Keajaiban Selawat II

Untuk part I, (https://iiumc.com/keajaiban-selawat/).

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Terima kasih kepada pembaca yang sudi berikan komen pada tulisan saya yang lalu. Pada kesempatan ini, saya cuma ingin berkongsi cara saya mengamalkan selawat.

Bagi mereka yang baru nak melazimkan selawat, jangan terus target yang banyak- banyak. Risau kita akan rasa penat dan terus tinggalkan amalan selawat. Boleh mulakan dengan selawat sebanyak seribu kali setiap hari.

Jika pilih untuk baca selawat Jibril iaitu صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّد , “Shollallohu A’la Muhammad” yang bermaksud “Ya Allah, berikanlah rahmat ke atas Nabi Muhammad”

Masa yang diperlukan cuma lebih kurang 15 minit untuk 1000 selawat. Boleh dibaca di mana-mana saja. Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, ketika memasak mahupun ketika scroll facebook.

Jangan lupa sediakan tasbih digital untuk kira berapa banyak selawat yang dah dibaca. Murah je. Cuma seringgit di shopee. Boleh beli banyak- banyak terus sebab cepat rosak, haha.

Saya memang akan selit tasbih tu di jari macam cincin dan boleh terus selawat sambil tekan tasbih.

Untuk capai selawat sebanyak 15 ribu atau lebih dalam sehari, saya akan selawat di mana-mana saja yang ada peluang kecuali di bilik air. Bila selawat dah jadi rutin, akan rasa pelik kalau duduk saja-saja tanpa selawat.

Selawat satu-satunya amalan yang tidak akan tertolak. Syaikh Ali Jum’ah, Mufti Mesir berkata,

“Jika bersedekah tetapi ingin dipuji, maka sedekah itu sia-sia. Begitu juga dengan solat yang ingin perhatian manusia, solat itu tanpa pahala.

Tapi jika berselawat, walaupun dengan riya’, tetap akan mendapat pahala, kerana selawat berhubungan dengan Nabi Allah yang agung, iaitu Nabi Muhammad Saw.”

Berselawat dengan riya’ pun Allah terima, apatah lagi kalau kita lakukan dengan ikhlas, berlebih lagi pahalanya.

Sejak amalkan selawat, selain hati jadi tenang, rezeki kami sekeluarga tidak pernah putus. Rumah tangga terasa makin bahagia alhamdulillah.

Jadi, jom sama-sama amalkan selawat dalam hidup kita. Ada seorang kiyai di Indonesia berkata, kalau dah amalkan selawat beberapa tahun, tapi masih belum bahagia, masih belum tenang, masih belum kaya, boleh jumpa dia dan ludah mukanya.

Kiranya menurut kiyai tu, satu yang mustahil kalau tak bahagia di dunia dan di akhirat dengan selawat InsyaAllah.

“Sesiapa yang membaca selawat untuk Ku satu kali, Allah berselawat kepadanya sepuluh kali, dan barangsiapa berselawat sepuluh kali kepada ku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak seratus kali.

Dan sesiapa yang berselawat kepada Ku seratus kali, maka Allah menulis di antara kedua-dua matanya kebebasan dari sifat munafik dan kebebasan dari neraka.

Pada hari kiamat orang itu akan ditempatkan bersama orang-orang yang mati syahid.” [Riwayat At-tabrani].

Sekian, terima kasih.

– N (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *