Jodoh? Jom Tawakkal

Assalamualaikum wbt.

Nama pena aku Faruq, even aku perempuan. Aku suka nama ni sebab aku nak jadi kental mcm Umar, sahabat Rasulullah saw. Al-Faruq gelaran Umar sebenarnya. Aku rasa nak dapat semangat yang sekental tu. So aku pun selalu remind diri, please be strong, you are Faruq, be masculine but feminine ok. (Maskulin pada hati, jangan manja sangat)

Sebenarnya aku nak kongsikan tentang kisah hidup aku. Umur aku sudah dekat 30 tahun, bujang alhamdulillah. Masa umur 25 tahun, aku pernah minta pada Allah, ya Allah, kalau ada jodoh untuk aku, Kau tunjukkan. Kalau tak ada, juga tunjukkan, sebab aku nak kentalkan hati aku, taknak melayan rajuk hati sebab sedih masih belum sampai jodoh. Masa tu masih di bulan Ramadan. Ada kawan aku pesan, kau nak apa, kau mintak je pada Allah. Bulan berkat ni, Allah bantu kau InsyaAllah.

So, bila aku mintak macam ni, aku doa sungguh-sungguh. Aku ada banyak fokus dalam hidup, antaranya dakwah, keluarga, jodoh (InsyaAllah), kerjaya, study (doakan aku setelkan PhD) dan banyak lagi yang aku nak capai dengan izin Allah. Setiap matlamat tu, aku letak timeline. Tapi aku serah pada Allah untuk lorongkan aku masa yang terbaik dan sesuai untuk aku capai semua matlamat tu.

Lepas aku doa, aku serahkan pada Allah. Aku yakin Allah akan tunjukkan yang terbaik untuk aku. 2 hari berturut-turut Allah tunjuk pada aku. InsyaAllah ada. So hati aku tenang dah.

Aku lebih memilih untuk tidak bercouple. Bagi aku, lebih utama untuk aku jaga pandangan Allah pada aku. Siapa tak sedih, kawan-kawan rapat aku, kahwin seorang demi seorang. Terkesan jugak, tapi aku pesan la pada diri, rileks, masa kau akan sampai juga. Kau kan Faruq, Allah nak kau buat dakwah habis-habisan dulu. Nanti Allah hantar orang baik-baik untuk kau.

Dalam tempoh 5 tahun selepas aku dapat petunjuk dari mimpi tu, ada beberapa orang yang cuba kenalkan aku dengan kawan dia. Bila kenal, aku lebih memilih untuk tidak teruskan sebab dia macam nak kahwin dengan aku sebab duit aku. Dia tanya gaji aku berapa, apa kereta yang aku pakai.

Sejujurnya, aku memang ada niat nak membantu kewangan keluarga selepas kahwin. Tapi aku agak terkilan sebab awal perkenalan pun dia dah tanya macam tu. Gaji aku lebih tinggi dari dia, dan aku ok kalau dia cakap kita sama-sama support family. Tapi mungkin ni semua kerja Allah. Mungkin ini bukan jodoh aku.

Awal tahun ni, kawan aku nak kenalkan aku dengan seorang lelaki. Dia yang minta tolong kawan aku tanyakan aku. Aku agak kagum dengan dia sebab dari awal lagi dia maklumkan dia serius dengan aku dan bukan main-main. Aku letakkan had limit bermesej, dan bermesej hanya pada perkara yang penting. No calling. Perkara yang aku tanya antaranya misi hidup 5-10 tahun akan datang, penerimaan dia pada dakwah, pandangan tentang toleransi, pengurusan rumah tangga dsb.

Bagi aku, tidak perlu kongsikan perkara yang terlalu bersifat peribadi. Cukup tahu fokus hidup, akhlak, pengamalan agama, pergaulan dengan rakan-rakan jantina berlainan, cara bergaul dengan keluarga dan gerak kerja dakwah.

Buat adik-adik di luar sana, seandainya seorang lelaki menyatakan dia serius dengan anda, itu belum menjamin masa depan anda dengan dia. Kita merancang, namun perancangan Allah yang terbaik InsyaAllah. Jaga batasan anda dengan ajnabi, Allah mudahkan urusan hidup anda InsyaAllah.

Ok sambung cerita pasal dia. Dia ok dan boleh terima semua tu. Aku pun seakan boleh terima dia. Tapi dia ada bagitahu yang dia ada 1 perkara besar dalam hidup yang agak mengganggu dia. Aku tunggu untuk dia share dengan aku. Sebulan lebih aku tunggu, akhirnya dia kongsikan dengan aku. Dia ada penyakit yang boleh bawa maut. Tapi dia cuba juga untuk memulakan hubungan dengan aku. Dia serah pada aku untuk teruskan atau tidak. Aku agak tergamam pada mulanya, tapi aku serahkan pada Allah. Aku cadangkan untuk bertanya pandangan keluarga terlebih dahulu, kerana pada peringkat kami berdua, kami serius dan berhajat teruskan ke peringkat yang seterusnya.

Aku beranikan diri bertanya mak. Sebenarnya, aku tidak pernah memberitahu mak tentang mana-mana lelaki kerana prinsip aku, aku akan maklumkan pada mak sekiranya aku serius untuk berkahwin.

Prinsip keluarga aku juga adalag untuk tidak keluar dengan mana-mana lelaki tanpa ikatan yang sah. Sejujurnya, aku bebas bergerak ke sana sini untuk kerja dakwah kerana mak aku memberikan kepercayaan bahawa aku keluar bukan atas perkara yang mengundang murka Allah. Alhamdulillah hingga kini aku masih berpegang teguh dengan prinsip itu. Doakan aku untuk kekal sebegini hingga akhir hayat aku.

Setelah maklumkan kepada mak, rupanya, mak aku tidak setuju. Mak berpandangan lebih baik aku tidak teruskan hubungan itu untuk kebaikan aku di masa hadapan. Mak berpesan, bukan mak tak mahu izinkan, tapi seandainya ada pilihan yang lebih baik, pilih la yang lebih baik.

Pada mulanya, aku agak keberatan. Aku dilema sama ada mahu terima pandangan mak aku atau teruskan hubungan dengan dia. Lebih kurang sebulan aku agak murung, termenung keseorangan. Hati aku seakan tidak dapat menerima hakikat bahawa aku perlu menolak dia.

Aku terus beristikharah mohon Allah tunjukkan yang terbaik untuk aku. Bersungguh-sungguh aku meminta pada Allah untuk tolong berikan keputusan yang terbaik untuk aku, agama, kehidupan, juga natijahku selepas ini.

Dalam Islam, untuk menetapkan hati dalam 2 persimpangan, ada dua kaedah, iaitu istikharah dan istisyarah (bermesyuarat).

Akhirnya Allah melorongkan aku untuk menolak dirinya. Aku lebih cenderung untuk menuruti permintaan mak aku setelah kami mempertimbangkan dari pelbagai sudut.

Masa dalam proses pertimbangan tu, aku call dan borak-borak seperti biasa. Aku tidak sentuh tentang aku dan dia. Masa call tu, mak selalu cerita zaman kami adik beradik masih kecil, karekter kami berbeza-beza. Karakter aku? Mak cakap aku tidak pernah melawan cakap mak sejak dari kecil. Aku ikut sahaja saranan mak walaupun di mata orang lain, seolah-olah tidak ada keuntungan. Mak juga ceritakan semula, masa kecil, aku pernah ditawarkan untuk masuk ke sekolah berasrama penuh dengan tawaran full scholarship, pada masa yang sama, aku lulus temuduga untuk ke sekolah agama. Bila aku tanya pandangan mak, mak kata, mak tak kisah pergi ke mana-mana, tapi mak lebih suka kalau ke sekolah agama. Biarlah kita miskin, tak ada biasiswa seperti sekolah berasrama penuh, tapi mak yakin dengan rezeki yang Allah aturkan untuk kita. Aku ikut cakap mak, alhamdulillah aku rasa hidup aku smooth sampai sekarang. Mungkin berkat doa mak aku.

Jadi, dalam soal pemilihan jodoh, aku juga berpegang begitu. Lebih baik aku ikut cakap mak sebab mak aku tahu apa yang terbaik untuk aku InsyaAllah.

Aku terngiang-ngiang ayat al-Quran, 2:216:

‘dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.’

Mungkin aku rasa tidak suka dengan keputusan ini, tapi mungkin Allah aturkan sesuatu yang terbaik untuk aku di masa hadapan InsyaAllah. Bergantung harap dengan Allah sentiasa menguntungkan. Begitu juga kalau rasa sudah berusaha sampai ke limit, tapi masih belum dapat hasilnya, maka nilailah diri. Mungkin tawakkal kita belum tinggi pada Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita InsyaAllah.

Allah akan jawab doa dengan 3 keadaan:
1. Kabulkan doa tersebut
2. Kabulkan lambat, pada masa yang sesuai
3. Tidak kabulkan, gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

So, Faruq, move on. Jangan sedih-sedih, Allah ada.

Doakan aku dipertemukan dengan jodoh yang mendekatkan aku dengan Allah, seandainya ada untuk aku di dunia ni.

Juga aku mendoakan kalian juga diberikan keberkatan dalam hidup, sentiasa dipermudahkan dalam ketaatan, bertegas dengan prinsip Islam seperti al-Faruq InsyaAllah. Amin.

– Faruq

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *