Salam semua,
Baru-baru ni viral pasal student undang-undang sebelah kaki di neraka. Ramai budak law sendiri yang pertahankan bahawa peguam penting untuk jual beli rumah la, faraid la, kahwin dan cerai tapi aku rasa hujah tersebut tidak menjawab maksud tersirat pernyataan tersebut, yakni orang yang belajar undang-undang untuk jadi peguambela dan pertahankan orang yang bersalah bagai meletakkan sebelah kaki di neraka.
Izinkan saya mengemukakan 2 hujah menentang yang akan membuktikan bahawa menjadi seorang peguambela adalah satu fardu kifayah:
1. Peguam bela sebagai ‘check and balance’ kepada kuasa autoriti penguatkuasa.
Seberat mana persepsi awak akan bersalahnya seseorang melalui media atau dari rupa parasnya, di dalam mahkamah, yang menjadi faktor utama pensabitan adalah bukti melawan tertuduh. Jika awak bekerja sebagai seorang penguatkuasa, awak akan paham betapa mudahnya untuk menuduh seseorang dengan menanam bukti. “Power corrupts, absolute power corrupts absolutely”. Sebagai contoh, dadah yang awak rampas awak tanam dekat orang lain untuk ugut wang. Di Filipina ada penguatkuasa di airport yang tanam peluru hidup di dalam bagasi pelancong untuk ugut duit mereka. Kadang2 bukan untuk duit tetapi sebab penguatkuasa yang malas untuk bekerja lebih dan hanya menerima saja kemungkinan sebagai bukti, walhal kemungkinan tersebut telah diwujudkan oleh pesalah sebenar untuk melindungi jejaknya.
Oleh yang demikian, tugas peguam bela bukan untuk menipu, tetapi hanya untuk menimbulkan keraguan yang bukti yang ada tidak cukup kuat untuk sabitkan kesalahan.
Kenapa bukti yang kuat diperlukan? Kerana jika tidak, penguatkuasa akan membuat kerja sambil lewa. Adilkah kalau begitu? Setiap orang yang tidak bersalah dihukum, bersamaan dengan seorang penjenayah yang terlepas dan duduk senang disekeliling anda dan mungkin akan mengulangi perbuatan mereka kembali. Jikalau anda sebagai penguatkuasa membuat kerja dengan kemas dan cekap, anda tidak perlu risau apa-apa kerana perbicaraan akan menjadi seperti formaliti. Bukti yang jelas dari penyiasatan yang holistik meningkatkan lagi kemungkinan pesalah sebenar dibawa ke pembelaan. Oleh yang demikian, peguambela lah yang menjadi pemegang piawai sebuah penyiasatan.
‘Tapi kalau penjenayah itu sendiri sudah mengaku, buat apa buang masa lagi?’
Jikalau orang bersalah boleh menipu mengatakan dia tidak bersalah, mengapa tidak orang yang tidak bersalah mengaku bersalah? Kenapa mereka sanggup membuat benda tidak logik ini? 2 sebab:
i. Melindungi seseorang yang disayangi.
lindung isteri, adik beradik, mungkin keluarganya akan mendapat habuan jika dia menjadi kambing hitam. Keadilan perlu ditegakkan, tidak kisah akan background si penjenayah sebenar.
ii. Dipaksa mengaku.
Contohnya diseksa dalam tahanan. Ada video orang awam di syria yang diseksa untuk mengaku assad itu tuhan sekaligus tidak mustahil untuk seseorang mengaku untuk melepaskan diri dari seksaan. Benda sama dilihat semasa ‘Salem Witch Trials’ dimana tahanan akan diseksa sehingga mengaku mereka adalah seorang ahli sihir dan apabila mengaku akan dibakar hidup2. Yang dahsyatnya, mereka mengaku, kerana lebih rela mati dari terus diseksa. Lagipun, jika pengakuan dianggap sebagai tanda utama tertuduh bersalah, bukankah lebih mudah untuk pihak berkuasa memaksa pengakuan daripada mengumpul bukti yang lebih konklusif? Yakinkah kita bahawa keadilan telah benar ditegakkan, ataupun hanya semata-mata untuk memuaskan prejudis masyarakat?
Kata-kata sahaja tidak cukup, yang penting ada bukti koroboratif.
2. Peguambela sebagai penjamin kepuasan seseorang tertuduh untuk menceritakan alasan atau naratifnya.
Memang lumrah manusia untuk membuat alasan untuk mewajarkan tindakan mereka. ‘Aku terpaksa’ , ‘dia memang patut kena bunuh’ ‘dia tergelincir bukan sebab aku tolak dia’ dan lain-lain. Aku sendiri pernah masuk didalam tribunal sebagai saksi dan ada sesuatu yang istimewa apabila kita mengangkat sumpah untuk berkata benar. Walau macam mana kita prepare pun dengan alasan kita, apabila di dalam sesi soal jawab, anda nak menipu tu sangat susah sebab anda sedang diperhatikan dengan sepenuhnya. Anda hanya boleh bergantung kepada kebenaran yang anda betul-betul percaya sahaja kerana anda rasa sebarang penipuan akan menjadikan naratif anda tidak konsisten. Apabila tertuduh sudah puas menceritakan cerita dari pihaknya dan hakim memberi keputusan bersalah beserta sebab, pesalah akan lebih mudah untuk menerima hakikat bahawa tindakan mereka itu tidak setimpal dengan justifikasi yang mereka cipta. Dengan adanya prosedur yang begitu kemas dalam sesi pembentangan bukti dan kehadiran pembela untuk memastikan tertuduh tidak diapa-apakan/dibuli dan diberi peluang bercakap, yang tinggal hanya kata2 tertuduh, dan pada masa yang sama, penipuan tertuduh kepada diri sendiri untuk mewajarkan perbuatan mereka. Terbukti, ramai pesalah bertaubat dan menyesal apabila menyedari bahawa justifikasi perbuatan jenayah mereka amat lemah sekali, sekaligus mengurangkan kemungkinan untuk mereka mengulangi jenayah tersebut.
Sekiranya peguambela lemah atau mahkamah tidak memberi peluang secukupnya untuk pembelaan, semestinya tertuduh akan menyalahkan ketidakadilan prosedur sekaligus menghalang proses refleksi diri. Sama seperti apabila kita bertanding dan teradapat insiden pengadil berat sebelah, kita akan menyalahkan pengadil jika kalah, walhal sebenarnya kita sendiri yang tidak cukup berlatih. Sebagai pemerhati pula, apabila kita lihat si tertuduh dibuli dalam kangaroo court, yakinkah kita bahawa kebenaran telah ditegakkan? Pastinya kita rasa bahawa ‘its just a cover up’ untuk mencari kambing hitam? “Justice must not only be done, it must be seen to be done”.
Kepada pelajar undang2, yang ingin menjadi peguam bela, teruskan cita-cita anda kerana berdasarkan 2 hujah di atas, anda sebenarnya tengah melakukan fardu kifayah. Jika kita berpihak kepada kebenaran dan membuat kerja kita sehabis baik, tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Kebenaran pasti akan tertegak, kalau bukan di dunia ini, pastinya dia mahkamah akhirat kelak di hadapan pencipta yang maha mengetahui.
– Abam
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit