Ke Mana Kalian Selepas Graduasi Perakaunan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera warga IIUM Confessions.

Nama aku Muiz. Seorang graduan dalam bidang perakaunan yang kini memiliki pekerjaan yang aku kira cukup selesa. Aku boleh beli kereta yang aku nak. Aku boleh makan apa yang aku teringin. Aku boleh shopping pakaian yang aku geram nak OOTD. Aku boleh kasi duit dekat mak ayah. Aku boleh menyimpan untuk aku bercuti nanti-nanti. Boleh menabung untuk berkahwin tak lama lagi. Dan boleh jalankan hobi-hobi aku tanpa perlu garu kepala fikir pasal duit.

Kawan-kawan semua kata aku memiliki life yang sangat selesa. Tapi mereka tak tahu aku juga pernah menghadapi fasa-fasa struggle cari kerja, hantar resume beratus-ratus ke sana sini, lompat kerja dari satu company ke satu company.

Terpanggil aku nak buat sedikit perkongsian buat adik-adik yang baru sahaja bergraduasi. Seronok aku tengok wajah-wajah korang yang tersenyum lebar dalam setiap foto yang akan menjadi kenangan sampai ke hari tua untuk tatapan anak cucu. Lebih seronok apabila tengok muka mak ayah yang tersenyum puas melihat korang akhirnya berjaya menggenggam segulung diploma dan ijazah.

Namun, dalam masa yang sama aku yakin ramai antara kalian yang sudah mula berkira-kira, ke manakah aku selepas ini?

Kenapa aku rajin sangat nak berkongsi artikel ini hari ini adalah disebabkan aku terkesan dengan perjalanan hidup beberapa orang sahabat dalam mencari pekerjaan selepas mereka bergraduasi yang juga pernah aku alami dulu.

Pelbagai situasi dan pelbagai ragam.

Si A sentiasa dapat panggilan interview tetapi tak pernah satu yang sangkut. Entah di mana silapnya.

Si B yang hantar beratus-ratus resume namun satu pun tidak pernah lekat dipanggil interview. Juga entah di mana silapnya.

Si C yang dapat panggilan interview dan berjaya ditawarkan pekerjaan. Namun, gaji tidak setimpal dengan apa yang dia harapkan. Ye lah, macam mana nak bayar bulanan Honda City nanti kan? Si C tidak mahu bekerja di syarikat yang kecil. Mahu yang gah seperti Petronas, Gamuda, Sunway, Genting. Kesannya, menganggur bertahun lamanya.

Si D dapat tawaran kerja yang sungguh lumayan gajinya tapi bergelumang dengan politik syarikat yang terlalu toksid.

Si E yang hanya mahu kerja kerajaan.

Si F sentiasa merungut bahawa Ijazah nya tak laku. Susah dapat kerja dengan lembaran Ijazah yang dia ada. Pasaran kerja yang terhad di mana jumlah graduannya lebih banyak daripada jumlah tawaran kerja yang wujud.

Si G yang tidak dapat sebarang kerja jadi dia memulakan perniagaan seperti nasihat pakar-pakar perniagaan di Facebook dengan caption ‘tak belajar tinggi-tinggi tak semestinya tak boleh berjaya’. Malangnya, dia memang tidak berbakat dalam berniaga. Apa sahaja yang dicubanya, mesti tak menjadi. Apabila dia mahu masuk ke pasaran kerja mainstream semula, dia sudah kerugian beberapa tahun pengalaman bekerja.

Si H yang mahu bekerja di kampungnya sahaja di mana dia sendiri tahu pasaran kerja di sana sangatlah terhad. Lebih dramatik apabila ‘nak jaga orang tua’ dijadikan alasan dia tidak boleh berhijrah ke kota-kota metropolitan di luar sana.

Si I yang rasis dan kekitaan. Tak mahu bekerja di sini, di sana, di sinun sebab tokeynya orang yang tidak sebangsa, tidak seagama, tidak senegeri, tidak sama faham politik. What??

Si J yang tidak suka kerja lebih masa namun kerja yang ditawarkan untuknya memerlukan dia untuk bekerja secara shif dan lebih masa. Lalu dia tolak tawaran dan lebih rela menganggur.

Amacam. Panjang tak intro aku?

Sebab sebenarnya aku bukannya nak bagi nasihat untuk korang macam mana nak mudah dapat kerja. Itu semua ramai orang dah tulis. Ramai. Kau kena buat itu, kau kena buat ini. Jangan itu, jangan ini. Ye, kau orang pun dah muak ikut cara itu, cara ini. Tapi tak dapat kerja jugak kan?

Ok kembali ke point utama. Ke mana kau selepas bergraduasi (versi perakaunan)? Aku di sini nak kongsikan serba sedikit cabang-cabang kerja dalam bidang perakaunan ni terutamanya bagi korang yang blur. Aku harap, apa yang aku kongsikan ni pun boleh digunapakai oleh adik-adik yang nak isi borang UPU, nak ambik course apa dekat Universiti nanti.

Bidang perakaunan ni ada 4 cabang utama:

1. Akaun

2. Audit

3. Tax

4. Selain tiga di atas

Kiranya, apabila kau dah bergelar graduan perakaunan, kau layak untuk bekerja dalam 3 bidang ini. Persoalannya, apa beza ketiga-tiga bidang ini? Graduan bidang lain seperti kewangan, ekonomi, perbankan, pengajian perniagaan, peruncitan dan pemasaran tak boleh ke bekerja dalam bidang-bidang tu?

Ok, meh aku terangkan secara ringkas untuk setiap cabang tu.

1. AKAUN

Aku boleh katakan pasaran kerja untuk Akaun adalah yang paling luas sekali di Malaysia. Kalau kau buka mana-mana laman mencari pekerjaan, jawatan dalam bidang akaun lah yang paling banyak ditawarkan berbanding bidang lain seperti sains, kejuruteraan, undang-undang, pembinaan dan seni & media. Ini kerana korang kena faham, setiap perniagaan yang wujud di Malaysia ni, mesti memerlukan sekurang-kurangnya seorang juruakaun. Tak kisah lah jawatan apa pun, mesti nak kena ada seorang. Dari sekecil-kecil perniagaan milikan tunggal, sehinggalah ke sebesar-besar perniagaan syarikat multinasional.

Syarikat kecil kebiasaan memerlukan juruakaun yang minima. Kerja kau memang kena buat full set account iaitu apa yang kau belajar masa Form 4, Form 5, Matrik atau Diploma dan Degree sampai semester 3 tu. Daripada isu invoice, buat bil, buat Purchase Order, buat Delivery Order, issue cek, buat payment kepada supplier, collect payment daripada customer, kira stok, dan akhir sekali record semua transactions tu ke dalam sistem perakaunan supaya menjadi satu laporan kewangan yang lengkap. Semuanya kau buat sendiri! Kalau tanya aku, aku lebih suka kalau korang adik-adik yang baru grad ni, msuk ke syarikat yang kecil-kecil dan belajar buat full set accounting ni. Selepas beberapa tahun timba pengalaman, barulah kau apply kerja dekat company besar-besar.

Untuk syarikat yang bersaiz sederhana (biasanya Sendirian Berhad) juruakaun mereka tersangatlah banyak dan kerja mereka lebih specifik dan khusus bagi setiap pekerja. Pekerja A buat Account Payable (semua hal berkaitan duit keluar), Pekerja B buat Account Receivable (semua hal berkaitan duit masuk). Pekerja C uruskan aset syarikat. Pekerja D menguruskan hal pekerja (HR). Manager akan handle Full Set Account.

Untuk syarikat yang bersaiz gergasi (biasanya syarikat Berhad dan multinasional), juruakaun kerja akan semakin spesifik dan khusus. Pekerja A akan issue invoice untuk para pelanggan dari pasaran negara Cina dan Jepun sahaja. Pekerja B akan issue invoice untuk para pelanggan dari pasaran negara Indonesia dan Thailand sahaja. Makin kecil dan khusus.

Korang yang bukan dari bidang perakaunan mesti terfikir, bukannya susah pun? Dan apa motif buat laporan kewangan tu? Pentingkah perakaunan ni sampaikan pasaran kerja dalam bidang ini adalah yang paling luas di Malaysia.

Haa..bab susah senang tu, bergantung kepada ilmu accounting seseorang terutamanya kecekapan dia dalam buat Debit Kredit. Kalau kau power, kau tengok satu transactions tu pun kau dah boleh tahu nak debit apa, nak kredit apa.

Kenapa nak buat laporan kewangan? Ada bermacam-macam sebab. Tapi yang paling simple sekali, satu, nak kena sumbit laporan tu ke SSM sebab dah termaktub dalam akta perniagaan. Dua, untuk kira berapa banyak cukai nak kena bayar kepada kerajaan. Apabila ia melibatkan cukai, sudah tentu penting. Sebab akan menentukan kewangan sesebuah negara.

Selain daripada bekerja di bawah syarikat komersial, korang juga boleh dapatkan kerja akaun ni dalam firma accounting/audit. Di mana mereka juga menawarkan perkhidmatan membuat full set account kepada perniagaan-perniagaan yang taknak hire juruakaun. Menariknya menjadi juruakaun di firma accounting ni, korang boleh rasa macam nak buat full set account untuk pelbagai jenis sektor perniagaan.

Biasanya dalam laman carian kerja, nama jawatan juruakaun untuk fresh grads akan ditulis sebagai Account Clerk, Account Analyst, Account Executive, Account Assistant, Finance Executive atau Finance Assistant. Kalau nak kerja dalam government pula, boleh lah buat akaun dalam web SPA dan apply jawatan yang start dengan W. Contohnya: Pembantu Akaun W17, Penolong Akauntan W27, Akauntan W41. Tapi..good luck! Hahahahahaha.

Bab tangga gaji pula, ada banyak faktor. Memang ada fresh grads account dapat Gaji RM3000 tapi percayalah lagi banyak fresh grads dapat gaji dalam lingkungan RM1000-RM2000 sebagai permulaan. Bergantung juga kepada lokasi, kebesaran syarikat, industri syarikat dan pengalaman kerja kau.

2. AUDIT

Ini cabang utama yang kedua untuk graduan akaunting.

Apa kerja audit ni? Sama ke dengan audit-audit yang lain? Sama ke dengan audit dalaman? Jawapannya, tak sama. Audit yang aku maksudkan ni adalah Audit Laporan Kewangan. Kan tadi aku bagitahu tentang juruakaun. Mereka kena rekod semua transaksi dan akhirnya hasilkan laporan kewangan. Haa, lepas laporan kewangan tu siap, di sinilah tugas Juruaudit bermula. Mereka akan buat semakan ke atas laporan kewangan yang dibuat oleh juruakaun tu tadi.

Betul ke perekodan dia ni? Ada tipu mana-mana tak? Ada sorok apa-apa tak? Kenapa bayaran untuk A ini dimasukkan ke dalam akaun B? Kenapa duit yang dapat dari C ini direkodkan dalam akaun D? Betul ke syarikat buat pembelanjaan ini sebanyak ini? Betul ke syarikat bayar gaji sebanyak ini sebanyak itu kepada pekerja ini dan pekerja itu?

Semua transaksi yang mencurigakan itu akan disemak oleh juruaudit. Tujuannya? Supaya setiap ringgit yang ditunjukkan dalam laporan tu mestilah telus dan tepat. Kenapa nak kena telus dan tepat? Supaya sebarang keputusan melibatkan kewangan dapat dibuat tanpa ragu-ragu. Macam keputusan untuk buat loan, untuk pelaburan, dan sudah tentu untuk cukai.

Juruaudit biasanya mestilah dilantik dari luar. Sebab itu wujudnya firm audit. Juruaudit yang bekerja di firma audit inilah yang akan datang ke syarikat untuk membuat ‘spot check’. Kiranya macam ‘polis’ dalam bidang kewangan. Jangan kau tak tahu dalam bidang penguatkuasaan sebenarnya ramai graduan perakaunan sebab jenayah kewangan sebenarnya lebih banyak berlaku berbanding jenayah sivil. Cuma kita sebagai rakyat marhaen tak berapa nampak.

Biasanya dalam laman carian kerja, nama jawatan juruaudit untuk fresh grads akan ditulis sebagai Audit Assistant, Audit Executive dan Audit Associates. Kalau nak kerja dalam government pula, boleh lah buat akaun dalam web SPA dan apply jawatan yang start dengan W. Contohnya: Pembantu Audit W17, Penolong Juruaudit W27, Auditor W41. Yang ni pun aku nak doakan, good luck! Hahahahahaha.

Bab tangga gaji pula, juruaudit ni agak sedih sikit. Susah aku nak dengar juruaudit fresh grads dapat RM2500-RM3000. Hampir mustahil. Melainkan kau dapat kerja di Big 4 (Deloitte, PwC, KPMG, EY). Memang juruaudit fresh grads akan dapat gaji dalam lingkungan RM1000 – RM2000 sahaja. Percayalah!! Bergantung juga kepada lokasi, kebesaran syarikat, industri syarikat dan pengalaman kerja kau.

Pekerjaan pertama aku adalah sebagai Audit Associates di sebuah firma audit di Kuala Lumpur. Gaji yang ditawarkan adalah RM2000. Rezeki aku lah tu fresh grads dapat terus angka dua dekat depan. Kawan-kawan aku yang first job sebagai juruaudit juga, ada yang RM1600, ada yang RM1800. Itu di KL ye. Kalau di luar dari KL, boleh jatuh sampai RM1000, RM1200, RM1500.

Tapi alhamdulillah, selepas confirm gaji aku naik RM2200. Lepas setahun, dapat kenaikan gaji ke RM2800. Rezeki sangat-sangat.

Cabaran dalam dunia audit ni, kau memang akan kerja lebih masa. AKAN! So, berfikir dahulu lah kalau nak masuk dunia audit. Tapi, pengalaman kerja kau tu sangat sangat sangat mahal. Syarikat luar sana memang suka hire pekerja akaun yang ada pengalaman dalam audit.

3. TAX/CUKAI

Ini cabang utama ketiga dalam Perakaunan. Seperti namanya, korang mesti boleh agak dah kerjanya buat apa. Tak lain tak bukan, kira tax! Berapa banyak cukai yang nak kena bayar kepada LHDN.

Juruakaun akan buat akaun sehingga terhasilnya laporan kewangan, auditor akan semak laporan kewangan yang dibuat oleh juruakaun supanya semuanya dilaporkan dengan telus, akhir sekali tugas jurukira cukai untuk mengira cukai berdasarkan laporan kewangan yang telah diaudit oleh juruaudit. Nampak tak flow dia?

Cabaran dalam percukaian ni adalah kau kena sentiasa update dengan akta-akta cukai yang terbaru. Jadi, tiap-tiap tahun kau kena rajin tengok perbentangan Bajet yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan. Kena tahu cukai apa yang baru, cukai apa yang dimansuh, cukai apa yang dirombak, apa pengecualian cukai terbaru, berapa rate cukai terbaru dan macam-macam lagi lah.

Aku tak berapa banyak pengalaman dalam percukaian tetapi kalau kau bekerja sebagai juruaudit, kau memang akan didedahkan dengan pengiraan cukai. Sebab tu tadi aku cakap, kerja sebagai juruaudit di firma audit adalah pengalaman paling mahal untuk graduan accounting. Sebab apabila kau menjadi juruaudit, kau sebenarnya ada skill dalam membuat akaun dan mengira cukai juga.

Biasanya dalam laman carian kerja, nama jawatan percukaian untuk fresh grads akan ditulis sebagai Tax Assistant, Tax Executive, Tax Analyst dan Tax Associates. Tangga gaji pula lebih kurang macam Juruakaun juga. Jangan lah kau nak berangan gaji mahal-mahal. Gaji kau akan mahal bila dah ada beberapa tahun pengalaman kerja.

4. SELAIN TIGA DI ATAS

Yang ni aku malas ulas panjang. Sebab bidang selain 3 di atas tu luas seperti perbankan, marketing, human resources, secretarial, peruncitan, sales. Kalau korang nak lari dari bermain dengan nombor, boleh lah cuba masuk ke bidang lain-lain ni. Jadi, Human Resource Executive ke, jadi Admin Assistant ke, jadi Sales Executive ke atau bekerja di firma audit sebagai Company Secretary Assistant. Atau juga boleh apply jadi Juruaudit Dalaman dekat syarikat-syarikat gergasi yang ada juruaudit dalamannya sendiri. Juruaudit luaran dekat firma audit dengan juruaudit dalaman tak sama tau! Ingat tu.

Last but not least, kalau korang kerja dekat audit firm tu sebagai juruaudit, cubalah kekal sekurang-kurangnya sehingga 3 tahun. Lepas 3 tahun nanti, dapatkan lesen Akauntan dari Malaysia Institution of Accountant (MIA). Bila kau dah ada lesen ni, kau nak demand gaji RM5000 pun takde hal. Nak buka audit firm sendiri pun boleh. Nak keje dalam gomen pun senang dapat. Kalau medik ada Dr, Engineer ada Ir, Akauntan ada CA. (Chartered Accountant).

So, macam mana adik-adik fresh grads accounting sekalian? Ada nampak dah sikit-sikit nak kerja apa selepas ni? Kalau dah nampak, apa tunggu lagi. Drop lah resume banyak-banyak. Sehari sekurang-kurangnya 20 vacancies kau apply tau!

Untuk adik-adik yang tengah SPM tu, nanti nak ambil course apa? Kau kena take note 3 perkara dalam memilih course di universiti:

1. Kalau course professional, make sure course dari universiti itu diiktiraf kerajaan Malaysia. Kalau tak diiktiraf, kau tak dapat kerja gomen dik. Ingat tu. Itupun kalau kau bercita-cita nak kerja gomen lah.

2. Minat. Ya, minat ni penting sebab kalau kau tak minat memang tak jadi lah nanti. Benda senang pun akan jadi susah. Kalau kena paksa dengan family tu untuk ambil certain-certain course, bawa lah berbincang.

3. Pasaran kerja. Minat memang kena ada TAPI kena selari dengan pasaran kerja Malaysia. Ini aku nak tekankan sangat. Contoh: kau minat Biologi. Kau ambil course Mikrobiologi. Kau grad nanti, kau nangis dik. Percayalah cakap aku. Memang akan ada kakak-kakak dan abang-abang kau yang komen ni nanti back-up cakap, “aku ada je kerja” tapi percayalah dik, pasaran kerjanya tak besar di Malaysia.

Sekarang kau memang akan fikir minat, nak belajar sebab ilmu bukan sebab nak kerja gaji besar. Aku nak dengar ayat yang sama bila kau dah grad nanti! Jangan bazirkan 5 tahun kau demi sekeping ijazah yang bakal menyusahkan kehidupan kau nanti.

Nak tau course apa yang banyak tawaran kerja di Malaysia? Kau boleh buka website-website mencari kerja tu. Kau tengok sendiri.

Akhir kata, selamat mencari kerja untuk para graduan dan selamat memilih course yang betul untuk para lepasan SPM. Maaf kalau ada banyak rojak Melayu-English.

Yang berkongsi…

– MUIZ

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Hai assalamualaikum saya nk tnya saya lepasan stpm saya minat acc dan ekonomi tpi saya x tau kerjaya bagi ekonomi nie apa. Boleh bagi advice sikit x

  2. Saya suka perkongsian ni. Saya dlu masa ambil degree, sya ambil bidang pemasaran for business. Tapi tiba2 skrg kerja sebagai account assistant dalam company kecil. Nak merangkak belajar akaun tu dari bawah, belajar debit credit. Syukur skrg dah 10 bulan bekerja disini. Banyak benda yg saya belajar. Buat fullset akaun utk berbagai jenis company cthnya construction, kedai phone, kedai makan,pasaraya dan banyak lagi. Dengan sharing dripada confessor ini buat sya makin faham dan makin berminat terhadap kerjaya sya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *