Assalamualaikum. Pendek je confession sebab tak tau platform mana nak guna untuk mengajak rakyat Malaysia yang baik hati untuk bersedekah.
Musim PKP ni banyak keluarga yang terjejas sumber pendapatan. Belum kira yang memang dah susah sebelum PKP lagi. Cuba bayangkan kehidupan seorang peniaga pasar malam, makcik jual kuih, peniaga kedai makan, pengusaha hotel.
Ya, banyak opsyen COD dan sebagainya. Jangan pertikaikan cara mereka menambahkan pendapatan musim PKP ni.
Ketahuilah anda bahawa mereka sentiasa resah, berniaga bukan untuk fikirkan kelangsungan bisnes, tapi untuk bagi anak makan. Setiap hari bangun dan fikir, macam mana aku nak bagi anak makan hari ni.
Sedih. Simpanan makin kurang. Ada yang tidur berlapar. Ada yang mencatu makan. Sahabat sekalian, sekiranya kita ada ihsan dalam diri, marilah kita membantu sebanyak mana yang boleh. Jika kita selalu derma, Alhamdulillah. Hari ini saya nak perkenalkan konsep double sedekah.
Senang sahaja. Anda tengok page FB, sesiapa yang menyediakan perkhidmatan COD atau runner, anda order.
Contoh, ada insan COD nasi ayam dengan harga RM5 sebungkus. Anda order 10 bungkus. Pesan pada peniaga untuk menyedekahkan kepada sesiapa yang mereka rasa susah disekeliling mereka. Senang bukan?
Banyak hikmah double sedekah. Kenapa dikatakan double sedekah?
Pertama, anda telah membantu penjual untuk kelangsungan hidup mereka. Order banyak, untung lebih.
Kedua, anda telah bantu 10 orang yang memerlukan disekeliling penjual. Mereka lebih mengetahui sesama mereka siapa yang susah tetapi kurang diberi perhatian kerana “mereka ada bisnes”.
Anda perlu pergi ke seluruh tempat? Tak perlu. Anda perlu dedahkan identiti? Tak perlu. Anda risau derma anda tak sampai kepada golongan memerlukan?
Percayalah tuan tuan dan puan puan sekalian, sekiranya ada niat peniaga untuk menipu, mereka tidak akan sanggup. Mengambil hak orang lain – penderma dan orang yang menerima derma. Serahkan sahaja urusan kepada mereka.
Kita nak keluar, mungkin terbatas. Nak pergi merata-rata memang tak lah kan. Jadi mari praktiskan cara ini. Sedekah bukan kerana kita kaya, sedekah kerana ada orang yang lagi susah dari kita.
Mari share amalan ni bersama. Moga ada saham tuan-tuan dan puan-puan jika ada rakan anda tergerak hati untuk double sedekah selepas baca confession ini.
Percayalah tuan tuan dan puan puan, doa orang yang tuan tuan dan puan puan bantu tu tak kan tercapai dek akal kita betapa tinggi harganya.
Sedekahlah hari-hari, tak perlu tunggu hari Jumaat sahaja. Sebab setiap hari ada orang menunggu bantuan kita. Hari ni kita tolong orang susah, esok lusa bila kita susah, Allah hantar orang bantu kita pula.
Allah sayang kita, sebab tu Allah jentik hati kita untuk buat baik. Tak mampu RM50, mungkin kita mampu RM10.
Tolong doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga juga. Moga doa itu berbalik pada kalian juga. Aamiin.
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit