Assalamualaikum semua. Kisah ini adalah untuk nasihat semata-mata, bukan untuk mengaibkan sesiapa.
Aku dalam keletihan sebenarnya. Aku duduk serumah dengan kakak aku dan suaminya. Rumah yang kami duduki ini adalah salah satu rumah keluargaku di bandar.
Memang sejak kami bujang, kami berdua tinggal bersama di sini. Hampir 5 tahun tinggal bersama, memang hanya aku seorang yang membersihkan rumah. Kakak tak pernah peduli hal kebersihan rumah.
Dulu kami berdua berkongsi bilik dan tandas. Memang kakak tidak akan membersihkan rumah dan tandas. Malah bajunya juga aku yang basuh, sidai dan lipat.
Bukan aku rela dibuli. Mungkin kerana sifatku yang lembut, sangat pembersih dan cepat rimas melihat rumah bersepah, aku banyak mengalah.
Jika aku tidak membasuh baju kakak, maka kakak akan biarkan bajunya berlonggok di tepi mesin basuh.
Pernah aku biarkan saja, kakak memang tidak basuh. Sehingga bajunya habis dipakai, kakak meminjam baju aku. Bila aku bertanya mengapa dia tak basuh baju, katanya dia menunggu hari cuti.
Setiap kali tiba hujung minggu, kakak pasti sibuk hendak keluar dating. Jadi, bajunya yang kotor tidak dicuci juga.
Aku pula setiap hari Jumaat atau Sabtu aku khaskan hari aku untuk membersihkan rumah. Pernah banyak kali aku mengajak kakak bersama membersihkan rumah, namun kakak tak mahu.
Kakak dengan selamba berbaring di sofa sambil menonton Filem Hindustan. Keras sungguh hatinya, membiarkan aku seorang diri menguruskan rumah.
Satu-satunya perkara yang kakak lakukan adalah memasak. Itupun jarang sekali, mungkin sebulan sekali atau dua kali.
Selepas memasak, kakak cuma mencuci periuk dan perkakas memasak. Dinding dan dapur memasak dibiarkan kotor. Barang di dapur juga tunggang-langgang.
Akulah yang harus mencuci dan menyusun semunya. Bila aku luahkan perasaan aku dan betapa letihnya aku menguruskan rumah, kakak dengan selamba berkata,
“Siapa suruh buat, ada kakak suruh kau cuci ke? tak ada kan? Yang kau nak sound aku kenapa?”
Berkali-kali aku katakan aku tak suka rumah kotor, penat aku membersihkan rumah, dengan mudah kakak kotorkan semula.
Kakak asyik memerli aku, katanya aku sakit OCD, perlu jumpa doktor atau ustaz. Aku bukan OCD, dalam Islam pun melarang kita untuk membiarkan rumah kotor.
Sekarang walaupun kakak dah bernikah, perangai kakak masih tak berubah. Malah suaminya juga begitu. Mereka berdua hanya memasak, mencuci baju mereka dan sekali sekala ada juga suami kakak membuang sampah. Segala kerja rumah yang lain aku lakukan.
Jika dulu ketika aku membersihkan rumah kakak berehat di sofa, sekarang bila aku mula membersihkan rumah kakak terus mengajak suaminya masuk ke dalam bilik ataupun mereka keluar dari rumah berjalan di pasaraya.
Selalunya mereka akan muncul semula bila mereka pasti aku sudah selesai membersihkan rumah.
Barangan mereka juga penuh di sudut ruang tamu rumah. Telah berkali-kali aku berpesan kepada kakak untuk menyimpan barang mereka. Namun akhirnya aku juga yang menyimpannya di stor.
Di stor, separuh darinya adalah barang mereka yang tidak bersusun. Semuanya menunggu aku uruskan, Jika aku tidak susun, pasti stor aku nampak seperti rumah sampah.
Kakak aku memang keras hatinya, dia kerap bertengkar dengan ibu kerana ibu menegur sifat pemalasnya. Malah membalas teguran ibu, kakak mencari-cari kesalahan ibu sehingga ibu menangis.
Kakak langsung tak patuh pada ayah dan ibu. Aku tidak mengadu kepada ibu kerana aku tahu, jika ibu menegur kakak, pasti kakak akan bergaduh dengan ibu. Dan masih tiada apa yang berubah.
Aku tak faham mengapa kakak aku berperangai begitu. Dia sanggup bergaduh dengan orang dan hidup dalam sampah daripada membersihkan rumah dan biliknya.
Seumur hidup aku, aku tak pernah melihat kakak menyapu sampah, tahun 2020 ini langsung aku tak pernah nampak kakak memegang penyapu, mop apatah lagi membersihkan peti ais.
Kakak ada membeli alat membersihkan habuk automatik, namun hendak memasangnya pun kakak malas. Bilik kakak tetap berhabuk dan dipenuhi rambut.
Kakak sangat berbangga kerana biliknya wangi kerana memasang alat pewangi diffuser, namun lantainya berhabuk, bilik bersawang, barang-barang bersepah dan tandas berdaki. Aku tak tahulah macam mana mereka tidur dalam bilik sebegitu.
Suami kakak pula membela beberapa ekor kucing di balkoni rumahku. Di balkoni rumah, dibiarkan bersepah dengan barangan kucingnya. Bila aku tegur minta dibersihkan balkoni rumah, kakak menjeling aku.
Berbulan aku biarkan keadaan bersepah dengan pasu bunga dan barangan kucingnya serta tanah di dalam pasu habis digembur kucingnya. Akhirnya aku bersihkan semuanya. Reaksi kakak aku dan suaminya amat biadab.
Suaminya selamba bertanya “Kau kemas ke balkoni?” aku balas ya. Kakak pula menyindir “Patutlah bunyi bising sangat, orang marah kalau buat kerja memang bising” Reaksi mereka berdua sangat menunjukkan keegoan mereka.
Langsung tiada perkataan Terima Kasih. Malah aku pula disindir tajam serperti aku pula yang bersalah. Aku berhak hidup dalam rumah yang bersih. Sampai bila aku nak biar balkoni rumah aku busuk dan bersepah?
Aku tak sabar menunggu kakak mendapat kunci rumah barunya, biarlah mereka pindah duduk asing denganku. Aku lebih rela tinggal dan menanggung segala bil seorang diri daripada hidup dengan mereka.
Jika mereka berdua duduk bersama mertua, pasti mereka akan rasa mertua mereka jahat jika mertua menegur perangai malas mereka.
Itulah masalah perangai pasangan berkahwin yang duduk bersama keluarga, ada antara mereka yang mengambil kesempatan dengan keluarga sendiri.
Mereka tak pedulikan betapa letih dan sakit hatinya melihat sikap tak peduli mereka terhadap kebersihan rumah.
Sampai disini sahaja luahan hatiku. Aku masih berharap kakak dan suaminya berubah sikap, jika mereka mahu sama-sama membersihkan rumah dan menjaga kebersihan rumah, sampai bila-bila pun aku terima mereka tinggal bersamaku.
Tapi jika masih bersikap begini, aku mohon lekaslah mereka keluar dari rumah ini. Aku teringin nak tengok rupa rumah mereka nanti, mungkin bila dah tinggal berdua baru mereka belajar membersihkan rumah. Siapa tahu kan?
– Adik Kakak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit