Kakak Iparku Seorang Bidadari II

Untuk part I, (https://iiumc.com/kakak-iparku-seorang-bidadari/).

Assalamualaikum warga iium confession. Semoga semua berada dalam keadaan yang sihat walafiat di samping keluarga yang dikasihi. Harap semua masih ingat dengan Ani. Bila baca komen kalian semua pada confession Ani yang lepas mengenai kebaikan kakak ipar Ani, Kak Ain, terharu Ani. Aamiin aamiin ya rabbal alaamiin atas doa kalian yang mendoakan kesejahteraan keluarga abang long Ani. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kalian, aamiin.

Dalam confession kali ni, Ani nak menjawab persoalan kalian dalam komen yang lepas dan nak cerita kebaikan Kak Ani yang tak sempat diceritakan dalam confession yang lepas. Harap kalian tidak jemu la ye.

Mengenai ex tunang abang long, Si A, sampai sekarang masih belum bertemu jodoh. Mungkin Allah sedang mengujinya. Selepas abang long berkahwin dengan Kak Ain, hubungan abang long, Kak Ain dengan Si A berjalan seperti biasa. Yela, si A dengan Kak Ain kan adik beradik. Takkan kerana seorang lelaki, nak bermusuhan. Lagi pun, air dicincang tak akan putus kan? Mungkin masa Si A putuskan, dia dah tak ada rasa dekat abang long. Betul la cakap orang kan, jodoh tu rahsia Allah. Siapa sangka, bercinta dengan orang lain, tapi berkahwin dengan orang lain.

Abang long dan Kak Ain masih melayan Si A dengan baik. Kadang-kadang bila Si A datang ke rumah abang long, mereka akan makan beramai-ramai. Si A pun layan anak-anak abang long dengan baik. Cuma masa mula-mula dulu, Si A seolah-olah cuba mengapi-apikan rumahtangga abang long. Contoh, Si A akan cakap, “Kau kerja buat apa la Ain? Dah la kerja jual sayur je. Buat malu je. ” Tapi, Kak Ain tak cepat melatah, Kak Ain akan menjawab juga. Ayat Kak Ain boleh tahan pedasnya. Mungkin sebab diorang adik beradik.

Lagi satu, Si A ni suka tag abang long bila dia selfie. Last-last abang long block Si A. Kak Ain? Tak pernah pun nak cemburu. Kadang-kadang tu aku tanya la juga perasaan Kak Ain bila Si A ni rapat dengan abang long. Kak Ain cakap, bohong la kalau tak cemburu tapi, malas nak layan. Tak nak keruhkan keharmonian rumahtangga diorang. Lagipun, Kak Ain cakap, benda dah lepas, tak elok mengungkit. Lebih baik fokus dengan apa yang ada sekarang dan fikir macam mana nak jaga keharmonian rumah tangga dan fokus kepada anak-anak.

Itu sahaja yang dapat aku kongsikan sedikit sebanyak hubungan Si A dengan Kak Ain dan abang long aku. Walaupun Si A pernah sakitkan hati abang long, tapi kami semua dah lupakan hal tu, dan mulakan hidup baru. Nak simpan dendam pun sampai mana kan, alih-alih akan berjumpa juga. So, better kita buang yang keruh, ambil yang jernih.

Sekarang aku nak cerita lagi kebaikan Kak Ain. Abang long ni nak cakap pandai agama, tak sangat. Tapi, aku boleh nampak usaha abang long yang pentingkan ilmu agama kepada keluarganya. Buktinya, abang aku beri izin kepada Kak Ain untuk pergi mencari guru untuk mengaji. Bukan dekat jarak Kak Ain ke tempat mengaji tu. Lebih kurang 30 minit kalau naik motosikal.

Satu yang aku puji pasal Kak Ain, dia tak pernah nak susahkan abang long. Kak Ain akan pergi mengaji sendiri, naik motosikal sendiri. Bila abang long nak hantar, Kak Ain akan menolak, mungkin sebab Kak Ain faham situasi kerja abang long aku. Alhamdulillah, Kak Ain dah 3 kali khatam al-Quran. Sekarang, anak-anak Kak Ain pula mengaji, yang sulung dah khatam al-Quran manakala yang bongsu baru juzuk 1.

Dari segi didikan kepada anak-anak. Abang long dan Kak Ain tak suka nak pukul anak-anak. Diorang akan nasihat elok-elok, cakap kenapa tak elok buat macam ni, kenapa mesti macam ni. Kadang-kadang kalau anak-anak nakal, Kak Ain akan membebel je, satu part yang aku suka, Kak Ain akan bebel guna bahasa utara. Siapa yang asal dari utara, tak kira la dari Kedah, Perlis, Penang atau Perak akan tahu cara bebelannya. Kadang-kadang aku yang dengar pun boleh mengekek gelak. Suka betul aku dengar Kak Ain pot pet pot pet.

Dari segi hubungan dengan orang sekeliling, Kak Ain ni sangat tip top. Kadang-kadang Kak Ain tak lokek nak sedekahkan hasil jualan dia kepada orang lain. Ada juga saudara mara yang jual hasil kebun mereka kepada Kak Ain, sedikit sebanyak boleh la membantu untuk beli lauk pauk diorang. Kak Ain pun tak kedekut kalau ada orang yang ingin pinjam duit daripada dia, tapi bergantung juga la berapa yang nak pinjam. Mungkin sebab kemurahan hati Kak Ain, Allah murahkan lagi rezeki Kak Ain dan abang long sekeluarga.

Itulah sedikit sebanyak sambungan aku kepada kisah Kak Ain. Kepada yang tanya Kak Ain ada adik perempuan tak, jawapannya tak ada. Adik lelaki ada. Hehehe… Takpe, untuk dapat jodoh yang baik, kita doa banyak-banyak. Perbaiki diri kita dulu. Sebenarnya ramai je wanita macam Kak Ain dekat luar sana, cuma perlu dicari.

Semoga rumah tangga abang long sentiasa dilimpahi rahmat Allah, aamiin. Terima kasih Kak Ain sebab sudi menjadi bidadari abang long. Sayang Kak Ain sangat-sangat. Sekian, terima kasih.

– Ani

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *