Kanan Suami, Kiri Kerjaya

Assalamualaikum semua. Tujuan utama aku menulis untuk meminta pendapat semua. Harap dapat membantu.

Jadi kembali semula kepada tajuk di atas, aku seorang pensyarah di salah sebuah institut pengajian tinggi awam di Malaysia manakala suamiku merupakan pegawai tentera dan kini menetap di Perak.

Kami bercinta dari zaman universiti dan Alhamdulillah bernikah pada usia pertengahan 20an. Hampir 5 tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata.

Memandangkan suamiku yang bertugas di Perak, maka perhubungan jarak jauh (pjj) kami bermula sejak tahun pertama perkahwinan sehingga sekarang (hampir 5 tahun).

Bermula dengan hanya sewa bilik bujang kerana aku bekerja di ibu negara, setiap dua minggu sekali atau sebulan sekali aku dan suamiku bertemu di hujung minggu dengan menyewa mana-mana hotel.

Sekiranya waktu gaji baru masuk, boleh la check in hotel yang mahal sikit. Tetapi perbelanjaan ulang alik, masa dan tenaga juga habis banyak. Menurut kira-kiraku sekitar RM1,000 untuk setiap minggu.

Kemudian, tahun berikutnya aku memutuskan untuk menyewa sebuah pangsapuri bagi memudahkan suamiku pulang dan bergerak pada hari Ahad lebih lewat.

Jadi kami pun dapat meluangkan masa lebih berbanding sebelumnya. Maklumlah bila check in, check out hotel ni kena ikut masa yang ditetapkan.

Samada bayar extra untuk late check out atau lepak di shopping mall sehingga lewat petang or malam, baru suamiku menghantar pulang ke rumah sewa bujang.

Namun, masalah lain pula timbul apabila aku didiagnosis menghidap masalah kesihatan mental dan selalu menangis apabila berjauhan dengan suamiku. Prestasi kerjaku terjejas.

Aku juga perlu mengikuti rawatan di hospital bagi mengawal masalah kesihatanku. Aku berfikir untuk berhenti kerja dan tinggal di sisi suamiku.

Suamiku okey dengan cadanganku. Lalu aku menyatakan hasratku kepada kedua ibu bapaku, namun mereka berat hati mempersetujui keputusanku dan berleter macam-macam. Haha.

Akhirnya, mereka hanya cakap ikut suka hati aku nak buat apa dengan nada yang tidak gembira. Keputusan untuk berhenti kerja terkubur dan aku masih teruskan kerja seperti biasa, cuba bertahan dengan pjj, tempat kerja dan kesihatan mental.

Sejak pandemik melanda dunia, aku berkesempatan pulang ke Perak dan tinggal bersama suamiku. Memandangkan universitiku melaksanakan work from home, jadi tiada masalah untuk aku teruskan kerjaya dari rumah.

Di saat kita semua duji dengan Covid19 dan kesan-kesannya, aku bersyukur at least dapat tinggal bersama suamiku walaupun dia sibuk dengan operasi.

Berkenaan kesihatan mentalku, aku masih mengambil ubat yang diberi doktor. Aku cuba henti bergantung pada ubat apabila stok ubatku habis, namun gastrik ku makin menjadi-jadi sehingga perlu ke hospital dan juga sakit-sakit yang lain.

Baru-baru ini aku mengutarakan lagi cadangan untuk berhenti kerja dan suamiku menyokong sepenuhnya. Namun, kami perlu kira semula komitmen dan hutang yang ada sebelum aku meletak jawatan.

Aku sendiri merasakan ralat dan tidak bersemangat meneruskan kerja tetapi gagah jua demi para pelajar.

Aku turut berkias dengan ibu bapaku mengenai perkara ini tetapi sekali lagi reaksi yang sama diberikan.

Antara kata-kata yang diungkap “rugi belajar tinggi-tinggi”, “bagi dapat kerja bagus lain”, “nanti takda duit, siapa nak tolong if jadi apa-apa”, “tunggula umur 40 ke atas baru berhenti”, “tunggu ada anak dulu nanti bosan duduk di rumah”..

Kata-kata mereka buatkan aku rasa tidak yakin dengan keputusan dan takut tersalah langkah walaupun pada mulanya aku sangat yakin apabila berbincang dengan suamiku.

Aku rasa terbeban, sekiranya aku berhenti siapa nak bantu ibu bapaku dari segi kewangan. Aku juga dimomok dengan kisah isteri ditinggalkan suami dan lain-lain.

Aku bukanlah hendak hidup bermewah asalkan cukup makan pakai kami. Dan keputusan tidak bekerja bukanlah selamanya, aku bercadang untuk memohon kerja lain walau kerja tersebut tidak mengikut sijil kelayakan.

Bagi yang tertanya kenapa tak minta pindah ke universiti lain di Perak, bidang kepakaran yang ada tidak sesuai dengan bidang yang aku mengajar.

Sekarang aku kembali bimbang dan tertekan memikirkan aku bakal pulang ke ibu kota selepas PKPB dimansuhkan dan berjauhan semula dengan suamiku.

Aku faham yang aku tidak akan dapat memiliki segalanya dan perlu berkorban. Sekiranya aku mengejar kerjaya, aku perlu korban masa dengan suamiku. Sekiranya aku mengejar keluarga, aku tak akan dapat kerjaya.

Aku juga tahu ramai lagi pasangan pjj yang lebih lama dari aku, tapi aku tak kuat macam pasangan yang lain. Aku akan diserang panick attack apabila berfikir terlalu banyak sebab tu aku masih perlukan bantuan ubat dan terapi dengan pakar psikiatri.

Bantulah aku sekiranya para pembaca pernah melalui pengalaman yang sama, atau yang bekerja tetap kerajaan dan berhenti untuk mengikut suami.

Apa yang perlu aku buat? Berhenti mulakan hidup baru atau teruskan kehidupan terseksa ini?

– Eli Batin Meronta (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *