Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali
Buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh
Entah tiba-tiba berkumandang lagu Bawaku Pergi nyanyian Kaka dan Zizan Razak tepat tujuh pagi di corong radio ketika aku masih berselubung dalam selimut tebal dek kedinginan pendingin hawa.
“Aik, sapa pulak yang pasang radio pagi-pagi buta Isnin ni? Ni mesti kerja Amsyar?” Mengomel aku sendirian sambil menggosok muka dan menenyeh mata.
Amsyar, kawan sebilik aku itu kepalanya memang giler-giler. Ada saja benda dia buat untuk menyakat aku.
Banyak juga tahi mata aku buat semalam. “Ada yang nak beli? Eh, gurau-gurau je!”
Angin pendingin hawa benar-benar mencengkam ke tulang aku. Sejuknya persis di luar negara. Aku apa lagi, terus berselubung kemas dalam selimut merah.
“Macam tau je pendingin hawa rumah aku ni? Nak lawan angin sejuk luar negara ke?” Soal aku kepada pendingin hawa yang diam membatu.
Mana tidaknya, sekarang kan sudah hendak masuk musim salju di negara atas angin. Kononnya sedang berangan tinggal di negara empat musim walhal masih terperuk di Kota Metropolitan Kuala Lumpur.
Rindunya rasa sejuk musim sejuk yang mencengkam hingga ke tulang hitam. Itulah rasa sejuk musim salju.
Aku rindu bau salji. Aku rindu pemandangan sekeliling yang memutih. Aku juga rindu hendak melempar salji ke udara, bergolek dalam salji, membuat ais kepal dan membina orang-orang salji.
Sumpah aku rindu suasana itu ketika aku berkunjung ke Queenstown, New Zealand semasa musim salju yang lalu.
Malasnya hendak turun dari katil. Monday Blues katakan. Tanpa aku sedari, sebenarnya aku turut sama mengalunkan lagu tersebut bersama-sama dengan penyanyi asalnya.
Menyanyi sambil meliuk lentok dalam selimut mengikut irama lagu tersebut. Terasa dunia ini aku yang punya. Sedap tak sedap itu lain kira, yang pasti aku dapat ‘menyumbangkan’ suara.
“Eh, makin sedap pula lagu ni walaupun dah banyak kali dengar!” gumam aku sendirian sambil menyanyi dengan penuh perasaan semasa bahagian korus.
Melodi dan lirik lagu ini yang ringkas namun penuh dengan makna tersirat cepat menangkap telinga pendengar walaupun bagi mereka yang baru pertama kali mendengarnya.
Setiap kali seseorang ingin bercuti ke sesebuah destinasi, banyak kali aku lihat suapan berita di Facebook yang mengambil bait-bait lirik lagu ini sebagai kapsyen mereka.
Lagu ini sedikit sebanyak memang ada kaitan dengan kaki-jalan-serata-dunia. Aku memang seorang yang suka berjalan ke sana ke mari.
Mak aku kata, aku memang tidak duduk diam sejak kecil. Kalau dulu, hendak tengok aku melekat di rumah memang ajaib.
Mak aku memang dah tahu ‘port’ aku kalau tiada di rumah – tak lain tak bukan mesti di parit belakang rumah.
Apabila meningkat dewasa, sudah bekerja dan mempunyai fulus sendiri, dalam kalangan rakan-rakan aku pula ramai yang maklum bahawa aku memang kaki-jalan-tegar.
Timur, barat, utara dan selatan kebanyakannya sudah aku jejaki.
Semua yang aku kecapi pada hari ini bermula dengan sebuah mimpi dan impian. Impian aku hanya satu iaitu ingin merasai pengalaman menaiki ‘burung besi gergasi’.
Sebuah pengangkutan yang mewah ketika aku kecil. Mana mungkin aku mampu menaiki kapal terbang semasa kecil kerana dulu aku cuma seorang budak kampung yang comot dan tidak punya apa-apa.
Motosikal dan kereta pun tiada, yang ada cuma basikal tua. Bertambah mustahil kerana bapa aku seorang pesara manakala ibu aku hanya seorang suri rumah tangga.
Kami memang tidak berkemampuan ketika itu. Makan pun bercatu, inikan pula hendak terbang tinggi di udara membelah awan biru untuk ke sesebuah destinasi. Itulah ‘impian gila’ sewaktu aku kecil.
Setiap kali kapal terbang melintas di atas kepala aku, aku selalu berteriak sekuat hati dan terus berdoa di dalam hati.
Aku tidak peduli dengan orang sekeliling kerana niat aku cuma satu – hendak menaiki kapal terbang yang mampu terbang tinggi di udara beribu-ribu kaki dari lantai bumi.
Aku teringin benar untuk melihat ke bawah dari sudut pandangan mata helang.
“Kapal terbang, aku kat bawah ni.”
“Nampak tak aku? Aku nak naik kau.”
“Turunlah sekejap ambil aku? Aku nak naik atas sekejap saja.”
Tolonglah angin
Bawa kapal terbang kertas ku kepadanya
Supaya ternyata jelas isi hati ku
Yang sebenar-benar ikhlas
Pinta seorang anak kecil polos tentang hal dunia. Namun permintaan aku tidak pernah didengari oleh juruterbang.
Ya, aku akui aku memang naif. Budak kampung katakan. Mana terdedah dengan arus pemodenan.
Aku cuma tahu konda-kondi, mandi parit, tangkap belalang, melastik burung dan bermacam lagi aktiviti budak kampung.
Doa aku tidak dimakbulkan ketika itu. Aku menangis setiap kali ‘dikecewakan’ oleh juruterbang. Aku benar-benar kecewa. Rasanya seperti putus cinta.
Kalaulah juruterbang penuhi permintaan aku waktu itu, memang akan menjadi tajuk sensasi di dada akhbar seluruh Malaysia.
Benda di luar petala alam yang berlaku. Boleh pula ‘mengambil’ penumpang tidak berbayar dan berdaftar di bawah sebentar.
“Ah, gilalah imaginasi aku dulu!” Aku pun tidak percaya aku boleh berfikir sedemikian.
Tetapi Allah Maha Mendengar. Doa aku puluhan tahun dahulu telah dimakbulkan olehNya sekarang. Indahnya nikmat itu tidak dapat digambarkan dengan perkataan mahupun perlakuan.
Ia dapat diserlahkan melalui riak wajah dan tingkah laku bahawa betapa aku begitu bersyukur dengan kurniaan tersebut oleh Allah Maha Kaya.
“Maka nikmat Tuhan kamu manakah yang kamu dustakan?” Soal aku kepada diri sendiri setiap kali aku terbit rasa tidak bersyukur dan menyoal perancangan Allah dalam hati.
Walaupun hidup aku suatu ketika dahulu sangat mencabar dan penuh berliku tetapi aku selalu bersangka baik dengan Sang Pencipta.
Aku masih kekal menganggap Tuhan sangat mencintai dan menyayangi namun Dia juga sangat humoris. Dia mengajak aku supaya terus tersenyum dan berlapang dengan ujianNya.
Dalam pada itu, aku juga berharap sesuatu yang baik untuk masa depan yang penuh misteri dan tanda tanya.
Aku anggap setiap ujian ialah tanda Allah menyayangi aku dan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.
Kini, kekerapan aku menaiki kapal terbang sama seperti kekerapan aku memandu kenderaan membelah jalan raya.
Rezeki itu luas maksudnya. Ia bukan tertakluk kepada material semata-mata. Diberi kegembiraan dan ketenangan jiwa dalam kehidupan juga merupakan sebuah rezeki.
Cara aku mencari kebahagiaan dan ketenangan jiwa adalah dengan mengembara ke bumi Allah yang maha luas dan indah tidak terperi ini.
Ya, rezeki terbesar dalam kehidupan aku setakat ini apabila dapat mengembara ke pelbagai buah negara.
Memori petualangan yang aku tidak akan lupakan sepanjang pengembaraan aku ke seluruh dunia adalah semasa berpetualangan ke selatan India pada Januari 2017.
Aku sebenarnya seorang yang tidak mempunyai sebarang perancangan semasa mengembara. Konsep aku adalah redah dan terjah.
Kerana konsep inilah, aku diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke sebuah tempat yang ditinggalkan puluhan tahun lamanya namun sungguh mengasyikkan pemandangannya.
Aku lebih gemar bertanya dengan orang tempatan mengenai tempat yang patut aku kunjungi setiap kali mengembara. Begitu juga semasa di India.
Sebelum berkunjung ke sana, aku sempat berkenalan dengan Arun yang tinggal di Kerala melalui jaringan CouchSurfing.
“Hi, welcome to India. Do you have anyone that can host you? If no, please come to my house. I can host you.” Itulah mesej pertama yang dihantar oleh Arun memulakan salam perkenalan.
“Hi, thank you so much for your invite. I really need this kind of help.” Tanpa berfikir panjang aku terus menerima pelawaan rakan maya aku tersebut walaupun tidak pernah bersua muka lagi.
Bak kata orang tua, bagai orang mengantuk disorongkan bantal.
Sebagai pengembara dalam jaringan CouchSurfing, sifat terbuka dan bersangka baik sentiasa diamalkan bagi setiap ahli komuniti ini walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya.
Bagi kami, itu bukanlah perbezaan tetapi ia merupakan titik untuk mewujudkan keserasian dan persamaan antara satu sama lain.
Seperti mana pengembaraan aku sebelum ini, tidak memiliki apa-apa perancangan. Aku lebih percaya kepada perancangan Allah. Aku juga ingin meminta pandangan orang tempatan.
Ya, tahap kepercayaan aku kepada orang tempatan lebih tinggi daripada Mr. Google. Bagi aku, itu tempat mereka, pastinya mereka lebih arif tentangnya.
Dia ‘mendesak’ aku untuk pergi ke Danushkodi. Katanya sangat rugi kalau tidak pergi ke sana kerana kecantikan Danushkodi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Hanya dapat dinikmati dengan pandangan mata dan terus disimpan dalam memori minda dan kamera.
Ia terkenal dalam kalangan rakyat India namun tidak bagi pelancong luar.
“You must go to Danushkodi. It is compulsory. I will add it in your itinerary.” Arun menggunakan kuasa vetonya.
“But I have no idea about that place. I am worried that I do not have enough time to explore it. It is very far from here (Kerala) to Tamil Nadu. I want to go to Bangalore and Goa as well.” Aku cuba menolak permintaan dia pada mulanya.
“You must go. No excuses. Danushkodi is a must-visit place while you are in South India. No worries, you have enough time, I have calculated while preparing your itinerary. Just enjoy it while you are in India.”
Tiada tapi-tapi dengan Arun. Dia benar-benar inginkan aku pergi ke Danushkodi. Ternyata keputusan yang aku buat untuk menerima cadangan Arun adalah tepat.
Orang tempatan lebih tahu tentang tempat mereka. Dek sikap rajin bertanya dengan orang tempatan, Allah mengurniakan rezeki untuk aku melangkah kaki ke Bandar Berhantu India.
Danushkodi iaalah sebuah bandar tinggalan suci yang terletak di Pulau Pamban dalam daerah Rameswaram di negeri Tamil Nadu.
Bahagian tenggara paling hujung di India ini hanya dipisahkan 18 km sahaja dari Sri Lanka oleh lautan samudera di kiri dan kanannya – Teluk Bengal dan Lautan Hindi.
Untuk pergi ke Dhanushkodi, anda perlu sampai ke Rameswaram terlebih dahulu yang mana ia boleh diakses melalui udara, kereta api atau jalan raya.
Untuk sampai ke Rameswaram, anda perlu menyeberangi Jambatan Pamban, jambatan di atas laut yang pertama di India sejauh 2 km. Pemandangan di kiri dan kanan semasa melalui sungguh memukau.
“Kan bagus kalau aku naik kereta api. Baru boleh menikmati pengalaman menaiki kereta api di atas lautan. Ni kan dah rugi.”
Aku tanpa sengaja mengimbas kembali kenangan semasa melintasi Jambatan Pamban sambil melihat kereta api meluncur laju di atas air.
Sekali pandang kelihatan seperti kereta api itu sedang terapung di atas air dan ditolak oleh ombak lautan untuk bergerak laju ke hadapan.
Jarak dari Rameswaram ke Dhanushkodi adalah sejauh 19 km. Daripada dua ulasan yang dikongsi oleh para pelancong, 100% memilih untuk menaiki kereta atau teksi dari Rameswaram untuk sampai ke Danushkodi.
Dhanushkodi tidak mempunyai stesen kereta api, dan stesen terdekat ialah Stesen Rameswaram, kira-kira 21 km dari Danuskhodi.
“Ya tak ya juga, masa aku pergi dulu, aku terpaksa bangun awal pagi nak kejar bas terawal untuk ke sana. Kalau lambat, bas penuh dan matahari sudah terpacak atas kepala.” Aku mengimbas lagi perjalanan penuh dramatik dua tahun lalu.
Suasana Danushkodi ini jika digambarkan oleh mereka yang belum berpeluang untuk sampai ke sana adalah sama seperti sebuah gurun tandus yang dikelilingi lautan membiru dan dinaungi langit berwarna biru cair.
Danushkodi ialah tempat keajaiban alam dan manusia bergabung menjadi satu. Tempat ini telah diselubungi misteri sejak sekian lama.
Ia seakan-akan tempat yang mudah dilupakan oleh pelancong biasa. Selain daripada bukan sebahagian daripada peta pelancongan komersial, tempat ini juga sangat sukar untuk diakses.
Musnah dek ribut siklon pada 22 Disember 1964, bandar purba suci lagi indah menawan ini hati selepas ‘diserang’ bencana alam tersebut.
Dikenali sebagai ‘Aathi Sethu’ (kepala panah), bandar usang ini terus menjadi tarikan walaupun perlu melalui laluan sukar berpasir untuk ke sini dengan jip atau van.
Selepas lima dekad hancur berkecai dibinasakan oleh ribut siklon, bandar ‘berhantu’ di India ini akhirnya dikurniakan jalan raya yang membelah lautan di kiri dan kanan.
Jalan raya sepanjang 9.5 km (Muhuntharayar Chathiram-Danushkodi-
Jika anda datang semasa air surut, anda boleh berjalan di beting pasir semula jadi yang dikenali sebagai Jambatan Adam untuk merentasi tambak yang menghubungkan Pulau Pamban di Tamil Nadu ke Pulau Mannar di Sri Lanka dikelilingi lautan membiru.
Danushkodi, kelihatan seram dan suram akibat bencana masa lalu namun tetap indah mempesona untuk tatapan kini dan masa depan.
“Danushkodi, kau tunggu aku lagi ya.”
Aku menjerit dengan kuat lantas bangun daripada perbaringan untuk bersiap sedia pergi ke ‘pejabat’.
“Apa kau ingat musim PKP ni aku melepak je kat rumah tak buat kerja? Kena kerja jugak la wei.”
Kerja itu kan suatu amanah. Nak tak nak, kena hadap juga. Tak kerja, tiada duit.
Tiada duit, tak bolehlah merayau ke setiap penjuru dunia. Jom mulakan kerja dengan penuh semangat. Senyum seindah suria yang membawa cahaya!
Sapa macam aku masa kecil-kecil? Ceritalah pengalaman pertama korang naik belon.
– Jacaranda (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit