Kakak Ipar Fake

Nama aku Azie dan luahan aku hari ini berkenaan kakak ipar yang aku rasakan berpura-pura baik di hadapan kami.

Aku dan adik duduk bersama abang yang telah berkahwin selama dua tahun. Pada mulanya hanya aku sahaja, setelah adik habis belajar dia pun duduk sekali bersama kami.

Punca utama aku tinggal bersama abang adalah kerana abang duduk di kawasan bandar dan peluang pekerjaan sangat banyak.

Aku dan adik bekerja di klinik yang sama dan kami mempunyai shift bergilir. 7 pagi – 3 petang dan 2 petang – 10 malam.

Kalau nasib baik shift kami sama, nasib tak baik seorang pagi dan seorang malam.

Kakak ipar bekerja sebagai akauntan di syarikat besar dan selalu sibuk. Abang pula bekerja sebagai penjawat awam, jadi waktu bekerja dia 8 pagi sehingga 5 petang.

Kami ke tempat kerja dihantar dan diambil oleh abang setiap hari.

Bila shift pagi, abang akan hantar kami dan terus ke tempat kerja. Waktu balik pula kami terpaksa menunggu selama dua jam di klinik atau di kedai makan berdekatan.

Biasanya kami lepak mamak je sementara tunggu pukul 5.

Bila kami shift petang, abang akan mengambil kami dari rumah sewaktu lunch hour, dan malam dia juga yang mengambil kami.

Kakak ipar seorang yang lemah lembut di hadapan kami tetapi di belakang aku tau dia menganggap kami menyusahkan dia dan abang.

Dia langsung tak bertolak ansur tentang isu pergi dan balik kerja ni.

Pernah sekali abang demam pada hujung minggu, dan aku bekerja shift pagi. Dia menyuruh aku menaiki grab sedangkan dia cuti masa tu.

Sakit betul hati aku sedangkan dia tau kos grab mahal dan gaji aku tak sebanyak dia.

Bila abang sibuk atau tak sihat, dia memang akan menyuruh kami balik sendiri dan kadang-kadang dia yang orderkan grab sebab dia ada kad kredit yang mempunyai mata jika menaiki grab.

Itu baru isu pergi dan balik kerja, entahlah kadang-kadang aku kesian dengan abang sebab kakak ipar langsung tak membantu dalam soal ni.

Nak kata penat urus anak, rumah ada pembantu walaupun tak duduk bersama. Anak buah aku pergi dan balik sekolah pun ada driver sendiri yang abang bayar bulan-bulan khas untuk ke sekolah.

Isu bilik yang kami duduk pun menjadi masalah untuk dia. Rumah abang ada empat bilik.

Satu untuk dia laki bini, yang kedua untuk anak-anak dia, yang ketiga bilik aku dan yang keempat pada awalnya bilik tetamu. Tapi lepas adik pindah masuk, adik duduk dalam bilik tetamu tersebut.

Pada mulanya dia menyuruh kami duduk sekali, tapi aku berkeras kerana bilik aku kecil dan barang adik sangat banyak. Abang mengalah tetapi aku nampak kakak ipar seakan-akan tidak puas hati.

Bila keluarga kakak ipar datang bertandang, dia sengaja book hotel atau homestay untuk mereka. Abang pun mulalah rasa serba salah.

Keluarga aku elok je tidur dengan aku atau adik, takpun dekat ruang tamu. Rumah tu bersih ya, dekat dapur pun ada carpet dan tv. Lantai sentiasa berkilat. Bapak aku elok je tidur atas sofa dekat ruang tamu.

Aku akui, bab kebersihan kakak ipar memang sangat teliti. Kain buruk pun dia basuh dengan downy, dan kalau tersalah guna memang masam muka dia. Kadang-kadang dia saja marah abang padahal dia tau aku yang salah guna.

Kalau simpan makanan dalam peti ais lebih dua hari, memang ke tong sampah lah jawabnya. Itu pun kami geram juga sebab langsung tak bertanya. Bila aku tanya, dan dan dia kata nak ganti balik.

Aku dengar dia mengadu pada kakak dia yang dia stress dengan kehadiran kami kerana tiada privacy suami isteri. Dia sangkakan aku duduk sementara nak sewa bilik atau rumah.

Ibu aku kata buat apa nak menyewa sedangkan ada abang dekat sana? Lagipun adik-adik pun tanggungjawab abang juga.

Dan sekarang dia dah start kirim kami barang rumah macam sabun ke barang masakan lepas tu tak bayar balik. Bila aku minta, katanya kami guna juga.

Abang pun macam lembu cucuk hidung, ikut je kata bini dia.

Kalau kami sakit, memang dia yang akan jaga sepenuhnya. Sebelum pergi kerja dia masakkan sup ke bubur macam tu dan letak dalam bilik.

Bila dia sakit, dia nak kami pun macam tu. Dia kata dekat abang, at least tanyalah khabar dia. Abang mula lah membebel dekat kami.

Semua orang tak sama tau. Cara keluarga dia lain, kami lain. Kami bila demam jangan harap ibu nak layan elok-elok. Ngada-ngada katanya.

Aku pakai Iphone pun jadi hal, katanya membazir tapi tulah dalam lenggok gemalai tak nampak lah dia macam sound aku. Aku kumpul duit kot, dan sikit duit kwsp aku hari tu. Aku tak guna duit dia sesen pun.

Aku tak faham kenapa dia kena menyibuk hal aku. Aku nak keluar dengan boyfriend pun salah, aku dah nak tunang kot. Balik sebelum pukul 12 lah apa, tapi dia cakap dekat abang. Sumpah aku dah tak tahan hidup dengan dia.

Dengan pembersih lain macam, kadang-kadang dia saje sental bilik air aku. Aku tak tau dia ada sakit ocd ke apa, semua nak perfect.

Dia baik, tapi dia fake. Depan kami lembut je, belakang mengata dekat kakak dia. Aku selalu je dengar sebab dorang selalu bersembang dekat ruang tamu atas, depan bilik aku.

Semalam dia suruh aku atau adik ambil lesen, sebab dia kesian dekat abang. Abang elok je tak kata apa. Dia sibuk-sibuk suruh tu ini.

Walaupun dia bayar half, lesen bukan murah dengan kereta tak ada. Dia offer guna kereta dia, tapi kalau rosak ke nak servis mesti aku jugak kena hadap kan?

Ibu kadang-kadang okey kalau aku mengadu, kadang-kadang dia sebelahkan kakak ipar.

Mungkin sebab kakak ipar selalu bagi duit dengan hadiah, ibu pun sayang lebih.

Minta pendapat patut tak aku dan adik keluar cari bilik lain? Sebab aku nampak kakak ipar macam dah benci sangat dengan aku.

Sibuk suruh aku kahwin cepat semua. Rasa tak tenang dekat rumah sendiri.

Aku berharap dia berubah.

– Azie (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *