Kehadiran “Dia”

Aku berumur 29 tahun, belum berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 7 tahun. Aku tak pernah melahirkan tapi yaaa, dia anak aku.

Hampir 6 tahun lalu, bagaikan mimpi ngeri, aku kehilangan abang dan kakak ipar dalam sebuah kemalangan jalanraya dan dalam sekelip mata,

“Dia” menjadi yatim piatu, dalam usia yang masih belum tahu apa-apa tentang kehidupan dan terima kasih Allah kerana hadirkan hamba-hamba Allah yang bertindak pantas menyelamatkan “dia” ketika itu.

“Dia” tak banyak kerenah, tak banyak ragam, bagaikan mengerti apa yang terjadi.

Kedua-kedua belah keluarga bersetuju untuk kami sekeluarga yang akan menjaga “dia”, rumah kami juga tidak jauh, jadi hubungan itu memang tidak akan putus.

Pada awalnya, mungkin aku agak kekok, hanya membantu emak dalam segala perkara mengenai “dia”,

Tapi lama-kelamaan aku sudah pandai macam mana cara nak bancuhkan susu, pakaikan pempers, tahu sebab apa “dia” menangis, perut kembung atau lapar atau mengantuk nak di dodoi.. hahaha aku dah bagaikan ibu sebenar.

Bila tengah bekerja, aku akan selalu teringatkan “dia”, seboleh-bolehnya nak balik cepat ke rumah.

Kalau dulu bila shopping, semuanya barang-barang aku tapi sekarang hampir semuanya barang “dia”.. hahaha.

Pejam celik pejam celik , dah hampir 7 tahun “dia” menemani setiap hari aku, dah semakin banyak kerenah, dah pandai merajuk dan mahu di pujuk selalu.

Anak manja yang selalu sebelum tidur akan minta aku peluk dan dodoikan dia..

Hampir ke usia 30 tahun ni, tipulah aku kalau tak terasa nak berkahwin dan berkeluarga.

Tambahan pula lagi “dia” pon selalu meminta adik dekat aku, katanya nak adik perempuan, tak mahu lelaki.. ohhh anak, senangnya order adik.. hahaha.

Aku ada berkawan dengan seorang lelaki yang bekerja satu banggunan dengan aku, dah hampir 4 tahun kami berkawan dan cukuplah aku gelar dia ‘A’..

“A” tahu akan siapa “dia” di sisi aku, “A” juga sangat sayangkan “dia”, aku tahu perasaan itu jujur bukan hanya berpura-pura dan “dia” juga sangat sukakan “A”, kerana “A” akan selalu melayan karenah “dia” dan belikan macam-macam untuk “dia”.

Kalau kami keluar, selalu “dia” di bawa bersama. Mak dan abah aku juga sangat senang dengan “A”.

Tapi…

Keluarga “A” tidak dapat menerima kehadiran “dia”. Aku tak nafikan keluarga “A” baik tapi mereka hanya menerima aku tidak anakku,

Bagi mereka “dia” bagaikan orang ketiga dan alasannya nanti kalau kami berkahwin, akan ada anak, aku pasti tetap akan abaikan “dia” kerana sibuk menguruskan anak dari rahimku sendiri.

Aku terpaku sendiri kerana permintaan ini hadir dari ibu “A” sendiri kepada aku.

“A” meminta aku bersabar dan akan memujuk ibunya. Dan hampir 4 tahun, anakku masih dilayan seperti orang asing kalau kami kerumah “A” untuk menziarahi, beraya atau sekadar makan-makan sesama keluarga.

Aku pernah jelaskan kepada ibu “A” yang “dia” amanah buat aku, “dia” hanyalah seorang puteri kecil yang tak punya apa-apa dosa, kenapa aku haruslah tinggalkan “dia”, mungkin ketika itu aku agak berkasar, aku tahu ibu “A” mungkin terasa hati.

Aku sayangkan “dia”, aku juga sayangkan “A” dan “A” pernah nyatakan hasrat untuk kami berkahwin sahaja dan aku tak mungkin gila untuk mengiakan sahaja.

“A” satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya, syurga “A” tetap ibunya, takkan aku nak biar “A” membelakangkan ibunya hanya kerana aku. Sesungguhnya, aku juga buntu.

Aku minta pendapat emak,abah dan aku juga ada sesekali berbual dengan “dia” tentang “A”. Aku tanya “dia” sekiranya nanti hanya kami berdua saja kemana-kemana, takkan ada “A” lagi, macam mana.

Ujarnya okey sahaja asalkan mama beli kfc selalu.. hahaha, anak oh anak, seronoknya menjadi kamu, tak perlu fikirkan dunia, asalkan dapat makan, cukup gembira..

Kepada Allah aku memohon petunjuk dan akhirnya beberapa hari sebelum berpuasa baru-baru ini, aku nyatakan hasrat kepada “A” untuk putus,

Aku mohon secara baik kerana aku tahu kami akan tetap terjumpa di banggunan tempat kerja kami. Aku sayangkan “A” tapi aku lebih sayangkan “dia”.

Cukuplah 4 tahun aku bersabar, menanti untuk keluarga “A” menerima “dia” tapi aku tetap dan tetap menunggu walaupon aku dah lama pasti apa akan jawapannya. Cukuplah setakat ini aku berharap.

“Dia” walaupun bukan dari rahimku sendiri tapi “dia” mengajar aku untuk menjadi seorang ibu, mengajar aku erti kasih dan sayang. Panggilan “mama” itu sudah cukup membahagiakan aku.

Aku tahu “dia” juga mungkin mengerti siapa aku sebenarnya, setiap kali kami melawat kubur papa dan mama “dia”, dia akan senyap tanpa banyak soal. “Dia” hanya diam, termenung memandang kearah batu nissan.

Wahai anak, sesungguhnya kamu amanah dan anugerah terindah buatku. Aku hanya mampu berdoa agar Allah sentiasa jagakan “dia” , ceriakan hari-harinya selalu….

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *