Kalaulah Aku Meninggal

Assalamualaikum semua. Masihkah di mood hari raya? Bagaimana sambutan raya kalian? Aku seperti biasa. Seperti tiada walaupun ada. Jiwa kosong entah bagaimana untuk mengisinya.

Mari aku kenalkan diri ini. Aku bernama Yayan, seorang wanita, seorang isteri kepada Zazan, seorang anak perempuan kepada mak ayah dan seorang ibu kepada anak bulus.

Punyai suami (Zazan) yang cukup baik, sehingga aku rasakan beliau berhak mendapat yang lebih baik dari aku.

Beberapa bulan yang lalu, aku pernah rasa jiwa yang mati seperti ini. Setiap malam, terlalu susah aku lelapkan mata. Hanya airmata menemani tidurku.

Kesakitan di perut juga sering kurasa. Siang hari, aku kelihatan seperti biasa, senyuman sentiasa meniti di bibir.

Tapi bila aku berseorangan terutama malam, aku selalu rasa alangkah indahnya kalau aku mati, tinggalkan dunia ini. Pasti insan sekelilingku lebih bahagia.

Suamiku dapat pengganti yang lagi baik dariku, bukan lah aku yang sekadar beban dan selalu menyusahkan hidupnya (kerana aku tidak boleh memandu kereta, serangan panik akan datang disebabkan accident beberapa tahun lepas).

Mak ayahku pula rasanya mungkin tidak bersedih lama jika aku pergi. Maklumlah, aku bukanlah kesayangan mereka. Apatah lagi aku ini tidak bersama jemaah seperti adik beradikku yang lain. Jemaah apa, tak perlu lah kalian tahu.

Cukup lah aku katakan, aku tiada dalam jemaah seperti adik beradik dan mak ayahku. Mungkin, hanya anak-anak bulus yang akan merasa kehilangan aku. Iyalah, aku kan penjaga mereka selama ini.

Aku juga seorang yang bersifat introvert, sangat suka melekat di rumah berhari-hari. Sangat sukar bagiku bersifat mesra dengan orang yang tidak rapat.

Adakah aku ni antisosial? Mungkin agaknya kot. Suamiku (Zazan) pula berbeza 100% dengan aku. Zazan sering bertemu rakan-rakan dan saudara mara.

Sering berhubung di telefon dan socmed. Jika ada saudara terdekat perlukan bantuan, maka Zazan lah yang akan mereka hubungi dahulu.

Jadi, pastilah Zazan berada di tempat teratas dalam kalangan keluarga kan? Menjadi orang terpenting. Jika ada majlis keluarga, Zazan antara yang pertama akan dirujuk. Zazan seringkali meluahkan padaku agar bersikap ambil peduli dan bercampul gaul dengan keluarganya.

Adakah maksud Zazan aku perlu melepak di rumah saudara mara dan berbual berjam lamanya di sana? Oh ya, lupa aku maklumkan, Zazan sudah kematian ibu dan ayahnya. Aku rasa tidak terlalu penting untuk terlalu bergaul, cukup sekadar aku menunjuk muka bila ada majlis.

Raya pertama juga aku menyertai mereka dalam rombongan raya. Jadi rasanya tidaklah aku terlalu antisosial kan? Atau standard Zazan terlalu tinggi untuk aku penuhi?

Sehingga aku selalu terfikir, mungkin kah Zazan lebih gembira hidupnya kalau aku mati dan ada pengganti yang bersifat extrovert, yang suka bersosial, yang pandai beramah mesra mengambil hati saudara mara?

Rasa aku jawapannya, ya. Membuatkan aku terfikir, kalau lah aku mati, lebih elok sebab aku ini tiada fungsi, tidak berguna dan tiada nilainya. Zazan akan lebih bahagia. Tapi kalau Zazan pergi, pasti semua sanak saudara menangis, kan?

Level aku sangat rendah, tak seperti Zazan yang sentiasa bernilai dan berfungsi untuk manusia sekelilingnya. Pernah aku soal Zazan, apa agaknya dia akan buat kalau aku nk sakit mental. Dan aku sering berpesan padanya, jaga lah anak bulusku kalau aku dah tiada.

Aku tunjukkan keputusan ujian DASS kepada Zazan dan aku luahkan segalanya. Aku beritahu Zazan yang aku merasa kosong. Kerana aku tiada nilai pada manusia sekeliling.

Kerana ada saudara yang membandingkan aku dengan rakan sebayaku yang lebih berjaya. Kami sama-sama menangis malam itu dan Zazan memelukku dan berkata aku bernilai di matanya. Terima kasih suamiku..

Sejak bila aku cepat merasa terlalu down ni ya?. Seingat aku mungkin sejak zaman belajar di alam kolej. Aku tidak rapat dengan mak ayah, dan adik beradik.

Pernah aku teringin makan talapia masak sambal masakan mak. Aku hanya mampu menangis berseorangan di tepi tangga asrama, kerana terlalu teringin.

Mak duduk jauh dengan aku, dan kalau pun mak ada di rumah, aku yang akan masak bila balik dari asrama. Mak sibuk dengan aktiviti-aktiviti.

Aku sangat cemburu dengan rakan sekuliah yang punyai mak ayah sangat rapat seperti kawan sebaya. Boleh request masakan apa sahaja bila balik rumah.

Boleh berkongsi suka duka cerita hidup mereka. Mereka juga selalu tidak sabar balik rumah pada hujung minggu. Berlainan denganku, aku lebih rela menetap di asrama.

Aku selalu mendapat cgpa yang tinggi setiap semester (alhamdulillah), tapi dengan siapalah aku mampu kongsikannya.

Sepertinya, tiada guna aku belajar atau tidak kerana tak siapa pedulikan aku. Pernah aku kongsi kan pada mak, cgpa ku 3.6. Tapi mak tidak membalas apa-apa pun. Diam membatu sahaja. Sewaktu majlis konvo juga, aku terfikir kalau mak ayah datang, pasti menyusahkan mereka.

Sedangkan kawan-kawan yang lain nampak sangat gembira dengan kedatangan keluarga di hari konvo. Aku pernah sambung belajar, di mana aku langsung kehabisan duit.

Terus aku jual rantai tangan emas ku di kedai emas Masjid India, tanpa aku beritahu sesiapa pun. Kalau aku beritahu sesiapa, aku pasti menjadi beban kan? Aku ni cuma akan mendatangkan kesusahan pada keluarga.

Raya baru-baru ini, aku tak berjumpa keluargaku pagi raya, macam tahun-tahun sebelumnya. Zazan seperti biasa bersalaman denganku di pagi raya. Dan ada airmata di matanya. Aku pula, kosong tiada perasaan, sama seperti raya sebelum ini.

Zazan menyatakan dia anak yatim piatu, dan hanya aku yang dia ada. Dalam hati aku terdetik, Zazan kan punya keluarga besar yang sentiasa menghargainya. Tidak seperti aku, punya mak ayah tetapi seperti tiada.

Aku ini anak yang tidak bernilai untuk sesiapa. Pandangan aku beralih pada rumput tepi rumah. Alangkah indahnya kalau aku ni jadi rumput, tak perlu fikirkan apa-apa.

Perlu tak aku ambil hibah ya atas nama Zazan. Kalau aku mati, Zazan akan dapat sesuatu. Aku juga ada sedikit aset yang boleh diagihkan kalau aku mati. Keluargaku pun akan dapat juga bahagian mereka.

Suka aku ingatkan disini, aku seorang yang solat penuh 5 waktu dan mengaji setiap hari. Tak pernah lagi terlintas untuk cederakan diri atau commit s******. Cumanya, aku demotivated untuk hidup.

Semasa zaman PKP, aku terfikir alangkah indahnya kalau aku mati kena covid stage 5. Atau ada orang bawa kereta terlanggar aku.

Pernah aku isi ujian DASS, deperession aku tahap teruk. Tapi rasanya, sekarang ini dah ok. Cuma aku nak tanya kalian, macam mana cara nak naikkan motivasi diri ya?

– Yayan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *