Kalau Isteri Bekerja

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera. Aku baru terbaca tips kewangan keluarga bagi suami isteri yang bekerja yang ditulis oleh Perunding Kewangan di FB. Katanya, perbelanjaan rumah perlu sama-sama contribute berdasarkan ratio antara gaji suami isteri.

Dia mengambil contoh, katakan ratio gaji suami isteri tu 60:40, maka perbelanjaan rumah juga perlu dikelaurkan daripada gaji masing-masing ikut ratio yang itu. Rata-rata aku baca komen-komen netizen di situ bersetuju dengan kenyataan itu.

Namun ada juga yang tidak bersetuju lantaran semua perbelanjaan di rumah perlu dikeluarkan oleh suami semata-mata selaku ketua keluarga yang wajib memberi nafkah. Dan, dalam hal ini aku bersetuju pada kedua-dua kelompok ini walau pun aku sendiri ada pendapat yang aku fikir adil untuk diaplikasikan oleh sesebuah keluarga.

Begini, dalam Islam, tanggung jawab memberi nafkah zahir dan keperluan rumah tangga adalah di atas pundak suami. Maka, tanpa sebarang alasan pun selaku berkemampuan berkemampuan, suami perlu penuhi tuntutan itu. Asas keutamaan nafkah zahir untuk isteri dan keluarganya adalah tempat tinggal, pakaian dan makanan.

Selain daripada itu, ia bergantung kepada kemampuan suami tanpa boleh dipaksa isteri untuk memenuhi keinginannya. Jika mahu lebih daripada itu, isteri perlu cari alternative sendiri. Ya, ketentuan itu terpakai untuk semua situasi isteri sama ada bekerja atau tidak.

Soalnya, jika suami mampu memberikan semua keperluan isteri dan keluarganya, maka perlukah isteri bekerja? Apa lagi matlamat yang diinginkan andainya keperluannya telah diberikan suami? Jawapan yang biasa kedengaran adalah untuk membantu suami dalam perbelanjaan rumah tangga. Eh, kenapa nak bantu pula kalau suami mampu memenuhi kehendaknya?

Ok, bagaimana dengan alasan nak membantu keluarga di kampung? Alhamdulillah, masih ada rasa prihatin untuk membantu keluarga lantaran hubungan kekeluargaan perlu erat dalam pada ketaatan penuh kepada suami menjadi keutamaan. Alasan untuk kepuasan diri sama ada nak memenuhi hobi waktu lapang, kembangkan bakat dan sebagainya? Boleh jika isteri mempunyai waktu yang benar-benar lapang dan tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri di sisi suami.

Ketepikan dahulu apa jua alasan seorang isteri mahu bekerja yang ada di minda anda. Antara peranan isteri adalah mentaati suaminya 100% selagi suami tidak memintanya melakukan sesuatu yang melanggar batas-batas seorang muslim. Sebagai tambahan, untuk mudah ke syurga dengan rahmat Allah, dalam pada memberikan ketaatan penuh kepada suami, isteri juga perlu patut dengan perintah Allah sebagi hamba-Nya yang bertaqwa. Mudah, kan? Err, jangan kecam aku.

Memang nampak mudah tapi nak buat susah, kan? Sebabnya, di kepala kita macam-macam kita fikirkan sehingga membataskan keupayaan kita untuk taat 100% kepada Allah. Sayangnya kalau Allah di kesampingkan dalam kehidupan sedangkan hidup kita ni bukanlah lama.

Waktu-waktu yang ada ni, penuhilah dengan berperanan baik dalam hubungan kekeluargaan sebagai isteri dan ibu di rumah. Apalah gunanya isteri sibuk dengan kerjayanya, sedangkan suami dan keluarganya terabai. Buatlah penentuan mana yang lebih utama dengan meletakkan syurga sebagai matlamat di akhir kehidupan.

Jadi, isteri tak boleh bekerja? Eh, boleh.. boleh. Siapa kata tak boleh? Isteri boleh bekerja jika suami izinkan. Tanpa keizinan suami, jangan sesekali cari alasan. Cuma, dapatkan penjelasan suami kenapa dia tak izinkan. Kejamkah suami yang begitu? Tidak. Biasanya kalau seorang suami yang baik, dia tak izinkan tu mesti ada sebab yang syar’ie. Dia tahu, kedudukan isteri perlukan d sisi suami sepanjang masa. Bukan mengemping dan mengada-ngada.

Tapi, itulah fitrah lelaki, isteri yang Allah ciptakan adalah penyejuk matanya, seperti Hawa yang mendampingi Adam di syurga. Jadi, kalau isterinya bekerja, adakah masa yang sepatutnya berada di sisi suami akan terjejas? Jika tidak, itu sudah bagus. Tentu isteri itu bijak menjatur masa bekerja dan masa peribadinya untuk keluarga dengan betul. Jika terjejas masanya? Masya-Allah, pastikan suami meredhai betapa isterinya mempunyai komitmen lain yang perlu diutamakan waktu itu.

Pendek cerita, selagi mana isteri boleh berada di sisi suami ketika diperlukan, tiada isu boleh diangkitkan jika isteri bekerja. Suami yang memahami adalah suami yang memahami kehendak hati isterinya apabila isterinya telah melaksanakan peranannya sebagai isteri di sisinya. Biasanya, dalam situasi ini, suami berkemampuan untuk memenuhi segala keperluan isterinya. Betul tak?

Namun, kalau memang suami mahukan isterinya bekerja bagi membantu perbelanjaan keluarga selain daripada nafkah suami kepada isteri, maka wajiblah isteri mentaatinya juga. Jika tidak mahu dan berat hati, nyatakan alasan yang wajar. Jelas, isteri tahu betapa dirinya sangat perlu untuk berada di rumah membantu menguruskan rumah tangga. Bagi isteri yang akur dengan permintaan suami, bekerjalah sekadar mampu dalam usaha untuk memberikan komitmen kepada kerjaya serta komitmennya dalam rumah tangga sekali gus.

Jika komitmen isteri lebih kepada kerjaya, suami tidak boleh menghalang lantaran dia yang mengkehendaki isterinya bekerja. Suami harus bersyukur isteri dapat membantu meringankan bebannya. Gilalah kalau suami nak isterinya bekerja, sedang dalam masa yang sama mahukan isterinya ada depan matanya setiap masa bersama-samanya. Melainkan isteri bekerja dalam syarikat sendiri, itu lain cerita.

Aku tidaklah mahu bersyarah tentang peranan suami dan isteri dalam berumah tangga. Hanya aku nak katakan, kunci kebahagain sesebuah rumah tangga adalah terletak pada kesefahaman yang tinggi antara suami dan isteri. Mana mungkin ada kesefahaman tetapi tidak bahagia. Gamaknya tentulah tidak memahami pasangan kan? Sebabnya bila dah saling faham memahami tentulah redha meredhai akan wujud.

Kalau tak redha pula, tentu ada kekurangan yang tidak mampu kita terima daripada pasangan kita. Jika kita tak mampu nak terima kekurangan pasangan kita, kenapa dia menjadi pilihan melengkapkan hidup kita? Jika ia tidak melengkapkan hidup kita, salah siapakah yang menyebabkan kita berkahwin dengan dia?

Tepuklah dada, tanyalah iman. Apabila diri dipandu iman, insya-Allah kebahagian akan wujud dalam sesebuah rumah tangga. Err, aku bercakap ni bukan sebab aku berjaya membahagiakan keluarga aku. Belum sepenuhnya, tetapi dalam usaha ke arah itu.

Usia pun belum 40, anak pun belum berderet, jutawan berharta pun tidak. Tetapi, sebagai lelaki, aku cuba nak menyatakan betapa para suami rata-ratanya menginginkan isteri menjadi penyejuk mata dan hatinya. Ada suami-suami yang menafikan kenyataan ini? Ah, sudah… Kalau anda pernah dengar lagu Isteri Cerdik Yang Solehah nyanyian kumpulan nasyid The Zikr.

Ingin aku tekankan, pandangan aku ni lebih kepada bersifat peribadi, namun atas dasar persaudaraan sesame muslim, aku kongsikan kalau-kalau ia boleh menjadi panduan dalam mewujudkan kerukunan dalam rumah tangga. Banyak kes-kes keretakan rumah tangga disebabkan masalah duit. Ah, nampak sangat duit jadi keutamaan dalam kehidupan. Tak salah pun, tak salah. Tapi, lihat apa keutamaannya.

Jika suami tak mampu nak menyediakan keperluan, kenapa perlu menghalang isteri bekerja? Jika mampu menyediakan keperluan, tetapi masih izinkan isteri bekerja, suami pandai-pandailah menerima keadaan itu kerana suami sendiri yang mengizikan. Jika suami mampu menyediakan segala-galanya, pastikan keperluan isteri dipenuhi sebaik-baiknya.

Sebagai suami yang soleh, ikutlah panduan agama menerusi al-Quran dan al-Sunnah dalam mengurus rumah tangga. Bukan senang nak jadi seorang ketua keluarga. Sebelah kaki mungkin ada ruang melangkau pintu neraka. Sebagai isteri yang solehah, bantulah suamimu untuk membawa keluarga anda ke syurga yang kekal abadi. Susah di dunia ini jangan sesekali menggadaikan akhirat.

Redhalah pada kekurangan suami, jika sebaliknya, ada cara untuk meleraikan ikatan yang ada demi kemaslahatan diri sendiri. Eh, maaf, ke situ pula aku. Astaghfirullah. Maaf andai ada kata-kata aku yang mengguris hati suami atau isteri. Semoga Allah merahmati kehidupan keluarga kita. InsyaAllah.

– Si Kumbang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Bekerja itu hak isteri. Wanita bukan hamba. Kami tak perlukan keizinan untuk mendapatkan hak kami. So, suka hatilah nak bekerja atau tidak. Hak masing2. Hak diri sendiri. Kalau itu kerjaya impian diorang, kau takde hak nak suruh diorang berhenti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *