Keadilan Bagi M4ngsa Gangguan Sebagai Penjawat Awam

Telah lama saya pertimbangkan untuk meluahkan coretan ini. Namun, saya batalkan kerana tidak yakin. Ribuan terima kasih kepada admin sekiranya kisah saya ini disiarkan di page ini. Saya hanya akan ringkaskan sahaja cerita saya ini.

Saya sangat tidak menyangka seorang rakan sekerja lelaki, saya namakan dia L, di tempat lama saya berkerja. L menghubungi saya menggunakan perkataan-perkataan berunsur l*cah dengan saya. Dia malah menggambarkan saya sebagai subjek dalam ceritanya.

Dunia saya terasa gelap, saya menggigil, saya menjadi sangat marah dan sedih. Beberapa minggu saya tertekan sehingga demam berlarutan berharinya. Apa yang dia fikirkan? Allahu..

Saya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang puteri. Tidak sekali pun saya pernah memakai pakaian yang tidak sopan dan menjolok mata di tempat kerja. Tambahan, saya berkerja dalam unit beruniform.

Dimana fikiran waras dia sewaktu itu? Saya dapat melihat riak wajah suami saya, menitisnya air mata dia menahan geram dan amarah apabila dia mengetahui akan hal tersebut.

Dia ada menyatakan, kalaulah dia tidak fikirkan saya dan anak-anak sudah lama dia serang sahaja lelaki tersebut, tak kiralah dia masuk lokap sekali pun.

Saya cukup bersyukur suami saya berfikiran panjang. Saya dan suami telah membuat laporan kepada pihak polis, pihak jabatan sehingga kepada unit integriti.

Namun, saya rasa sangat kecewa kerana telah berbulan lamanya kes tersebut masih dalam siasatan dan tiada sebarang tindakan dikenakan kepada L. Sehinggakan saya rasa saya tidak mampu untuk bersabar dan berdiam diri lagi.

Sedangkan saya perlu bersusah payah ke pakar demi bangkit semula untuk menjalani kehidupan seperti sediakala bersama anak-anak dan suami.

Si pelaku masih begitu, tidak walau sekali pun ke sesi kaunseling seperti saya. Sedangkan, lebih jelas siapa yang lebih perlu dirawat mentalnya.

Peritnya hari-hari yang saya lalui kerana trauma atas perkara yang L lakukan. Saya berasa tidak ‘secure’ dengan diri saya sendiri.

Saya takut lelaki lain juga memandang saya seperti L kerana L sangat suka memandang aset perempuan dan dengan bangganya menceritakan kepada rakan-rakan sekerja perempuan di pejabat.

Seolah badan perempuan adalah topik kegemarannya. Dia juga tanpa segan silu menunjukkan video berunsur l*cah kepada saya dan rakan-rakan sekerja perempuan yang lain yang telah berkahwin, sedangkan L masih bujang.

Saya terpaksa berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan anxiety dan trauma saya terhadap kejadian tersebut. Sehingga saya mula putus harapan dan beranggapan jabatan tidak membela nasib pekerja bawahan seperti saya ini.

Sekiranya saya mempunyai peluang, saya mahu saman sahaja L, kerana bukti rekod panggilan yang saya ada.

Namun, banyak faktor yang saya kena fikirkan dari segi wang dan tenaga. Saya telah panjangkan laporan ini kepada JPA, dan saya tidak akan berhenti disitu. Walaupun, kes saya ini masih senyap tanpa khabar berita. Hal ini, mungkin nampak remeh.

Tapi, cukup saya tegaskan ianya cukup berat bagi saya. Ianya melibatkan emosi saya sebagai seorang perempuan, pekerja wanita, seorang isteri dan ibu.

Luaran saya mungkin ternampak okey sahaja. Dalam hati saya meraung, tolonglah saya, bantulah saya supaya adil bagi saya dan si pelaku dikenakan tindakan yang sewajarnya atas perbuatan terkutuknya terhadap saya.

Senangnya bagi sesetengah orang yang menganggap saya je terlalu berfikir dan tidak mahu lupakan hal tersebut. Senangkah untuk menganggap seperti tiada apa yang berlaku dan pelaku bebas?

Tidak tuan/puan. Ini adalah kenyataan pahit, ianya sama seperti kita dicabul tetapi bukan melalui sentuhan, ianya melalui mata dan perkataan.

Apa yang akan anda lakukan sekiranya hal ini terjadi kepada anak-anak anda, isteri anda, ahli keluarga anda? Mampukah anda biarkan sahaja?

Kepada golongan lelaki, bagi anda ia adalah kepuasan nafsu. Namun, sedarlah ia bukan bahan hiburan dan sangat ditegah dalam agama Islam sendiri. Ada sebabnya kenapa Islam melarang golongan perempuan dalam banyak perkara terutama berhias dan berpakaian.

Saya sedar akan hal ini, tiada yang akan peduli kerana masyarakat kita telah lama tenat. Hanyut dalam dunia p*rnografi, dunia yang semakin terbuka dengan aurat dan kemaksiatan, tidak mengenal darah daging sendiri, apatah lagi memikirkan soal dosa.

Seolah ianya telah sebati dalam diri. Log in sahaja media sosial semuanya disajikan percuma. Tidak kiralah anda bertudung dan berpakaian menutup aurat. Cukup saya katakan hanya bentuk sahaja cukup bagi mereka untuk berimaginasi lebih daripada itu tentang anda.

Saya tidak mahu mengulas akan hal itu, kerana untuk memberi kesedaran itu amatlah tiada daya upaya saya. Maaf juga kepada golongan lelaki, saya tidak memukul rata semua kaum anda, hanya bagi yang tertentu sahaja. Namun, anda sendiri lebih mengetahuinya.

Senang saya ringkaskan, Allah sahaja yang tahu keperitan yang perlu ditanggung oleh mangsa.

Sekiranya, tiada keadilan berpihak kepada saya. Saya berserah sepenuhnya kepada Allah, dan saya tidak akan pernah putus berdoa supaya si pelaku insaf dan dikenakan tindakan sewajarnya kerana telah mencalar maruah saya dan keluarga saya.

– Abil (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *