Ke Mana Akhirnya Kami?

Aku menulis kerana aku sendiri sudah tidak tahu apa nak jadi dengan kehidupan aku. Jam dah menunjukkan pukul 4 pagi tapi satu malam ni aku tak dapat tidur.

Aku seorang ibu tunggal dengan dua anak. Dan malam tadi aku baru saja pukul anak sulung aku. Aku rasa loser sangat… loser sangat sangat.

Dah lama aku bercerai, lebih kurang 10 tahun yang lalu. Kadang – kadang aku rasa itulah titik hitam yang mencorakkan hidup aku hari ini. Yang membuatkan aku rasa hidup aku terumbang-ambing dan sekarang aku rasa semakin lemas.

Anak aku sekarang yang sulung berumur 12 tahun, yang bongsu berumur 9 tahun.

Walaupun perkara tu dah lama berlalu tapi sampai sekarang aku sentiasa tertanya – tanya kenapa hal begini terjadi dalam kehidupan aku. Aku rasa hidup aku cacat sangat.

Penceraian itu, sampai sekarang aku sendiri tak faham kenapa terjadi. Sebab tu sampai sekarang aku macam susah nak terima.

Tidak lama sebelum bercerai aku baru lepas melahirkan anak yang kedua. Mood bahagia. Ditambah baru berpindah ke rumah baru – sama2 share bayar duit muka dan renovate rumah.

Memang aku perasan sikap suami aku waktu tu agak berbeza, tapi aku abaikan sahaja. Sebab waktu tu sibuk pindah rumah baru, sibuk dapat anak baru jadi aku rasa mungkin dia penat dan aku pun penat.

Bila diingatkan memang aku ada buat silap. Bila aku banyak terbaca kisah mertua yang kurang pembersih, sebenarnya itu lah juga yang terjadi dalam perkahwinan aku.

Mertua aku bukan la pengotor sangat, tapi adalah sebahagian perkara yang aku rasa tak berapa bersih. Itu pun sepanjang 6 tahun perkahwinan, aku tak pernah sebut atau komplen. Aku simpan sendiri saja.

Sebab secara jujurnya aku sayang mertua aku. Walaupun aku kadang2 tak faham sangat loghat negeri diorang, tapi aku memang ikhlas sayangkan dia orang. Mertua aku pun baik pada aku sebagai menantu. Tapi hal ini suami aku tak pernah percaya aku dan faham.

Sampailah suatu hari, suami aku terpaksa pergi outstation kebetulan di negeri kelahiran dia. Aku pulak tak dapat ikut sebab baru start kerja selepas cuti berpantang.

Bila aku suarakan yang aku tak dapat handle dua anak kecik seorang diri, suami aku putuskan untuk bawa anak aku yang sulung balik ke rumah mertua aku supaya mereka dapat menjaga sementara dia menyudahkan kerja dia.

Waktu tu aku membantah, maka aku terlepas cakap yang menunjukkan aku tak percaya mertua aku jaga anak aku sebab masalah kebersihan itu.

Waktu tu lah suami aku sangat marah dan terus nak ceraikan aku. Aku minta ampun macam mana pun dia tetap nak ceraikan aku. Dia kata aku hina ibu dia. Entah lah … mungkin aku yang blurr ke. Waktu tu aku takda niat nak hina, cuma aku risau anak aku.

Dipendekkan cerita, memang itu lah yang suami aku dulu jadikan sebab untuk ceraikan aku. Sejak peristiwa tu, dia keluar dari rumah tinggalkan aku dan anak2.

Puas aku minta ampun pada dia. Seluruh keluarga dia dan keluarga aku pujuk dia untuk tidak teruskan niat dia, tapi dia bertekad untuk bercerai juga.

Lebih kurang sebulan dia tinggalkan aku, aku pulak yang jadi marah. Aku suruh dia ambil barang2 dia dan keluar terus. Aku rasa terseksa menunggu dia balik.

Anak aku yang sulung pun asyik tunggu dia dan tanya pasal dia, sampai akhirnya anak aku meraung aku pun menangis. Suami aku rasa aku halau dia. Lagi lah bertambah sebab untuk dia ceraikan aku.

Sewaktu menunggu proses mahkamah, aku cuba pujuk dia lagi dan lagi. Banyak kali. Minta ampun. Banyak kali. Melutut aku minta ampun pada dia.

Dalam tempoh itu juga dia kata dia ada perempuan lain, isteri yang dia kahwini sekarang ini. Dalam tempoh itu juga dia makin jauh. Anak – anak masuk hospital, melawat acuh tak acuh. Aku bagi lampu hijau untuk bermadu. Tapi dia tetap nak ceraikan aku.

Dia kata dia nak bercerai sebab aku nak sambung belajar ke luar negara. Aku setuju batalkan niat dan tolak tawaran, tapi dia masih nak ceraikan aku. Katanya dia tak pernah sayangkan aku sejak dulu.
Maka, bercerai lah. Dia berikan sepenuhnya hak penjagaan anak2 pada aku.

Walaupun seluruh keluarga dia dan aku menghalang, walaupun hakim mahkamah pun cuba bantu, tapi dia tetap ceraikan aku. Itu lah titik hitam yang menghantui hidup aku sampai sekarang.

Selepas bercerai, lama aku cuba untuk bangkit semula. Susu untuk anak aku kering kerana aku murung. Aku pernah warded sebab lupa nak makan dan minum.

Pernah juga bos aku refer aku ke psikatri sebab aku lepaskan tekanan kat tempat kerja. Tapi sesi di jabatan psikatri tu membuatkan aku rasa lagi tah apa2 maka aku berhenti. Anak2 aku banyak menumpang kasih mak ayah aku waktu hidup aku tak keruan waktu tu.

Sampai lah satu ketika aku rasa dah tak boleh hidup kat negara ni lagi. Segala tempat yang aku pergi, even balik ke kampung sendiri pun aku macam ternampak2 bekas suami aku waktu kami bahagia dulu.

Aku honestly tak boleh terima bila dia kata dia tak pernah sayang kat aku. Aku rasa diri aku macam sampah.

Apa nilai 6 tahun ini? Apa nilai dua orang anak aku ni? Dah la duit hantaran pun aku bantu dia untuk lunaskan. Lagi lah aku rasa diri aku macam sampah. Anak aku yang sulung paling kesian waktu tu. Umur baru 3 tahun tapi dia selalu tertanya2 mana ayah dia.

Demi untuk kesihatan mental aku dan anak2 maka aku putuskan untuk sambung belajar keluar negara. Maka bermusafir lah aku tiga beranak.

Dipendekkan cerita di negara orang aku struggle uruskan anak2, uruskan hidup, uruskan pelajaran aku, dan yang paling struggle ialah melawan diri aku sendiri – kesedihan aku, kelukaan hati aku.

Aku tahu aku depress. Lepas hantar anak2 ke sekolah dan pengasuh, aku balik rumah dan menangis. Kekuatan aku waktu tu ialah anak2. Mereka lah yang menggerakkan aku untuk bangun, siapkan mereka ke sekolah, memasak, siapkan baju semata2 kerana itu tanggungjawab aku.

Selebihnya bila aku sorang2, aku tak buat apa. Menangis dan menangis. Takda siapa tahu sebab di luar aku nampak macam biasa.

Tapi akhirnya atas support keluarga dan kawan2 aku berjaya juga graduate selepas 4 tahun di negara orang. Wpun mungkin tidak secemerlang mana, tapi berjaya juga aku habiskan. Dan aku pun agak hampir pulih melawan kemurungan aku sendirian.

Anak2 aku pun membesar dengan gembira. Memang suasana dan persekitaran di luar negara itu banyak menjadi penawar untuk kami anak beranak.

Balik Malaysia, aku dapat kerja yang stabil dan gaji yang agak lumayan. Memang mampu untuk berdikari sendiri. Tapi pulang ke Malaysia, anak2 aku fasa nak membesar. Daripada hasil siasatan aku, aku dapat mengesan anak2 aku memang terkesan hidup tanpa a father figure.

Walaupun ada sesekali bekas suami aku datang berjumpa dan telefon, tapi aku rasa tak sama. Masih ada satu ruang dalam hidup anak2 aku yang tak mungkin dapat aku isi. Aku rasa bersalah.

Aku pulak struggle untuk uruskan kehidupan kami. Aku, the only adult in the house. Maka segalanya aku uruskan.

Kerja aku pulak memang agak demanding. Kadang2 aku rasa tak terkejar dengan segala demand yang orang harapkan daripada aku. Aku penat, penat sangat yang menyebabkan aku rasa nak menangis.

Hidup di luar negara dulu pun tidak sepenat sekarang. Maka bila aku penat, anak2 aku pulak buat hal, aku jadi marah2. Kadang2 pukul dan rotan anak2 aku. Walaupun takda kesan di badan tapi mungkin ada kesan di hati mereka.

Semakin anak2 aku membesar aku rasa semakin tak tahu nak jadi ibu yang baik bagaimana. Dia orang dah pandai nak menipu aku yang membuatkan aku risau. Licik sangat.

Bila kantoi, mula2 aku nasihat. Kantoi lagi aku marah. Kantoi lagi aku macam tak tahu nak buat apa lagi maka aku terpaksa pukul atau rotan.

Kadang2 aku rasa dia orang jadi mcm ni sebab takda ayah. Suara aku ni sebagai mak dah takda value. Sebab dia orang tahu semarah2 aku, aku jugak lah yang akan pujuk dan peluk dia orang.

Sebab walaupun aku marah, tapi aku kesian dia orang takda ayah, kurang kasih sayang, aku pulak rotan anak aku. Last2 aku yang menangis dan minta maaf kat anak2 aku. Aku rasa loser sangat.

Aku loser as a wife. And now aku loser as a mother. Ini lah sebabnya aku menulis di sini. Apa sebenarnya nak jadi dengan hidup aku dan anak2 aku?

Aku rasa aku dan anak2 aku malang sebab aku salah pilih suami dulu. Takda orang yang bersama2 dengan aku untuk handle semua ni.

Aku tahu aku kena kuat… tapi aku tak tahu kuat macam mana. Aku ni perempuan yang letih. Kadang2 aku rasa tak berdaya sangat. Aku doa, aku solat… mana silapnya?

Maka kerana itu aku selalu tertanya2 kenapa hidup aku macam ni. Dulu waktu nak kawin, aku pilih suami aku sebab dia ada background agama yang aku harapkan untuk bersama2 pimpin aku dan anak2 aku ke syurga.

Aku dah usaha dapatkan jodoh ikut apa agama cakap, tapi kenapa tak jadi macam apa yang aku harapkan?

Ye, aku ada buat silap dalam perkahwinan aku, tapi kenapa suami aku tak boleh nak ampunkan aku dan terus bersama aku? Kenapa tak didik aku dan anak2 aku? Bukan ke aku dah sungguh2 minta ampun?

Hidup anak2 aku cacat tanpa ayah, semuanya salah aku. Aku yang salah pilihkan ayah untuk dia orang. Aku yang tak buat yang terbaik as a wife supaya ayah dia orang tak tinggalkan dia orang. Aku yang salah.

Tapi aku rasa aku tak diberikan peluang pun untuk baiki kesalahan aku. Walaupun aku dah minta maaf, tapi aku tak dapat peluang pun untuk baiki keadaan.

Akhirnya aku kena hadap semua ni sendirian. Aku rasa aku lemah sangat nak hadap semua ni sendiri. Tapi aku perlu teruskan juga. Dalam keadaan terumbang ambing ni kemana kapal ini perlu aku halakan?

Aku risau masa depan bukan setakat atas dunia ni sahaja, tapi di akhirat nanti jua. Kadang2 aku terfikir2 apakah aku ini ahli syurga atau neraka.

Aku selalu berkata pada Allah, aku dah usaha untuk corak masa depan aku macam apa yang Islam suruh. Aku dah cuba tapi kenapa hidup aku terumbang ambing jugak?

Orang lain bergaduh lagi teruk daripada aku, tapi takda bercerai berai. Tapi kenapa aku yang kawin dengan ustaz ni sampai bercerai? Aku kawin dengan ustaz sebagai usaha untuk ke syurga. Tapi sekarang ada lagi ke harapan untuk aku masuk syurga?

Kesian anak2 aku dapat ibu macam aku. Aku sayang anak2 aku. Aku rasa berdosa pukul anak2 aku. Bertambah sebab untuk aku masuk neraka.

Tapi kalau anak2 aku dah tak dengar cakap aku apa lagi aku boleh buat? Anak2 aku menipu, pau duit kawan, ponteng kelas pdpr. Aku rasa dia orang perlukan a father figure yang digeruni untuk control dia orang.

Anak2 aku dah terlalu rapat dengan aku, nasihat dan marah2 mulut dah tak jadi apa. Aku terpaksa rotan, terpaksa. Kenapa hidup aku susah sangat. Kenapa suami aku dulu lari dari tanggungjawab untuk didik aku dan anak2? Macam mana aku nak teruskan hayat ini?

Aku berdoa supaya Allah ambil nyawa aku cepat sekiranya lebih banyak dosa yang aku akan buat. Sebab aku rasa setiap kesilapan atau dosa aku macam susah nak dapat keampunan, tapi aku hanya manusia.

Manusia tak boleh lari dari buat silap. Tapi aku macam tak boleh buat silap langsung, tiada keampunan utk aku. Aku kena jadi maksum. Tapi aku tak mampu. Paham tak?

– Aku yang penat (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *