Salam semua, tajuk confession memang gempak, tapi sebenarnya bukan aku nak cari calon isteri kedua okay. Ah, aku sebenarnya nak luahkan isi hati je.
Arwah ibu dah meninggal sejak 2014 lagi. Takdir tuhan, ayah pula dijemput ilahi lebih kurang setahun berikutnya. Entah rindu ibu mungkin. Tinggallah kami 3 beradik. Kakak sulung, saya (lelaki sulung) dan adik lelaki.
Walaupun ayah dan ibu telah pergi, kami tidak ditinggalkan begitu saja. Alhamdulillah, rumah dan keperluan asas sempat disediakan untuk kami 3 beradik. Sejak itu, kamilah yang support antara satu sama lain. Terima kasih kakak, walaupun perempuan yang sulung, dia bekerja seperti seorang lelaki yang hebat. Seperti seorang ketua keluarga. Aku yang lelaki jadi malu dengan semangat kakak.
Semenjak ibu meninggal, aku lihat kakak sedikit murung. Mungkin kerana dia anak perempuan. Dia rapat dengan ibu. Dia lebih memahami isi hati ibu. Dia juga seperti tidak kesah menggalas tanggungjawab menjaga ayah dan kedua-dua adiknya. Dia mungkin juga sedikit sunyi. Ditakdirkan juga sebelum ayah pergi, dia menemui jodohnya. Tetapi tidak sempat ayah mewalikannya, ayah pergi ketika itu.
Apa yang aku kurang senang tentang jodohnya hanya 1, iaitu kakak aku bakal menjadi madu (isteri kedua) lelaki tersebut. Aku sedikit runsing. Sebab aku yang pada ketika itu merasakan memikul tanggungjawab yang besar. Aku sendiri tak tahu betulkah keputusan kakakku ketika itu. Ye lah, masyarakat kita sangat tidak suka cerita isteri kedua ni. Lebih-lebih lagi kami orang kampung. Apa pula nanti nak dengar cakap dan mulut jiran-jiran yang semestinya akan bercerita.
Aku mula berfikir seperti ibu. Kalau ibu masih ada, semestinya ibu tidak membenarkan perkara ini berlaku. Arwah ibu memang tidak gemar istilah “madu” ini. Aku berfikiran pula seperti ayah, ayah yang mengetahui tentang perkara tersebut sebelum dirinya dijemput ilahi memilih untuk bersetuju sekiranya kakak dijadikan isteri kedua atas sebab kerana kasihan melihat kakak. Sebelum ini, kakak juga pernah putus tunang.
Pada pandangan aku sendiri, bakal suami kakakku seperti seorang yang bertanggungjawab, mempunyai kewangan yang baik dan asas agama yang baik untuk mengambil kakakku sebagai isteri kedua. Walaupun aku banyak berdiam tentang perkara ini kerana tidak mendapat sebuah kepastian, akhirnya kakakku bernikah juga sekitar awal tahun 2016.
Bagaimanapun, permulaannya bukanlah senang dan mudah. Madu kakakku tidak membenarkan perkahwinan tersebut berlaku dan akhirnya kakakku bernikah juga di sempadan thai. Turun naik mahkamah juga. Alhamdulillah, sehingga kini mereka bahagia. Sudah mempunyai seorang anak lelaki.
Berkenaan madunya pula, dia memang tidak mahu berjumpa kakakku. Kakakku juga tidak mahu berjumpa dengannya kerana bimbang berlaku pergaduhan dan salah faham. Sehingga kini, aku masih melihat bahawa tanggungjawab abang iparku terhadap kakak sangat elok. Aku juga lihat abang iparku pandai membahagikan masa antara kedua-kedua isterinya.
Akhir-akhir ini, aku juga dapat tahu bahawa madu kakakku tidak berapa sihat. Dengarnya terkena buatan orang dan semestinya kakakku orang pertama dituduh dalam perkara ini. Jujur aku katakan, aku tidak rasa sama sekali kakakku akan berbuat sedemikian walaupun mereka berdua ialah madu yang tidak sehaluan.
Dan semuanya kini seperti biasa. Aku sibuk juga dengan kelas-kelas di universiti dan adikku baru menamatkan tingkatan 5. Kakak juga sentiasa balik ke rumah. Abang iparku faham keadaan kami lalu memberikan kelonggaran untuk kakak pulang ke kampung jika ada masa terluang.
Apa yang aku bimbangkan sekarang adalah stigma masyarakat terhadap isteri kedua ini. Aku takut kalau kakakku dilabel perampas dan punca menyebabkan berlakunya keretakan rumah tangga orang lain. Membuatkan aku terfikir. Jika suaminya tiba-tiba meninggal dunia (minta dijauhkan). Adakah dia dan madunya dapat berdamai. Bagaimana pula dengan hak-hak mereka? Adakah dapat diselesaikan dengan cara baik dan adil pada masa depan?
Perkara ini membuatkan aku juga berfikir sejenak. Jika suatu hari nanti aku berkahwin dan jika ditakdirkan berkahwin lebih (hehe), bolehkah aku menjadi seorang yang bertanggungjawab? Bagaimana pula persepsi masyarakat ketika itu? Sehingga sekarang, pada usia 24 ini, aku tidak mahu berfikir lagi soal jodoh. Bagi aku sendiri, cukuplah kiranya jika melihat kami adik beradik bahagia. Walaupun dalam hati kami tetap merindukan kasih sayang dan tagih simpati ibu dan ayah.
Kakak, aku cuma berharap seperti mana kau melayan kami adik-adikmu dengan baik, begitu juga sama layanan yang akan kau berikan pada orang luar di belakang kami. Kerana sesungguhnya aku tidak tahu sepenuhnya bagaimana keadaanmu di luar sana. Aku cuma berdoa kau dapat dibahagiakan walaupun cuma berkongsi kasih. Terima kasih kerana memikul tanggungjawab ini. Maafkan adikmu walaupun seorang lelaki, tidak mempunyai semangat kental dan tidak kuat sepertimu. Aku terkadang culas dalam menjalankan amanah sebagai seorang anak lelaki.
Semoga kalian yang membaca dapat menyedekahkan Al-fatihah untuk ibu dan ayah kami. Dah lama aku tak jenguk pusara mereka. Emm.
– Fys
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit