Hai, salam buat semua pembaca setia IIUM Confession. Ini ialah kali pertama aku nak berkongsi luahan rasa aku, sepanjang aku membesar.
Aku Pia umur 20 tahun. Dalam tempoh aku membesar, aku rasa aku masih tak cukup kasih sayang daripada keluarga sendiri. Sebab aku dalam kategori keluarga yang tak bahagia.
Perancangan pulang ke kampung sementara ayah cuti. Bukanlah keputusan yang betul. Bila ayah dah mula kerja. Ayah tinggalkan mak, aku dan abang duduk di kampung temankan nenek. Bermula lah episod dan diari hitam dalam sejarah hidup aku.
Ayah aku terlalu menurut kata mak dia, suruh kami sekeluarga tinggal serumah di kampung nenek. Alasan ayah aku ialah, sebab mak dia keseorangan tiada peneman.
Adik-beradik ayah buat haluan masing-masing. Ada yang dah kawin, dan ada yang merantau kerana bekerja.
Makin hari, makin aku tau yang nenek tak sukakan mak aku. Ye lah, sebab mak aku bukan menantu pilihan dia. Apa yang mak aku buat semua serba tak kena di mata nenek.
Walaupun aku masih kecil. Tapi aku faham dengan keadaan itu, aku boleh rasa sedih itu sampai hari ini. Aku banyak kali pernah nampak mak aku nangis, mungkin dia terlalu terasa dengan sikap nenek.
Nenek aku jenis dia, kalau dia tak suka sesuatu yang mak aku buat, dia boleh je nak sindir dan perli cakap kuat-kuat biar anak menantu yang bertandang dekat rumah dia tahu, apa yang dia tak suka.
Aku tak puas hati dengan ayah aku sendiri, sebab dialah kami jadi macam ini. Dia tinggalkan anak isteri di kampung, rumah mak dia sendiri.
Sedangkan dia bekerja jauh daripada pandangan kami. Dia tak tahu, apa yang mak aku lalui. Dia tak faham apa yang isteri dia kena hadap dengan sikap nenek aku, dengan sikap ipar duai mak aku..
Sejak aku, mak dan abang aku duduk di kampung. Masalah itulah, adik-beradik ayah nak menempek sekali, tiba-tiba je nak duduk kampung.
Diorang ada masalah family, lari balik kampung duduk sekali rumah nenek. Rumah jadi ramai. Bukan riuh rendah sebab datangkan suasana bahagia. Semua itu datang bawa duka.
Aku sedih, setiapkali tengok mak aku nangis. Mak aku macam kena jadi kuli dalam rumah nenek. Setiap kali anak menantu dia balik ramai-ramai hari minggu.
Mak aku yang kena siapkan makan minum mereka semua. Nak siap berhidang bagai.
Mak sedara yang datang pun, belum tentu nak tolong ke dapur. Buat apa yang patut. Masing-masing duduk bersarang dalam bilik.
Cukup time makan tengah hari. Nenek panggil makan. Barulah muncul muka laki bini, baru bangun tidur nak makan. Menyampah nya aku rasa.
Apalah nasib mak aku dapat keluarga mertua dan ipar duai macam itu. Tak de toleransi langsung. Hrmm ..sama je lah bapak aku pun sebiji je perangai macam mereka.
Kalau bapak aku balik kampung pun. Bukan dapat nak manja dan rasa kasih sayang tu. Bapak aku tegas tak berpendirian. Terlalu garang dengan kami. Aku janggal nak rasa kasih sayang dia.
Aku nak peluk ayah pun, tak pandai. Nak rasa disayangi, jauh sekali. Mak aku kalau nak mengadu suka duka kat ayah pun, ayah macam tak ambil kesah.
Aku mula benci dengan ayah aku sendiri. Masa aku umur 5 ke 6 tahun macam tu. Aku pernah kena baling dengan ayah. Sebab aku tidur menigau/mamai yang budak kecil kalau tidur dia suka merengek.
Nenek aku suruh diam, sebab sepupu aku tengah tidur, dia kalau boleh tak nak cucu kesayangan dia terjaga daripada tidur yang lena.
“Diamlah jangan nangis, nanti emey terjaga. Susah nak tidurkan dia balik”
Banyak kali nenek cakap benda yang sama, disebabkan aku masih merengek.
Tak de siapa pun pujuk aku masa itu.
Padahal ayah aku ada je kat ruang tamu tengah tengok tv dan berborak.
Ayah aku bangun pergi kat bilik. Aku ingat ayah datang nak pujuk aku. Tapi sangkaan anak kecil aku meleset sekali.
Rupanya, aku selak je kelambu. Dia terus tarik kaki aku, baling aku sampai tercampak kena dekat kawasan meja makan.
Badan aku kecil lagi masa itu, tapi apa dosa aku, sampai ayah baran nak campak aku dan dia tegaskan suara dia. Suruh aku diam.
Aku anak kecil hanya tau merengek dan sukar untuk berhenti nangis.
Aku bangun duduk dalam keadaan sakit badan. Hilang merengek yang mamai dari tidur tukar menjadi tangis yang kesal.
Aku tekup mulut, aku cuba tahan nangis. Supaya tangis ku kedengaran perlahan dan mungkin dengan cara itu aku boleh hentikan amarah ayah.
Aku pernah juga kena sebat dengan penyapu lidi. Sebab aku dan abang nakal. Nakalnya kami layaknya seperti anak kecil nak mengenal dunia. Tapi ayah aku tiada rasa malu masa pukul aku tu, sedangkan kawan dia ada datang kat rumah.
Aku kena pukul sebab aku terkeluar satu ayat yang agak kesat pada ayah. Ayah pukul aku dengan kuat. Sakit itu terasa seperti lidi yang melibas memakan daging di tubuh ku.
Berbirat-birat dan luka berparut di badan.
Aku menangis teresak-esak. Sampai mak aku keluar dan hentikan tindakan ayah lalu datang memeluk aku.
Mak aku ambil aku, sapukan minyak gamat belakang badan. Rasa sakit pedih sebab dah jadi luka. Adakah ini cara ayah aku mendidik aku dan adik-beradik supaya takut, gerun dan tunduk dengan dia?
Bak kata nenek aku, “pukul dengan penyapu lidi ini, anak seh” anak tu dengar cakap lah maksud dia begitu kot. Tapi bagi aku, pukul dengan cara inilah yang bawa sial pada aku.
Kalau sepupu kami yang datang kampung buat hal. Aku dengan abang juga yang jadi mangsa. Mangsa pukul dan lepas baran ayah aku.
Aku tak faham sampai hari ini, apalah baran ayah aku tu teruk sangat. Sampai ajar dan hukum kami dengan cara macam itu. Katanya kami degil tak dengar cakap.
Aku pernah nampak mak dengan ayah gaduh. Yang aku tahu, mesti ada yang hasut ayah sampai ayah hilang pertimbangan pukul mak dengan bantal dan tendang sampai kepala kipas diri tu patah.
Aku sambil nangis “dah lah tu ayah, jangan pukul mak lagi” sambil peluk dan lindung mak yang tengah nangis.
Aku syak mesti ada benda yang tak kena antara nenek atau adik-beradik ayah mengadu yang bukan-bukan ini. Aku yakin lepas dengar kami sekeluarga bergaduh dan menangis. Mesti nenek suka sebab dia tahu apa yang jadi dalam rumah ini.
Sebab bagi aku nenek lah punca segalanya.
Kalau dulu kami duduk jauh hanya keluarga kecil kami saja. Ayah tak pernah pukul aku walhal jentik telinga sekali pun.
Tapi bila duduk dengan nenek, macam-macam aku terima balasan. Balasan pukul, maki hamun diherdik bukan seperti didikan kasih sayang seorang ayah tapi seorang manusia yang kejam pada mata aku.
Maaf kalau luahan rasa aku ini menguris hati kalian pembaca semua. Kerana cerita ini bukaan rekaan semata, tapi ini lah hakikat yang aku lalui dan aku kadang depresi dan terkesan sampai hari ini.
Aku jadi takut nak lalui kehidupan normal dan bahagia macam orang lain.
Adakah aku tak layak bahagia, manakah bahagia yang sewajarnya aku terima seusainya derita?
Akan ada sambungan lagi, sebab banyak yang nak diluahkan. Aku rasa lega bila menulis dan meluah rasa yang berat di hati. Aku perlahan-lahan merasa lapang sebab terlalu banyak perit yang aku tanggung sekian lama.
– Pia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit