Kak4k / Orang Gaji?

Aku mempunyai 4 orang adik beradik, seorang abang dan 3 orang adik perempuan yang semua nya sudah bekerja.

Alhamdulillah semua sudah merasai duit gaji hasil titik peluh masing-masing dan bekerja tetap dengan gaji yang selesa.

Walaubagaimanapun, aku sebagai kakak yang tua masih lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap. Hanya bekerja sendiri sebagai peniaga kecil-kecilan memasak jika ada tempahan.

Walaupun aku mempunyai ijazah sarjana muda tetapi itulah rezeki aku buat masa sekarang.

Aku bersyukur dengan perniagaan aku ini tetapi adik-adik aku sangat tidak berpuas hati kerana kata mereka pekerjaan aku tiada masa depan.

Pada aku cukup makan minum pakaian tempat tinggal dan dapat menjaga ibu dan bapa aku itu adalah satu rahmat buatku.

Salah satu sebab aku tidak bekerja di luar sana itu juga adalah kerana aku ingin menjaga ibu dan bapa aku yang sudah tidak bekerja dan sakit yang tak terjangka.

Adik-adik aku masih lagi tinggal dirumah ibu bapaku dan abang aku tinggal di rumah sewa lain.

Jadi, dirumah, aku sahaja yang tinggal diwaktu siang oleh kerana yang lain keluar bekerja. Akulah yang akan mengemas, menjaga rumah dan memasak untuk keluargaku dan memasak tempahan jika ada.

Aku faham jika adik-adik aku tidak melakukan kerja-kerja rumah kerana mereka sibuk bekerja.

Bermulalah kisah aku sebagai kakak yang tersakiti.

Aku tidak kisah untuk mengeluarkan duit membeli barang-barang dapur dan memasak untuk keluargaku walaupun tidak pernah adik beradikku yang lain memberi duit dapur pun.

Tetapi aku mula berasa sedih dan dipergunakan apabila mereka mula mengungkit dan memerli aku kerana tidak memberi apa-apa sumbangan wang perbelanjaan rumah seperti membayar bil air, elektrik, wi-fi, makanan kucing.

Tapi, aku tetap hulurkan RM50 setiap bulan bagi menampung serba sedikit.

Aku hanya memekakkan telinga dan fokus pada kerja, mengemas dan memasak dirumah.

Pekerjaan aku seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jadi, aku tidak mampu untuk membayar semua bil-bil itu.

Yang aku mampu hanyalah membeli barang dapur untuk dimasak tetapi pada mereka itu memang kewajipan buat aku kerana pekerjaan aku sebagai peniaga memasak tempahan.

Aku masih mampu bersabar dan masih meneruskan perniagaan dan kewajipan aku menjaga ibu bapaku.

Masalah ini berlanjutan sehinggalah suatu hari adik-beradik ku membuat keputusan untuk membuat jamuan makan-makan dirumah dan mengajak kawan-kawan mereka kerumah.

Aku ditugaskan untuk memasak dan ibu aku juga menolong semampunya dan adik-adik ku yang lain ada juga menempah beberapa menu pencuci mulut.

Aku diminta untuk memasak nasi dan beberapa lauk yang berat dan banyak. Aku tidak kisah kerana sudah biasa memasak tempahan dan membeli semua barang keperluan masakan dan memasak.

Aku juga mengemas rumah dan ditolong serba sedikit oleh adik-adikku kerana mereka bekerja dan majlis dibuat pada hari sabtu.

Aku juga turut menjemput 3 orang rakanku yang sudah lama aku tidak berjumpa untuk hadir ke jamuan tersebut alang-alang melepas rindu.

Pada hari jamuan, faham-faham jelah adik-adikku sibuk melayan kawan-kawan mereka dan kebanyakkan nya akulah yang tinggal didapur mengisi lauk, bancuh air, dan mengemas.

Apabila rakan aku hadir, aku akan melayan rakanku dan ibu aku pula yang sambung kerja-kerja tersebut semampunya.

Selesai majlis, aku memberitahu adik-adikku segala kos membeli barang masakan tanpa mengenakan apa-apa cas untung.

Yelah, adik-beradik takkan lah nak berkira pula kan. Tanpa disangka aku pula yang dikenakan cas berkongsi kos majlis bersama tanpa pengetahuan aku.

Sudahlah aku yang memasak, mengemas, dan kawan aku cuma 3 orang sahaja yang hadir. Tetapi diminta untuk membayar juga.

Bermula dari situ, aku sedar rupa-rupanya aku ni hanyalah orang gaji sahaja lebih teruk lagi bukannya dibayar tetapi kena bayar balik pada mereka dan tidak ada istilah adik dan kakak tak perlulah berkira.

Hati aku tersentap dan aku mula sedar dimana tempat aku disisi adik-adikku. Orang gaji yang tak menyumbang apa-apa. Hanya duduk dirumah dan buat kerja rumah sahaja.

Sudahlah kalau mereka keluar berjalan tak pernah mengajak aku. Yelah kan aku ni tak ada duit. Jadi, takutlah mereka yang terpaksa membayar kos untuk aku.

Bukan aku tiada duit untuk berjalan tetapi banyak lagi keperluan lain yang lebih penting untuk aku belanjakan.

Aku kurang gemar keluar berhibur menghabiskan duit berbelanja kerana pada aku duit boleh disimpan untuk keperluan akan datang.

Perlukah aku mencari pekerjaan tetap, tinggalkan perniagaan aku dan tidak perlu lagi menjaga ibu bapa aku untuk menjadi setaraf dengan adik-adik aku supaya aku dapat menyumbang perbelanjaan rumah?

Bagaimana dengan ibu dan bapa aku yang kian uzur? Siapa yang nak jaga mereka jika semua keluar bekerja?

Aku dilema dan tersepit dengan persoalan ini. Jangan haraplah nak keluarkan duit untuk mengupah orang menjaga orang tuaku. Semua nya berkira dengan duit.

Harap kan aku seorang yang bayar, habis duit gaji bayar kos jagaan sahaja.

Sebab tulah aku lebih rela bekerja sendiri sambil menjaga mereka. Aku ni tiada kereta kerana semua kereta bapaku sudah dipakai oleh adik-adikku. Aku beralah.

Susah juga untuk aku berulang alik ke tempat kerja lain jika tiada kenderaan.

Ibu aku juga turut menekan aku supaya mencari pekerjaan tetap lain kerana dia tak mahu melihat aku diperlakukan begini dengan adik-adikku.

Jangan salah faham. Bukan nya ibu aku tidak ada peranan menasihati adik-adikku. Tidak.

Berbuih nasihat dan teguran diberikan tapi semakin hari semakin besar kepala semua adik-adikku ni. Berani dah melawan dan tidak mempedulikan langsung ibuku. Kasihan ibuku.

Bapaku pula biasalah, bapa tak banyak bercakap. Tapi sekali tegur adik-adikku, ayat pedih. Masih tiada apa-apa yang berubah pon pada adik-adikku. Keras kepala dan kuat melawan.

Aku buntu dan sangat terluka. Aku harap dengan luahan ini dapatlah juga mengurangkan dukaku dan memohon juga nasihat semua. Apa yang harus aku lakukan?

– Maya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Saya sama seperti awak cuma saya pernah sakit kronik. Tapi saya hanya diam apa saja mereka lakukan. Termasuk adik ipar yang masuk campur hal saya. Tak semua kerja saya boleh apply kerana sejarah penyakit. Sekarang, lebih banyak diam dan buat hal sendiri. Merancang untuk move out sbb keterlaluan dan akhirnya saya yang sakit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *