Kamu tuai apa yang kamu semai. Pepatah yang saya dan mungkin separuh rakyat di Malaysia percaya.
Kami menimba ilmu jauh tinggi ke universiti, membawa harapan, memikul kudrat untuk berjaya, dan memiliki kehidupan yang lebih baik, lebih baik daripada kedua ibu bapa kami.
Kami dipupuk, dipujuk bahawa pendidikan sajalah yang mampu membezakan senang susah kehidupan kamu dewasa kelak.
Alhamdulillah, kami berjaya melepasi SPM, Diploma, Sarjana Muda dengan jayanya. Keluar ke universiti dengan segulung ijazah, kami menjaja sijil-sijil ke semua genap.
Selepas seratus, satu sahaja dipanggil temuduga. Kerja pula hampir langsung tiada kaitan dengan apa dipelajari.
Tawaran gaji pula, sama bekerja di KFC dengan elaun kerja lebih masa. Hendak tak hendak, kami kami ambil juga.
Kami tak mahu menganggur. Kami ada hutang untuk dibayar. Kami ada harapan ibu bapa untuk ditunaikan. Kami rempuh.
Hari berganti bulan, bulan berganti tahun. Gaji naik 3 peratus sahaja. Kerja semakin menuntut tanggungjawab. Anak buah semakin ramai untuk dijaga. Tapi gaji kami begitu juga.
5 tahun kemudian. Kawan lama datang menjengah. Membawa kereta besar, bersama telefon canggih. Diajak ke rumah teres miliknya di Johor Bahru. Ada yang kerja guru, pegawai pejabat tanah, pegawai farmasi.
Betapa kagum kami. Dahulu belajar 4 tahun bersama. Masakan tuaiannya berbeza?
Terdetik hati menjenguk tangga gaji pekerja kerajaan kini. Masya- Allah banyaknya. Ibu bapa aku juga guru dahulu. Tapi mengapa besar yang amat gajinya dahulu daripada yang sekarang.
Gaji pokok sahaja pun sudah jauh dari gaji kami pekerja swasta. Kenaikan tahunan minimum RM200, imbuhan dan sara hidup pula hampir RM500. Betapa bezanya kami pekerja swasta dengan kakitangan awam.
2 tahun lepas, wabak Covid-19 membadai. Ada yang hilang pekerjaan, ada dipotong gajinya.
Tapi golongan kakitangan awam masih gila berbelanja. Tukar kereta, tukar perabot, tukar rumah. Itu belum masuk waktu bekerja yang disingkatkan atas alasan kerja dari rumah. Kualiti kerja jangan dipertikai.
Hendak hidup cukai jalan saja ambil masa sebulan. Hendak tukar surat mati sehingga 2 bulan.
Ya, ada daripada kami kerja dari rumah. Tapi lebih ramai yang menganggur dari rumah. Bantuan hanya cukup makan sahaja.
Kami swasta. Kamilah kantung duit negara. Kami bekerja, berinovasi, mengembang pengetahuan, membangun syarikat dan akhir sekali menyumbang cukai.
Amat hairan dalam keadaan pandemik seperti ini, pekerja awam masih berlagak tenang dan tidak terjejas sedangkan kami pula terpaksa mengorek tabung persaraan untuk meneruskan hidup.
Alhamdulillah, keadaaan makin pulih sekarang. Kami sudah mula boleh bernafas dalam lautan Covid-19 ini Tapi pekerja awam sudah selamat naik bot dan memancing peninggalan orang yang masih lemas.
Cukup-cukuplah menganak-emaskan kakitangan awam. Kaji semula pembayaran gaji kakitangan awam. Tangga gaji sepatutnya dengan merit, bukan dengan dasar waktu (time based). Tingkatkan kualiti bekerja.
Untuk sahabat-sahabat swasta, kita terus melangkah. Kita perbaiki kualiti kerja, dan teguhkan kesatuan kita. Semoga Malaysia lebih maju.
– AkmalH (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit