Jurutera Buntu

Assalamualaikum warga iiumc. Pertama sekali aku minta maaf jika cerita ini agak panjang. Jom kita start! Aku bernama Quli seorang lelaki tulen. Aku sedang bekerja sebagai seorang jurutera projek didalam sebuah syarikat kontraktor G7 di utara semenanjung Malaysia.

Bila dengar kerja jurutera, semua orang bayangkan pakai sut, topi putih dan bawa drawing macam dalam drama pukul 7. Tapi kisah inilah realitinya. Untuk pengetahuan, ini merupakan kerja pertama aku dan aku telah berkhidmat selama tiga tahun disana.

Pada permulaan selepas aku menamatkan pengajian di sebuah universiti awam, aku telah diterima untuk berkerja di syarikat tersebut. Pada ketika itu, aku tidak meletakkan apa apa harapan atau target untuk kekal lama dengan syarikat itu.

Niat dan tujuan sebenar aku adalah untuk belajar dan mencari pengalaman sahaja kerana ini merupakan pengalaman pertama aku memasuki bidang pembinaan dan sebelum ini aku menjalani latihan industri di sebuah kilang.

Hari pertama kerja terus masuk ke tapak pembinaan dan terus diberikan tanggungjawab sebagai jurutera projek yang ditugaskan seorang berada ditapak sepenuh masa. Pada permulaan, aku tidak diberikan sebarang dokumen atau surat tawaran.

Disebabkan itu, aku tak tahu akan status aku bersama syarikat itu dan risau akan keselamatan aku ditapak bina. Selepas beberapa kali aku desak barulah aku terima surat tawaran dengan gaji permulaan 2k dan tiada elaun tambahan.

Bulan pertama aku sudah mula tertekan dengan pekerjaan aku. Aku dimaki hamun, dihina, dikeji, dibuli dan sebagainya. Sehinggakan aku tidak dapat tidur malam.

Jika dapat tidur pun aku masih bermimpi pasal kerja dan berjalan di tapak sehinggakan aku menyelesaikan masalah kerja didalam mimpi.

Aku hanya berdoa kepada Allah agar aku diberikan kekuatan untuk meneruskan pekerjaan ini. Aku sedar pada ketika itu aku hanyalah graduan baru yang tiada pengalaman.

Jadi aku sematkan dalam otak “Quli, kau jangan banyak alasan. Inilah peluang untuk kau belajar”. Hari hari aku pujuk hati untuk terima dan cintai pekerjaan aku.

Bekerja ditapak bina tak sama macam berada di ofis dibawah dingin penyaman udara. Dengan panas menyengat kulit, baju dibasahi keringat dan ketika itu juga aku perlu berfikir menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan rasional sebab semua orang panas, semua orang penat.

Jika salah cakap boleh bergaduh dibuatnya. Aku tak kisah jika ada masalah di tapak saja asalkan aku mendapat kerjasama yang baik oleh staff di pejabat.

Namun tak seperti yang diharapkan. Aku telah dimaki didalam mesyuarat yang dihadiri lebih 30 orang dek kesalahan maklumat yang diberikan oleh staff pejabat.

Contohnya, aku bertanya pengurus projek di pejabat aku “Boss, bila BARANG A akan tiba di tapak?” dia kata “BARANG A dah on the way”. Jadi aku pun jawab dalam meeting barang sudah on the way.

Tiba masa barang yang dijanjikan tidak sampai. Bila aku hubungi “purchaser” dia kata “BARANG A belum oder lagi maa”.

Disebabkan itu aku dimarahi, dimaki, dibuli sehinggakan aku rasa dah takda maruah dan orang mulai ragu dengan kata kata aku. Aku malu dan tertekan adakalanya sehinggakan mata aku gelap ketika memandu akibat terlalu tertekan.

Aku fikir dah tiada cara lain untuk menyelesaikan masalah ini kecuali aku minta kontraktor utama atau konsultant bantu aku menelefon, menghantar memo dan surat amaran kepada pengurus projek aku.

Tapi bila aku berbuat demikian, aku di marahi dan di tengking oleh pengurus projek yang berketurunan panas baran, katanya aku tidak menjaga maruah syarikat dan semua projek dibawah jagaan aku BERMASALAH!

Aku dimarahi hampir sejam setiap kali perkara itu berlaku. Pada permulaan aku diminta jaga satu projek sahaja. Selepas beberapa bulan projek aku ditambah dan perlu menjaga sehingga 3 projek bernilai hampir 15 juta. Bukan 1.5 juta ye.

Diam tak diam dah hampir 5 projek aku siapkan dalam masa 3 tahun. Setiap projek yang aku siapkan tiada satu pun penghargaan dari syarikat. Yang dapat hanyalah orang yang berada di pejabat sahaja.

Bila projek dah siap, barulah nampak batang hidung masing masing turun padang tunjuk muka ketika majlis kejayaan menyiapkan projek.

Keadaan aku tak umpama hanyalah hamba abdi yang perlu menghadap masalah saja. Hamba abdi yang digunakan untuk menutup kelemahan syarikat.

Baru baru ini aku ada bertanyakan status jawatan aku disyarikat memandangkan aku bakal menamatkan zaman bujang aku tak lama saja lagi. Alhamdulillah.

Malangnya, aku tidak diperlukan lagi. Aku diberitahu setelah tamat projek yang hanya berbaki 3 bulan, kontrak aku ditamatkan.

Bukan takda hasrat untuk lompat kerja, Banyak company aku mohon dari tahun kedua lagi, namun masih belum ada rezeki lagi. Aku fikir, takkan aku nak berhenti begitu saja sedangkan aku nak bina keluarga. Takkan nak bela anak orang dengan tak bekerja.

Aku buntu dengan majlis perkahwinan yang tak berapa lama lagi, dengan bakal kehilangan kerja lagi. Aku bercadang untuk membuat e-hailing sementara mendapatkan kerja yang baharu.

Aku ingin minta pendapat pembaca sekalian. Adakah patut aku tinggalkan saja projek yang sedang rancak berjalan? atau aku perlu siapkan saja projek itu kemudian aku diberhentikan? Bantu aku wahai pembaca yang budiman.

– Quli (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *