Terima kasih admin atas kesudian menyiarkan kisah ini. Rata-rata mesti dah boleh teka berdasarkan tajuk confession ni kan? Okay aku mulakan.
Aku Nora, 26 tahun, sudah berkahwin. Suamiku Nazmi. Kami sebaya dan berkenalan sejak di bangku sekolah lagi. Nazmi ada 6 adik beradik. Aku kenalkan satu-satu supaya senang faham cerita ni nanti.
Kakaknya yang sulung, Along@Kak Ani, (dia tak bagi aku panggil dia Along sebab aku bukan adik beradik dia, ipar je). Kakak kedua meninggal dunia, kembar pada Kak Ani. Yang ketiga, Abang Sufi. Yang keempat, Nazmi. Yang kelima, adik lelaki, Nubhan dan yang keenam, adik perempuannya Alisa.
Kak Ani seorang guru, berkahwin dengan seorang anggota polis dan ada 5 orang anak. Abang Sufi, seorang guru juga, berkahwin dengan guru disekolahnya dan ada 4 orang anak. Nubhan bekerja di syarikat air dan Alisa bekerja di kedai makan. Ayah Nazmi bekerja sebagai anggota polis (dah pencen sekarang), maknya pula suri rumah sahaja.
Sebelum kami berkahwin, aku baru cuba kenal karakter sorang-sorang ahli keluarganya. To me, Kak Ani ni seorang kakak yang agak busybody. Masa dia dapat tahu Nazmi rapat dengan aku, dia terus cakap,
“Baik kau kenal-kenal dengan kawan aku Yati, dia cikgu, masa depan kau cerah. Compare to Nora, dia keje kilang, kau keje kilang, mana cerah masa depan”.. Oo lupa pulak nak bagitau, aku keje kilang as supervisor dan Nazmi as technician. Kami sengaja minta kerja di tempat yang sama lepas habis SPM.
Nazmi menolak. Katanya soal hati tak boleh paksa. Kak Ani pun add aku di facebook, siap chat dengan aku, tanya pasal background aku. Aku berterus terang je, dengan akademik tak seberapa, aku dicemuh. Tak kisah la tu. Banyak kawan-kawan aku yang kata,
“Dah nampak bunga-bunga kepayahan hidup kau lepas kahwin nanti”, aku diamkan je. Yela, orang kata kahwin ni, dengan keluarga, bukan orang tu je. Erm..
Then, karakter Abang Sufi pulak jenis yang suka berfoya-foya. Banyak sangat perempuan yang dia couple dari sebelum kahwin.
Pernah jadi kes, dia nak kahwin dengan seorang perempuan kerja engineer. Perempuan tu ajak bertunang. Abang Sufi bagitau ayah dia. Masa dah dekat majlis, perempuan tu minta sikit sumbangan untuk bayar katering majlis. Ayah dan Abang Sufi enggan bagi.
Katanya mahal sangat seolah jemput sekampung datang. Memang perempuan tu jemput orang kampungnya, maka kenduri jadi macam kenduri kahwin. Hubungan mereka terputus di tengah jalan. Dia kenal cikgu di tempat dia kerja dan mereka terus kahwin sampai sekarang.
Back to us, hari demi hari kami selesa hubungan rapat, Nazmi melamar aku. Aku terima. Aku cakap dengan Nazmi, aku nak buat majlis pertunangan yang ringkas.
Memandangkan aku ni anak sulung, aku teringin. Duit makan-makan, pelamin mini, aku tanggung semua. Dia okay je. Family aku pun buat majlis bertunang tu dan aku jemput jiran terdekat selain ahli keluarga aku sendiri.
Terjadi isu sikit, bila ayah Nazmi nak ajak semua saudara mara dia yang ada dalam daerah tu termasuk yang negeri lain, untuk turun ke majlis pertunangan aku. Eh macam ayah dia terkena badi perempuan engineer tu pulak. Tula haritu cakap cara perempuan tu salah, sekarang dia pulak buat.
Aku bertegas dengan Nazmi, “tolong la maklumkan kat family awak tu yang majlis ni hadir antara keluarga jela”, aku tak nak heboh-heboh sebab ni baru bertunang, belum kahwin lagi. Kalau tak jadi, takut malu. Selain tu, bajet untuk kenduri makan-makan sikit je, jangan la expect macam kenduri besar-besaran.
Nazmi setuju dan akur sebab dia pun takde keluarkan duit 1 sen. Tah macam mana dia cakap dengan family dia, aku pun tak tahu. Masa hari bertunang, yang hadir, semua ahli keluarga dia, dan 3 orang kawan baik Nazmi.
Aku salam Alisa yang 4 tahun muda dari aku, dia langsung tak nak cium tangan aku atau senyum. Begitu juga isteri kepada Abang Sufi. Padahal ni kali pertama aku bersua, masing-masing masam muka. Kak Ani, toksah cerita la memang mencuka.
Masa majlis berlangsung, ayah Nazmi menyuarakan pasal hantaran kat orang tua aku, dia terkilan yang aku dan Nazmi tak bagitau dia yang kami dah berbincang. Katanya 5k tu mahal. Aku sabar je. Padahal 5k tu nak buat makan-makan katering kahwin pun tak lepas. Aku sendiri akan tambah 5k untuk cukupkan 10k. Sedih.
Apa pun, majlis berjalan lancar lepas sesi sarung cincin. Makanan semua cukup dan dapat pujian dari jiran-jiran aku sebab sedap.
Namun, hati aku mula tak sedap fikirkan sikap ahli keluarga dia yang dingin dengan aku. Mak ayah aku pun perasan hal tu dan mereka start nasihatkan aku, jangan terlampau fikirkan hal ni, takut nanti dihasut syaitan, tak jadi nak berumahtangga.
Hubungan aku dan Nazmi baik sahaja sehinggalah aku diuji, Kak Ani send gambar Yati dalam satu kereta dengan Nazmi bergelak ketawa. Aku minta penjelasan. Namun, satu tick. Sampai satu tahap, aku suarakan pada ayah dia,
“Kalau camni, baik kami bawa haluan sendiri sebelum terlambat”.. dan ayah dia jawab, “terpulanglah, kalau nak putuskan pertunangan, pakcik datang rumah kamu, pulang sendiri cincin tu.”.. Aku sedih, bukannya ayah dia nak baikkan kami, malah jauhkan kami.
Nazmi call aku berkali-kali, aku tak jawab. Melihatkan kak Ani yang asyik post di facebook menyindir aku, “Tak sedar diri, kerja swasta je, tak cantik, gemuk tak sesuai dengan adik aku..”.. Aku remove dia dan Alisa dari facebook, malas memikirkan toksiknya posting mereka. Terlampau sedih, aku diamkan diri.
Dia datang ke rumah, aku tak nak keluar. Dia cuba guna kawan aku sebagai orang tengah untuk explain apa yang jadi. Katanya henfon rosak, yang lain kedekut nak bagi pinjam dan aku terima alasan tu. Sekadar tumpangkan Yati dan Yati pun bagitau sudah ada kekasih hati. Aku lega.
Tak lama kemudian, kami bernikah. Majlis sederhana sahaja tetapi meriah. Mak dan ayah aku bungkuskan banyak makanan untuk keluarga mertua aku. Tapi bila aku balik rumah mereka, aku kecewa melihatkan lauk-lauk itu dibuang keesokannya, kerana ‘malas nak panaskan’..
Kami lalui situasi perkahwinan sama seperti pasangan lain, ada pasang surutnya. Selalunya akan jadi surut bila libatkan isu ahli keluarganya. Pernah kami bertekak gara-gara ayah Nazmi yang kerap call setiap malam untuk berborak dengan Nazmi.
Sejak kami duduk di rumah sendiri, ayahnya selalu sahaja call. Bermula waktu lepas Isyak, boraknya sehinggalah lewat malam. Memang aku tidur terus tak sedar dia dah habis borak atau belum. Jauh disudut hati aku, ayah dia ni tak respect privacy orang ke?
Sedangkan aku dah lihat call log suami aku, ayah dia dah call dari pagi di pejabat, sampai lah tengahari, call lagi bila dia nak balik, dan sampailah dia sampai rumah. Sambung lagi malam pula.
Banyak ke storynya yang setiap hari kena call? Tanya benda yang sama, Dah makan ke? Dah sampai rumah ke? Kerja ke hari ni? Buat apa tu? Dah solat ke? Tak pergi jalan ke? Gaji dah masuk ke?
Aku pelik sebab Nazmi cakap, dengan kak Ani dan Abang Sufi, ayah dia tak pernah call. Maklumlah, mereka tu jenis jarang ikut cakap ayahnya dan mereka jenis tegas/garang. Ayah dia takut nak kacau kot.
Bukanlah aku ni nak ‘bersama’ suami setiap hari, cuma aku perlukan dia untuk dengar keluhan aku di tempat kerja, luahan satu sama lain. Sedih bila suami tak mampu nak cakap benda sebenar takut terguris perasaan ayahnya.
Kalau orang lain, mak mertua yang jadi masalah utama, aku pula, ayah mertua. Apa lah nasib. Family aku pun tak macam ni, melainkan urgent baru call. Kalau tak, sekadar whatsapp sahaja.
Suatu hari, Nazmi bagitau aku, dia dapat tawaran masuk polis. Aku bersyukur, rezeki dia. Family mertua nak buat kenduri doa selamat sebelum dia berangkat. Aku tolong apa yang patut sebab mak mertua kata dia nak masak sendiri, tak nak pakai katering. Aku bantu set up kerusi meja kat khemah, kupas bawang, potong ayam. Dah settle majlis, kemas, basuh pinggan.
Kak Ani dan Alisa duduk je. Aku masih buat kerja. Selesai, aku minta izin nak balik rumah mak ayah aku sekejap. Nazmi izinkan dan dia bagitau, dia ada bungkuskan sikit lauk kari daging dan ayam masak merah untuk aku bawa balik.
Aku terharu bila dia kata dia pack kan bahagian isi ayam kegemaran aku dan dia.. Katanya, “Nora balik rumah mak dulu, dh selesai kemas nanti abang balik sana kita makan sekali ya?”.. Dia suruh aku ambil dekat garaj depan tu dalam plastik kuning, sementara dia angkut kerusi meja letak tepi.
Bila aku datang, aku nampak Kak Ani tengah pegang plastik tu sambil keluarkan isi dalam bungkusan. Aku jadi malu nak tanya. Nazmi datang dan tanya pada kakaknya, “Mana plastik Naz isi tadi Along?”.. Kak Ani pun pass kan plastik tu pada aku.
Aku pun balik, masa sampai rumah, dengan bangganya aku bagitau mak, Nazmi ada kirimkan lauk-pauk. Mungkin sebab aku ada membantu, tu yang diberi habuan. Mak aku buka plastik, ada dua. Satu plastik, semuanya kepak ayam, ada yang isi dah bercerai dari tulang. Satu plastik lagi, kuah kari semata tanpa isi..
Aku cuba fikir positif, mungkin isi dah habis. Tapi kenapa Nazmi cakap dia dah isikan bahagian ayam yang kami berdua suka makan? Siap kata ada kari daging. Usah kata daging, kentang dan carrot pun takde, kuah semata.
Mak aku geleng kepala, bangun dan terus keluarkan apa yang ada dalam peti ais untuk masak memandangkan aku beritahu dia yang Nazmi akan balik sini untuk makan bersama.
Petang tu, Nazmi tiba di rumah family aku. Dia tertanya adakah kami dah habiskan lauk ayam masak merah? Tapi dia terdiam bila nampak hanya kepak ayam yang dah berderai sahaja ada di dalam bekas. Sedangkan dia tahu, dia langsung tidak masukkan kepak ayam semasa membungkus.
Nazmi minta maaf pada aku dan keluargaku. Aku maafkan even terkilan. Malam tu aku menangis, seolah sedih dilayan sedemikian rupa. Nazmi pujuk aku, banyak kali dia minta maaf padahal bukan salah dia. Dia baik sangat.
Sepatutnya aku dah boleh agak, perbezaan yang ketara dari hari pertama kami bergelar suami isteri, family aku terus add Nazmi dalam group whatsapp family kami, mencurah ucapan tahniah jadi ahli keluarga baru kami.
Berbeza dengan sikap family nya yang ada group keluarga tapi antara mereka sahaja. Seolah menantu ni orang luar tak layak ambil tahu apa jadi pada mereka. Teringat apa salah yang aku buat sampaikan dibeza-beza sebagai menantu? Adakah sebab belum hamil lagi? Aku sabar dan terus berdoa.
Saat tu juga, aku terdetik dan tertanya dia, kenapa adik-beradik Nazmi layan Nazmi macam ni? Macam bukan adik-beradik kandung? Nazmi pun tak tahu.
Kadang dia sendiri kecewa, bila kakak dan abang dia kahwin, dia belikan mereka hadiah. Siap sponsor set bilik pengantin, kos katering kakak dia, kek kahwin abang dia guna KWSP Nazmi sendiri masa kerja kilang.
Tapi, bila kami kahwin, adik-beradik dia macam takde reaction. Bukan aku meminta, tapi adik-beradik aku banyak bagi hadiah. Nazmi juga pernah cerita, dia tak sambung pengajian tinggi sebab terpaksa kerja kedai makan dan kilang untuk sara kakak dan abang dia di menara gading.
Tu pun mereka masih pertikaikan, “Sikitnya bank-in bulan ni??” .. bila Nazmi cuma mampu sumbangkan hanya RM100.. yelah, selebihnya gaji diberi pada ayah pulak untuk beli barang dapur.. Gaji ayahnya sebagai penjawat awam tu, tak tahu ke mana.
Okay kita kembali ke keadaan asal, beberapa hari lepas kejadian tu, Nazmi berangkat ke Pusat Latihan Polis. Air mata kegembiraan bercampur sebab kami akan berpisah agak lama tanpa telefon bimbit untuk berhubung.
Agak lama dia di sana, aku tak dapat mengkhabarkan berita bahawa aku hamil. Aku bersyukur dia sempat tamatkan latihan dan menemani aku di hospital untuk bersalin.
Bila anak aku menginjak usia 7 hari, keluargaku buat Majlis Aqiqah dan Cukur Jambul serta bagi nama anak. Kak Ani hadir. Namun kata-katanya yang sehingga sekarang buat aku terasa,
“Apa makna nama anak kamu ni? Bahasa Arab la tu? Bagi la nama moden sikit, ni tak… buh macam nama orang dulu-dulu..”.. semua kerana aku berikan nama anakku Abdul..
Dengan keadaan aku yang masih berpantang emosi aku agak tak stabil. Aku mudah menangis. Kadang-kadang terasa dengan kata-kata orang. Terutama bila ayah mertua asyik tanya,
“Bila Nora dengan Abdul nak datang sini pulak? Dah tak sudi datang ke apa?”.. Seolah tak faham dengan situasi aku yang masih berpantang.
Sedangkan boleh sahaja mereka datang melawatku di rumah family aku. Takkan nak tunggu aku jemput setiap kali ada majlis sahaja?
Aku terasa dengan sikap mertua yang datang majlis, bergambar, makan dan terus membungkus lauk padahal masih ramai lagi tetamu sedang makan. Takde common sense. Aku betul-betul terkilan dengan sikap self-service mereka yang selamba badak.
Tahun lepas, suami aku pertama kali dibenarkan balik raya. Maklumlah, kerja polis, payah nak dapat cuti balik raya, tambahan dia masih kategori baru bekerja. Tu pun ada fasa 1 dan fasa 2.
Fasa 1, cuti raya yang dibenarkan, ambil beberapa hari sebelum raya pertama sehinggalah raya pertama, tapi raya kedua kena terus bekerja. Manakala Fasa 2, dikehendaki bekerja sehingga raya pertama, boleh cuti bermula raya kedua sehingga seterusnya.
Aku sedih apabila kak Ani sering mempersoalkan, “Oi Nazmi, apesal kau tak boleh balik raya tahun depan? Laki aku boleh je balik, dia pun polis la.”.. Aku terdiam, dalam hati aku, cawangan kan lain-lain, waktu bekerja juga lain-lain? Aduhai.. macam mana nak explain kat “cikgu” ni..
Yang menyedihkan, ayah mertua aku juga mempersoalkan cuti raya Nazmi tu, sedangkan ayahnya juga pencen polis, takkanlah tak tahu? Siap cakap lagi, jangan lupa bawa Abdul tu balik tengok kami. Walaupun Nazmi cakap, “Payah nak balik…(merujuk pada kepayahan nak dapat cuti selaku anggota keselamatan kadang cuti beku)..”..
Ayahnya masih berdegil dan jawab, “Apa yang payahnya? Naik kereta la, bukan suruh jalan kaki balik kampung”.. Jawapan yang sangat tak matang aku kira.. haih.. peritnya hati menahan marah.
Nazmi jenis yang takkan bertekak. Dia mengiyakan semua yang diperkatakan mereka. Aku pula dipersalahkan, seolah aku tak bagi Nazmi balik rumah mereka sewaktu raya dan seolah aku balik rumah family aku sahaja sepanjang raya nanti.
Terkadang, aku rasa nak buat seperti yang mereka inginkan. Aku balik ke rumah family aku sahaja. Tak payah balik rumah mereka. Jika balik sekadar menyakitkan hati dan telinga, untuk apa?
Pernah Kak Ani dan anak-anaknya datang ke rumahku. Bermain permainan anak aku. Alhamdulillah anak aku tidak lokek. Yang menjadikan aku geram, Roda 3 wheels hanya boleh dinaiki seorang. Anaknya naik bertiga dan terkepak roda tu terus rosak. Dah la mahal nak beli lain. Sedih aku rasa.
Kak Ani juga sempat menyindir, “Ala rosak pulak, tapi kau boleh beli lain kan Nazmi? Dah kerja kerajaan tu. Jangan lupa datang rumah Along. Bukan jauh pun.”.. Tanpa dia memikirkan aku yang kerja kilang tak tentu waktu bekerja ni, anytime kena panggil..hmm..
Sejak berpindah mengikut suamiku yang baru ditukarkan ke negeri lain ni, aku kurang gemar dengan sikap family dia yang suka datang mengejut tanpa maklum pada kami walaupun mereka perlu mengharungi perjalanan yang jauh, acah surprise barangkali.
Bila datang rumah aku, kak Ani suka menyelongkar peti ais rumah aku dan makan dan masak apa sahaja di dalamnya sewaktu ketiadaan aku. Apa lah salahnya minta izin dahulu.
Aku bersyukur PKP dilaksanakan, takde lah kena hadap soalan merapu isu ‘Raya’ mereka setiap tahun, tak perlu hadap muka masing-masing yang macam cencaluk, dengan pakej tak nak salam. Terlampau banyak untuk diceritakan, namun agak lega, makin banyak yang terpendam dikeluarkan. Cuma sampai sini sahaja, khuatir lama-lama muak membaca.
Sesungguhnya aku rindukan keluargaku. Kami kini jauh diperantauan. Kalau dulu, beraya sehari di negeri orang, kemudian boleh bercuti untuk balik ke kampung. Kini dengan wabak pandemik, sukar untuk kita rakyat Malaysia ke sana ke mari sewenangnya.
Akhir kata, pada ibu bapa luar sana, janganlah beza-bezakan menantu. Kita tidak tahu apa esok lusa akan jadi pada anak kita. Apakah mereka akan dibeza-bezakan mertua juga? Hidup umpama roda.
Ibu bapa aku ajar untuk menghormati yang lebih tua dan menyuruhku mentaati mereka sebagai mana aku mentaati ibu bapaku sendiri.
Moga Allah lembutkan hati mereka untuk memaafkan segala kesilapan aku andai ada terguris hati mereka. Aku juga insan biasa. Aku mohon ada sinar baru dalam kehidupan lepas pkp ni. Salam sayang buat suami dan anakku.
– Nora (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit