Assalamualaikum pembaca semua. Terlebih dahulu saya minta maaf jika artikel saya ini akan membaca sesiapa tersinggung. Tujuan saya hanya untuk minta pendapat dan cadangan pembaca sahaja.
Nama saya Rohana (bukan nama sebenar) berumur lewat 50-an. Masih bersuami dan mempunyai tiga orang anak. Dua lelaki dan satu perempuan.
Anak sulung saya sudah dua tahun berkahwin dan sudah dikurniakan seorang anak. Menantu saya surirumah. Hanya anak saya yang bekerja.
Setelah mendirikan rumah tangga, anak saya dah menantu berpindah ke rumah sewa mereka. Tujuan saya menulis artikel ini kerana saya kurang berkenan dengan sikap menantu saya.
Dalam keluarga saya, saya telah diajar untuk hormat kepada suami. Saya melayan suami saya seperti ketua. Semua kelengkapan dan keperluan suami saya sediakan.
Sekecil-kecil perkara seperti menyarung stokin pun saya buat untuk suami. Kerana bagi saya suami sudah penat-penat mencari rezeki jadi tugas saya adalah untuk menyenangkan suami di rumah.
Tetapi, apabila saya berkunjung ke rumah anak saya, saya sangat pelik dengan cara layanan menantu saya kepada suaminya (anak saya).
Saya dapat melihat menantu saya lebih banyak berehat dari melakukan kerja-kerja rumah.
Saya bukan nak masuk campur urusan anak menantu tetapi saya sangat kesian dengan anak saya, dia yang bersusah payah keluar mencari rezeki tetapi di rumah dia pulak yang banyak menguruskan hal di rumah.
Ya saya tahu menantu saya memang memasak untuk keluarganya tetapi bila part menghidang dan mencuci pinggan semua anak saya yang kena buat. Saya sangat pelik sebab di rumah saya, saya tidak pernah ajar dia buat semua tu.
Bukan saya nak kata perbuatan salah, tetapi sebagai seorang isteri, kita perlulah tahu tugas dan peranan kita dalam keluarga.
Ada satu ketika mereka datang ke rumah saya pada hujung minggu, sedang kami semua sibuk berborak satu keluarga, cucu saya buang air besar.
Menantu saya hanya diam sahaja dan menyerahkan tugas membersih itu kepada suaminya. Saya agak hairan kerana apa salahnya kalau dia yang melakukan tugas tu.
Masa kami semua makan malam pula, setelah siap makan, tiba-tiba anak saya bangun dan mengangkat semua pinggan-pinggan kotor bawa ke singki.
Suami saya pandang saya dengan muka hairan. Saya juga lihat menantu saya mencuci tangan dan terus melayan anaknya tanpa peduli apa yang suaminya lakukan.
Pernah juga saya menegur anak saya itu tetapi terus dibalas “biarlah .. bukan masalah besar pun” .
Ya memang bukan masalah besar tetapi saya sangat sakit mata dan hati melihat menantu saya seperti tidak tahu buat kerja rumah.
Mungkin cara menantu saya dibesarkan berbeza dengan keluarga saya tetapi jika sudah berkahwin pandai-pandailah bawa diri.
Pernah juga saya cuba menegur dengan cara menyindir menantu saya tetapi malah tidak diendahkannya.
Pernah juga saya rasa berfikir yang bukan-bukan tentang menantu saya tu tetapi cepat-cepat saya tepis kerana saya tahu menantu saya tu jenis tak pernah tinggal solat.
Tapi tulah saya sangat-sangat tak berkenan dengan cara layanan dia kepada suaminya.
Saya malas nak bergaduh atau panjang-panjangkan isu kerana menantu saya tu tak pernah buat masalah pun.
Tetapi saya tak dapat mengawal perasaan bila saya tengok macam mana penatnya anak saya itu, pulang bekerja dan terus tolong-tolong buat kerja di dapur.
Saya tidak pernah ajar anak saya buat kerja-kerja itu sebelum dia kahwin. Tetapi setelah berkahwin, tiba-tiba semua itu dia kerjakan.
Maknanya pasti isterinya yang menyuruh dia buat semua kerja itu.
Saya tidak kata perkara itu dilarang atau salah untuk dia lakukan tetapi hati seorang ibu sangat tidak sampai melihat anak saya diperlakukan seperti lembu cucuk hidung.
Mungkin ada sesetengah mentua di luar sana boleh terima benda itu tetapi tidak bagi saya.
Kerana kami sekeluarga memang diajar untuk hormatkan suami. Begitu juga cara saya ajar kepada anak perempuan saya walaupun dia belum berkahwin.
Akhir kata saya minta pendapat semua pembaca, apakah cara atau cadangan supaya saya dapat menegur menantu saya itu supaya merubah sikapnya menjadi lebih baik. Terima kasih.
– Rohana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit