Kakak

Assalamualaikum.

Aku nak berkongsi satu cerita dengan korang sebab aku takde tempat nak meluahkan. Aku bukan penulis, dan aku tak pandai nak mengarang ayat. Maafkan aku sekiranya post ni buat korang tak paham apa aku sampaikan. Aku ada mak ayah, tapi family aku tak mesra dan kami tak pernah ada sesi meluahkan perasaan dalam keluarga. Jika ada masalah ke, kami memang akan pendam sendiri. Aku sendiri tak pernah cerita apa-apa kat mak atau ayah aku. Baiklah, aku tak mahu cerita pasal mereka. Aku nak cerita pasal kakak aku. Kakak aku ni lahir pada tahun 1986, so maknanya tahun 2017 nanti dia akan berumur 31 tahun.

Aku dengan dia memang tak pernah rapat. Kakak aku ni jenis tak boleh ditegur. Dia akan bermasam muka sebab dia rasa apa dia buat tu semua betul. Masa tu, selepas habis SPM dan masuk ke kolej swasta, dia menghilangkan diri bersama teman lelakinya dan yang paling risaukan dia ialah mak aku. Merata tempat kami cari dia. Hasil pencarian tu, akhirnya kami jumpa dia bersama teman lelakinya. Aku kenalkan teman lelaki dia ni sebagai A. Ada sesuatu berlaku dan mereka ditunangkan. Kakak aku berhenti kerja dan mak menyuruh dia duduk di rumah sahaja.

Tak lama lepas tu, dia bekerja di sebuah bandar di selatan tanah air. Mak aku izinkan daripada duduk rumah tak buat apa-apa dan ingat dia akan berubah. Lagipun, tempoh pertunangan dia setahun je dan mungkin lebih baik dia cari duit untuk topup apa yang patut. Semasa di sana, dia berkenalan dengan si B dan kalau korang nak tahu, dia menghilangkan diri lagi sekali. Tunang dia si A pun turut mencari dan tiba-tiba kami dapat tahu mereka dah putus tunang tanpa pengetahuan mak ayah aku. Dan sekali lagi, mak aku macam nak gila mencari dan minta aku menemani dia. Kami menggunakan segala petunjuk yang ada dan pencarian kami berhasil. Rupa-rupanya, dia duduk di rumah kakak si B. Dan paling mengejutkan, dia mengandung sampai terduduk mak aku mendengarnya.

Nak dijadikan cerita, Si B dinikahkan dengan kakak aku (kandungan dah 6 bulan). Mereka duduk di rumah mak aku selepas bernikah. Kehidupan mereka ditanggung mak aku sepenuhnya sampailah kakak aku beranak. Si B ni pula bekerja, tapi langsung tak pernah hulur apa-apa kat mak aku walaupun menetap kat situ. Aku pula jarang-jarang balik disebabkan kelas yang padat. Tak lama selepas tu, kakak aku mengandung yang kedua pula. Seperti biasa, mak dan ayah aku menanggung mereka dari segi kewangan.

Selepas setahun lebih, kakak aku buat keputusan bekerja semula di selatan tanah air. Anak-anak dan suami dia tinggal bersama mak aku. Kebajikan cucu-cucu semua mak aku yang uruskan. Suami dia si B ni pula, asyik cuti bekerja (Kalau kerja baru dapat duit). Buat rumah macam rumah sendiri. Kakak aku ada la hulur duit sedikit kat mak aku dan berharap semuanya baik-baik je. Mungkin disebabkan hubungan jarak jauh si B dan kakak aku, mereka berpisah. Maka, si B ni bawa balik anak-anak dia ke seberang selepas berpisah. Si B ni berasal dari negeri bawah bayu.

Kehidupan kakak aku umpama kembali bujang dan dia mula berkenalan dengan si C. Dalam masa bersama si C ni, dia ambil anak-anak dia dari si B. Semuanya ok sangat sebab si C ni nampak boleh bimbing kakak aku dan terima kakak aku janda beranak dua seadanya. Aku juga nampak si C ni boleh bimbing anak-anak kakak aku seperti anak dia. Dia turut menghormati ayah dan mak aku. Ku kira, ini calon terbaik untuk kakak aku setelah episod duka yang dia lalui. Tapi, aku ingat panas sampai ke petang, rupanya hujan turun di tengah hari. Family si C ni pada mulanya ok, tapi disebabkan perangai kakak aku yang muka sombong semasa datang ke rumah family C, membuatkan dia direject oleh family si C. Mereka putus dan kakak aku meneruskan kehidupan dia bekerja di selatan. Oh ya, anak-anak dia mak aku yang jaga.

Kehidupan di Selatan tanah air buat kakak aku lupa bahawa dia seorang janda beranak dua. Dia lupa yang dia ada anak-anak bersama mak aku. Dan dia berkenalan lagi dengan seorang lelaki bergelar D. Dan untuk pengetahuan semua, dia mengandung anak si D dan si D ingin bertanggungjawab. Tapi dalam masa mengandung anak si D, kakak aku berkawan dengan si E. Si E ni terima kakak aku seadanya. Si E tanggung semua keperluan kakak aku dari hujung rambut sampai hujung kaki. Dia terima anak si D sebagai anak dia. Si D tak boleh nak buat apa-apa sebab itu semua keputusan kakak aku.

Dan bermula lah kehidupan kakak aku bersama si E (Mereka tak berkahwin lagi) tapi bersekedudukan. Kakak ambil anak-anak dia dari mak dan menghilangkan diri sebab tidak boleh ditegur oleh mak dan ayah. Nampak macam mereka sebuah keluarga, tapi tidak.
Si E ni rupa-rupanya kaki pukul dan selalu pukul kakak aku bersama anak-anak dia. Kakak aku bertahan sebab semua ditanggung oleh si E.

Dan pada suatu hari, ada sesuatu berlaku, mak dan ayah berjaya melarikan cucu dia (anak bersama si B) di sebabkan tak tahan melihat cucu mereka dipukul. Mak aku cuba melarikan kakak aku, tapi dia tak mahu dan kami tak tahu mengapa. Dan yang aku dengar sekarang ni, dia dah ada 2 anak lagi bersama si E dimana kami sendiri tak tahu status anak-anak tersebut. Cucu-cucu yang mak aku jaga, mak aku masukkan mereka ke pusat tahfiz. Bapa mereka (si B), hilang tanpa dikesan. Nafkah tak payah cakap la.

Kakak aku sekarang, dah ada 5 orang anak dimana ada 3 orang bapa. Dia salahkan mak ayah aku kenapa dia jadi begitu. Dia seolah-olah benci dengan mak ayah aku dan buat mereka seperti musuh. Dan paling memalukan, dia buat penipuan online di FB di mana ayah aku kena tanggung akibatnya. Dia langsung tak hulur duit untuk kebajikan anak-anak dia yang djaga mak aku. Kalau dia baca confession aku ni, aku nak bagi nasihat sikit.

1) Kau anak kesayangan mak, kak long. Apa kau buat, mak tutup mata dan tahankan je sebab kau anak dia. Walaupun aku anak terpinggir dan selalu mengalah, aku xpernah terasa sebab aku tau, aku kena hormat mak ayah. Mereka salah satu tiket untuk kita ke syurga.
2) Jangan bermain dengan hukum Allah kak long. Bab keturunan ni azab seksanya long. Fikir lah anak-anak tak berdosa tu. Siapa wali mereka kelak. Kalau betul kau nak bersama lelaki si E tu, nikah lah. Allah akan permudahkan…
3) Rezeki dari penipuan tak berkat long. Jangan buat macam ni. Aniaya orang. Kalau yang dianiaya tu anak yatim, Allahuakhabar. Nauzubillah..
4) Kau kena terima teguran long, walaupun dari adik kau sendiri. Aku tak baik, tapi aku cuba perbaiki diri aku. Kau tak perlu nak buat musuh dengan adik beradik sendiri.
5) Anak-anak kau sihat, malah mereka seperti lupa yang mereka ada mak ayah. Mereka tak berdosa long. Doa mereka suci long.
6) Balik lah long. Kalau betul lelaki tu tak boleh bimbing kau, tinggalkan dia. Umur kita makin meningkat long. Kau dah 31 tahun long. Tolong fikir panjang-panjang. Dalam-dalam.
7) Paling utama, ingat Allah long.

-Dari anak kedua

– Anak kedua

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit