Kandung Yang Ditirikan

Assalamualaikum. Aku taktau apa tujuan aku disini. Mungkin untuk satu dua pendapat, mungkin untuk bantuan. Atau sekadar memohon doa. Entah lah, aku serahkan pada pembaca untuk menilai.

Aku Nur, gadis yang masih mentah di kancah derita. Berusia awal 20an, aku diajar, atau lebih tepat dipaksa, untuk hidup atas dua kaki sendiri. Sedang 3 lagi abang yang seharusnya berada di posisi aku, enak berbantalkan baldu, berselimutkan sutera.

Aku si bongsu, juga satu-satunya bunga, dan aku juga seorang anak kandung yang ditirikan. Puncanya? Entahlah. Mungkin kehadiran sekuntum bunga bukan dambaan taman yang indah dimata.

Aku diajar mengemas, masak dan mencuci baju seawal 7 tahun. Ya, sebab aku kena masak untuk 3 orang raja tak berlantik di rumah. Mama aku surirumah, yang cuba mengajar aku menjadi gadis. Gadis melayu terakhir mungkin.

Seawal 7 tahun, dunia kanak-kanak aku ditutup begitu saja. Jiran datang ajak main bersama, mama benarkan. Tapi aku didalam pagar, dia diluar pagar. Bagai bermain bersama banduan. Dan akhirnya mereka bosan. Aku ditinggalkan.

Bermainlah aku dengan habuk, penyapu, pinggan kotor dan periuk kuali. Di sekolah, tiada aktiviti koko yang dibenarkan untuk aku. Tiada apa-apa program yang boleh aku ikuti selepas waktu sekolah. Jadilah aku katak bawah tempurung yang sejati.

Kenapa mama bencikan aku? Aku takde jawapan. Mama bukan sekadar bencikan aku. Tapi sangat bencikan aku. Bila ada jiran datang bertandang dirumah, tak lepas mulut mama memburukkan aku. Katanya aku anak derhaka, banyak buat perangai, tak cium bau syurga.

Dijajanya bahawa saat aku dikandung, berkali2 cuba digugurkan tapi aku tak mahu jatuh. Tapi jiran-jiran memandang simpati pada aku. Seolah mereka tahu apa yang mama katakan itu tak betul. Aku hanya mampu mendengar pujian dari mulut jiran saja, bukan dari mulut mama.

Hinggakan bila mama terlalu memburukkan aku, ada jiran yang cakap kat mama, “Kalau kau tak nak sangat anak kau tu, bagi aku bela. Anak kau tu rajin, baik. Patutnya kau bersyukur. Biar aku je bela dia. Aku memang nak sangat anak perempuan”. Mama hanya diam.

Ya. Aku masih bertuah kerana aku disayangi jiran dan cikgu2. Mungkin sebab itu, mama tak bagi aku ke rumah jiran atau terlalu lama di sekolah. Bila baba rotan abang2 aku, menangis2 mama datang sapukan ubat tika abang2 tidur. Saat aku yang dilibas mama, tak tidur malam aku menunggu mama sapukan ubat, tapi hanya mimpi yang bertandang. Bayang mama langsung tak terpandang.

Makin aku besar, makin aku pasrah dengan layanan mama pada aku. Bila aku dapat 5A dalam UPSR, mama cuma diam tanpa kata. Bila abang hanya dapat 2A, pujian mama melangit tinggi bagai abang dapat masuk universiti.

Dan satu memori hitam yang terpaksa aku hadap setiap malam, aku dicabul oleh datuk, sepupu, dan anak angkat mama. Aku diamkan apa yang datuk dan sepupu buat. Takut mama ingat aku tipu dan makin benci aku. Tapi aku sangat takut bila anak angkat mama cabul aku, aku berlari dan bagitau mama.

Mama pukul aku sebab aku tak kunci pintu, dan mama larang aku bagitau baba. Kata mama itu salah aku sendiri. Ya, mama tawarkan anak angkat mama yang entah datang dari mana tidur dirumah kami berminggu lamanya. Dan mama masih layan anak angkat mama dengan sangat baik. Aku yang harus menjaga diri aku sendiri.

Aku bersyukur, walau aku dikelilingi pencabul, Allah masih melindungi aku dari dirogol. Sejak itu, segalanya aku pendam sendiri. Hingga aku tingkatan 5, aku disahkan ada depression. Hati aku kosong. Setiap kali aku sakit, soalan doktor mesti sama. “Awak stress ke?” Bila aku sakit ulu hati, sakit kepala, sakit dada, soalan doktor tetap sama. Dan itu membuatkan aku tahu. Aku sakit jiwa. Sakit minda.

Apa pilihan yang aku ada? Pada siapa aku nak bercerita? Aku takde kawan. Siapa nak berkawan? Kelas tambahan pun selalu tak pergi atas alasan kena kemas rumah. Ya. Kalau rumah tak kemas, tak boleh ke sekolah atau tuisyen. Tawaran tingkatan 6, mama minta aku lupakan. Cikgu2 aku marah sangat bila dapat tahu.

Habis tingkatan 5, aku bekerja. Awalnya aku kerja bantu jiran mengasuh. Gaji 600. Itupun kalau tak cuti. Satu sen pun tak dapat pada aku. Aku kena bayar bil, ataupun belikan barang rumah. Apa pilihan aku ada? Gaji secara tunai. Mana nak aku sorokkan gaji. Tak lama lepas tu, dapat kerja gaji 900. Tetap sama. Makin banyak gaji, makin banyak perlu aku tanggung.

Abang? Tak boleh. Abang ada banyak keperluan diri untuk beli. Itu kata mama. Hampir setahun aku bekerja, begitu lah khidmat aku pada keluarga. Kalau gaji tak cukup? Aku dipaksa berhutang. Kalau aku taknak, abang dan mama sendiri yang buat hutang guna nama aku.

Aku ada rupa, Wallahi bukan aku membangga diri, tapi atas sebab ni, mama dan abang selalu ambil kesempatan. Gunakan nama aku untuk pinjam duit pada sesiapa yang menyimpan hati pada aku. Aku hanya mampu mengeluh.

Aku minat berniaga. Jadi aku mula berniaga benda mudah2. Aku google macam2 resepi. Aku tumpangkan jualan aku kat kedai2. Aku mula jual atas talian. Aku mula seronok sebab dah ada bisnes. Ya, disini kemuncaknya mental aku menjadi celaru yang amat. Aku taktau kenapa abang mula dengki.

Abang dah taknak tolong aku hantar lagi barang jualan aku ke kedai2. Bila ada pesanan yang perlu dipos, abang tak nak bawakan aku ke poslaju. Aku tak pandai bawa motor. Aku pergi balik kerja dengan dua kaki saja. Walaupun balik 10 malam.

Kalau aku nak hantar ke kedai tumpangan tu jalan kaki, aku akan lambat masuk kerja. Nak fokus pada bisnes, belum utuh pun lagi. Aku menangis semahunya. Kenapa nak sulitkan benda yang mudah? Bukan ke hasil pendapatan aku ni juga aku membantu keluarga?

Aku mula mencederakan diri sendiri. Kepala aku hentak ke dinding. Pipi aku menjadi mangsa tamparan berkali2 oleh tangan aku sendiri. Aku harapkan semua kesakitan aku pergi bersama air mata dan amarah aku. Aku selongkar bilik mencari apa sahaja yang mampu bantu aku tamatkan derita hidup aku.

Dalam hati aku mula menyumpah seranah seorang demi seorang. Aku genggam cadar katil erat, aku paksa hati aku ingat pada Allah. Aku berlari ke bilik air, aku buka pancuran air dan aku menangis lagi semahunya sampai mata aku bengkak, kepala aku berdenyut sangat2.

Bila aku sedikit lega, aku tidur. Bangun tidur, aku mandi lagi, menangis lagi, dan bersujud mengadu pada Tuhanku. Usai berdoa aku termenung. Aku sayangkan diri aku. Aku sayang keluarga aku. Aku tak mampu bantu diri aku kalau aku terus disini.

Aku nekad nak keluar dari sini. Aku takde hala tuju. Aku pergi bukan sebab aku benci. Tapi sebab aku terlalu sayang. Aku sayang diri aku. Aku taknak biarkan keadaan macam ni menjerumuskan aku ke neraka.

Dari dulu Allah yang jaga aku. Aku bertawakal sepenuhnya pada Allah. Aku mengharapkan pemergian aku ada hikmah untuk keadaan ni. Mungkin aku takkan ada doa seorang ibu bersama aku. Tapi aku mengharapkan doa pembaca2 yang soleh solehah agar perjalanan aku dimudahkan. Aku keluar dengan RM50 bersama aku.

Aku taknak sesiapa tahu dimana aku. Jadi aku berhenti kerja. Aku taktau ke mana destinasi aku. Tapi mohon doakan aku. Tolong doakan juga satu hari aku boleh sambung semula bisnes aku. Aku baru sedar itu hobi aku, minat aku. Aku boleh release tension bila berbisnes. Aku rindu.

Terima kasih semua.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *