Dalam kebanyakkan organisasi dakwah, bilangan akhawat dilihat lebih dominan berbanding ikhwah. Maafkan saya jika tidak mampu memberikan data yang tepat untuk bilangan akhawat dan ikhwah. Saya sendiri pun tidak pasti kenapa bilangan ikhwah sedikit. Mungkin kerana faktor murabbi, tajmik atau muayyasyah. Persoalan ini saya serahkan kepada pihak ikhwah untuk dijawab.
Umumnya, pernikahan antara ikhwah dan akhawat sangat digalakkan supaya kelangsungan jemaah dapat diteruskan walaupun sudah berumahtangga. Namun, dalam konteks baitul muslim, dengan jumlah yang kita ada, kita akan terpaksa menerima hakikat bahawa bukan semua akhawat berpeluang untuk berkahwin dengan ikhwah. Walaupun begitu, pihak akhawat banyak dinasihatkan untuk mengutamakan ikhwah dalam soal pemilihan suami. Alhamdulillah, ada akhawat yang ditakdirkan untuk berkahwin dengan ikhwah, namun bukan semua akhawat bernasib baik dalam hal ini. Jadi apakah nasib mereka? Adakah mereka masih perlu menunggu untuk dipinang ikhwah? Jika harus menunggu, sampai umur berapa mereka diberikan kebebasan untuk memilih suami yang bukan ikhwah?
Sudah pasti banyak persoalan yang boleh dibangkitkan dalam isu ini. Justeru, ingin sekali saya membincangkan sedikit solusi yang pernah digariskan dalam jemaah.
Solusi pertama: Memberikan akhawat kebebasan memilih suami seusai usianya 30 tahun
Pada pendapat saya, membuka kebebasan untuk akhawat memilih suami yang bukan ikhwah pada umur 30 tahun adalah sesuatu yang agak terlewat. Sebagai wanita, kita mempunyai tempoh kesuburan yang tertentu untuk melahirkan zuriat. Jika berkahwin pada usia yang terlalu lewat, dibimbangi mereka akan mempunyai masalah untuk menimang cahaya mata. Selain itu, mencari jodoh di usia yang sudah menginjak 30-an bukanlah sesuatu yang mudah. Purata umur pernikahan pada zaman sekarang ialah 27 tahun. Pada pendapat saya biarlah akhawat diberi kebebasan tersebut bermula pada umur 25 atau 26 tahun. Usia ini tidaklah terlalu lewat untuk mereka berumahtangga.
Solusi kedua: Berpoligami
Poligami merupakan antara isu yang agak sensitif untuk dibincangkan dalam jemaah lebih-lebih lagi kepada golongan akhawat. Secara realitinya, kita hidup di dalam jemaah yang suasananya ikhwah tidak mampu untuk berpoligami dan akhawat tidak bersedia untuk dipoligami. Ikhwah mungkin tidak mampu berpoligami dek tanggungjawab yang harus dipikul berkaitan kewangan, nafkah tempat tinggal, pembahagian masa dan sebagainya. Manakala, poligami dalam kalangan akhawat pula lebih dekat dengan ujian perasaan seperti rasa cemburu dan tekanan emosi. Jadi, secara ringkasnya poligami pun bukan mudah untuk dilaksanakan dalam keadaan sekarang.
Bagi akhawat yang sudah lanjut usia, isu perkahwinan pasti akan memberikan stress kepada mereka lebih-lebih lagi jika melihat akhawat muda yang sudah berumahtangga. Kadang-kadang, mereka juga berada dalam dilema sama ada ingin mengikut saranan jemaah atau calon yang diperkenalkan oleh ibu bapa. Banyak perkara yang bermain di fikiran mereka. Mereka akan terfikir bagaimana kelangsungan mereka dalam jemaah jika berkahwin dengan bukan ikhwah. Sepanjang penglibatan saya dalam dakwah dan tarbiah, saya mengakui kebanyakkan akhawat sangat komited dalam aktiviti jemaah mereka. Ada yang sanggup bertahan untuk menunggu berkahwin dengan ikhwah kerana semangat yang kuat dalam organisasi dakwah.
Namun ada satu perkara yang kita harus ingat. Akhawat juga adalah seorang perempuan. Mereka juga adalah insan yang memerlukan kehadiran suami untuk didampingi, untuk rasa lebih selamat dan dilindungi. Mereka mungkin nampak hebat, berjiwa kental seolah-olah tiada masa untuk berfikir tentang pasangan. Namun, jauh di sudut hati mereka tetap ada harapan untuk bercinta, membina rumahtangga dengan pasangan yang diharap boleh membimbingnya ke syurga. Itulah wanita, hatinya sarat dengan cinta dan kasih sayang. Namun, untuk terbuka dalam soal cinta adalah sangat sukar bagi akhawat. Jauh lebih sukar daripada mendaki gunung everest. Mereka sangat pemalu. Mereka sangat-sangat menjaga maruah diri mereka.
Dalam konteks ini, murobiyyah seharusnya lebih bijak memainkan peranan. Jika kita mengetahui anak buah kita mencintai seseorang ikhwah, bantulah mereka untuk berwalimah jika kedua-duanya berkemampuan. Janganlah dibuat tidak tahu sahaja. Kelak, jika dia meninggalkan jemaah kerana berkahwin dengan bukan ikhwah, kita juga yang akan susah.
Selain itu, para murobiyyah sekalian, jangan marahkan anak buah anda jika dia ingin berkahwin dengan lelaki yang bukan ikhwah jika lelaki itu orang yang soleh. Ya, mungkin mereka akan meninggalkan jemaah. Tetapi ingatlah para murobbi sekalian, dakwah itu luas. Meninggalkan jemaah belum tentu meninggalkan dakwah. Lagipun skop dakwah seseorang itu berbeza. Ya, sangat berat untuk melepaskan mereka, tetapi ingatlah taqdir Allah itu tidak sama. Doakanlah agar dia dapat meneruskan dakwah walau di medan mana pun dia berada. Itulah yang terbaik.
Menangguhkan perkahwinan seorang akhawat ertinya kita telah menangguhkan pembinaan generasi yang soleh. Sejujurnya, saya melihat kebanyakkan akhawat mempuanyai potensi untuk menjadi isteri dan ibu yang baik jika mereka berkahwin. Bayangkan sekiranya kita menyekat urusan pernikahan mereka semata-mata mereka memilih bukan ikhwah, kita pasti akan kekurangan pewaris-pewaris yang bertaqwa untuk membawa panji Islam. Cuba bayangkan, sekarang kelahiran anak-anak haram berleluasa dek perzinaan. Maka alangkah ruginya kita membiarkan akhawat solehah ini membujang sedangkan mereka jauh lebih baik untuk berumahtangga dan membekalkan zuriat yang baik untuk Ummah.
Akhir kata, itu sekadar pendapat saya. Saya bukanlah ingin menghasut para akhawat untuk meninggalkan jemaah. Tetapi jika berlaku dilema pernikahan dalam hidup anda, fikirlah yang terbaik untuk diri anda. Jika anda rasa perlu untuk berkahwin dengan bukan ikhwah, teruskanlah. Asalkan lelaki itu lelaki soleh. Sebolehnya, janganlah minda kita asyik terkongkong untuk berkahwin dengan ikhwah. Luaskanlah permikiran kita. Luruskanlah niat kita. Cadangan terakhir untuk organisasi dakwah, mungkin kita boleh buat kursus kepada akhawat bagaimana ingin mengikhwahkan suami….Mungkin..
Sekadar luahan dan pendapat.
– Ukhti N
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit