Perkenalan dengan suaminya selama 3 bulan, dan terus ikatkan pertunangan. Alasannya adalah kerana masing masing dah melonjak usia.
Biras aku pada ketika itu diusia awal 30an. Dan kakak iparku di hujung 20an. Berkenalan juga melalui kawan kawan.
Kakak ipar aku seorang ibu yang bekerja dan mengurus rumah juga itu tugasnya. Suaminya juga bekerja dan selalu kerja pada shift malam.
Aku nak cerita tentang biras aku ni yang layan kakak ipar aku seperti hamba. Katanya kerja kerja rumah, urusan anak semua ni memang kerja perempuan. Betul ke tu kerja perempuan? Apa pendapat korang?
Kakak ipar aku ni selalu mengadu dia penat, letih, tak cukup tidur, tak sempat kemas rumah dan macam macam lagi lah.
Aku mengasuh 2 orang anaknya yang comel comel belaka. Anak anak mereka, dihantar pada setiap isnin-jumaat di rumahku.
Tugas menghantar dan mengambil anak anak, adalah tanggungjawab kakak iparku. Manakala suaminya?? Hanya pergi kerja balik kerja dgn senang hati.
Kalau biras aku kerja shift malam pun, tetap kakak ipar aku juga yang menghantar dan mengambil anak anaknya.
Padahal, kalau dia shift malam, dia akan pergi kerja pada pukul 7 malam dan akan pulang pada 7 pagi keesokkan harinya.
Jadi sepanjang siang tu dia ada je kat rumah. Apa yang dia buat pun aku tak tahu. takde sikit pun hati dia nak jaga atau bermain dengan anak siang tu dirumah.
Ada seminggu tu, company biras aku ni cuti raya cina. Seminggu tau dia cuti. Tapi kakak ipar aku juga yang menghantar dan mengambil anak anaknya kat rumah aku.
Mana pergi suami dia yang tengah cuti tu? Cuti buat apa kat rumah kalau kau tak boleh nak jaga anak. Eish geram pulak aku.
Nak cerita pulak bab memasak. Ada satu hari tu, kakak ipar aku masak tomyam pada malam hari dalam pukul 2-3 pagi jugak lah dia gigihkan diri untuk masak.
Sebab suami dia shift malam, jadi suami dia akan balik pada keesokkan paginya dan akan makan makanan tu.
Keesokan harinya, kakak ipar aku pergi kerja macam biasa. Sesampainya dia di ofis, dia dapat satu message dari suaminya yang berbunyi,
“Kau masak apa ni? Macam belacan je kau masak. Dgn isi takde, sayur je banyak”. Terkedu kakak ipar aku bila suami dia sendiri hina masakan dia sampai macam tu sekali.
Bergaduh jugak lah diorang sehari tu. Padahal ada je ayam dalam tomyam tu. Tapi laki dia ni cuma tengok sayur sayur yang terapung. Belum korek dalam kuah lagi dah membebel.
Pernah jugak kakak ipar aku masak telur tumis kicap. Sebab bahan kat rumah dah habis, dia masak itu dulu. Memandangkan kejap lagi suami dia balik kerja nak makan.
Sampai je biras aku kat rumah, dia hina lagi masakan kakak ipar aku tu. Siap suruh masak benda lain. Sanggup ye dia beli lauk, lepastu suruh kakak ipar aku masak time tu jugak. Apa kejadahnya lah tak berterima kasih langsung!
Itu belum lagi yang setiap hujung minggu wajib pergi rumah mak dia. Tak boleh seminggu tak jumpa mak. Sabtu ahad wajib tidur rumah mak dia. Rumah bukan jauh pun. Dalam 15km je. Dia balik kerja hari hari pun selalu singgah rumah mak dia.
Padahal hujung minggu tu lah kakak ipar aku ni nak buat kerja rumah. Nak mengemas, lipat kain baju dan macam macam lah.
Kakak ipar aku ni lebih kepada penat, dan tiada sokongan dari suami. Sebab tu dia jadi stress, mana nak urus rumah dan anak anak lagi.
Memang rumah kakak ipar aku ni tak terurus. Habistu macam mana nak terurusnya, kalau ada suami tapi suami tak membantu!
Sekali tu kakak ipar aku balik kerja, ambil anak anak dari rumah aku, terus balik rumah. Dia tak sempat nak masak sebab anak anaknya meragam. Taknak dilepas.
Sesampainya suami dia dirumah, kakak ipar aku cakap kat laki dia yang dia belum sempat masak. Mintak tolong tengokkan anak anak, nanti dia masak. Dihempasnya barang barang dengan memek mukanya yang macam cuka ye laki dia tu.
Terkejut kakak ipar aku. Dia tak tahu kelam kabutnya balik kerja, ambil anak, urus kelengkapan anak, urus rumah, nak masak lagi. Anak pulak meragam. Tapi suami? Bagi muka cuka pulak.
Itu lah dia, nak rumah kemas, bersih, nak makan sedap sedap, tapi taknak tolong urus anak kejap, taknak tolong kemas rumah sama sama.
Kakak ipar aku pernah tanya suami dia, kalau semua kerja tu perempuan yang kena buat, suami pulak apa peranan dia? Biras aku tu jawab “tugas suami kerja carik duit, beri nafkah dan keperluan”.
Eh hello! Rumah yang diorang ni duduk pun, rumah dari mak ayah mertua aku tau. Duduk dah lah percuma. Takde hulur apa apa. Bil api air pun kakak ipar aku jugak yang bayar. Apa nafkahnya?
Kalau nak tahu, biras aku punya mak pun pernah cakap kat kakak ipar aku “kita perempuan ni, kerja ke tak kerja ke, tetap kena layan suami, sediakan makan minum suami secukupnya, urus rumah semua tu tugas kita”.
Ye memang betul, tapi bini kau pun kerja. Bertimbangrasa lah sikit. Rumah & anak anak tu tanggungjawab bersama. Buat lah sama sama.
Sedangkan baju kerja dia pun dulu sebelum kahwin, mak dia yang gosokkan. Dah tua bangka pun masih lah mak yang sediakan semua.
Manja betul.
Kakak ipar aku dalam pantang bersalinkan anak dia pun, disuruhnya gosokkan baju kerja dia. Tak boleh ke sepanjang isteri kau berpantang tu kau buat sendiri?
Tu belum masak, kemas rumah, kakak ipar juga yang buat. Kalau tak buat, di cop isteri pemalas pulak.
Belum lagi cerita bab biras aku ni selalu mengongkong kakak ipar aku. Selama dorang ni berkahwin, tak pernah ye kakak ipar aku pergi me time dengan kawan kawan atau dengan family.
Kalau nak pergi mana mana, laki dia tu kena ikut sekali, baru boleh. Kalau tak, jangan harap lah.
Manakala biras aku tu pulak, setiap minggu ada je aktiviti badminton & futsal. Malam minggu pula melepak. Takde pulak kakak ipar aku mengongkong.
Keluarga mertua aku ni taknak masuk campur urusan rumahtangga mereka. Mereka hanya boleh menasihat je. Apa apa keputusan semua ditangan kakak iparku.
Biras aku terlalu dimanjakan oleh mak dia. Sampaikan tak pandai nak buat kerja kerja rumah. Kerja menukang? Kerja kerja lelaki? Lagi lah dia tak pandai.
Dalam hal ni, kami sekeluarga sekeras kerasnya menyalahkan mak biras aku tu. Sebab tidak berlaku adil, dan selalu masuk campur hal diorang.
Kakak ipar aku pernah ye mengadu kat kakak suami dia pasal laki dia tak bantu kerja rumah dan uruskan anak. Kakak laki dia cakap “okay lah nanti kami adik beradik nasihatkan dia”.
Nak tahu tak apa jadi keesokan harinya? Kakak ipar aku pulak yang kena ceramah dgn keluarga laki dia. Kononnya itu memang tugas isteri.
Tak boleh nak mintak tolong suami. Adoi lah
Dalam rumahtangga ni kena bertolak ansur, sama sama bertanggungjawab. Anak anak tu amanah, sama sama kena galas. Masing masing pun kerja. Penat pun sama sama penat. Apa pulak nak lepas semua tugas kat isteri.
Ada sebab orang tu kahwin lambat, lambat jumpa jodoh. Selidik betul betul. Kenal hati budi, perangai dia dan keluarga dia dulu.
Kisah kakak ipar aku ni jadikan teladan. Kakak ipar aku sampai buntu. Nak ubah suami dia pun dah susah.
Sekian kisah dari,
– Nana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit