Bismillah.. Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Cerita ini tentang bapa dan bapa tiriku, cerita tentang kasih sayang sesama manusia, kasih sayang bapa kepada anak.
Pada 9 tahun lepas, hari ini tanggal 20hb Ogos, ayah tiriku, yang ku panggil Abah Haji Zawawi meninggal dunia kerana sakit tua.
Dan tahun ini 2021 pada bulan Jun atau awal Julai tadi, tidak berapa ingat tarikh sebenar, bapa kandungku yang ku panggil Papa pula meninggal dunia kerana kanser hati pada usia 70 tahun lebih.
Aku mengingati hari ini, dan tergerak untuk menulis kerana hatiku tak keruan. Tahun sebelumnya adalah hari biasa untukku. Aku akan membaca Yaasin dan menzikirkan Al-Fatihah pada ayah tiriku.
Sama juga pada hari ini, memasak, membasuh pinggan aku akan tidak henti membaca Al-Fatihah, sedekah ku pada Abah.
Tetapi tahun ini hatiku berbolak balik tidak sedap hati. Papa ku juga sudah meninggal, tapi aku adalah sekali dua membacakan Al-Fatihah untuknya.
Berita kematiannya juga adalah cuma seperti berita ramalan cuaca waktu abangku sampaikan melalui whatsapp pada hari kematiannya, aku cuma beriaksi Innalillah, semoga rohnya bersama orang beriman.
Iya, sama seperti aku mendengar berita kematian orang lain di group whatsapp kawan sekolah atau group taman atau group kerja.
Kenapa ye? Kerana Papa meninggalkan kami 4 beradik pada usia ku masuk darjah 1 dan adik bongsu ku belum pun tadika.
Bayangkan kami tak kenal, dan terang aku katakana Papa ku melupakan tanggungjawabnya pada kami setelah dia membina keluarga lain, dan mempunyai 4 lagi anak lain bersama isteri baru, anak sulong mereka berusia kurang setahun dari adik bongsuku.
Kalau tanya perasaan, iya, sedih dan pilu jika dikenang. Tapi kami 4 beradik mengambil pendekatan tidak mengenang langsung apa kesusahan, kepayahan dan keseksaan yang mama dan kami semua lalui sepanjang membesar.
Pada usiaku 19 tahun, mama bertemu jodoh dengan Abah. Abah seorang yang agak tua, kematian isteri dan mempunyai ramai anak, yang semuanya berjaya dan yang paling bongsu pun adalah lebih tua dariku.
Anaknya beberapa orang belajar diluar negara dan menjawat jawatan yang tinggi. Mereka semua sangat baik, walau kadang ada konflik seperti Abah melebihkan kami,
Waktu itu aku dan adikku saja belum kawin dan menjadikan tanggungjawab. Abang dan kakakku dikira telah lepas. Bayangkan Abahlah yang menguruskan pernikahan aku dan adik, Abahlah yang merawat berulang ke hospital ketika aku sakit denggi,
Abah yang mencarikan aku rumah pertama sebaik saja aku kerja 3 bulan ada penyata gaji, Abahlah yang datang meraikan hari graduasiku. Dan bagiku, Abahlah segalanya.
Yang menjadi hatiku berbolak balik, sewaktu aku berkumat kamit membaca Al-Fatihah seharian ini ialah, aku mengharapkan supaya Papaku juga didoakan oleh anaknya yang 4 orang itu setiap hari.
Diingati dan dikirimkan doa setiap hari dengan penuh kasih sayang sebagai seorang anak yang bertanggungjawab bilamana ibubapanya meninggal dunia.
Kerana apa? Kerana aku walaupun ber binti kan Jamal, tapi hatiku tiada di situ. Walau sering aku ingatkan diri, bacakan kirimkan doa pada Papa juga, tapi sering aku lupa, kerana memang dia tiada dihati dan tiada dalam ingatan ku.
Kenapa dia tiada di ingatan ku, kerana terlalu banyak peristiwa pedih sepanjang kami membesar berlaku kerana dia, jika diingat, akan menjadi dosa kepada kami. Lebih lagi kami semua telah berkeluarga dan mempunyai anak.
Aku sendiri Alhamdulillah mempunyai suami yang sangat bertanggungjawab, setiap kali melihat suamiku melayan anak, bergurau dengan anak, memanjakan anak, memarahi anak, menasihati anak.. aku akan terfikir, “oh, begini rupanya bahagia membesar ada ayah”.
Dan aku mula membuat dosa dengan menyalahkan Papa atau segalanya, kemudian mulalah aku berishtighfar.
Sesungguhnya aku bukan maksum untuk menerima segalanya, aku hanya manusia biasa yang punya perasaan. Cuma cara aku mengawal perasaan akan menentukan putih atau hitam hatiku.
Jadi, jangan kenangkan Papa. Kerana itu adalah dosa dia kepada kami.
Jadi kenapa kami perlu ingat tentang dosa, abang sulong sering ingatkan kami adik beradik, lupakan la segalanya hal yang sudah antara Papa dan kami, hutang yang sudah antara Papa dan kami, hutang tanggungjawab, hutang nafkah, hutang kasih sayang dan segalanya.
Dan inilah pada terakhirnya kami redha dan lupa segalanya tentang Papa, segalanya termasuk dirinya sendiri.
Jadi jika adik beradik ku, bin binti yang sama, dengan lain ibu yang 4 orang lain terbaca ini, doakan lah Papa sepenuh hati setiap hari,
Kirim kan doa kepadanya dengan penuh kasih sayang, seperti mana Papa menyayangi kalian di dunia, sayangilah dia walau setelah dia pergi. Semoga rohnya tenang di sana dengan doa kalian.
Dan aku, walau tiap kali selepas solat, aku berdoa “Ya Allah ampunkan dosa kedua ibubapaku, ringankan hisab mereka, kurniakan syurga bagi mereka”.
Ustaz kata niat hati itu didengar Allah swt, walau didetik hanya dari dalam hati, dan dalam detik hatiku, “ibubapaku” itu ialah Mama dan Abah.
Tidak teringat aku tentang Papa yang juga sudah meninggal dunia. Sering juga aku aku kurangkan rasa bersalah kerana tidak berdoa untuk Papa, dengan mengatakan pada diri sendiri,
Sesungguhnya hati aku ini milik Allah swt, jika Dia berkehendak aku mengingat Papa, aku akan ingat dia dalam doa, jika tidak berkehendak dariNYA, tidak lah aku ingat untuk mendoakannya.
Apapun semoga Papa tenang di sana, kami semua telah menghalalkan segalanya hutang piutang antara kita, sesama manusia. Semoga diringankan segala hisab bagi mu wahai Papaku.
Dan bagi Abah, aku sangat yakin dan percaya, Abah sedang tidur lena di alam kubur menanti hari perhitungan, mengutip bunga-bunga doa dari anaknya sendiri dan dari anak-anak tirinya iaitu kami berempat,
Kerana jasanya pada kami, sedekah kasih sayang, sedekah wang ringgit, sedekah masanya, pasti membawakan Abah ke syurga teratas.
Terima kasih Abah, aku ingin Abah tetap menjadi Abahku di syurga nanti.
– Leen (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit