Kakak

Assalamualaikum para pembaca IIUM Confessions. Ada satu cerita yang selamanya terbuku di hati saya, yang sudah perit jika saya terus menelan, jika saya terus memendam.

Saya hanya ingin berkongsi, jika luahan ini tidak disiarkan tidak mengapa, sekurang kurangnya tuntas lah sudah apa yang ingin saya katakan. Boleh dijadikan iktibar buat semua, dan saya menerima pelbagai bentuk pandangan dari pembaca.

Saya seorang wanita bujang berusia 25 tahun, bekerja di sebuah syarikat sektor swasta, tinggal bersama ibu dan ayah yang sudah agak berusia. Saya merupakan anak bongsu daripada 5 beradik yang terdiri daripada 3 perempuan, dan 2 lelaki.

Kisah ini bukanlah tentang rumahtangga mahupun penceraian, ianya kisah saya. Yang saban hari memakan hati kerana dengan sikap ‘ignorance’ yakni ketidakpedulian daripada kakak saya sendiri.

Selepas menamatkan pelajaran peringkat Sarjana Muda, bahkan sebelum tamatnya pengajian saya, sudah saya letakkan azam dia hati ini, untuk tidak mengembara ke negeri lain,

Bertekad hanya untuk mencari pekerjaan di negeri sendiri sahaja, niatnya cuma lah satu, untuk menjaga ibu dan ayah.

Wallahi, cuma itu niat saya. Kenapa ya?

Kerana kedua dua abang, serta seorang kakak saya telahpun masing masing memulakan kerjaya mereka di kota Kuala Lumpur. Manakala seorang lagi kakak saya yang ketiga, sudahpun berkahwin dan menetap tidak jauh dari rumah ibu dan ayah.

Dia merupakan wanita yang berusia awal 30-an dan sudah dikurniakan 3 orang cahaya mata yang comel, yang saya sayangi sepenuh hati seperti anak saya sendiri. Saya gelarkannya kakcik.

Walaupun dia tidak tinggal bersama ibu dan ayah, oleh kerana jarak rumah yang dekat, dia dan keluarganya memang akan selalu pulang ke rumah ibu.

Itu bukan masalah bagi saya, malahan saya gembira, ibu ayah juga gembira kerana adanya cucu cucu mereka yang akan menceriakan suasana.

Namun saban hari saya semakin tertekan dengan perangai kakcik, masakan tidak, perangai malasnya semakin menjadi jadi. Sehinggakan saya bertanya kepada diri sendiri, adakah saya yang terlalu cerewet dalam menjaga kebersihan rumah?

Adakah saya yang terlalu berlebihan dalam ingin mengekalkan (sekurang kurangnya) kekemasan rumah?

Saya tahu, itu rumah ibu. Bukanlah rumah saya. Tapi adakah salah jika saya ingin hidup dalam keadaan yang bersih?

Bila kakcik pulang ke rumah ibu, semua hal memasak ibu yang uruskan. Saya bekerja, dan saya juga akui, saya masih belum pandai memasak untuk dijadikan lauk kepada ayah.

Tapi bukankah kalau memasak itu orang lain yang melakukannya, maka kita perlu sekurang kurangnya mencuci pinggan, lap dapur dan sebagainya? Tapi bukan bagi kakcik.

Bila dirumah ibu, kerjanya hanya duduk di dalam bilik. Anak anak nya dibiarkan bermain, dilayani oleh saya. Setiap kali selepas makan, saya harus ingatkan nya untuk cuci pinggan.

Saya masih ingat, bila tiba bulan Ramadhan, hatta sebiji pinggan anaknya atau suaminya pun tidak dia basuh. Ya Allah, sakit hati saya bukan kepalang.

Sapu rumah? Tidak sesekali. Jika sebulan di rumah ibu pun belum tentu saya lihat dia memegang batang penyapu. Seperti yang saya katakan, kerjanya hanya bermain fon, dan duduk di dalam bilik.

Dia akan keluar bila ayah kedapur, dan bercakap seperti dia tahu segalanya. Kemudian bila ayah tiada, dia kembali masuk ke dalam bilik. Sungguh, hati saya sakit. Tapi saya terfikir juga, atau saya yang bermasalah hati. Tapi letaklah diri kalian di tempat saya.

Kakcik pandai bercakap, bila didepan semua orang, ada kalanya dia menjatuhkan saya, bercakap seolah saya tidak pernah pandai melakukan kerja rumah. Saya hanya diam. Tapi dalam hati Tuhan saja yang tahu.

Waktu pagi, adakalanya anak anak kakcik kelaparan dan meminta makanan daripada saya. Bila saya sibuk menyediakan makanan untuk mereka, datanglah kakcik ke dapur (kerana ada ayah) lalu menegur saya itu ini tidak kena.

Namun apa yang lebih meremukkan hati saya, ibu tidak langsung berpihak kepada saya. Saya faham mungkin ibu tidak mahu anaknya merasa ibu pilih kasih, tapi hati saya?

Bila rumah bersepah, pinggan berlonggok di dalam sinki, lantai kotor, ibu akan membebel kepada saya. Tapi bukan pada kakcik. Sedangkan yang kotorkan lantai ibu, cucu cucunya. Yang penuhkan sinki ibu, anak perempuannya.

Hatta plastik gula gula pun kakcik tak kisah buang merata di dalam rumah. Apa yang anak anaknya sepahkan, dia biarkan. Kerana baginya, yang sepahkan itu anaknya, bukan dia.

Bila makan malam, ibu yang sediakan makanan, ibu yang angkat pinggan, ibu yang buat air. Kadang kadang kerana terlalu sakit hati dengan ibu kerana melayan keluarga kakcik sebegitu rupa, saya hanya kurung diri dalam bilik, dan biar ibu lakukan semuanya.

Walaupun jauh di sudut hati saya, saya kesiankan ibu. Tapi kemarahan saya membuak buak kerana persoalan yang saya sendiri tak tahu apa jawapannya.

‘Kenapa dia langsung tiada common sense’ ‘kenapa dia terlalu pemalas’ ‘kenapa dia masih hidup begitu sedangkan usianya juga sudah mencecah 30 an’.

Lama kelamaan saya rasa sesak di rumah sendiri. Saya cuma berharap anak anaknya tidak membesar seperti kakcik. Yang hanya tahu sedap bercakap, tapi perbuatannya tiada.

– Rosie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *