Assalamualaikum. Terlebih dahulu, aku ingin mengucapkan terima kasih untuk pihak IIUM Confession kerana menyiarkan penulisanku ini.
Aku Ana, berusia lewat 20-an dan penulisan aku ini, berkait rapat dengan peristiwa yang berlaku dalam kehidupanku sendiri.
Aku seorang yang jarang berkongsi permasalahan cinta dengan orang di sekelilingku, mungkin aku takut untuk mendengar pendapat yang berbeza-beza dan takut diri sendiri dikelirukan dengan apa yang diperkatakan oleh orang sekeliling.
Kerana sebab itulah, aku mengambil pendekatan, dengar penjelasan untuk setiap permasalahan dan tidak pendam untuk setiap apa yang belaku dan seterusnya cuba untuk mencari jalan penyelesaian.
Tetapi penulisanku kali ini, bukan untuk menceritakan tentang bagaimana cara aku hadapi permasalahan aku ,tetapi aku ingin bercerita mengenai seorang yang biarlah aku gelarnya sebagai S.
Mula perkenalan aku dengan S, adalah sebagai seorang penjual dan seorang pembeli. S merupakan seorang penjual untuk satu produk, dan aku mengenalinya daripada situ.
Pada permulaan perkenalan kami, adalah apabila S menunjukkan minat untuk mengenali aku dengan lebih dari sekadar seorang penjual kepada seorang pembeli.
Aku merasakan tidak menjadi kesalahan untuk mengenali S, kerana dia juga seperti ku, berusia di penghujung 20-an dan masih mencuba untuk mencari pasangan hidup. Aku memberanikan diri untuk meneruskan hubungan dengan S.
Salah satu perkara tentang S yang aku suka adalah, dia seorang yang jujur, dan tidak bermuka-muka, sebagai contoh, jika perilaku aku pada S, kurang menyenangkan dia akan memberitahu aku sendiri, kenapa bersikap begitu.
Sebagai contoh, apabila aku antara acuh tak acuh ketika membalas whastapp nya atau apabila bercakap ditelefon dengannya, kata S jangan pernah meremehkan perasaan acuh tak acuh, walaupun bagi aku, ianya perkara kecil,
Tetapi bagi S, kata katanya yang masih aku ingat adalah, “Saya tak tahu fikiran awk macam mana, kalau saya salah tolong bagitahu saya”.
Ya, aku mengaku kadang kala salah aku, kerana apabila aku pulang ke rumah, dengan perjalanan pergi dan balik yang mengambil masa yang lama, membuatkan aku sendiri letih, dan kerana itulah, terkadang aku antara acuh tak acuh ketika S bertanya kepadaku.
Hari berganti hari, dan bulan berganti bulan, hubungan kami seperti pasangan yang lain, ada pasang surut. Tetapi satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan adalah di ketika mana S terlibat dengan kemalangan jalan raya.
Waktu itu, aku terduduk kerana S disahkan mengalami kecacatan kekal pada anggota badan. Aku mendapat perkhabaran S, dari ibunya sendiri. Kakinya yang sebelum ini boleh melangkah, terhenti langkahannya setelah kemalangan yang berlaku.
Hampir 4 bulan S di hospital dan dalam jangka masa tersebut 3 minggu S berada di Unit Rawatan Rapi. Aku tetap setia berada disisi S dan aku pesan pada diri aku, yang aku tidak akan tinggalkan S setelah apa yang S alami.
Setelah S sedar, perkara pertama yang keluar di mulutnya adalah,”Saya dah tak rasa kaki saya wak”, Allahuakbar sedihnya aku diketika itu untuk menerangkan apa yang telah berlaku kerana kecederaan S sangat serius sehingga dia lupa akan kejadian yang berlaku.
Aku menenangkan S, sedaya upaya kerana bagiku, aku ibaratkan jika aku ditempatnya, aku juga ingin dorongan dan kata-kata semangat bagi aku meneruskan kehidupan ini.
Setelah keluar hospital, ibunya berkata padaku, adakah aku ingin meneruskan hubungan kami, jawabku tanpa ragu-ragu adalah “iya”. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya, setelah beberapa bulan S keluar dari hospital, dia seperti hilang punca, dan cepat marah-marah.
Aku faham, dan aku cuba untuk memujuknya dan berkata “awak, saya tahu bukan mudah, tetapi awak kuat, awak boleh hadapinya”,S hanya mengangguk ,dan tidak berkata apa-apa.
Hari hari S, sangat sukar kerana dirinya tidak biasa dengan keadaan dirinya yang sekarang, S harus menggunakan bag khas, yang disediakan oleh pihak hospital, untuk membuang air kecil dan besar.
Dan disetiap kali, S seakan murung, aku akan tetap memberi kata kata semangat ,dan tetap menemani setiap kali aku pulang kerja, sehingga ada ketika nya aku hampir kemalangan, kerana terleka memikirkan S.
Petang Rabu, S berkata ingin berjumpa denganku, aku tanpa memikirkan apa-apa menggangap ianya perkara biasa, mungkin S ingin aku membantu ibunya menyiapkan makanan kegemarannya,
Tetapi sangkaan aku meleset, apabila dia sendiri berkata yang hubungan aku dan dia, ternoktah disini.
S menerangkan yang dia tidak mungkin dapat membahagiakan aku, setelah apa yang berlaku pada dirinya.
Aku seakan tidak percaya, dengan apa yang diungkapkan S, aku memujuk dan berkata padanya ,”awak kita boleh cuba, ikhtiar apa yang termampu”,
Diketika itu S memaling muka dan hanya berkata “awak boleh balik, saya dah tak mahu kita teruskan hubungan ini”,sambil menangis, perkataan itu S ungkap, aku turut menangis kerana tak terdaya untuk memujuk S lagi.
Aku melihat kelibat ibu S, yang turut menyeka air matanya, kerana tahu yang aku tak akan bertandang lagi kerumahnya, kerana ibunya sendiri memberitahuku, yang aku ringan tulang, pandai ambil hatinya dan dia amat sayang padaku, dan berharap agar aku menjadi menantunya.
Itulah kali terakhir aku melihat S, dan keadaan diketika itu adalah keadaan yang seboleh-bolehnya tidak lagi aku mahu kenang dalam kehidupan aku yang sekarang.
Siapa tak sedih jika orang yang kita ikhlaskan untuk dihalalkan memilih untuk mengakhiri hubungan ini.
Aku tidak menyalahkan S, dengan keputusan yang S ambil, aku hanya mengganggap yang jodoh aku dengan S, telah ternoktah sampai disini sahaja.
Untuk S, terima kasih kerana pernah hadir dalam kehidupan Ana, dan pernah membahagiakan walau, hubungan antara kita telah terhenti.
Ana harap tiada lain melainkan bahagia untuk S, dan semoga cekal menghadapi hari-hari mendatang dengan kudrat yang masih tersisa.
– Ana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit