Pernahkah kalian merasa sakit mencintai seseorang yang enggan mengubah cara hidup atau tabiat buruknya demi kalian?
Mesti rasanya seperti kalian tidak berharga. Kalian tidak dicintai. Hanya sekadar bidadari penyeri hidup yang menanti dipintu rumah syurga dunia setiap hari.
Suamiku meminta aku untuk menjadi Suri Rumah padahal aku sebenarnya merancang untuk meneruskan pelajaranku.
Pada mulanya dia meminta aku menjagakan anak kami untuk beberapa waktu sebelum melanjutkan pelajaran. Namun begitu aku akhirnya mengandung lagi setelah 4 bulan bersalin anak sulungku.
Sebelum itu dia telah menolak keras untuk aku menggunakan pil perancang. Dia pula tidak mahu menggunakan kondom bila bersama.
Aku yang masih muda dan mentah tak tahu yang dia telah menyemai benih sekali lagi di dalam rahimku. Bila ditanya, dia menidakkannya. Aku percaya sepenuh hati namun tertipu jua.
Dia selalu mengabaikan aku. Telat pulang, dia akan balik pada pukul 12 am atau 1 am padahal dia sepatutnya balik rumah pada jam 10 kerana kerjanya habis pada jam tersebut.
Pada paginya dia tidak pernah bangun untuk solat subuh melainkan aku yang bangunkan. Dia akan tidur sehingga jam 9, dia memang tiada masa untuk aku dan anak anak.
Bayangkan, aku suri rumah, jika aku meminta dia untuk membaiki mesin basuh, dia tidak akan mengendahkan aku. Mesin basuh rosak selama 3 minggu dan aku berulang alik dari dobi untuk mencuci baju menggunakan duitku sendiri.
Aku juga memintanya untuk membaiki perhiasan emasku yang telah rosak, juga tidak diendahkan. Pendek kata apa saja yang aku minta, dia akan buat lupa dan tidak endahkan.
Dia juga tidak pernah bertanyakan jika aku cukup solat atau tidak. Tidak pernah mahu membimbing aku dengan baik malah selalu menyalahkan aku kerana tidak membimbingnya.
Apakah lelaki akhir zaman ini memang begini tabiatnya? Bersifat kewanitaan?
Maka janganlah kamu wahai suami timbul rasa kehairanan bila kami isterimu telah habis kesabaran dan mulai mengabaikanmu. Kaulah yang telah mengabaikan kami dahulu.
Kami berikan semua. Kamu berikan kami siksaan batin, iaitu siksaan emosi yang dashyat. Kami bukannya menunggu nafkah seksual untuk kau berikan, kami menunggu nafkah kestabilan emosi darimu.
Satu hal yang mungkin kau tidak akan pernah faham kerana kau sibuk dengan dunia luarmu. Sedangkan aku isterimu, duduk menanti sehingga lewat malam berharap kau pulang selamat.
Tidak tenang hatiku wahai suami sehingga kau balik dengan keadaan yang sempurna.
Aku selalu berharap yang kau akan balik awal, meluangkan masa dengan anak anak kita, membimbing kami, menjadi imam kami untuk solat isya dan witir.
Menjaga dan memerhatikan bacaan al Quran kami, kerana cinta kami, cintaku padamu ku harapkan sehingga syurga Allah.
Tapi aku lelah, aku penat wahai suami. Cuma aku yang berjuang. Kau tidak. Apakah kau terlalu asyik dengan bayangan sang bidadarimu yang bakal menantimu di syurga?
Yakinkah kau akan masuk ke syurga sedangkan kau gagal menjadi pemimpin kami? Yakin?
Jika kau yakin tidak mengapa suamiku. Cuma harapanku kita tidak bertemu di syurga nanti dan Allah berikanku pasangan yang baru, yang mampu mencintai aku dengan sempurna.
Tidak sepertimu, yang sering mengabaikan aku, perasaanku, anak anakku.
Sedarlah, bahawa aku tidak akan menjadi barah di hatimu jika kau tidak merusak ketenangan hatiku. Kau ragut kebahagiaan dan wajah ceriaku suami sehingga aku terus menerus kelihatan sugul.
Kau potong sayap indahku wahai suami dan aku redha tapi kau tidak memberikanku makanan yang cukup, keperluan yang cukup. Kau cuma ingin aku jadi milikmu tetapi kau tidak pernah berniat untuk menjagaku.
Wahai suami, semoga kita tidak bertembung, bertemu di syurga Allah. Cukuplah aku bersabar dengan sakit yang kau beri di dunia ini. Aku juga mahukan kebahagiaan. Cukuplah aibmu aku jaga di dunia ini.
Selamat tinggal suamiku, ragaku milikmu tapi tidak hatiku.
– Suri Hati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit