Kecewa Dengan Si Bongsu

Assalamualaikum. Aku perkenalkan diri aku sebagai Wiwi, perempuan, belum berkahwin dan bakal mencecah usia warga emas (mengikut syed saddiq) beberapa tahun lagi. Aku adalah anak kedua bongsu dan aku ada beberapa orang abang dan kakak.

Tujuan aku menulis adalah untuk meluahkan perasaan mengenai adik bongsu ku, si Amoi. Aku tak tahu pada siapa untuk aku berkongsi masalah ni. Amaran awal dari aku, luahan ni panjang sebab aku tak reti nak pendekkan cerita dan aku tak pandai untuk mengarang. Aku kena cerita secara detail supaya tak terlepas point penting.

Sebagai mukadimah, si Amoi ni umur dia cuma muda setahun dari aku. Dalam adik beradik kami dia ditatang bagai minyak yang penuh. Dah nama pun anak bongsu kan. Selain dari fakta yang dia adalah anak bongsu, perkara yang membuatkan dia terlalu ditatang adalah disebabkan dia kurang bijak berbanding adik beradik yang lain. Yang aku maksudkan kurang bijak ialah selain dari mempunyai masalah pembelajaran, dia tak boleh berfikir secara matang seiring dengan gadis-gadis seusia.

Boleh dikatakan budak yang umur 18 tahun pun boleh berfikir lagi matang dari si Amoi. Dia tak pandai berdikari, tak pandai bergaul, dan hidup dia cuma bergantung harap pada kami adik beradik. Banyaknya bergantung dengan aku lah sebab beza kami setahun je. Selain itu, perkara yang tersangatlah kurang bijak adalah dia senang terpedaya dengan lelaki.

Kami baru saja kehilangan seorang ibu beberapa bulan lepas. Si Amoi adalah anak yang paling rapat dengan arwah sebab dia seorang yang tinggal dengan ibu bapa. Aku belajar luar dari negeri dan abang-abang serta kakak aku sudah pun berkeluarga.

Walaupun sudah berkeluarga, ada beberapa orang yang duduk dekat dengan rumah. Arwah ibu dan ayah memang tak benarkan si Amoi duduk jauh dari mereka sebab dari zaman sekolah lagi dia selalu buat “hal”. Hal yang aku maksudkan adalah bertukar-tukar kekasih.

Diberikan nikmat dengan rupa paras yang menarik, maka bertambah senanglah dia dapat lelaki yang dia aim. Kejap dengan lelaki ni, kejap ngan lelaki tu. Dan lelaki tu semuanya lelaki yang memang terkenal dengan perangai tak guna.

Macam mana aku tahu, sebab aku satu sekolah dengan dia. Budak budak yang jadi boyfriend dia tu semua aku kenal. Aku perasan taste si Amoi ni ke arah bad boy. Mungkin pada korang, bertukar kekasih masa zaman sekolah perkara biasa tapi tidak bagi aku. Ayah dan arwah ibu memang sangat menjaga anak perempuan mereka.

Kami tidak dibenarkan untuk keluar bebas, kena minta izin sebelum keluar, kena beritahu nak keluar dengan siapa, pergi mana, balik sebelum pukul 7, tak boleh keluar malam dan tidak dibenarkan bercinta di zaman sekolah. Aku tak pernah rasa yang hidup aku dikongkong dan aku faham kenapa ibu ayah buat begitu. Dari kecil lagi ayah selalu cakap “jaga sorang anak perempuan lagi payah dari jaga sekandang lembu”. Ya, betul. Aku setuju. Lagi payah bila si anak tu ada rupa paras yang menarik.

Semasa kami masih bersekolah, selalu juga kawan-kawan lelaki aku beritahu, ” Wiwi, adik kau couple dengan si polan kan?” “wey Wiwi, semalam aku nampak adik kau tengah date dengan si polan, si polan”. Maka kantoilah yang si Amoi menipu ibu dan ayah kami. Sejak dari beberapa peristiwa kantoi, dia memang tak dibenarkan keluar dengan kawan-kawan dia. Kalau nak keluar dengan kawan, kena ada aku teman atau ibu teman. Salah satu sebab adalah ibu dan ayah memang tak percaya dengan si Amoi.

Dari segi lain, si Amoi ni anak yang baik. Cuma bila masuk bab lelaki, lemah dia tu lain macam. Tak perlu aku explain panjang lebar tapi apa yang aku boleh cakap, anak yang dijaga dari lahir memang diorang kenal sangatlah perangai dan hati budi macam mana. Aku tak tahulah macam mana kalau ayah aku biarkan je si Amoi ni atas dasar anak-anak jangan dikongkong. Silap-silap nanti keluar dalam paper “bayi bertali pusat dalam lubang jamban sekolah”.

Okay, aku rasa dah panjang sangat mukadimah ni. Aku nak bagi korang faham sebelum aku masuk point kenapa aku hantar confession dalam ni. Dulu si Amoi ni mendengar kata, tak pandai mana nak melawan. Tapi sejak dah besar, dah kerja, dia jadi makin keras kepala. Tak makan nasihat.

Bagi dia, apa yang dia fikir je betul. Orang lain tak faham dia. Dia dah besar bukan budak-budak lagi. Eyy dia ni. Aku hempuk jugak kang. Kakak-kakak dan abang-abang pun dia tak ada rasa hormat. Hidup dia terlalu taksub dengan handphone dan quote-quote merapu yang acah-acah deep.

Selepas pemergian ibu, kakak dan abang aku tersangatlah ambil berat tentang si Amoi ni sebab cuma ibu sorang je yang dia dengar cakap. Memang dari dulu lagi diorang ni prihatin tapi sejak ibu tiada, makin bertambahlah prihatin sebab risau dengan keadaan si Amoi. Aku yang bekerja luar dari negeri, berhenti kerja dan duduk di kampung semata untuk jaga ayah dan si Amoi.

Kadang-kadang bila kakak aku balik rumah, dia akan curi-curi cek handphone si Amoi. Nak tengok dengan lelaki mana dia berhubung. Aku tak pernah terfikir nak cek sebab pada aku dia dah besar. Tahu fikir apa yang baik apa yang buruk. Tapi rupanya aku silap besar. Adik yang aku sangkakan suci, rupanya tidak.

Kakak aku ada tanya Amoi dengan siapa dia berkawan sekarang, dan dia beritahu kakak aku. Kakak aku suruh lelaki tu, aku namakan si Jongos, berjumpa dengan dia kalau betul si Jongos serius dengan si Amoi. Bukan suruh masuk meminang, tapi sekadar datang perkenal diri. Bila kakak aku contact si Jongos, dia tak reply dan siap block kakak aku. Dia siap pesan dengan Amoi, kalau dia nak jumpa biar dia yang cari sendiri. Bukan family aku yang cari dia. Dari situ pun dah boleh rasa something wrong.

Aku cakap dengan kakak aku, biar jelah dia. Orang tengah dilamun cinta, cakap apa pun tak dengar. Lagipun dia bukan boleh berjumpa dengan lelaki tu. Hidup dia cuma pergi kerja, balik kerja. Ayah aku sampai sekarang ambil tahu waktu kerja dia. Pukul berapa balik, kalau lambat ayah aku akan tanya kenapa.

Disebabkan kakak aku seorang yang prihatin, dia beritahu ayah aku sebab dia rasa ayah aku patut tahu apa yang jadi sebab kakak aku duduk jauh. Dia tak boleh pantau. Jadi dia nak ayah aku bagi perhatian lebih pada Amoi lebih-lebih lagi ibu baru meninggal.

Si Jongos tu marah betul dengan adik aku sebab mengaku yang diorang bercinta lepas ayah tanya pasal hubungan diorang. Jongos tu marah sangat sebab dia tak nak datang jumpa ayah. Dia siap suruh tipu ayah aku cakap diorang tak ada apa. Macam mana aku tahu? Sebab aku baca conversation diorang masa Amoi tengah tidur.

Aku cek sebab aku tengok dia punya angau tu lain macam. Si Amoi ni mengamuk lah dengan kakak aku sebab cerita dekat ayah. Bergaduh besar hanya sebab pertahankan lelaki. Sanggup bermasam muka dengan keluarga hanya disebabkan lelaki tak guna. Masa tengah angau, kena maki kena carut dengan si Jongos pun tak nampak lagi buruknya.

Korang mesti tertanya tanya kan kenapa yang aku kecewa sangat padahal cerita atas ni masalah biasa je. Beberapa hari lepas, atas sebab-sebab tertentu, aku ada pegang handphone si Amoi untuk setengah hari. Dia mungkin rasa selamat sebab handphone dia ada password. Padahal dia tak tahu yang aku tahu password dia.

Kan aku dah cakap dia kurang bijak. Password yang dia pakai, tarikh hari jadi. Hmmm. Aku tergerak hati untuk buka chat dia sebab aku nak tengok dia masih berhubung atau tak dengan kekasih setengah mati dia tu. Rupanya Amoi baru tahu si Jongos tu baru kahwin tahun lepas dan ada anak sorang. Baru lahir ogos tahun ni k. Masa aku baca tu, diorang dah putus. Tapi tapi tapi . . . . . . .

Allahu. Beratnya jari aku untuk menulis perkara sebenar. Walaupun korang tak kenal aku dan si Amoi ni siapa, aku tetap rasa malu untuk menulis. Masa aku scroll conversation diorang, aku jumpa perbualan lucah dan diorang pernah berkongsi gambar tanpa seurat benang. Siap aksi jijik. Allah. Menggeletar tangan aku. Dan aku rasa yang paling bodoh sekali, diorang berkongsi gambar lucah walaupun Amoi dah tahu yang Jongos tu dah kahwin. Marahnya aku tuhan saja yang tahu.

Tapi sampai ke hari ni Amoi tak tahu yang aku tahu pasal diorang. Aku tak tahu macam mana aku nak gambarkan perasaan aku lepas aku tahu. Luluh, kecewa, marah bercampur baur. Selama ni aku anggap adik aku seorang yang suci, tak reti perkara-perkara sebegitu.

Aku ingatkan dia masih fikir tentang maruah, harga diri. Aku cuma fikir yang dia hanya mencari kekasih sebab umur dia dah makin meningkat tapi aku tak sangka semurah tu diri dia dan sebodoh itu. Sedangkan ayah aku sentiasa jaga pergaulan dia. Tapi dalam diam dia sanggup conteng arang. Jijik! Perbualan mereka sangat jijik.

Aku pun sampai tahap tak faham apa yang diorang sembang. Berdenyut kepala aku. Aku ada juga terbaca yang si Jongos kata jangan sampai ada yang tahu “aib” Amoi sebelum jumpa dengan dia. Apa yang kau terfikir bila dia sebut tentang “aib”?

Selama ni pergerakan dia sentiasa arwah ibu dan ayah jaga tapi mungkin ada juga yang mereka terlepas pandang. Aku tak sanggup nak scroll lebih lagi sebab aku tak sanggup nak baca perbualan lucah lagi jijik. Aku tengok waktu conversation diorang pukul 4 pagi. Sanggup dia bangun semata nak sembang lucah sedangkan pukul 4 pagi orang bangun bertahajud. Aku pula yang rasa malu dengan Allah.

Di depan kami, tak pernah tinggal solat. Solat sentiasa awal waktu. Bila ayah aku suruh dia kahwin sebab tak habis bercinta sana sini, dia bagi alasan kenapa tak suruh aku yang kahwin sebab aku kakak. Bila keluarga cakap yang diorang tak kesah tentang aku sebab diorang tahu aku pandai jaga diri, dia kata orang duk bandingkan aku dengan dia. Degil. Sungguh degil. Mungkin silap kami terlalu manjakan dia dan rasa yang masih seorang adik yang tahu menjaga maruah diri. Rupanya kami silap besar.

Korang bayangkan macam mana aku nak beritahu perkara ni pada ayah ataupun pada family aku. Sebab tu aku menulis dalam ni. Aku tak ada tempat untuk luah. Dah berhari, sejak dari hari aku tahu perkara aib ni, setiap kali solat mesti air mata aku akan mengalir dan aku akan teresak-esak semasa tengah solat. Betapa kecewanya aku bila tahu satu satunya adik yang aku sayang, anak yang arwah ibu paling sayang sanggup buat perkara yang tak bermaruah. Sumpah demi Allah aku kecewa. Aku tak dapat bayangkan kalau ayah aku tahu aib ni.

Aku sebagai seorang kakak pun rasa kecewa, hari-hari aku menangis apatah lagi ayah aku. Dari dulu sampai sekarang aku berdoa semoga kami adik beradik jadi anak yang soleh dan solehah. Mungkin dosa aku banyak sangat sebab tu Allah tak makbulkan doa aku. Sampai ke saat ini aku masih layan Amoi dengan baik. Tidur sekatil macam tak tahu apa apa. Beratnya ujian Mu ini. Aku hanya mampu menangis di atas sejadah.

Korang rasa patut tak sebagai seorang ayah, dia perlu tahu perkara ni. Aku takut kalau aku diamkan diri dan simpan aib si Amoi sendiri, act like nothing happen, perkara ni akan jadi lebih teruk. Lepas ni, entah berapa ramai lagi jantan keparat yang tipu dia dan senang je dia belanja gambar tak senonoh.

Tapi untuk aku beritahu, aku rasa kesian dengan ayah sebab dia dah berusia. Sudahlah berusia, baru kehilangan isteri tercinta. Kesiannya dia di usia senja masih fikir tentang perangai buruk si anak walaupun si anak dah dewasa. Tapi aku juga kesian kalau ayah aku terheret ke dalam neraka oleh anak perempuan yang dia sayang.

Allah. Sungguh aku kecewa. Jagalah saudara perempuan anda sebelum terlambat. Mungkin mereka kelihatan suci di depan anda, tapi dibelakang . . . . . :'(

– Wiwi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *