Kau dan Aku Berbeza

Tuhan ciptakan kita berbeza rupa dan berbeza warna. Tiada yg benar-benar serupa walau kembar seiras. Begitu jugalah takdir hidup kita. Jika jalan mendapat jodoh pun tidak sama, apatah lagi rezeki yang Tuhan takdirkan untuk kita.

1. Ada orang hidup sederhana, namun hidanglah apa sahaja, dijamahnya dengan penuh selera. Ada orang, hidup kaya raya, hidangan lazat sudah depan mata namun tiada selera, kerana tekanan hidup atau Tuhan takdirkan beliau punya penyakit lalu perlu jaga pemakanannya.

Teringin memang teringin, mampu lebih dari mampu, tapi tak boleh makan, benda yang sangat enak pada orang lain tetapi mudarat bagi dirinya. Walau duitnya melimpah, tetap tak boleh beli selera.

2. Ada orang hanya mampu menyewa. Bila lalu depan kejiranan mewah rasa teringin nak miliki sebuah, sambil terfikir mesti seronok anak-anaknya yang berderet berlari-lari dalam rumah, dan bolehlah sediakan satu bilik luas untuk anaknya bermain sepuasnya.

Ada orang rumahnya mewah, yang nampak gah di luar, namun sangat hambar di dalam. Bunyi syiling terjatuh boleh didengar dari depan sampai ke dapur. Ditakdirkan hidupnya selesa namun punya kekurangan dari segi zuriat. Walau dirinya kaya, tetap tidak boleh beli bahagia.

3. Ada orang tidur di jalanan. Nak menyewa pun tak mampu. Bertebaranlah mereka di ceruk-ceruk kota, menunggu malam sampai ke kemuncaknya, lalu dibentangkan kotak-kotak dan di situlah tempat lenanya sampai pagi. Walau tidur berlantaikan lantai yg keras, tetap lena sampai ke pagi.

Ada orang pula, tilamnya tebal berinci-inci, siap dengan cadar lembut dari kain terbaik. Walau malam sudah sepi tanpa sebarang suara manusia, susah utk lena. Ke kanan resah, ke kiri gelisah, macam-macam bermain di kepala. Walau tilamnya mahal, namun dia tidak mampu utk beli lena.

Itulah dia, kita kerap lupa rahmat dan kasih sayang Allah tidak hanya terzahir pada duit mahupun harta yang melimpah ruah. TUHAN berikan kita masa yang bermanfaat, badan yang sihat untuk beribadat, anak-anak yang kurang ragamnya, kejiranan yang harmoni, ahli keluarga kurang bersengketa serta muafakat, rakan sekerja ringan tulang serta senang bawak bincang, sahabat yang sentiasa beri semangat dan banyak lagi.

Banyak dah rezeki yang kita dapat sebenarnya. Tinggal kita yang lupa untuk bersyukur dan kufuri nikmat yang sudah diberi.

Tu belum cerita lagi nikmat oksigen untuk bernafas, air untuk diminum, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai jenis haiwan untuk kita makan, dan alam sekitar yang sangat indah. Sanggup kita ikat perut menyimpan kemudian habiskan duit untuk travel bagi melihat keindahan alam. Betul tak?

‎فَبِأَيِّ آَلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

‎(Surah Ar-Rahman 55)

‎Translation : So which of the favors of your Lord would you deny?

‎Terjemahan : Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

‎31 kali ayat ini diulang-ulang, sebagai peringatan!

– Cik Mimpi

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *