Kahwin Tak Menjamin Kebahagiaan Dan Ketenangan

Salam semua. Saya sekadar meluah, perlukan pendapat murni murni sahaja. Terima kasih.

Berbelas tahun, hidup sendiri membesarkan anak anak dan menjalani kehidupan tanpa seorang suami.

Trauma hidup berumahtangga membuatkan saya senang dan selesa dengan kehidupan saya bersendirian bersama anak anak.

Pernah beberapa kali mencari pasangan, tapi semuanya saya putuskan sebab mereka kategori lelaki yang rupanya bila dah kenal, hidup atas keringat perempuan semata mata.

Saya terima semua dan anggap ujian Allah untuk diri ini.

Bila makin berusia, saya cuba mencari. Tidak mengharap sangat, usia pun hampir 5 series.

Bagi saya, lebih sesuai lelaki yang lebih berusia, kerana saya fikir, mereka lebih matang dalam kehidupan.

Sebagai peneman berkongsi perjalanan hidup kami meniti usia hingga penghujungnya. Ada peneman ke mana mana, jaga antara satu dengan lain, beribadah dan berkongsi ilmu akhirat.

Terus terang saya katakan, hubungan intim bukanlah keutamaan. Jika itu keutamaan, tidaklah lama saya sendiri.

Ketentuan, akhirnya saya bertemu seseorang, pada pandangan saya dia baik, bertanggungjawab pada anak anak. Ciri-ciri yang saya mahu itu boleh dikatakan ada pada dia.

Berkahwin kali kedua bukanlah keinginan si dia, melainkan jodoh dan ketentuan. Ini mungkin sesuai dengan saya. Dia tak fikir sangat bab hubungan intim.

Tapi, betul lah kata orang, lelaki pantang dicuit, bergetarlah dia.

Akhir-akhir ini, pandangan saya mula berbeza pada dia. Saya mula hilang rasa padanya.

Kalau tak ikut je apa dia nak, mula buat muka. Tarik muka, suara pun dah lain macam, nak tak nak bercakap. Hubungan intim tu satu kemestian rupanya.

Kadang terfikir, kenapalah saya berjumpa dengan lelaki yang salah lagi. Tak pandai menghargai. Menghargai ke tempat tidur sahaja yang difikirnya. Kalau saya tahu dulu, lebih baik saya single je.

Masa single dulu, saya buat macam macam kerja sampingan, buat catering, jual kuih, aktif NGO sana sini sebab bila masuk NGO ni, orang tahu saya meniaga, mereka akan order dengan saya, alhamdulillah, membantu kewangan saya.

Saya bukan jenis harap duit suami, sebab dia pun banyak tanggungan. Sekurang kurangnya, saya kurangkan beban dia.

Tapi bila dah berkahwin dengannya, bila saya ada aktiviti dengan NGO mula lah buat muka tak suka, tak cakap, cakap nak tak nak. Bosannya saya nak hadap selalu macam ni. Dulu tenang je hidup ni.

Belum hal lain lagi. Tak pernah dia nak bagi hadiah ke, celebrate ke hari lahir atau tarikh2 penting kami. Dia akan buat tak tahu, atau wish macam tu je.

Perempuan ni bukanlah nak mahal2 pun, kau ingat dan hadiah coklat ke, cupcake pun dia dah rasa dihargai. Ini tidak, macam batu.

Pernah saya balik lewat, takde pun nak call tanya. Saya pun bila dah macam tu, malas dah nak call dia update apa apa.

Pernah saya sakit, dia lebih sibuk hendak menghantar ke hospital. Tiada usaha untuk menjaga ketika saya tidak sihat. Saya pegang kata katanya dulu, kalau saya sakit, dia akan jaga. Semua itu sekadar manis dibibir.

Bila sakit, tiada lagi hubungan intim, itu yang difikirnya. Pernah saya luah rasa tidak selesa bila dipegang pegang tidak menentu. Sedangkan dalam keadaan badan tidak sihat, hanya rehat yang saya perlukan.

Bagi saya, walau isteri, hormatilah, isteri bukan perempuan penyedap boleh disentuh sesuka hati. Walau apa pun status seorang perempuan itu, dia seharusnya dihormati.

Bila dah hilang rasa, saya dah hilang minat dengan rumahtangga. Mula lah terkenangkan zaman hidup sendiri dulu. Tak perlu nak hadap masalah sikap dan perangai orang lain.

Tapi kadangkala inginkan hubungan ini hingga ke hujung nyawa, tapi bila fikir bab tidak selesa dengan hubungan intim, bosan nak hadap sikap masam muka bila tak dapat.

Bosan nak hadap situasi yang berkali kali ini, saya jadi pasrah, pasrah jika perlu berhadapan dengan perpisahan.

– Orked (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *