Hi semua.. Sebelum ni aku ada share, tapi tidak disiarkan mungkin sebab terlalu berbaur KRT. Tak apa, aku cuba baiki penulisan aku.
Aku tak nak cerita panjang, direct to the point, cuma nak minta pendapat korang semua. Masuk harini dah seminggu aku tidak bertegur dengan suami aku. Semua ini disebabkan perbuatan dia yang sama selama 3 tahun berturut-turut: Judi Online.
Sejak dari kahwin baru aku kenal tabiat sebenar suami aku. Suka berjudi online. Bertaruh online, menang online, kalah online. Semua pakai duit online. Berjudi ni sah-sah haram, harap semua tahu ya.
Benda ni banyak memusnahkan perkahwinan kami sebab, barang banyak tergadai, pinjaman peribadi sana sini, gaji kena tahan along, performance kerja buruk sehingga kena buang kerja.
Dan last sekali, sampai komitmen sudah maksimum, dah tak boleh buat pinjaman, serah diri kepada AKPK. Lepas kena buang kerja, kehidupan kami melarat sebab aku sahaja yang menyara keluarga.
Mesti korang tertanya-tanya kenapa aku masih bertahan? Ini sudah kali keempat dia buat perangai sama. Sebab apa aku bertahan? Sebab dia suami yang baik dan aku sayang dia. Dia cuma lemah bila berhadapan dengan duit dan godaan judi.
Banyak kali aku beri peluang dan banyak kali juga dia ulang. Sampai kali terakhir ni, aku langsung tak nak bantu dan kunci hati aku sekeras-kerasnya. Sampai dia takda duit, sampai aku juga terpaksa ikat perut. Puasa hampir setiap hari. Terpaksa kerja sambilan untuk duit cash.
Orang kata, lelaki diuji bila banyak duit. Perempuan diuji bila takda duit. Sangat betul kenyataan ni. Aku cuba sedaya upaya bertahan. Tapi kelama-lamaan aku jadi tawar hati dan bosan. Bila tak ada duit, masa itu lah suami aku ditimpa kemalangan, dibuang kerja, roadtax insuran mati, motor rosak dan sebagainya.
Kalau ikutkan hati aku, aku dah lama failkan fasakh sebab sememangnya dia dah lama gagal menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami.
Nasib bisikan-bisikan ni berjaya dipadamkan oleh mak aku dan ahli keluarga aku yang masih lagi sudi nak bantua selamatkan perkahwinan kami. Sehingga mak aku cuba bantu dari segi kewangan. Cuma terkadang bila marah tu memang membuak-buak perasaan ni.
Aku tak tahu sebenarnya untuk apa aku bertahan. Adakah masih sayang? Atau rasa kasihan? Lagi menambah buruk bila aku diganggu oleh Along beberapa kali melalui panggilan telefon, dan Along ugut nak datang ke tempat kerja dan rumah sekiranya gagal melunaskan bayarang bunga setiap bulan.
Bayangkan bertapa berat tanggungan aku. Suami aku baru saja dapat kerja tetap dan baru akan merasa gaji pertama selepas 3 bulan jobless.
Aku cuma nak beritahu, pinjaman Along ni bukan aku jadi guarantor. Suami aku ambil bil api air dan serah pada Along. Letak nama aku, no telefon aku dan tempat kerja aku sebagai rujukan. Hancur rasa hati ini. Kenapa perlu libatkan aku?
Tak cukup dengan itu, personal loan dia semua letak nama aku sebagai rujukan. Jadi dalam sehari bertalu-talu aku dapat panggilan telefon dan gangguan. Sampaikan satu tahap, aku menangis dan tertekan dengan dugaan ni.
Bukan sekali dugaan ni datang, tapi 4 kali. Sekali itu memang silap. 4 kali itu buang tebiat.
Harta benda aku, barang kemas aku banyak dijual tanpa pengetahuan aku. Duit simpanan aku tiada. Ctos ccris aku teruk sebab banyak buat pinjaman peribadi. Tanggungan kewangan aku maksima.
Semua benda ni menekan aku sampai satu tahap aku rasa benci nak hidup dengan suami aku. Bila aku lihat wajah dia curi-curi, masih ada terbit rasa sayang. Tapi most of the time, rasa benci sebab tekanan kewangan.
Aku sayang dia sebab dia seorang yang romantis. Pandai dalam segala hal rumahtangga & mempunyai pelbagai kemahiran yang diimpikan seorang isteri.
Cuma dari didikan dan amalan agama agak lemah. Solat tak cukup waktu, mengaji tak pernah nampak. Dulu memang teruk. Tapi lepas kahwin ni ada perubahan sikit bab solat. Tapi masih lagi lemah, jadi tak terkejut langsung kalau godaan judi ni dia lemah nak tepis.
Bantu aku please korang. Apa aku patut buat. Aku buntu. Dah seminggu kami berdiam diri. Suami aku tak cakap sepatah pun. Tiada maaf, tiada terima kasih, tiada janji apa-apa. Dan kami dah pun tidur berasingan.
Aku cuma sediakan makan minum dia, dia balik kerja, makan minum dan masing-masing masuk ke bilik dan buat hal masing-masing.
Jangan tanya kenapa aku tak rujuk Majlis Agama. Dah dua kali aku pergi kaunseling, dua-dua sarankan penceraian. Dan suami aku tak mahu hadirkan diri langsung di sesi kaunseling. Tiada perbincangan. Cuma aku sahaja yang berlawan dengam emosi dan perasaan sendiri.
Bantu aku, tolonglah. Bantu aku buat keputusan yang betul.
– Mumu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit