Kasih Sayang Ibu

Benarlah pepatah melayu, “Kalau tiada angin, masakan pokok akan bergoyang”. Selalunya hanya ditonton di drama, tidak aku sangka betul-betul berlaku kisah “Anak tak kenang jasa ibu bapa”, berlaku di dalam keluarga aku. Lebih menyayat hati aku, anak itu bukan lah anak kandung, tetapi seorang anak angkat yang ditatang bagai minyak yang penuh.

Kisah ini berkaitan keluarga Nenek saudara aku yang diceritakan oleh Nenek aku. Nenek aku mempunyai seorang adik yang bernama Kalsom. Pada zaman awal selepas merdeka, memang agak jarang orang Melayu untuk memiliki kereta apatah lagi rumah sendiri. Tetapi tidak pada Kalsom, seorang yang dimurahkan rezeki oleh Allah swt. Bukan satu rumahnya, tetapi lebih dari satu. Rumah yang didiami pula sangat mewah sehingga ada kawasan bawah tanah.

Kalsom dan suami juga sangat dermawan. Pada waktu itu digelar “Orang Kaya Kawasan” oleh penduduk kampung. Mana tidaknya, bayangkan pada waktu itu, belanja sekolah yang mampu dibekalkan oleh kebanyakkan ibu bapa kepada anak hanya sepuluh sen. Tapi Kalsom mampu membekalkan satu ringgit sebagai duit belanja sekolah. Yang kami sangat kagum terhadap Kalsom dan Suami, biar pun mereka sangat berkemampuan, mereka tidak pernah sombong atau kedekut.

Mengenai peribadi Kalsom. Kalsom seorang yang sangat lemah lembut. Bila berbicara penuh dengan budi bahasa. Hidupnya kaya raya tetapi sentiasa tunduk seperti padi. Hidupnya senang tetapi sayangnya Kalsom tidak dapat mengandung. Atas alasan itu, Kalsom dan suami mengambil anak angkat. Anak itu bukan orang lain, tetapi salah seorang anak saudaranya juga. Cuma yang pasti bukan anak Nenek aku. Aku namakan anak angkat Kalsom sebagai Siti. Siti dijaga dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah diherdik, tidak pernah dimarahi.

Tetapi atas ujian Allah, biarpun diberi kasih sayang sepenuhnya, Siti bukanlah cerminan Ibu Bapa Angakatnya. Mungkin sebab terlalu mewah menjadikan Siti agak sombong dan meninggi diri. Bukan sahaja dengan orang luar, Siti juga suka meninggi suara terhadap Kalsom. Tetapi setiap kali Siti berkasar dengan Kalsom, Kalsom pasti akan sentiasa membalas dengan kasih sayang. “Ya Ti, nak apa Ti”. Nadanya begitu lembut sekali. Tidak pernah dibalas kekerasan dengan kekerasan.

Pada tahun 60 an 70 an, aku pasti adalah amat jarang untuk anak Melayu pandai bermain piano. Tetapi tidak Siti, begitu cekap menekan piano nya. Rumah mewah Kalsom lengkap dengan piano mewah, Apabila Siti meningkat sedikit remaja, sudah mampu memandu kereta Audi dikeliling bandar. Barang perhiasan batu permata cantik tersusun di cuping telinga, di leher serta jari jemari. Tidak cukup dengan itu, di tahun 80 an, Siti dihantar belajar ke Amerika oleh Kalsom dan suami. Begitulah kasih sayang seorang Ibu kepada anaknya. Tidak pernah berkira walau bukan darah daging sendiri.

Semakin berjaya, semakin berkeluarga, semakin kurang kasih sayang Siti kepada Kalsom dan suami. Untung untuk Siti kerana kasih sayang Kalsom dan suami kepada Siti tidak pernah berubah. Duit tidak pernah putus dari tangan. Rumah yang dimiliki oleh Kalsom dan suami juga semua dipindah milik ke atas nama Siti. Mungkin semua boleh agak kisahnya. Rumah yang dibeli, dibina untuk didiami sehingga akhir hayat, dilelong pula oleh pihak Bank. Alahai Siti, mengapa begini kau balas jasa baik Ibu mu.

Setelah dilelong, Siti membawa Kalsom dan Suami berhijrah ke kawasan baru. Suami Kalsom tidak gembira sehingga jatuh sakit. Dapat pula tahu, rumah-rumah mereka yang lain turut juga dijual oleh Siti. Untuk pengetahuan semua, salah satu rumah kepunyaan keluarga Kalsom di diami oleh Moyang aku pada ketika itu. Setelah dijual oleh Siti rumah tersebut, terpaksalah Moyang aku yang berusia lebih 80 tahun itu keluar dari rumah yang didiaminya setelah sekian lama. Sedihnya bukan kepalang. Perkara ini membuat kesihatan Suami Kalsom semakin merosot dan dimasukkan ke hospital.

Ada suatu hari, Siti minta Kalsom bersiap, ingin di bawa keluar. Tahu ke mana? Ke Bank. Diminta Kalsom berikan buku bank kepada Siti. Siti pesan ingin pinjam duit Suami Kalsom tapi jangan diberitahu kepada Suami Kalsom. Bila keluar dari bank, diberinya buku bank kembali. Luluh hati Kalsom. Bakinya tinggal sedikit sahaja. Itu duit simpanan suaminya. Kalsom tidak pandai menipu. Berperang perasaan untuk merahsiakan perkara ini. Hingga satu hari, tidak dapat ditahan lagi perasaanya, diberitahu juga kepada si Suami apa yang berlaku. Suami Kalsom terkejut. Kesihatan semakin merosot sehingga menyebabkan depresi.

Sayangnya umur Suami Kalsom tidak lama. Kalsom ditinggalkan oleh suaminya. Pada tahun 2007 atau 2008 tidak silap aku. Aku masih ingat, sewaktu menguruskan jenazah Suami Kalsom, Siti merayu kepada adik beradik Ibuku untuk membantu menguruskan jenazah Suami Kalsom. Katanya dia tidak mampu menguruskan jenazah arwah kerana tiada duit. Tidak apalah kata Ibuku, semuanya biarlah diuruskan oleh adik beradik ibuku. Lagipun arwah Suami Kalsom dan Kalsom sangat baik dengan keluarga Ibuku. Orang berbudi kita pula harus berbahasa.

Kisah Kalsom tidak habis disitu. Suatu hari Siti meminta Kalsom mengemas baju di dalam beg. Katanya ingin di bawa ke suatu tempat. Bila ditanya kemana, diherdiknya Kalsom, suruh kemas sahaja. Seperti biasa walau diherdik, Kalsom menjawab dengan lembut “Ya Ti, Baik Ti.” Setelah bersiap, Siti bawa Kalsom ke rumah adik Kalsom yang juga adik Nenek aku. Leha namanya. Diletakkan beg Kalsom di depan pintu, kemudian bersalam dengan semua. Katanya hendak selesaikan urusan sedikit. Sehingga ke hari ini urusannya belum selesai. Kesian Kalsom hari hari menunggu Siti sehingga kemurungan.

Sedih kami melihatnya. Agak lama Kalsom tidak mahu makan. Setiap kali berjumpa pasti di tanya dengan nada lembut, “Siti mana?” “Ada jumpa Siti tak”? Sayu sungguh hati kami. Tetapi Alhamdulillah, kasih sayang adik beradik, anak-anak saudara, cucu-cucu saudara sangat melimpah ruah kepada Kalsom. Semua sama-sama menjaganya. Sekarang Kalsom semakin baik, semakin ceria. Sudah ada rutin harian ke Masjid, buat kuih. Semakin cuba melupakan kisah silamnya.

Setiap kali kami ajak pulang ke kawasan rumahnya yang lama, pasti dia menolak. Katanya malu nak berjumpa orang kampung. Dari seorang yang kaya raya, kini tiada apa-apa. Anak juga meninggalkan nya. Untuk pengetahuan pembaca, rumah yang dilelong dulu dibeli oleh orang kampung yang juga kenalan Kalsom. Bersungguh orang tersebut ingin berjumpa dengan Kalsom, tetapi masih ditolak oleh Kalsom. Mungkin sungguh-sungguh Kalsom mahu melupakan hal lama. Ingin membuka buku baru.

Oh ya, Siti ada dua orang anak. Seorang sebaya aku. Setiap kali aku berjumpa Kalsom pasti disebut, “Anak Siti sebaya kamu. Dah besar macam kamu la agaknya”. Sambil dipeluk ciumnya aku. Dari nada lemah lembutnya aku pasti Kalsom sangat merindui cucunya.

Itulah dia aturan Allah. Kita boleh berada di atas. Tapi Allah boleh turunkan kita ke bawah pada bila-bila sahaja. Yang pasti orang yang disayangi Allah adalah orang yang sentiasa diuji. Aku betul-betul berharap, Allah balas kesabaran dan kebaikkan Kalsom dengan Syurga. Orang sebaik itu seharusnya hidup dengan bahagia tapi aku yakin aturan Allah lebih hebat untuk Kalsom.

Untuk kita, janganlah kita menjadi anak derhaka. Kasih sayang Ibu Bapa janganlah di balas dengan tuba. Sayangilah mereka lebih daripada mereka menyayangi kita. Sekian.

– DAZ

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *