Saya anak sulung kepada empat beradik. Keluarga saya memanggil saya sebagai kakak. Adik-adik saya semuanya lelaki. Masing-masing sudah besar dan mampu menguruskan diri sendiri, kecuali yang paling bongsu yang masih sekolah menengah.
Sejak kecil, saya diajar untuk menguruskan rumah serta adik-adik yang lain. Sampaikan sehingga balik raya di kampung, saya jarang dapat bermain dengan tenang bersama sepupu kerana saya perlu membantu ibu membuat kerja.
Jika tidak, ibu akan memarahi saya di hadapan sepupu dan mengugut saya untuk mencubit saya. Kadang-kadang, saya akan tiba-tiba dicubit semasa bermain oleh ibu.
Boleh dikatakan saya perlu menjadi ibu kedua untuk meringankan beban saya. Masa kecil, tentulah saya cemburu dengan sepupu perempuan yang lain yang selalu dimanjakan oleh ibu mereka.
Semasa bersekolah, saya tidak ada ramai kawan disebabkan saya seorang yang pendiam. Ada kawan tapi tak ramai, kawan yang rapat pun boleh dikira.
Saya sering dibuli sejak sekolah rendah. Ia bukanlah buli yang teruk tetapi sekarang jika saya fikir balik, saya boleh katakan yang saya dibuli. Saya tak pernah ceritakan hal itu kepada sesiapa.
Selepas habis UPSR, saya dilarang menyertai lawatan kerana saya perlu menolong ibu di rumah. Itu yang abah kata. Abah pun sama. Selalukan biasakan adik-adik untuk mengejek saya. Kakak tak cantik, kakak busuk.
Sehingga saya sekolah menengah, saya dipulaukan oleh ramai orang, Ibu selalu kata saya tak cantik, tak ada yang nak berkawan dengan saya.
Saya mula dapat bilik sendiri ketika saya di tingkatan 4, itupun kerana saya berkeras memerlukan bilik sendiri. Hasilnya, saya sering berkurung dalam bilik dan bersendiri.
Saya cuma keluar untuk membuat kerja rumah dan menguruskan adik-adik. Ibu marah dan mengatakan saya mengada-mengada untuk ada bilik sendiri. Saya dah lali. Sekiranya saya tidak mengendahkan ibu atau melawan kata, ibu akan panggil saya anak derhaka.
Saya tidak boleh keluar rumah berjumpa kawan. Boleh dikatakan sepanjang saya sekolah menengah, tiga kali saja saya dapat keluar, itupun saya perlu balik sebelum Asar. Semasa saya sekolah, ibu langsung tidak membenarkan saya mempunyai telefon sendiri.
Alasan ibu, saya tidak perlu. Sedangkan adik saya yang di asrama, ibu berikan dia telefon sendiri semasa dia tingkatan 3.
Saya ingat lagi, ibu pernah meletakkan password di telefonnya disebabkan saya selalu diam-diam menggunakan telefonnya untuk berhubung dengan kawan selepas habis SPM.
Ibu marah sangat setiap kali saya sentuh telefonnya. Perkataan “kakak tak layak” selalu ibu kata. Saya pun dah lali sangat.
Selepas habis sekolah, saya tidak dibenarkan mencari kerja. Alasan ibu dan abah, saya masih ditanggung oleh mereka dan mereka masih boleh mendapatkan apa saja untuk saya.
Tetapi sebenarnya saya perlu berada di rumah untuk membuat kerja rumah. Saya sering cemburu dengan kawan-kawan saya serta sepupu saya. Dihadiahkan makeup dan apa sahaja. Sedangkan saya cuma diberikan makeup yang dah lama expired yang ibu punya.
Itupun, yang tinggal cuma saki baki. Saya cuma dibelikan telefon sendiri sebab saya akan sambung belajar seminggu lagi.
Itupun, malam-malam, ibu akan tiba-tiba masuk bilik saya untuk mengambil telefon tersebut dan ditukarkan dengan telefon lama adik, kerana bagi ibu, kakak tak layak nak guna telefon baru.
Kalau keluar berjalan-jalan atau pergi ke kenduri, ibu akan diam-diam memarahi saya sebabkan saya ketawa atau senyum. Kata ibu, saya tak cantik untuk senyum di depan orang ramai.
Saya pernah luahkan semuanya dalam diari semasa saya sekolah rendah, tetapi ibu jumpa dan baca. Ibu sangat marah kerana dalam diari itu, saya banyak tulis “ibu tak sayangkan kakak”.
Sehingga hari ini, ibu akan mengungkit tentang diari itu. Kalau saya nak berpakaian mengikut trend, ibulah orang yang akan paling marahkan saya.
Ibu pernah memanggil saya murahan hanya kerana saya tuck-in baju saya semasa memakai skirt. Masa itu saya masih sekolah. Boleh kira juga berapa kali saya meminta ibu atau abah belikan kasut atau seluar sukan. Saya terlalu takut untuk meminta.
Sekarang saya berumur 20 tahun dan masih belajar. Saya kenal dengan bekas teman lelaki semasa umur 18 tahun di kampus. Ibu sangat tak suka dan sering suruh saya untuk putus.
Selang beberapa bulan, kami pun putus. Hujung tahun lepas, saya mula kenal dengan teman lelaki yang sekarang, juga dari kampus yang sama.
Saya merahsiakan hal ini dari ibu selama beberapa bulan, sebelum ‘kantoi’. Ibu marah dan kata yang saya terlalu gatal untuk bercinta. Dan sering harapkan kami putus.
Teman lelaki saya tahu hal sebenar, dan dia sering memujuk saya untuk tak ambil hati tentang ibu.
Sekarang saya belajar dari rumah, saya sering bergaduh dengan ibu, Disebabkan ibu selalu marah saya tidak menjaga adik-adik dan hanya belajar.
Sedangkan adik-adik saya sudah besar. Seorang berumur 19, seorang berumur 18 dan seorang lagi tingkatan 1.
Ibu terlalu menjaga mereka sampaikan baju kotor mereka pun ibu yang basuhkan, tempat tidur mereka pun ibu yang kemaskan Sedangkan baju saya, saya basuh sendiri, tempat tidur saya pun saya kemas setiap pagi.
Setiap kali masa makan bersama, saya kerap disuruh bangun untuk mengambil apa-apa di dapur, bangun untuk buatkan air, bangun untuk ambil tisu, bangun untuk ambil pinggan tambahan. Sampaikan kadang-kadang, saya tak sempat untuk makan bersama.
Bila saya minta adik-adik pula untuk bangun, ibu akan melenting dan menyuruh mereka duduk dan makan. Kata ibu, “ibu suruh kakak, kakaklah buat”.
Bila adik-adik selesai makan, ibu hanya akan menyuruh mereka tinggalkan pinggan mangkuk mereka di dalam sinki untuk saya basuh.
Saya tolong masak, saya kemas meja, saya juga yang basuh pinggan mangkuk semua orang. Kalau saya merungut, ibu akan melenting dari ruang tamu dan mengatakan saya sangat berkira terhadap keluarga dan hanya mementingkan kawan-kawan saya.
Setiap kali ibu dan ayah bergaduh, pasti nama saya akan terkait dan saya akan dituduh cuba menjadi punca pertengkaran. Ibu selalu menyindir saya dengan mengatakan saya cukup besar untuk keluar dari rumah dan kurangkan beban ibu dan abah.
Kata ibu, saya perlu keluar dari rumah dan duduk di rumah lain. Saya sedih, adakah saya ni bukan anak ibu? Ibu benci sangat ke dengan saya?
Mujurlah adik-adik saya sangat baik dengan saya. Selalu menolong saya untuk membuat kerja rumah sekiranya saya menyuruh mereka, dan selalu menyokong saya sekiranya ibu saya mengutuk saya di belakang.
Sampaikan setiap kali saya keluar berjumpa teman lelaki, adik-adik saya tidak pernah memberitahu ibu. Kata mereka, saya sudah besar untuk membuat keputusan sendiri.
Saya juga satu-satunya tempat mereka berkongsi sedih kerana bagi saya, mereka lebih selesa berkongsi dengan saya. Sampaikan nak keluar kemana-mana, mereka akan memberitahu saya, baru ibu, Ibu tak suka hal ini. Ibu selalu menyindir saya yang saya ingin menjadi ibu mereka.
Saya ada merujuk kaunselor di kampus, dan mereka meminta saya untuk pergi ke bahagian psikiatri di hospital. Tetapi saya sampai sekarang tidak pergi.
Saya takut sekiranya betul saya tertekan, ibu akan kata saya kurang iman dan tidak percaya pada Allah. Saya pernah memberikan hint kepada ibu tentang masalah saya, tetapi ibu akan membidas dan kata,
“Kakak dapat macam-macam, kakaklah yang paling banyak ibu belanjakan, kenapa kakak nak stress? Kakak bukannya kerja, ibu dah bagi kakak semua benda kakak nak” dan mula mengungkit tentang setiap benda yang ibu beri.
Saya tau, saya tak perlu semua itu. Saya cuma nakkan ibu untuk faham saya dan cuba untuk mendengar. Ibu, kakak penat. Kakak sayang ibu tapi kakak penat. Kakak anak ibu juga, tapi ibu selalu lupa yang kakak anak ibu.
– Kakak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit