Assalamualakum semua. Aku nak minta pembaca tolonglah nasihatkan kakak aku sorang ni. Nasihatkan macam mana dia nak hadapi suami yang begini.
Kakak aku luahkan yang dia tak tahu nak betulkan balik keadaan bila suaminya rasa macam tak ada apa-apa baginya. Kakak aku ni pembaca tegar dekat page ni, tapi itu dulu.
Sekarang dia curi-curi baca je. Sejak dia berkahwin, suami dia tak bagi dia baca kisah-kisah confession, KRT, tak bagi tengok drama TV, tak bagi layan movie dan yang segalanya berkaitan rumah tangga.
Sebab apa? Sebab katanya banyak aura negatif, toksik dan boleh pengaruhi kakak aku dalam menjadi isteri taat dan solehah. Sebenarnya dia takut kakak aku tersedar yang kakak aku ada suami biawak hidup.
Kisahnya kakak aku baru dua tahun kahwin. Sebelum COVID-19, kami sekeluarga tak tahu pun yang suami kakak dah lama tak berkerja.
Sebab apa dia digantung tugas tu aku tak pasti, yang pasti sebelum pandemik lagi dia dah menganggur. Dia digantung tugas yang tak bergaji tu. Aku pun tak faham lah. Katanya dia dipaksa mengambil cuti tanpa gaji. Aku tak tahu bab kerja ni sebab aku pun masih study.
Yang boleh kantoi abang ipar aku tak berkerja bila selepas PKP yang pertama, kakak aku bersalin anak sulung. Jadi mereka pulang ke kampung untuk berpantang.
Bila dah lama sangat di kampung, ayah mak aku pun peliklah apasal menantu diaorang ni lama sangat cuti. Nak kata WFH, kerja dia bukannya depan laptop boleh WFH. Tapi demi nak menjaga air muka dan perasaan anak menantu ayah mak aku diamkan aja.
Sampailah masanya kakak aku tamat tempoh berpantang, masih ada berbaki cuti bersalin sehingga bayi berusia 3 bulan. Jadi kakak meminta izin duduk di kampung. Bila dah lama sangat duduk depan mata, mulalah terkeluar perangai abang ipar aku yang pemalas.
Isteri tengah sibuk dengan anak, dia duduk bersantai order itu order ini dekat kakak aku. Lepastu aku perasan tiap kali kakak minta belikan barang dapur, abang ipar akan ambil duit dan kad debit kakak aku.
Aku selalu melepak bilik kakak sebab nak main dengan baby, jadi aku selalu ternampak situasi memberi dan mengambil duit tu.
Terlintas difikiran aku ‘Abang ipar aku ni tak ada duit ke? kenapa belanja dapur pun ambil duit kakak aku?’ Kadang nak beli goreng pisang RM10 pun kakak aku hulur duit.
Tapi aku tak berani nak tanya kakak sebab kakak aku garang. Dulu pernah kakak marah aku sebab aku tegur kakak, kakak belikan hadiah untuk mak guna duit kakak tapi kakak tipu mak, kakak cakap abang ipar aku yang bagi.
Barang tu mahal gila kot, mak aku nak terima pun takut sebab macam membazir dah lah menantu kerja gaji tak besar pun nak beli hadiah mahal.
Sebenarnya kakak aku yang belikan, motifnya nak bagi mak sayang kat menantu, gaji kakak aku cecah RM10k sebulan jadi dia saja mampu belikan. Aku tak suka dia menipu, itu je. Buat apa nak reka cerita kan? Ingat mak aku tu macam atuk Ahmad Albab ke sayang menantu sebab harta?
Memang perangai kakak aku macam tu. Dia suka nak bagi nampak suami dia baik, penyayang, bertanggungjawab dan pemurah dimata keluarga sampai sanggup menipu.
Baguslah isteri tutup aib suami, tapi yang tak bagusnya perbuatan kakak membuatkan abang ipar ambil kesempatan dengan tidak mahu berkerja.
Rupanya sejak dari dulu dia berehat goyang kaki dirumah. Segala belanja, bil, dan hutang dia kakak aku bayar setiap bulan. Bila kakak aku mengandung, dia katakan,
“Nasib baik abang tak kerja kan, kalau tidak sayang sorang lah pergi check perut. Ada hikmah abang tak kerja tau. Boleh jaga sayang dengan baby.”
Tapi kakak aku yang sarat mengandung tu jugak yang dia order nak itu nak ini sampai nak kena masak dengan perut boyot dahlah letih balik kerja walhal dia yang patut layan kakak aku dah dia goyang kaki saja kat rumah. Ini kakak aku yang mengadu letih dekat aku ye bukan aku skodeng.
Lepas dah bersalin, abang ipar aku cakap macam ni pulak “Allah tahu rezeki kita lepas kahwin terus dapat anak, sebab tulah elok abang tak kerja. Abang boleh jaga anak, kalau hantar dekat pengasuh takut anak kita kena dera.. banyak kes anak kena dera pengasuh sekarang…”
Padahal kaklong aku tinggal selang satu lorong saja dengan kakak aku, kakak aku dah cakap sebelum kakak aku kahwin lagi kalau dia dapat anak, kakak aku nak upah kaklong aku jaga anak dia.
Kaklong aku dah lama kahwin tapi tak dapat anak, kaklong aku siap dah buat bilik baby nak jaga anak kakak aku. Kaklong aku dah berhenti kerja kilang sebab nak jaga anak kakak full time. Kaklong berkerja pun sebab sunyi dirumah.
Tiba-tiba suami kakak aku nak jaga anak sendiri. Kesian kaklong aku. Yang boleh kantoi suami kakak aku tak kerja sebab lepas 3 bulan, kakak aku WFH. So walaupun masatu dah boleh rentas negeri, kakak aku nak duduk kampung je.
Kampung aku tak adalah kampung pun, bandar tapi sebab mak ayah aku ada sini aku panggillah kampung. Internet, kemudahan semuanya macam dibandar dan ada Starbucks, McD n mall besar macam dekat KL sana.
Masa kakak aku suarakan nak stay lagi di kampung, mak aku tanya, “Habistu, suami kamu tu takkan nak duduk sorang dekat rumah?”
Kakak aku balas, “Taklah mak, dia duduk sinilah” Ayah aku tanya direct dekat abang ipar aku “Kamu dah berapa lama tak kerja? Kamu dah kena buang kerja ke?” Tercengang abang ipar aku.
Macam biasalah kakak aku cover suaminya which is baguslah jaga air muka suami tapi tak bagusnya bila si suami ambil kesempatan,
“Abang kena gantung tugas sebab COVID-19 ni, ramai yang kena buang kerja. Tapi Abang tak kena buang, kena gantung ke tugas anytime saja diaorang panggil kerja nanti…”
Ayah aku selamba saja tanya “Bulan-bulan dibayar ke?? Kalau tak bagi macam mana kamu bagi nafkah anak isteri kamu.. eloklah kamu cari kerja lain kalau tak ada gaji.. ayah boleh tanyakan kawan-kawan ayah…”
Abang ipar aku tak menjawab sepatah pun, kakak aku yang jadi jurubahasa dah macam bisu pulak abang ipar aku,
“Tak dibayar ayah, tapi itulah… masih dalam kontrak tak boleh kerja tempat lain… kalau langgar kontrak nanti kena bayar pulak dekat company tu…” Ayah mak aku terkedu, aku pun tak tahu menahu bab kontrak kerja ni. Jadi kami pun tak berkata apalah.
Terus kakak aku katakan “Takpe ayah, gaji saya cukup nak sara keluarga saya.. lebih dari cukup pun.. sementara tak dipanggil kerja ni elok lah abang jaga anak, jaga saya, jaga rumah kami… lagipun COVID-19 kan bahaya nak keluar selalu…”.
Semua orang diam je. Ayah mak berpandangan. Nasib baik baby kakak aku menangis, terus abang ipar dengan kakak aku berdesup masuk bilik.
Sepanjang kakak dengan abang ipar dikampung. Yang menjaga baby masa kakak WFH bukannya abang ipar aku. Dia sibuk dengan laptopnya.
Bila mak aku tanya kakak aku apa yang abang ipar aku sibuk sangat depan laptop sampai anak menangis pun tak dengar, kakak aku balas “Dia belajar marketing online mak… nak belajar meniaga katanya..”
Padahal aku jenguk laptop dia, sentiasa dok main game dan layan movie. Aku, mak dengan ayah yang jaga baby, masak dan mengemas rumah. Dia melepak je.
Makin sakit mata aku ni tengok. Sedapnya dia santai-santai tak payah kerja, tak payah buat apa-apa ada orang sara, bayarkan hutang bank, masak jaga makan pakai semua lengkap.
Baru-baru ni company tempat kerja abang ipar aku panggil abang ipar aku masuk kerja. Abang ipar aku boleh reject dan minta sambung cuti.
Katanya dia baru dapat anak, tak ada orang nak jaga kalau mengejut panggil dia kerja. Kaklong aku kan ada, saja cari alasan. Padahal abang ipar aku tengah dok sedap dapat duit i-Sinar tiap bulan.
So, dia rasa tak payah kerja dah lah tiap bulan dapat duit ribu-ribu jugak. Duit ribu dia dapat tu dia buat belanja dia je, beli barang online beli kopi mahal beli kasut baju dia lepastu sekarang dia ada hobi bela ikan laga yang mahal tu.
Tiap bulan tambah ikan laga tambah aksesori lah apalah, dengan duit kwsp. Hutang, bil, barang dapur tetap kakak aku tanggung. Punya syok, selesa sampaikan company panggil kerja pun dia reject, suruh panggil lagi nanti. Macam company abah kau!
Kakak aku ni, walaupun mulut dia cakap dia boleh sara, dia redha dan dia bahagia hidup dengan suami dia. Tapi dia dok mengadu jugak dekat aku, dialah yang cerita semua pasal abang ipar aku.
Tapi bila dia dah cerita luah perasaan dekat aku, nanti dia cover balik katanya nanti suami dia kerja balik gaji suaminya boleh jadi lebih banyak dari dia kalau tambah elaun.
Lepastu dia dok coverlah dengan ayat “Suami orang lain gaji besar pun curang, lepastu kaki pukul lah, dadah lah ada yang samseng. Suami aku ni tak kerja je, dia solat semua cukup lepastu tak pernah pukul aku pun. Kalau aku ajak pergi mana pun dia ikut je.”
Halah kak, dah kau tu bank dia memanglah dia baik dia ikut cakap kau kak. Bagi akulah, lelaki kalau dah diajar jadi biawak dan dia dah selesa jadi biawak hidup, maka susahlah dia nak jadi manusia atau lelaki soleh yang bertanggugjawab mencari nafkah.
Tak payah sembang lah solat 5 waktu ke, tahfiz ke, anak imam ke, anak bilal ke kalau bab tanggungjawab suami sediakan nafkah pun kau dah culas dah mengelak, tak payah sebutlah kau tu soleh.
Kalau abang ipar aku betul nak bagi nafkah, dia dah guna duit kwsp tu sara keluarga kalau tak cukup dia keluar dah kerja Foodpanda ke, Grab ke, meniaga online ke, jual burger tepi jalan pun okey ataupun ikut ayah aku ambil upah jaga dusun.
Ini, dapat duit i-Sinar beribu, bil dengan barang dapur pun isteri tanggung lagi. Duit i-Sinar dia habis dekat dia sorang saja berjoli.
Kalau kakak aku nak merasa duit suami, kakak aku sampai pernah buat-buat tertinggal purse dekat rumah, so dapatlah kakak aku merasa duit kwsp suami dia.
Tapi nanti muka suami kakak aku masam mencuka lah. Kakak aku ni memang nak menjerat diri, dia punya tolak ansur dan manjakan suami tu akan buat kakak aku menanggung biawak hidup sampai tua nanti.
Sepatutnya masa bercinta lagi dah tahu perangai taknak bayar makan minum masa dating tu ciri-ciri biawak. Bukan sentiasa kena tanggung awek, tapi kalau tiap kali keluar awek saja kena belanja mmg jenis tak ada rasa segan makan duit perempuan lah maknanya.
Sekarang anak dah hampir setahun, balik kerja kakak aku kena masak, mandikan anak, kemas rumah dan buatlah semua kerja rumah.
Kata kakak, suaminya tak sempat nak kemas rumah sebab anak tak mahu berenggang. Asyik nak berdukung saja. Masak pun tak sempat katanya, sarapan dan tengahari kakak aku orderkan Grab Food. Habis duit gaji kakak aku membela suami.
Cuba bayangkan diterbalikkan keadaan, suami yang berkerja isteri yang duduk rumah perangai sebiji macam abang ipar aku ni, mesti kena kutuk habis-habisan. Yelah, zaman sekarang isteri surirumah dikatakan menghabiskan duit suami, padahal dah macam hamba abdi suami.
Kalau suami yang tak berkerja habiskan duit isteri, siap masih lagi isteri yang uruskan rumahtangga, tak ada pula mak ayah lelaki tu nak kutuk anak sendiri. Samalah dengan family suami kakak aku, tak ada pun diaorang nak marah anak diaorang tak kerja.
Semua tahu kot kakak aku yang tanggung dan bayar hutang piutang masa bujang anak diaorang. Tapi relax je, siap dok tanya kakak aku bila nak beli rumah, sebab sekarang menyewa lagi. Kakak aku kena beli rumah pulak untuk bagi anak dia tinggal pulak.
Siap suami kakak aku demand nak rumah landed, ada halaman sebab dia nak buat kolam ikan. Sekarang duduk menyewa rumah kondo, suami kakak aku dok merungut letih nak tunggu lift katanya tak sabar nak duduk rumah landed.
Macam manalah kakak aku boleh nak bersabar lagi dengan suami macam ni. Yang kadang aku menyampah dengan kakak aku sebab dia kalau datang alim terlajak dia, dia akan cakap,
“Takpelah, kalau isteri redha suami tak berdosa pun tak bagi nafkah” Eh kak, kalau kau ikhlas dan redha kau tak mengadu lah dekat aku tiap minggu call aku nak mengadu nasib.
Kalau kau ikhlas, kau patut diam saja sampai kiamat. Aku pun tak sakit hati nak pandang muka korang. Eh kak, tak bersuami pun tak apa lah kalau macam ni punya perangai suami. Aku pulak naik takut nak nikah.
Jomlah kita berdoa dekat Allah SWT supaya kita semua dijodohkan dengan lelaki soleh yang faham agama.
– Suri Seri Suis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit