Assalamualaikum admin dan pembaca semua.. Terima kasih admin kerana menyiarkan luahan saya ini.
Nama saya Lisa (bukan nama sebenar) dan telah berkahwin selama 7 tahun. Alhamdulillah telah dikurniakan 2 cahaya mata. Saya baru berhenti kerja setahun yang lalu kerana kekangan anak-anak yang terabai.
Suami bekerja di perantauan secara freelance dan pulang sebulan sekali. Jadi anak-anak tidak mendapat perhatian yang secukupnya dan saya merasakan berhenti kerja adalah yang terbaik.
Krisis bermula setelah saya berhenti kerja dan balik ke kampung suami. Itu adalah pilihan suami kerana ingin berada dekat dengan ibu ayahnya.
Walaupun merasakan akan wujud isu kerana kami tinggal di rumah mentua yang sebelumnya disewakan kepada orang lain tapi kali ini membenarkan kami tinggal tanpa bayaran apa-apa.
Walaupun begitu kami tidaklah tinggal di sana sewenangnya, tetap juga menghulurkan barang dapur. Tapi mentua tetap menolak kerana katanya mereka masih mampu.
Setelah PKP 1.0, suami telah mengambil keputusan untuk berhenti dari kerjanya kerana terkesan dengan covid dan Alhamdulillah suami boleh melakukan kerja-kerja pertukangan. Bolehlah menampung kehidupan kami walaupun sudah tidak semewah dahulu.
Sebagai permulaan kerja-kerja berkenaan bermula di luar rumah mentua yang telah dipersetujui pada mulanya.
Setelah beberapa minggu, ayah mentua membina satu bengkel dari barang terpakai tidak berapa jauh dari rumah atas alasan untuk lebih selesa bekerja. Namun masih tidak boleh digunakan atas kekangan kebocoran dan sebagainya.
Sekarang mentua asyik suruh berpindah ke bengkel tersebut kerana merasakan rumah kotor kerana kerja- kerja tersebut. Suami telah menjelaskan bahawa ingin membaikpulih terlebih dahulu kerana tidak sesuai lagi untuk bertukang di sana.
Modal pon tak seberapa untuk siapkan segera,jadi perlu secara sedikit-sedikit. Lagi pula bengkel tersebut dibuat dalam keadaan kami tidak bersedia dari segi kewangan jadi agak sukar sebenarnya.
Sekarang isu ini makin meruncing kerana jika ada sahaja yang isu tidak kena, isu ini akan timbul.
Mentua mula menggunakan ayat yang tidak baik, termasuk kalau tak pindah dia akan menggunakan cara kekerasan which is kami merasakan kami menumpang mungkin kami akan dihalau.
Paling teruk mentua pernah menggunakan ayat dia tidak redha dengan suami. Macam-macam sebenarnya tapi saya tak nak mengeruhkan keadaan,walaupun terasa, tak nak disimpan di hati. Tapi kali ni sampai tahap tak redha saya rasa ada yang tak kena.
Untuk pengetahuan semua juga, hubungan suami dan mentua agak tegang selepas kejadian itu. Ada sahaja yang tidak kena walaupun isunya tidak seberapa.
Suami pernah menegur adik-adiknya jika ada isu yang tidak kena tapi dia pula yang disalahkan walaupun bagi saya teguran itu perlu.
Sebagai contoh, adiknya pernah meminta ibunya menghantar air ke bilik kerana tak sempat nak ke dapur (sesi pembelajaran online).
Suami menegur kerana merasakan adiknya telah menyusahkan ibunya tetapi sebaliknya yang berlaku. Suami dituduh dengki dan suka masuk campur urusan mentua. Sekali lagi isu bengkel diungkit apabila ada perkara antara mereka.
Mentua pula sentiasa meluahkan pada saya mengatakan tak redha anaknya, tak puas hati terhadap anaknya. Sebab tu hidup susah sebab mak tak redha katanya.
Saya cuma diam kerana isu mereka saya tidak patut masuk campur. Saya cuma mampu menasihati suami untuk bersabar walaupun kadang-kadang saya terfikir untuk berpindah jauh.
Saya mengharapkan pandangan dan sokongan dari semua. Terima kasih semua.
– Lisa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit