Beberapa hari lalu keputusan SPM telah pun diumumkan. Ramai juga yang berkongsikan memori masing-masing mengenai pengalaman mendapat keputusan SPM yang rata-ratanya cemerlang, gemilang dan terbilang.
Ada juga yang membangkitkan isu wajarkah pelajar yang cemerlang ini diraikan dan diadakan majlis besar-besaran buat mereka?
Ramai yang berhujah dan ‘bersilat’ di dalam gelanggang tersebut. Aku? Aku tak mahu mengambil bahagian..
SPM meninggalkan satu kesan pengajaran dalam hidupku. Bukanlah dek kerana keputusan yang cemerlang malah jika dihitung A hanyalah ada dua dan selebihnya dihiasi oleh pelbagai abjad. Subjek Lukisan Kejuruteraan hilang abjadnya dek kerana GAGAL.
Kesimpulannya keputusan SPM aku memang teruk.
Aku hanya mampu bermuhasabah dan menyalahkan diri sendiri kerana tidak pandai mengurus diri, masa dan emosi pada ketika itu.
Ya aku sedikit tertekan ketika melayari zaman persekolahan. Pada ketika itu arwah ibu sedang bertarung dengan penyakit barah dan parkinson. Tubuhnya mengering sehingga tampak tulang-belulang di balik kulit.
Terlantar di atas katil sepanjang masa tidak mampu mengurus diri. Makan minumnya aku suap. Kencing beraknya aku cucikan. Mandinya aku uruskan. Kedengarannya payah tetapi aku GEMBIRA.
Syukur pada Allah arwah ibu seorang penjawat awam. Dapatlah dia cuti bergaji selama dua tahun dek kerana sakit barah. Tidaklah kami mengemis meminta demi menanggung kehidupan.
Dapatlah kami gajikan seorang pembantu rumah yang akan menjaga ibu pada waktu pagi sehingga aku pulang dari sekolah pada waktu tengah hari. Sisa waktu selebihnya adalah tugas aku pula menjaga ibu.
Entah berapa puluhan hari aku terpaksa ponteng sekolah kerana membawa ibu ke hospital. Kerna akulah hero ibu untuk mendukungnya.
Soal pelajaran pada ketika itu aku terpaksa letak di tangga kedua dan ketiga dulu. Ibu menjadi keutamaanku. Dua tahun aku menjaga arwah ibu, pelbagai susah senang dan jatuh bangun kami hadapi bersama.
Sehinggalah keputusan SPM aku keluar… kami reda menerima keputusan tersebut. Aku mencuba nasib memohon UPU untuk menyambung pelajaran ke universiti dan seperti dijangkakan… aku tak berjaya mendapatkan tempat.
Dalam keghairahan aku untuk mencari untuk menyambung pelajaran, aku terfikir,
“Jika aku sambung belajar, siapa nak jaga ibu?”
Kakak aku pula waktu tu masih lagi dalam pengajian di Uitm. Ayah pula dah meninggal beberapa tahun yang lalu.
Ketika ini aku rasa dunia ini kelam bagaikan tiada harapan untuk aku berjaya. Cemburu aku melihat kawan-kawan yang masing-masing menyambung pelajaran ke universiti.
Takdir Allah, aku mendapat tawaran untuk menyambung ke Tingkatan 6 aliran agama di SMKA Bandar Penawar yang terletak kira-kira 60 KM dari rumahku. Persoalan yang sama yang berlegar di benak fikiranku.
“Siapa yang akan jaga ibu jika aku terima tawaran ini?”
Kesihatan arwah ibu ketika itu sudah semakin merosot. Kadang-kala cakapnya sudah aku tidak fahami. Ada kala dia sedar dan ada kalanya tidak.
Memikirkan hal berkenaan, aku mengambil keputusan untuk bertukar sekolah dengan sekolah lama yang lebih dekat dengan rumah.
Dengan bantuan ayah saudara, kami berulang-alik ke SMKA BP dan turun-naik ke PPD daerah untuk urusan pertukaran.
Hampir dua bulan urusan berkenaan selesai dan dalam tempoh itu kadang-kala arwah ibu dalam keadaan lemah bertanya,
“Macam mana urusan sekolah dah selesai? Baju semua dah beli?”
Masih lagi aku ingat pada malam hari sebelum aku memulakan pembelajaran di sekolah lamaku, arwah ibu menghembuskan nafas terakhirnya. Seolah-olah tugasnya telah pun selesai. Pemergiannya sangat berbekas di dalam hatiku..
Perjalanan secebis kisah hidup ini mengubah perspektif diri aku dalam melihat takdir baik dan buruk.
Ya mungkin keputusan SPM yang teruk itu di sisi aku kelihatan ‘buruk’ tetapi di sisi Allah ianya memberikan aku peluang untuk bersama ibu sehingga akhir hayatnya dan sebenarnya kegagalan itu baik buat aku.
Aku tak dapat nak bayangkan jika aku sudah merantau belajar jauh di negeri orang dan menerima khabar berita kematian ibu… sudah tentu aku bersedih kerna tak dapat berada di sisinya. Benarlah firman Allah,
“Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)
Aku mungkin gagal SPM tetapi aku belajar sesuatu…
– Harun Ajis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit