Untuk part I, (https://iiumc.com/kecurangan-suami/).
Assalamualaikum kepada semua pembaca. Ini ada sambungan kisah kecurangan suami yang telah saya paparkan sebelum ini.
Saya telah membaca beberapa komen yang tertanya-tanya apa yang berlaku selama 10 tahun selepas dicurangi suami dan selepas kematian suami.
PASCA KECURANGAN. KENAPA SAYA MASIH BERTAHAN.
1. Selepas suami tamat belajar, suami bekerja dalam daerah yang sama dengan saya. Kami memulakan hidup berkeluarga bersama dua orang anak lelaki yang berusia 1 dan 2 tahun.
2. Alhamdulillah, suami saya sangat bertanggungjawab, beliau menyediakan nafkah dan keperluan saya dan anak-anak, membeli sebuah rumah yang saya duduki sehingga sekarang.
Beliau juga seorang ayah yang penyayang, sama-sama menguruskan anak-anak dan membuat kerja rumah. Sesekali kami pergi bercuti membawa anak-anak.
Pendek kata, jika dilihat pada mata kasar, orang luar memandang kami sebagai sebuah keluarga yang bahagia.
Tiada siapa tahu tentang kecurangan suami dan tiada siapa tahu, jauh di lubuk hati saya, perasaan dan jiwa saya kosong dan sepi kepada suami.
3. Saya masih menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Saya tetap menunaikan nafkah batin kepada suami apabila diminta, tetapi untuk saya meminta, adalah tidak mungkin.
Mungkin kerana tiada rasa cinta pada suami, atau mungkin juga kadang-kadang saya berasa was-was dengan status saya di samping suami (lafaz sumpah yang dilakukan suami) menyebabkan kami tidak lagi diberikan rezeki anak.
4. Setiap 5 waktu saya sentiasa berdoa supaya Allah memberikan semula rasa kasih untuk saya pupukkan kepada suami. Sakit sebenarnya hidup saya kerana terpaksa bersama dengan orang yang tidak kita cintai.
Tetapi saya lebih sibukkan diri dengan urusan kerja dan anak-anak sehinggakan saya lebih memikirkan tanggungjawab berbanding perasaan saya.
5. Walaupun suami saya menyediakan rumah dan nafkah yang secukupnya, beliau memberi kebebasan kepada saya untuk mendidik anak dan mendekorasi rumah.
Saya mempunyai pendapatan sendiri, dan saya melaburkan perbelanjaan yang agak mahal untuk pendidikan anak anak.
Saya menghantar anak anak saya ke sekolah agama swasta supaya anak-anak saya menjadi manusia yang berpegang teguh pada agama dan alquran, yang mendirikan solat dan berjaya dunia akhirat.
6. Saya juga mempunyai ‘support system’ yang kuat. Saya dilayan baik oleh suami, ibu mentua dan juga adik beradik suami walaupun suami telah meninggal dunia. Ini salah satu sebab saya mampu bertahan dalam perkahwinan yang kosong.
7. Saya tidak pasti sama ada suami saya mencintai saya atau tidak, dan saya tidak kisah apa pun perasaannya kepada saya. Sebab saya sendiri rasa KOSONG selepas kejadian dicurangi dan hanya bertahan demi anak-anak.
Mungkin juga dia pun terpaksa bertahan dalam perkahwinan ini kerana tidak mampu kehilangan anak-anak.
8. Hampir setiap bulan saya akan bertanya sama ada suami menduakan saya untuk memastikan status saya masih isteri atau tidak.
Kadang-kadang pernah juga suami bergurau tentang poligami, tetapi saya hanya diam kosong. Tiada perasaan sedih, marah dan cemburu di hati saya. Saya hanya katakan, jika dia sudah ada calon, tolong beritahu saya.
KEHIDUPAN SEBAGAI BALU
1. Kira-kira 2 tahun lepas, sebelum covid melanda, di usia 36 tahun, suami saya meninggal dunia ketika sedang tidur. Doktor mengesahkan beliau terkena serangan jantung.
2. Adakah saya sedih? Ya, sudah tentu saya sedih walaupun saya tidak mencintai suami. Kerana sepanjang 10 tahun perkahwinan, suami sentiasa berada di sisi saya.
Saya yakin, suami benar-benar berubah, dengan sikap dan cara layanan dia terhadap saya.
Dan, sepanjang 10 tahun, tidak sesekali saya mengungkit tentang peristiwa hitam tersebut. Nama A pun tidak pernah disebut oleh saya ataupun suami.
Saya memang sudah lama memaafkan suami dan A tetapi setiap detik kecurangan memang sukar untuk saya lupakan.
3. Hikmah terbesar kecurangan suami yang menyebabkan saya tiada perasaan kepadanya ialah saya tidak terlalu meratapi pemergiannya.
Bagi saya, tidak ada apa yang kekal di dunia ini, semuanya adalah pinjaman dan hak Allah. Sudah tentu saya terasa kehilangan suami kerana kami sama-sama menguruskan rumahtangga tetapi perasaan kehilangan itu tidak lama.
Saya perlu bangkit untuk menjaga amanah yang suami tinggalkan. Cuma, saya rasa sebak bila melihat anak anak saya menjadi anak yatim ketika di usia 10 dan 11 tahun.
4. Paling saya bersyukur, keluarga mentua masih lagi menjalinkan hubungan yang baik dengan saya. Saya dan anak-anak kerap pulang ke rumah nenek mereka.
Sehingga sekarang, sudah 2 tahun pemergian suami, adik beradik lelaki suami masih lagi menghulurkan nafkah kepada anak-anak saya setiap bulan walaupun saya mampu untuk menyara anak-anak.
Rumah dan simpanan suami juga diserahkan kepada saya 100% tanpa dituntut oleh keluarga mentua.
5. Ingin saya kongsikan kisah saya sebulan selepas kematian suami. Saya menerima mesej dari rakan suami yang saya namakan M.
Mesej tersebut dihantar ke telefon suami (anak sulung yang menggunakan telefon suami) berbunyi begini:
Myra, jika Myra kesunyian dan perlukan seseorang, abang M sudi menjadi teman Myra. InsyaaAllah, selepas i’dah, abang M akan datang berjumpa Myra.
See, betapa jijik dan nak termuntah saya membaca mesej tersebut. Saya malu kepada anak saya yang mula-mula membaca mesej itu.
Saya sebenarnya tidak mengenali M secara rapat tetapi menurut anak saya, pakcik M sekeluarga pernah datang ke rumah kami.
Barulah saya teringat isteri M seorang suri rumah, memuji-muji dekorasi rumah saya sambil merungut suaminya seorang yang kedekut untuk mencantikkan rumah mereka.
Sedangkan isterinya tidak tahu semua dekorasi di rumah kami adalah menggunakan wang saya sepenuhnya. Hati menyumpah-nyumpah M yang kedekut dengan isteri sendiri tetapi ada hati untuk mendekati saya.
6. Saya mempunyai seorang sahabat yang menjadi janda sejak muda dan ditinggalkan bersama anak-anak yang kecil. Suaminya bukan setakat mencurangi isteri tetapi juga naik tangan kepadanya. Ayat yang paling ‘win’ daripada beliau ialah,
Aku lagi bahagia hidup sendirian tanpa suami, nak ke mana mana, aku cuma ambil kunci dan ‘start’ kereta, tak perlu nak minta izin suami.
Nak dapat pahala bukan hanya berkhidmat kepada suami saja, boleh juga berkhidmat kepada ibu sendiri. Tetapi kau masih ada suami, jagalah suami kau baik baik. Jangan jadi macam aku.
Saya hanya diam sahaja bila mendengar kata kata sahabat saya itu. Tiada perasaan apa apa, hanya kosong semata mata.
Kini, nasib kami sama, status pun hampir sama. Sama sama berjuang membesarkan anak-anak. Semoga anak anak kami menjadi penyejuk hati kami.
7. Ini sahaja yang dapat saya kongsikan tentang kehidupan saya dan anak-anak selepas kecurangan suami dan setelah menjadi balu.
Terima kasih atas sokongan dan doa pembaca. Semoga segala persoalan terjawab dalam confession kali ini.
– Myra (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit