Kasanova Professional

Kisah kasanova professional yang aku akan cerita ini pernah ada suatu ketika dahulu. Cuma aku tidak pasti kesahihannya hanya mereka yang melalui dan Allah sahaja yang tahu.

Apa yang jadi kepada aku juga kerana kebodohan aku mempercayai lakonan sandiwara dia dan kehebatan dia dalam lakonan kasanova profesionalnya. Tidak kutahu sejarah hidup dia dan siapa dia sebenarnya sebelum itu.

Perkenalan bersahaja dalam media sosial menjerat aku mengenalinya. Dia mengaku sebagai duda dan ingin mencari teman hidup.

Kami sering berkomunikasi dan semakin rapat. Dia cuma kuanggap sebagai kenalan datang menemuiku kali pertama dengan ajakan nikah.

Datang dengan kereta mewah dan kerjaya yang hebat disanjung masyarakat, membuatkan aku terus bersetuju untuk menikahinya dalam keadaan aku sudah beberapa tahun menjadi janda.

Satu perbuatan dia yang aku terkejut adalah keberanian dia menciumku dan menyentuhku beberapa kali seolah olah telah lama kenal. Aku terkejut tetapi pujukan syaitan melebihi segalanya.

Segalanya sangat bahagia sehingga kami terlanjur apabila dia datang ke tempatku bermalam di hotel. Namun aku tetap percayakan kebaikan dia tanpa ada rasa sesalan.

Dia mempunyai perwatakan yang baik, alim dan melayanku dengan baik. Sehinggalah segala persiapan pernikahan hampir siap, dia berubah sikap secara drastik.

Dia menjauh dari aku dan apabila aku mencarinya di tempat kerjanya, dia memaki hamun untuk memutuskan hubungan denganku. Hancur luluh hatiku terkenangkan persiapan pernikahan, maruah keluarga dan kejadian terlanjur itu.

Aku sangat kecewa namun tetap meminta dia menikahiku kerana aku tidak pernah terlanjur dengan mana mana lelaki sebelum ini. Aku ingin tebus maruah dan harga diri aku dengan menikahinya. Aku juga terlalu sayang kepada dia.

Sepanjang itu, hubungan kami tidak baik. Tetapi aku meminta dia menikahiku kerana aku tidak mahu kehilangan dia yang aku sayang dan kejadian terlanjur itu.

Sehinggalah pada suatu hari Allah membuka mataku kepada beberapa kisah di media sosial tentang dia, milik seorang perempuan dan tiga kisah lain yang juga dalam media sosial. Ya Allah aku terduduk, ujian apakah ini untuk aku! Aku baru tersedar aku adalah mangsa seterusnya.

Dipendekkan cerita, kami bernikah di Selatan Thai. Kami sering bergaduh namun masih kekal suami isteri.

Kami bercadang untuk beritahu kepada semua apabila selesai urusan pendaftaran nikah. Ada kisah lain tentang penipuan status dia, yang menjadi alasan kenapa bernikah di Selatan Thai.

Sehinggalah pada suatu hari, aku dapat rakaman daripada kawanku dia sedang keluar dengan wanita lain.

Aku tidak rasa terlalu terkejut kerana aku tahu kisah kaki perempuan dia yang sudah banyak kali kahwin cerai dan dikelilingi ramai perempuan itu.

Aku turut cuba menelefon dia pada masa itu dengan niat mengusik tetapi dia matikan panggilan dan terus sekat Whatsappsku.

Mungkin kerana tidak mahu diganggu di alam percintaan. Aku menghantar mesej kepada wanita yang kukenal sebagai janda itu supaya meminta suami aku daftar nikah kami dahulu sebelum menikahinya.

Kenapa aku hantar mesej macam tu, adalah kerana ada satu rakaman wanita itu menunjukkan gambar cincin lambang kebahagiaan bahawa dia akan berkahwin dengan suami aku.

Mungkin kerana itu, dia terlalu marah tembelangnya pecah dan menceraikanku menerusi SMS sahaja.

Dia menghilangkan diri sukar untuk aku hubungi selepas itu sehingga memaksa aku mencari pelbagai medium untuk sampaikan pesanan kepadanya untuk urusan nikah dan cerai kami dengan segera.

Akhirnya disebabkan desakan aku, dia memberi tindak balas untuk menguruskannya. Tetapi sehingga kini masih tiada hitam putih tindakan daripadanya.

Kasanova professional itu menceraikan isterinya yang terkini hanya melalui SMS, penceraian di luar mahkamah lagi yang banyak kali dilakukannya. Baru semalam aku dapat gambar keretanya di parkir rumah kekasih baru dia.

Mungkin mangsa seterusnya. Kenapa aku katakan kasanova professional? Kerana kerjaya dia yang hebat dilengkapi kemewahan, dia seolah olah boleh membeli mana mana wanita yang disukai.

Dia tidak akan kekal lama dengan mana mana isteri ataupun wanita sehinggakan bekas bekas isteri yang ada ramai anak dengannya pun diceraikan.

Dia mempunyai ramai anak dari perkahwinannya yang banyak kali itu. Rekod mahkamah syariah dia juga banyak. Nikah cerai sudah sebati dalam dirinya.

Cerai luar mahkamah yang banyak kali baginya adalah perkara biasa. Apa nak dikisah, dia mampu bayar peguam untuk selesaikan hal ini.

Sikap dia yang pandai memikat hati perempuan memang sikap kasanova yang diamalkan untuk mendapatkan mana mana perempuan dia suka.

Ditambah pula dengan dia memberi kemewahan kepada perempuan dengan memberi hadiah dan duit yang banyak.

Semua ini lakonan untuk memikat pada awalnya dan dia akan tinggalkan begitu sahaja apabila dia sudah jemu atau jumpa perempuan lain. Buktinya apa yang dia lakukan kepada aku dan pengakuan mangsa mangsa dia dalam media sosial itu.

Apa yang jadi kepadaku sama sekali seperti kisah yang pernah ada suatu ketika dahulu.

Menggunakan status dan jawatan yang hebat dapat membuat seseorang itu memikat mana mana perempuan yang disukai dan akan tinggalkan perempuan itu apabila sudah jemu dengan pelbagai alasan untuk menghalalkan perbuatannya.

Kini dia sudah ada perempuan lain yang aku rasakan esok lusa masuk dalam senarai mangsa seterusnya.

Aku doakan dia akan berubah suatu hari nanti dan akan fikirkan nasib yang sama jika perkara ini berlaku kepada salah seorang anak perempuannya.

Doakan urusan aku selesai dengan baik dan aku dapat belajar banyak perkara daripada pengalaman perit ini.

– FHN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *