Aku ingin berkongsi satu cerita, satu pengalaman aku sebenarnya. Cerita ini berlaku di salah satu lebuh raya yang menghubungi Kuala Lumpur menuju ke Selatan. Lebuhraya yang agak baru pada masa itu.
Selamat membaca.
Aku lihat jam di dashbox kereta menunjuk pukul 11.00 malam. Kereta buatan Malaysia aku berada atas jalan raya di Kajang.
Permukaan jalan raya lunyai kebasahan dek hujan yang lebat sebentar tadi. Hujan masih berbaki, rintik-rintik. Bertakung air disekitar tempat di atas jalan raya.
“Prap! Prap!”
Berbunyi Wiper tatkala menyapu titisan air hujan yang memimpa di cermin depan.Bergerak ke kiri dan ke kanan.
Dalam 30 minit berlalu, hujan mulai berhenti, Tiada rintikan lagi di cermin depan kereta. Tiada titisan lagi di atas permukaan jalan.
“Tap!”
Aku menolak logo Wiper. Tertunduk, berhenti Wiper ke arah kiri.
Kereta aku mula menyusur memasuki Lebuh Raya yang agak baru. Lebuh Raya yang menghubungkan KL ke Senawang, Negeri Sembilan.
Lebuh Raya yang berjaya mencuri hati aku kerana tiada kesesakan yang berlaku. Masih kurang pemandu yang menggunakan Lebuh Raya ini.
Jika aku mengambil Lebuh raya Plus Kuala Lumpur-Selatan pasti kesesakan berlaku di sekitar Sungai Besi, Nilai dan Seremban. Tension dibuatnya.
“Sruppp!”
Berbunyi cermin, menurun ke bawah sebelah pemandu apabila aku menekan butang automatik di sisi aku.
Wah! Segar rasanya apabila angin bercampur tempias air menerjah ke muka. Aku biarkan.
Aku mengambil lorong kiri, perlahan tayar kereta bergolek di atas jalan.
Sebatang rokok yang bara menyala cantik, terselit dibibir. Aku tarik perlahan kemudian aku hembus tenang. Berselinap asap rokok berterbangan bila ditiup angin.
Dalam 30 minit berada di atas jalan lebuh Raya. Kereta aku mula menaiki bukit.
Pandangan aku terlontar di luar tingkap melihat pandangan sekeliling. Pandangan yang penuh kehijauan. Pokok-pokok hutan meliar tumbuh dengan subur.
Akhirnya kereta aku berada di puncak bukit. Wah satu pandangan yang indah tercipta lagi. Terpegun aku melihatnya.
Dari puncak bukit yang paling tinggi, aku dapat melihat bukit-bukit yang rendah di sekitarnya. Dahan-dahan pokok hutan kelihatan seperti payung yang terbuka. Payung yang besar.
Sebaik melepasi satu-satunya RNR di lebuh raya itu.
Anak mata aku terpegun ke sebelah kanan. Aku melihat sekumpulan kabus yang besar, mungkin sebesar sebuah padang bola sepak. Kabus yang warna keputihan pekat.
Pada mulanya kabus itu tinggi di awan kemudian perlahan-perlahan kabus itu bergerak menurun hingga separas bukit yang aku lalui.
Kabus itu berarak dalam satu kumpulan.
Kabus itu bergerak perlahan memasuki lebuh raya.
Ahh! Aku tidak nampak apa-apa.
Keputihan pekat di depan mata aku.
Seperti segumpul kapas tebal berada di depan mata. Cepat-cepat aku menekan butang yang berlogo cermin, tertutup cermin tingkap sebelah pemandu.
Aku cuba memasang lampu high beam namun tetap jua tidak nampak apa di depan.
Aku perasan sebelum kabus tebal itu memasuki lebuh raya, ada empat-lima buah kereta di depan kereta aku.
Aku panik sekejap. Aku angkat kaki di pedal minyak, aku cuba perlahankan kereta seberapa yang boleh.
“Pinggg! Pinggg!”
Kedengaran hon kereta di depan aku.
Pantas aku turut membunyikan hon. Aku cuba fokus memandang ke depan namun tetap gagal. Keputihan pekat saja yang kelihatan. Sedikit cahaya lampu pun tidak muncul. Aku merasa pelik.
Kereta aku bergerak sangat perlahan, diiringi bunyi hon yang tidak putus-putus.
Hanya cara ini saja aku dapat memantau jarak kereta yang berada di depan aku. Begitu juga kereta yang di depan.
Aku bersyukur di belakang tiada kereta kerana tiada kedengaran bunyi hon kereta.
Bergema bunyi hon kereta di dalam kabus. Namun sebuah kereta pun tidak kelihatan di pandangan mata aku.
Aku merasa tidak yakin. Hati aku merasa tidak sedap. Aku risau sesuatu yang buruk berlaku, maksud aku kemalangan.
Aku buat keputusan nekad, sambil membunyi hon yang tidak putus-putus aku cuba mengagak untuk berhenti. Aku tahu sebelum kabus itu menutup Lebuh Raya aku berada di lorong kiri.
Aku terus memusing stereng ke kiri, maksudnya aku cuba masuk ke lorong kecemasan. Aku mengagak semampu yang boleh. Aku nekad.
Cuba bayangkan, aku memandu di depan sebuah layar putih yang besar. Tiada apa-apa panduan hanya mengikut rasa hati saja.
Setelah yakin aku berada dil orong kecemasan aku hentikan kereta. Tapi bunyi hon aku tekan tidak berhenti-henti.
Aku duduk diam di dalam kereta. Kaku tubuh aku, hanya mata main peranan. Meliar mata aku memandang keliling.
Di bibir aku ligat menyebut nama yang Maha Esa. Panik wajah aku, jangan dicakap.
Gelora dada aku tidak dapat dinafikan.
Tempat menekan hon, berpisah tiada dengan tangan aku. Menjerit-jerit hon kereta aku dan kereta yang lain.
Di dalam kereta aku dapat melihat kabus-kabus itu memerjah ke badan kereta.
“Prak! Prak!”
Bergoyang badan kereta.
“Prak! Prak!”
Sekali lagi kabus itu menerjah ke badan kereta.
Kali ini terjahan yang kuat.
Terpelanting tubuh aku di dalam kereta.
Terhantuk-hantuk kepala aku pada bumbung kereta. Sakitnya jangan dikata.
Aku dapat rasakan setiap kali kabus itu menerjah seperti ada tangan-tangan yang mengoyangkan secara kasar kereta aku.
Panik wajah aku. Tapi aku tidak dapat berbuat apa-apa. Hanya membiarkan.
“Aummm!”
Suara gauman tercipta didalam kabus itu. Suara gauman seperti Harimau yang sedang Kemarahan.
Jelas aku kedengaran, walaupun tingkap tertutup. Sebab bunyi kuat sekali.
Aku merasa hairan dan pelik.
Apakah yang sedang berlaku.
Tiba-tiba aku ternampak bayangan besar berwarna putih sedang berlari laju disisi kereta aku. Bayang seperti manusia, Tapi fizikalnya besar dan tinggi.
Bayang itu menuju ke depan kemudian hilang begitu saja.
Aku kebingungan, aku tidak tahu apa yang aku sedang hadapi.
“Allahhuakbar, Allahhuakbar,”
Walaupun kesayupan tapi jelas kedengaran di cuping telinga aku.
Suara seseorang sedang mengalunkan Azan di dalam kabus itu.
Aku tidak menunggu lama untuk berfikir.
Dalam kedudukkan duduk, aku tegakkan badan selesa yang boleh. Aku turut mengalunkan Azan bersama-sama.
Tidak sempat Azan selesai, kabus yang seperti melekat dan berkumpul di tengah lebuhraya itu mulai menipis, menipis dan akhirnya hilang.
Ya Allah! Aku terkejut sangat apabila melihat kereta di depan aku hanya jarak dalam 2-3 kaki saja dari bonet depan kereta aku.
Jika aku tersilap sedikit pasti akan berlaku kemalangan.
Syukur pada Tuhan tiada kemalangan yang berlaku. Ada 4 buah kereta di depan aku. Mereka juga berbuat seperti aku, menghentikan kereta apabila buntu tidak tahu hendak menuju ke mana.
Aku menapak laju pada kereta didepan aku.
“Assalamualaikum,” Salam aku berikan pada lelaki didepan aku. Lelaki yang boleh dipanggil Pakcik.
“Waalaikumussalam,” pakcik itu memberi salam sambil menghulur tangan.
“Pakcik OK tak?” Tanya aku.
“Alhamdulillah, syukur selamat,”
“Apa yang yang berlaku Pakcik,” tanya aku.
“Angkara Jin ni. Jin menyerupai kabus,”
Aku terdiam apabila mendengar penjelasan pakcik itu. Pakcik itu yang memulakan laungan Azan tadi.
Tamat…
– Zambri Perasan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit