Kau Boleh Berubah!

Hai assalamualaikum. Nama aku Fighter. Terima kasih sebab siarkan confession aku. Lima bulan yang lalu, aku pernah confess pasal broken family, kalau korang rajin boleh la baca. Basically background aku ada dalam confession aku dulu. Dalam tu aku ada cerita sikit pasal sorang kawan baik aku. So confession kali ni aku nak cerita pasal bagaimana persahabatan ini mengubahku dengan izin Allah.

Nama kawan baik aku Melur (bukan nama sebenar). Aku dan dia kenal di kolej waktu umur kami 18 tahun. Kami sama-sama belajar pengajian islam, degree Tahun 1. Waktu itu aku dapat sebilik dengan dia. Aku seorang yang outgoing je, tapi dulu aku perengus, emo, suka marah-marah (kerana faktor masalah keluarga). Dia pula seorang yang sangat baik, ceria. Dia innocent sikit, tapi bukan style yang ayu-ayu tu pun. Peribadi dia ni, sejuk je orang buat kawan. Namun disebalik keceriaan dia, ada sesuatu yang orang tak tahu.

Aku yang keliru dengan dunia aku, terjebak dengan masalah-masalah ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) tak padan belajar agama, memberontak, tak balik bilik. Kalau marah-marah aku mesti baling benda. Selalu Melur masuk bilik, ada la tu phone aku kat sudut bilik, terburai. Melur akan kutip, pasangkan semula dan letak sebelah aku.

Aku ni selalu bangun lambat, siap pergi kelas lewat, tertinggal bas, selalu ponteng kelas. Ada beberapa kali tu, aku tergopoh gapah nak gosok baju, tengok2 Melur dah gosokkan baju aku. Aku tersentuh, sebab dia kawan pertama yang pernah buat macam tu. Sejak dari tu aku pun curi-curi gosokkan baju dia pulak. Kadang-kadang aku serba salah sebab selalu susahkan dia. Tapi aku nampak dia ni macam kuat, redha je, so aku pun teruskan la menyusahkan dia (eh?). Dia sabar je layan aku. Waktu ni aku dah start join usrah dengan Melur.

Masuk Tahun 2 kami sebilik lagi. Satu hari tu, Melur cakap la dia nak balik rumah. Aku pun bergurau apa ntah dengan dia, aku tak ingat. Tapi lebih kurang macam ni la: “Haa nak balik sangat? Balik, balik!” . Aku nak main-main je. Tapi aku nampak mata dia berair. Serba salah sangat aku waktu tu. “Aku cuma teringat orang-orang kat rumah,” dia balas perlahan. Aku pun minta maaf. Beberapa waktu lepas tu, baru aku tahu mak Melur sakit kuat.

Baru aku sedar, selama dua tahun kami berkawan, asyik Melur je dengar cerita aku, keluh kesah aku, masalah aku. Aku tak pernah nak jadi pendengar untuk Melur, tanya pasal family dia ke. Sebabnya aku pernah jumpa mak abah Melur aku tengok macam bahagia je. Dan sebab selama ni aku fikir hidup akulah paling teruk, paling menyedihkan, semua orang patut bg perhatian kat aku.

Ada satu waktu tu mak Melur datang ziarah kat asrama, tapi tak boleh naik bilik sebab dah tak mampu berjalan.. Jadi duduk dalam kereta je. Dan haritu lah hari terakhir Melur dengar suara mak dia, sebab lepas tu arwah mak dia dah admitted masuk wad, tak mampu berbicara dah.. Waktu ni, aku dah berubah sikit. Aku tinggalkan dunia ikhtilat aku yang serabut tu. Aku cuba baiki diri. Sebab aku terinspirasi dengan kekuatan dan ketabahan Melur, macam mana semua ujian ini buat dia lebih dekat dengan Allah.

Pertengahan tahun 2, mak Melur telah menghembuskan nafas terakhir di sisinya. Aku berkejar ke hospital waktu itu bersama seorang lagi kawan baik kami. Waktu kami sampai, Melur tengah makan nasi goreng. Sebentar lagi dia dan keluarga lain akan ke kampung untuk pengebumian. Dia hulur nasi goreng pada kami. Kami senyum je kata ‘Takpe, Melur makan la’. Kami teman Melur sampai dia masuk kereta. Dari tingkap kereta, dia senyum pada kami sambil kecilkan mata dia macam dia selalu buat. Aku takkan lupa. Aku masuk kereta untuk pulang, aku menangis, membandingkan betapa jauhnya beza aku dan dia dalam meredhai takdir Tuhan.

Sejak peristiwa itu, aku banyak merenung kembali diri aku. Aku mula melepaskan sedikit demi sedikit beban dan dendam yang menghambat hati aku. Perbuatan dan perangai yang tak elok, aku perlahan-lahan tinggalkan. Melur bangun tahajjud, aku ikut sama. Dan sejak peristiwa itu juga, aku jadi sangat protective kat Melur. Aku ni jenis ‘aku nak cakap aku cakap’, Melur pula lebih suka berdiam kalau disakiti. Jadi kalau ada manusia2 yang naik suara kat Melur, buat Melur menangis, ataupun gelakkan pakaian Melur sebab tak stylo (Melur suka pakai baju arwah mak dia / baju mak dia jahit ), memang siap la orang tu kena dengar aku bagi khutbah. Aku fikir satu je, selama dua tahun ni Melur yang jaga aku, sekarang ni biarlah aku jaga Melur juga. Aku tak mampu pun nak balas semua kebaikan dan kesabaran Melur terhadap aku selama ni.

Tahun ke-3 pengajian. Kami dah tak dapat sebilik. Kesibukan buat kami tak dapat selalu lepak bersama. Waktu ini alhamdulillah aku makin berubah dengan izin Allah. Cuma kerana aku menghidap depression (seperti yang aku nyatakan dalam confession first aku), jadi emosi aku masih belum stabil.

Tahun ke-4 Pengajian. Aku kembali menjadi roommate Melur. Kami masih terus sama-sama ke majlis ilmu, usrah dan sebagainya. Melur sentiasa support aku, dia tak menjauhi aku pun walaupun depression aku buat aku jadi psiko dan menakutkan. Yelah terjerit sana sini, hantuk sana sini. Haha. Dia selalu ingatkan aku jangan lupa ambil ubat.

Aku tak pernah lupa berdoa untuk Melur dan juga sahabat-sahabat aku yang lain yang banyak membantu aku mencari Allah, semoga hidup mereka dipermudahkan dunia akhirat. Bila fikir balik, macam novel sangat hidup aku ni. Allah lah yang mencampakkan kasih sayang dalam hati orang-orang mukmin, mereka yang sama-sama mahu memperbaiki diri dan memegang sahabat-sahabatnya, bukan malah meninggalkan.

Aku mula belajar melepaskan segala perasaan yang memberatkan hati aku; perasaan marah pada ayah aku, perasaan geram pada mak aku, perasaan tidak redha dengan takdir. Aku selalu cakap dengan Melur, aku habis belajar nanti aku nak jadi volunteer dekat pusat-pusat pemulihan. Aku nak bantu orang mencari Allah. Sebab aku pernah rasa sakitnya hidup dengan hati yang memberontak, lantas protes dengan Tuhan. Silap besar bila aku fikir dengan maksiat itu kita dapat kebebasan, kepuasan, kebahagiaan. Silap besar.

Kepada korang yang juga sedang mencari jalan untuk berubah, tekadkanlah azam. Jalan ni memang tak mudah. Aku melalui semua ni selama bertahun-tahun. Taubat, buat balik, taubat, buat balik, taubat. Aku taknak cerita satu-satu dosa aku sebab aku tak sanggup pun nak cakap. Apa-apa pun, percayalah, kalau kau benar-benar bertahan, kau boleh berubah. Allah akan hadirkan bantuan dalam apa sahaja bentuk. Carilah kawan yang mampu membantu kau bangkit.

Kalau kau pernah join usrah, pernah cuba berkawan dengan orang2 ‘alim’ tapi perangai mereka malah mengecewakan kau, kau jangan terus nak diskriminasi semua. Aku pun dulu kecam ahli usrah aku, nak berhenti ikut usrah. Tapi sampai bila? Kita dah besar. Kau kena jadi MATANG. Kita nak cari Allah, untuk kebaikan diri kita sendiri jugak. Kita nak berubah, untuk selamatkan diri kita di akhirat jugak. Cari dan teruslah mencari. Kau perlu minta pada Allah dengan sungguh2 agar ditemukan dengan orang-orang yang boleh bawa kau dekat dengan Dia. Banyak Rasulullah ajar kita pasal kepentingan memilih sahabat yang beriman. Aku bukan nak highlight point usrah pun kat sini, tapi aku nak kita sama-sama reflect balik, sejauh mana kita betul-betul bersungguh nak dapat kefahaman islam tu, dan usaha untuk lebih dekat dengan Allah?

Sekian perkongsian aku. Maaf kalau cerita ni tak menepati citarasa penulisan korang. Aku harap yang comment semua boleh tinggalkan comment yang boleh menambah iman kita je ya. InsyaAllah.

Dan semoga arwah mak Melur , Allah jaga di sana dengan penuh cinta.

Terima kasih semua.

-Fighter

– Fighter

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit