Jodoh Yang Sukar Difahami

Tak pasti jika confession ini disiarkan atau tidak. Niat hanya untuk meluah. Terasa penuh dalam hati yang tak mampu diluahkan pada sesiapa.

Hendak diluah kepada kawan, mereka ada masalah masing-masing. Hendak luah kepada mak ayah, disangkakan anaknya baik-baik sahaja.

Tahun ini merupakan tahun terakhir aku berusia 20-an. Melihat kembali bagaimana perjalanan sedekad ini, terlalu banyak memori yang terkumpul.

Dan kini aku berada di hujung penjuru. Antara meneruskan hidup dengan usnuzon dengan qada dan qadar vs rasa risau/bimbang tentang masa depan.

Sambil melihat rupa di cermin, aku bukan makin muda tapi makin tua. Semakin aku tua, semakin aku faham aku tak boleh berjalan seorang diri.

Perlukan sokongan orang. Jujur cakap perjalanan seorang diri itu ada masanya bebas, ada masanya sunyi. Sunyi itu berat dan kosong, tidak hilang hanya dengan makan nasi.

Aku harap ada seseorang yang sama gelombang, boleh berkongsi cerita, boleh bersandar dan selesa menjadi diri sendiri. Tak sama kedudukan seorang ‘pasangan hidup’ dan kawan.

Ya, kawan ada untuk bersama-sama kita, tapi sampai bila?

Apabila komitmen hidup memanggil, kita makin berkira-kira untuk meluahkan semua yang terpendam. Atas dasar hormat masa kawan, kita simpan kata-kata sendiri.

Aku rindu pada yang tak pasti. Rindu pada satu rasa tenang apabila ada teman sebenar. Teman yang lihat kita tanpa tapisan, masih menerima tanpa syarat.

Rindu ini tidak menyentuh realiti, kerana orangnya belum wujud di depan mata. Aku sendiri tak tahu siapa orangnya.

Sedih. Sunyi. Bimbang – ia hadir dalam satu pakej. Tahniah untuk mereka yang merasai pakej ini. Tak perlu bayar, percuma sahaja.

Tak perlu salahkan takdir. Seperti kata-kata orang ramai ‘pasti ada hikmahnya’.

Aku masih percaya kata-kata ini walaupun ia hanya 3 perkataan. Ia mudah dilafazkan, susah nak hadap. Ya. Tetapi tetap yakin.

Tak tahu lagi di mana perlu aku cari individu ini. Buntu. Orang cakap portal cari jodoh berlambak, betul lah tu. Tapi kenapa sukar untuk aku?

Mungkin aku lebih selesa kenal depan2, taip mesej belum menampakkan sifat sebenar seseorang membuatkan aku tak selesa.

Dan kenal sifat sebenar itu tidak hadir dengan sekali jumpa, ia memerlukan masa dan proses untuk faham.

Aku tak pandang siapa kau, berapa duit kau, dari mana kau datang, yang aku pandang ialah gelombang. Dan gelombang itu sukar untuk aku jumpa.

Tenaga hilang apabila kita paksa diri kenal seorang demi seorang melalui portal cari jodoh, seolah-olah mencari kerja. Aku tak nampak erti ketelusan dalam proses ini.

Kita hanya menunjukkan CV terbaik, rupa terbaik, apa yang menarik sahaja. Yang buruk dan hodoh dicampak jauh-jauh seolah-olah tak pernah wujud. Sedangkan kedua-dua elemen telah membentuk diri sekarang.

Sedangkan berkahwin itu bermaksud kita menerima baik dan buruk seseorang.

Sukarnya. Kerana aku melihat gelombang, menjadikan proses ini lebih sukar.

Jika menetapkan pencarian jodoh itu hanya atas dasar kau kena gaji minimum sekian2, cukup nama kau laki aku terima, itu lebih mudah. Tapi persoalan, adakah kau bahagia hanya melihat permukaaan?

– J (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *