Kecintaan Kecundang

Selepas lebih tiga puluh tahun menanggung cinta tak berbalas. Sarat rindu bersulam sendu. Bercinta dengan deru angin lalu. Aku masih kecintaan kecundang lagi. Terima kasih admin dan semua yang sudi baca. Menerusi IIUMC, dari kisah Yatim Piatu Sebelum Masanya aku mula faham yang aku ini pencinta yang kecundang.

Boleh baca confession berkenaan di sini,

Untuk part I, (https://iiumc.com/yatim-piatu-sebelum-masanya/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/yatim-piatu-sebelum-masanya-ii/).

Untuk part III, (https://iiumc.com/yatim-piatu-sebelum-masanya-2/).

Untuk part IV, (https://iiumc.com/yatim-piatu-sebelum-masanya-iv/).

Aku J (maaf jika ada yang sensitif dengan huruf ini), pertengahan tiga puluhan. Ya, umur dah menganjak dewasa tua masih kecintaan kecundangan juakah? Jangan salah faham, aku seorang perempuan yang sudah berkahwin dan dianugerahkan seorang cahaya mata. Keluarga kecil, bahagia seadanya.

Cinta aku kecundang dengan insan mulia, yang aku panggil mak. Bercinta dengan mak sangat istimewa. Merajuk tak berpujuk. Marah tak terluah. Menangis tak bersuara. Lahir sebagai anak tengah-tengah aku belajar untuk mengalah dengan semua. Dengan kakak yang penuh drama. Dengan adik ibarat putera-puteri raja. Namun, aku bahagia seadanya. Sehinggalah aku tak mampu lagi menanggung ke semuanya.

Aku dari keluarga porak peranda. Duit masalah utama. Mak abah bergaduh (menjerit, maki hamun, hempas segala benda) itu biasa. Dari kecil matlamat hidup aku nak ubah nasib keluarga. Sekali gus keluar dari rumah neraka. Tapi aku bukanlah anak yang memberontak tak dengar kata.

Takdir hidup aku tak bagi aku banyak pilihan untuk jadi anak kecil yang tahu bermanja, atau remaja yang liar tak dengar kata. Lain pula dengan adik lelaki aku yang bebas buat segala. Beza sungguh dengan kakak aku yang boleh melawan kata. Aku lah menjadi tempat melepas marah dan kecewa. Jadi aku cuba sedaya upaya untuk tidak buat mak abah risau kat aku.

Aku pastikan aku tolong mak dengan kerja rumah, walaupun cuma aku. Hikmahnya, aku jadi orang yang pembersih walaupun dalam sepah adik-beradik aku. Aku pastikan aku tak melawan cakap, tak bantah apa-apa. Watak aku adalah pendiam dan tak banyak ragam. Aku cuba buat yang terbaik, sampailah mak abah tak risau, atau “hiraukan” aku. Sehinggalah yang aku dengar dari mulut mak adalah tentang anak-anak lain, tapi bukan aku. Di sini lah permulaan kecintaan kecundang aku.

Hidup aku dimomokkan dengan belajar, masuk universiti. Lepas tu kerja kerajaan , baru lah bahagia. Alhamdulillah, aku berjaya dan capai impian mak abah masuk universiti. Segala makian, penghinaan pergaduhan mak abah aku anggap biasa dan lumrah hidup. Sehinggalah, aku diuji dengan tak dapat kerja, mencari kerja di kampung macam mak abah nak bukanlah mudah. Wajib anak kerja kerajaan sahaja. Apa sangat lah peluang yang ada.

Dalam tempoh aku menganggur, baru lah aku faham harga sepinggan nasi. Terasa sangat aku menumpang hidup dengan mak abah. Tak cukup aku sendiri rasa bersalah, ditambah lagi dengan kata-kata mak, nasib aku ini tak baik macam kakak yang berjaya jadi cikgu ganti di sekolah. Bertambah lagi lah aku rasa bersalah, nasib aku malang tak macam kakak.

Hari-hari yang berlalu penuh dengan air mata. Lama aku mencuba nasib tapi tak berjaya. Akhirnya satu peluang di perantauan aku terima. Tapi bercanggah dengan kehendak mak abah. Pertama kali aku membantah, aku tekad mencuba nasib. Mak abah membantah, aku dicap derhaka. Aku pergi sendirian saja. Naik bas sendiri, tumpang tinggal dengan kawan di kota raya.

Alhamdulillah aku terpilih dalam temu duga syarikat terkenal di sana. Aku teruskan hidup dengan rindukan mereka. Duit aku banyak aku habiskan dengan telefon bertanyakan khabar mak. Tetapi, mak tak pernah telefon aku, tak pernah mak panggil aku pulang ke rumah.

Selepas tiga bulan barulah mak bertanya “tak mau balik rumahkah?”. Aku gembira tak terkata.

Lepas enam bulan, aku diterima bekerja di sebuah agensi kerajaan. Aku sangat suka bidang kerja pilihan aku, tapi aku lebih sayangkan mak. Aku berhenti kerja demi mak. Aku bekerja di tempat yang jauh dari kampungku. Sekali lagi hanya telefon penyambung cinta aku dengan mak, tapi hanya aku. Mak masih sama, tak pernah menelefon aku. Tak pernah bertanyakan khabar aku. Terasa hidup sebatang kara.

Aku selalu balik ke kampung menjenguk mak, sungguh aku tak ada cinta lain selain mak. Tetapi cinta aku semakin kecundang bila mana aku sedar semakin hari semakin banyak permintaan mak yang tak mampu aku tunaikan.

Mak minta aku buat pinjaman untuk perbaiki rumah. Mak minta separuh gajiku diberikan kepada mak, itu pun secara potongan bulanan. Penjawat awam yang baru bekerja tidak boleh membuat pinjaman sebanyak itu, tidak layak. Bila mana aku tak mampu tunaikan kehendak mak, mak kian membisu.

Aku hanya mampu menangis dalam diam. Aku mula murung tanpa aku sedar. Aku mula menangis seharian tanpa makan dan minum. Setiap hari dan setiap malam. Aku tak boleh tidur, aku menjadi panas baran. Tapi aku tak pernah tunjukkan kesakitan aku kepada mak.

Aku masih memberikan belanja bulanan untuk mak walaupun tak sebanyak yang diminta. Aku masih belanja adik-adik masa balik kampung. Tapi cinta aku hanya bertepuk sebelah tangan. Siapa lah aku untuk menagih cinta mak. Akhirnya, kakak aku tunaikan cita-cita mak dengan rumah baru. Mak seperti protes dengan aku, tak mahu bercakap, aku telefon tak berjawab.

“Takkan tak ada duit nak tolong mak buat rumah ?” Itu saja yang ditanya masa aku balik menjenguknya.

Aku keluarkan semua yang aku ada. Aku kosongkan simpanan yang tak banyak, cuma beberapa ribu yang ada. Tapi itu tak cukup untuk membeli cinta mak. Lepas itu, bersambung pula agenda adik nak nikah. Aku berikan pula satu-satunya gelang emas yang aku ada. Masih rindu aku tak mampu bertamu di hati mak.

Akhirnya, aku mula diam. Aku sudah tak mampu tanya khabar mak sekerap dulu. Tapi dalam diam aku merindu. Aku lebih sakit, bila tak mampu bercakap dengan mak. Aku semakin murung. Aku mula cuba kelar tanganku dengan harapan aku mati.

Setiap kali aku memandu, aku mahu melanggar penghadang jalan dan mati. Aku tak mampu lagi menanggung cinta ini. Zahirnya, aku kelihatan baik-baik sahaja. Tapi batin aku sangat merana dengan cinta manusia yang aku panggil mak. Jiwa aku semakin hari semakin sakit. Aku tak faham kenapa aku dilayan sedemikian rupa.

Aku melihat kesungguhan mak sediakan semua keperluan perkahwinan adik lelaki aku. Dari A hingga Z, semua belanja mak aku tanggung. Tapi masa aku nikah, satu sen pun mak tak keluarkan duit. Aku redha, duit boleh dicari. Cumanya aku kecewa,pernah aku ingin berkongsi kegembiraan aku masa bertunang, aku tunjukkan cincin tunangku.

Mak cuma mencebik dan berlalu. Nipis katanya. Masa aku nikah, aku sendirian menguruskan majlis ku. Masa aku sarat mengandung pun mak tak pernah bertanyakan khabar aku. Mak tak pernah sudi bertandang ke rumah ku. Sehinggalah saat aku bersalin, mak tak ada di sisiku. Keadaan jiwa aku selepas bersalin makin teruk.

Akhirnya, masa anakku berusia setahun lebih. Allah berikan petunjuk melalui IIUMC. Aku mula cakna tentang kesihatan mental. Aku tak mampu lagi menanggung semuanya sendiri. Aku gagahkan diri mendapatkan rawatan psikiatri.

Alhamdulillah, aku bertemu dengan seorang Doktor yang sangat baik. Aku tidak bercerita keadaan aku kepada mak. Aku makan ubat dan cuba bersungguh-sungguh untuk sihat demi anak aku. Kasihan anakku, dia tidak patut membesar dalam keadaan aku sakit. Ya, aku cukup sakit hingga aku pernah cuba menekup anak aku dengan bantal masa dia menangis.

Sekarang, setelah lebih setahun mendapat rawatan keadaan aku makin bertambah baik. Aku sudah tidak menangis setiap hari. Tidur aku lebih lena di waktu malam. Baran aku semakin terkawal. Aku seperti diberi peluang kedua dalam hidupku. Mak masih sama. Kini mak asyik bercerita tentang cucu-cucu lain pula dengan aku. Aku dengar dengan senyuman sahaja. Macam dulu-dulu.

Walaupun nampak mak layan anak aku tak sama macam cucu-cucu yang lain. Aku redha. Yang penting aku perlu teruskan hidup dengan baik untuk anakku. Aku tak perlu selesaikan teka-teki kenapa cinta aku kepada mak kecundang. Tak perlu. Aku bersyukur diberi peluang untuk hidup dengan tenang.

Kenapa aku menulis di sini? Aku ingin menamatkan kisah kecintaan kecundang aku di tempat yang sama aku memulakan hidup baru.

Terima kasih kepada yang sudi membaca kisah ku ini. Semoga, kisah ini mampu memberi sesuatu pengajaran yang berharga kepada kalian seperti aku pernah mendapat pengajaran dari kisah yang lain.

– J (Selamanya Pencinta) (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *