerima Faruqi.
Namun di hadapan mereka, aku hanya tersenyum tanpa menceritakan mengenai sikap Faruqi yang aku kira tiada pendirian itu.
Selepas hal yang berlaku ini, aku memang merasakan Faruqi bukanlah seorang lelaki yang mempunyai pendirian dan tidak bertanggungjawab. Dia bukan lelaki yang terbaik untuk aku dan ujian ini untuk menghapus dosa-dosaku.
Selepas lebih kurang setahun kami berpisah, aku mendapat khabar bahawa Faruqi telah mengahwini Alin tanpa pengetahuan keluarga Faruqi dan rakan-rakannya. Lebih kurang perkahwinan secara rahsia.
Seluruh keluarga Faruqi serta rakan-rakannya sangat kecewa dengan pilihan Faruqi untuk mengahwini Alin. Faruqi berkahwin dengan Alin dalam keadaan membelakangkan ibu, keluarga dan kawannya sendiri.
Aku tidak mempunyai dendam terhadap Faruqi lagi dan telah memaafkan kesalahannya. Aku juga berharap dan yakin dia bahagia dengan pilihannya. Aku sebenarnya lagi bersyukur dan redha dengan keadaan ini.
Aku bersyukur kerana tidak jadi berkahwin dengan lelaki sepertinya dan bersyukur kerana berjaya menghabiskan pengajianku walaupun pada masa tersebut aku terganggu dengan dugaan bertunang.
Walaupun pada mulanya, aku berasa marah kerana takdir untuk aku putus tunang. Tapi, aku percaya Allah tidak akan menzalimi hambaNya. Bukankah berjuta lebih baik aku putus tunang dengannya daripada aku berkahwin dengannya dan tidak bahagia?
Hikmahnya juga, aku kini boleh membuka hati untuk lelaki dan merasakan tidak semua lelaki sempurna dan soleh. Sebelum ini, aku sukar untuk menerima dan bersedia dengan perkahwinan.
Namun, persinggahan Faruqi di dalam kisah hidupku membuatkan aku kini sudah mula boleh berfikir dan membuka hati untuk perkahwinan yang serius dengan mana-mana lelaki yang baik.
Buat masa ini, ada juga beberapa orang lelaki yang ikhlas berkawan denganku dan bercakap mengenai hal perkahwinan, namun aku belum merasakan ada calon yang sesuai. Aku doakan semoga yang belum dikurniakan jodoh supaya mendapat jodoh idaman yang terbaik.
Pesanku, biar lambat dalam pencarian dan jangan berputus asa dalam mendapatkan jodoh terbaik, kerana hal-hal yang terbaik dalam hidup biasanya ‘butuh’ waktu. Terus berusaha, berdoa, bertawakkal dan bersangka baik dengan Allah.
Setiap manusia memang Allah ciptakan berpasangan. Tidak dapat di dunia, di syurga pasti. Petunjuk jodoh juga tidak semestinya datang daripada mimpi kerana sepanjang mengenali Faruqi, aku tidak merasakan ketenangan dengannya.
Doakan aku dimudahkan untuk mendapatkan jodoh terbaik yang mampu menerima aku seadanya. Kerana Jodohku Itu masih Rahsia Allah.
Terima kasih kerana sudi membaca coretan aku hamba yang hina,
– Anna Alfathunnisa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit